Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Friday, September 28, 2007

Wahai anakanda di Penjara Menara Gading!

Hassan Al-Banna
Harakahdaily
Fri | Sep 28, 07 | 10:47:15 am MYT

Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama mahasiswa.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya anakanda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan mahasiswa jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman;

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Al Kahfi:13)

Dengan kesimpulan inilah maka anakanda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu anakanda itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya anakanda berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah anakanda menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.

Anakanda di penjara menara gading,

Ada mahasiswa yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula mahasiswa yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, hak mereka yang dijajah. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.

Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi mahasiswa tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, mahasiswa tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.

Anakanda yang berada di penjara menara gading hari ini, bertuah sebenarnya sebab anakanda termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata anakanda melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.

Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh mahasiswa yang terus menerus bekerja dan bertindak.

Anakanda di penjara menara gading,

Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.

Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.

Memandang semua inilah ayahanda berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anakanda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.

Anakanda di penjara menara gading,

Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-cengan dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.

Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.

Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.

Allah berfirman(Al-Imran:18-19): Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.

Suatu lagi firman Allah (Al-Ma’idah:3): Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.

Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak.

Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.

Allah berfirman (Al-Imran : 85):

Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima.

Anakanda di penjara menara gading,

Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan diselubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya.

Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.

Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.

Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita wahai anakanda tercinta ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.

Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah islam itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.

Anakanda di penjara menara gading, Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.

Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.

Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :

Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.

Anakanda di penjara menara gading,

Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan anakanda semua angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada anakanda serta mendidik anakanda sekelian atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan anakanda di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada anakanda kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.

Allah berfirman (Al-Imran : 110): Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):

Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.

Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru ialah hendaklah anakanda mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah anakanda menyedari martabat diri anakanda dan yakinlah bahawa anakandalah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan.

Hendaklah anakanda yakin bahawa anakanda adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi anakanda dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

_________________

NOTA DARI EDITOR:

Warkah atau ucapan permulaan dari assyahid Hasan Al Banna ini dibuat dalam satu perjumpaan bersejarah bersama ribuan mahasiswa di Universiti Qahirah pada tahun 1940-an. Beberapa suntingan kecil dilakukan kepada ucapan berkenaan.

Semoga tiupan semangat Imam Banna ini akan membangkitkan semangat juang buat mahasiswa di IPTA hari ini. Lebih-lebih lagi pilihanraya kampus semakin panas dengan pelbagai isu dan tekanan.

Roh perjuangan Imam Banna sentiasa menemani mahasiswa sekelian.

Walaupun beliau telah kembali ke rahmatullah, namun bingkisan dan ucapannya tetap relevan sepanjang zaman. Semuga dorongan beliau ini akan memberi motivasi kepada semua mahasiswa yang berada di penjara menara gading. Roh perjuangan imam banna tetap segar walaupun beliau sedang bersenadi tenang di pusara. Biarkan orang lain tidak membela mahasiswa! Allah dan rasulNya tetap bersama pejuang yang bersabar.

Warkah kedua akan menyusul. Insya-Allah!

Daripada Ayahandamu,
Assyahid Hassan Al Banna

Sunday, January 01, 1995

Buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir

Gerakan Siswa

Politik Dakwah Universiti Teknologi Malaysia

Petikan "Buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir", Pustaka Generasi Baru, 1995, Mohd. Shuhaimi Al Maniri, hlm.117-136

Kebangkitan Pengaruh PKPIM di UTM

Muhammad Abu Bakar (1987) menyebut, pada peringkat awal awal kesedaran Islam di kampus dimainkan oleh PKPIM dengan kemuunculan tokoh-tokoh muda seperti Anwar Ibrahim di dalamnya. Kemudian peranan tersebut diambil alih secara beransur-ansur dan besar-besaran oleh kumpulan-kumpulan persatuan Islam di kampus.

Mengikut Zainah Anwar (1986), di UTM pada awal 1970'an terdapat seorang pejuang kebangkitan semula Islam yang memainkan peranan penting mempengaruhi pelajar-pelajar universiti ke arah mengamalkan Islam seluruhnya iaitu Imaduddin Abd.Rahim seorang rakyat Indonesia dari Institut Teknologi Bandung yang terkenal sebagai pusat kegiatan politik dan dakwah Islamiah pelajar di Indonesia.


ABIM sebuah gerakan Islam popular ketika itu gagal membawa Imaduddin Abd. Rahim (seorang tokoh kebangkitan Islam keturunan Indonesia yang sangat popular dikalangan pelajar Islam) dan pengikutnya bekerja dalam rangkaian mereka kerana berlaku persengketaan di antara Imaduddin dengan ABIM.

Keengganan Imaduddin ini menyebabkan PKPIM sukar hendak menubuhkan persatuan Islam di UTM dan akibatnya ia kalah dalam pilihanraya pelajar tahun 1972. Sejak awal 1970'an, Imaduddin Abdul Rahim yang sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia begitu mengadakan ceramah-ceramah agama untuk kumpulan-kumpulan pelajar yang pada pandangannya memiliki ciri-ciri kepimpinan di kampus-kampus di Kuala Lumpur.

Di UTM, Imaduddin membentuk kumpulan dakwah teras yang terdiri dari 100 orang pengikut [Zainah Anwar, 1986].PKPIM pada waktu ini menjadi wadah yang paling popular dan penting di dalam gerakan pelajar sebagai 'turning point' ke arah perpaduan fikrah dan idealisma mahasiswa mengatasi wadah-wadah lain di era 1970'an. Kejayaan dan kewibawaan PKPIM begitu baik kerana kerjasama erat dengan 'abang kandung'nya ABIM. Pada peringkat awal ini ABIM dan PKPIM banyak menimba pengalaman dari Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) di Indonesia yang lebih berpengalaman untuk merumuskan idea-idea serta hujah-hujah intelektual bagi menyokong seruan mereka.


Dengan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam hal-hal politik, maka dengan mudah Islam menjadi satu-satunya jalan yang selamat untuk pelajar-pelajar menyuarakan keluhan mereka, mengem bleng tenaga, menenuhi tuntutan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mencari kelegaan dari tekanan-tekanan yang berpunca dari kehidupan universiti serta cara hidup di bandar [Zainah Anwar, 1986].


Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam SeMalaysia (PKPIM) di bawah pimpinan Anwar Ibrahim telah menerajui semangat kesedaran Islam yang kukuh di kalangan pelajar dengan baik dan mantap seterusnya berjaya menyatukan pimpinan universiti-universiti di dalam satu wadah. PKPIM juga menjalinkan hubungan dengan pertubuhan luar negara melalui wadah Persatuan Mahasiswa Islam Asia Tenggara (PEMIAT) dan juga Islamic International Federation of Student Organisation (IIFSO) telah mewujudkan rangkaian pelajar Islam sedunia yang teratur dan saling membantu (mutual support).


PKPIM ini telah ditubuhkan hasil resolusi "Seminar Pelajar Islam SeMalaysia" pada 31hb. March, 1961 di Universiti Malaya oleh sekumpulan 10 orang pemimpin pelajar dari 5 buah Institusi PengajianTinggiketika itu, iaitu Universiti Malaya, Maktab Teknik Kuala Lumpur (sekarang Universiti Teknologi Malaysia), Maktab Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Pertanian Malaysia), Kolej Islam Malaya (sekarang Maktab Perguruan Islam) dan Maktab Perguruan Bahasa (sekarang Institut Bahasa).


Sebelum wujudnya PKPIM, terdapat beberapa persatuan yang mewakili generasi pelajar ketika itu, misalnya Gabungan Pelajar Melayu Sememanjong (GMPS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM) yang ditubuhkan lebih awal. PKPIM dan GPMS masih bergerak sehingga sekarang, tetapi PKPM telah berkubur berikutan berkuatkuasanya AUKU, 1975.


Pada peringkat awalnya PKPIM dan GPMS didapati mampu bekerjasama dan mengamalkan konsep "kepimpinan terbuka". Mulai pertengahan 1960'an, kedua-dua persatuan tidak boleh lagi bekerjasama disebabkan mempunyai padangan yang berbeza berhubung dengan isu-isu yang kontroversi ketika itu seperti isu anti-Tunku, Telok Gong, autonomi Universiti dan lain-lain.


Sejak ini kepimpinan PKPIM mengambil sikap berhati-hati dalam proses melantik pemimpin pelapis supaya kepimpinan baru menerus-kan kesinambungan pegangan dan sikap PKPIM sebelumnya. Bermula awal dekan l970'an, PKPIM semakin tegas dan lantang memperjuang-kan aspirasi Islam mereka.


Muhd Idris Ibrahim dalam artikelnya, "Sekitar Perjuangan PKPIM" menyebut, perjuangan PKPIM bukan hanya berfokus kepada pelajar-pelajar tetapi melewati batas-batas pelajar malah melewati batas-batas geografi apabila ia menyuarakan keperihatinannya terhadap masalah umat Islam di dunia lain seperti masalah di Palestine, di Patani dan Mindanao, Filipina. PKPIM ketika itu mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja di kalangan pelajar malah masyarakat dan kerajaan. Akhbar PKPIM bernama Suara Siswa pernah diharamkan oleh kerajaan. Beberapa aktivis PKPIM ketika itu pernah ditangkap di bawah ISA.

Zaman kegemilangan PKPIM terncat bila berkuatkuasanya AUKU, 1975 dan kemudian berpecahnya gerakan Islam di awal dekad 1980'an. Gerakan mahasiswa menjadi semakin rancak dan panas apabila kumpulan-kumpulan mahasiswa di bawah wadah PKPIM yang membawa suara Islam mula menerajui persatuan-persatuan mahasiswa di universiti termasuk di Universiti Teknologi Malaysia. Selepas berkuatkuasanya Akta Universiti (pindaan) 1975, hubungan PKPIM persatuan-persatuan mahasiswa di kampus terputus disebabkan sekatan tersebut. Kebanyakkan kegiatan mahasiswa hanya bertumpu kepada program di kampus masing-masing. Malah PKPIM sendiri terumbang ambing pada masa ini, tetapi pengaruhnya ke atas mahasiswa di kampus tetap berterusan. Pada masa ini mereka hebatkan kegiatan memperteguhkan kefahaman dan fikrah Islam di kalangan pendokong-pendokongnya.


Kekuatan pengaruh Islam ketika itu di sini kerana kemunculan tokoh-tokoh muda berjiwa Islam dalam berbagai gerakan Islam ABIM dan sebagainya. ABIM pada masa ini dianggap sebagai 'sayap kanan' PAS bagi membekalkan kader-kader Islam di kalangan pelajar secara tidak langsung membantu PKPIM sebagai wadah popular untuk pelajar Islam bernaung.


Kemunculan kumpulan Islam menguasai persatuan-persatuan mahasiswa memberikan erti yang besar terhadap perkembangan di UTM dan kawasan sekitarnya. Berbagai program bercorak keagamaan dilaksanakan menggantikan aktiviti-aktiviti bercorak hiburan pesta-pestaan untuk bersuka ria. Program seperti ceramah, kuliah maghrib dan subuh, forum, simposium, kursus kesedaran dan kepimpinan Islam dan sebagainya memenuhi dairi kegiatan mahasiswa.

Begitu juga berbagai-bagai risalah dan makalah Islam begitu banyak diterbitkan sama ada oleh PMIUTM ataupun PMUTM dan lain-lain persatuan dengan berbagai nama seperti Suara PMIUTM, Risalah PMI, Mimbar Jumaat, Suara Siswi Islam, Nada Kampus dan sebagainya.


Beberapa jemaah atau individu tertentu di kampus kurang menggemari corak PMIUTM dan PMUTM yang dikatakan lebih bersifat 'politicized' dan 'radikal'. Sungguhpun pada hakikatnya semua jemaah Islam seperti Tabligh, Al-Arqam, IRC, ABIM, PAS dan lain-lain bercita-cita untuk menegakkan Islam tetapi corak pemahaman dan pemba-waannya tetap berbeza. Tabligh dan Al-Arqam didapati tidak 'berminat dengan politik sebagaimana ABIM, IRC dan PAS. Tanggapan sebegini menghalang mereka melibatkan diri secara langsung dengan PMIUTM dan PMUTM.


Ketika ini juga Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) dan Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM) yang dikuasai oleh kumpulan Islam sedang dalam proses penyesuaian dengan 'rentak' baru selaras dengan berkuat kuasanya Akta Universiti (pindaan) 1975 dan terputusnya hubungan dengan persatuan pelajar di luar kampus. Era ini bolehlah dianggap sebagai era permulaan dalam pergerakan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia. Kumpulan Islam sentiasa menguasai politik kampus di Universiti Teknologi Malaysia kecuali pada sesi 1979/80 di mana kumpulan nasionalis berjaya menguasai PMUTM.


Pada penghujung tahun l970'an ini (sesi 1979/80), kumpulan Islam bukan sahaja tewas di UTM malah hampir di semua kampus. Malah sebelum itu pada 15hb. Februari, 1979 seorang tokoh belia Islam, Ustaz Fadhil Mohd Nor (sekarang Yang Dipertua PAS) tela h disingkirkan secara rasmi dari tugasnya sebagai pensyarah UTM. Pada masa ini kumpulan 'sederhana' yang berjiwa nasionalis berjaya menyingkirkan kumpulan Islam dari teraju kepimpinan mahasiswa dengan bantuan pihak tertentu. Di Universiti Teknologi Malaysia, mahasiswa terpengaruh dengan kepetahan Annuar Musa berpidato telah memberikan kesempatan kepada beliau menjadi Presiden PMUTM ketika itu.


Kekalahan kumpulan Islam ketika ini mungkin disebabkan berlaku ketidaksefahamanan antara puak radikal yang dipelopori oleh mereka yang baru pulang dari luar negara dengan golongan sederhana yang diamalkan oleh PKPIM. Disebabkan masa yang diambil untuk mencegah polemik ini amat perlahan dan kurang berkesan pula telah memberikan pukulan "maut" kepada mereka. Krisis idealisma ini boleh di'bendung' dengan tidak memperbesarkan masalah-masalah ranting dan mempermudahkan masalah pokok.


Di kalangan aktivis-akhvis mahasiswa terdapat juga beberapa 'modernis' yang tidak senang melihat berlakunya pertentangan antara Islam dengan pemikiran barat dan berusaha membawa idea-idea modernisasi ke dalam masyarakat Islam tanpa menyedari kesan dan implikasinya. Berbagai usaha dijalankan di antaranya adalah cuba menyatukan sosialisma dengan Islam menjadikan sosialisma Islam, menggabungkan nasionalima dengan Islam menghasilkan nasionalima Islam dan sebagainya.

Di Indonesia pernah cuba diusahakan gabungan nasiona-lisma, agama dan komunis menghasilkan NASAKOM. Berkembangnya modernisma dalam masyarakat Islam kerana kejahilan umat Islam itu sendiri. Idea ini juga di'import' oleh golongan tertentu di Malaysia tetapi gagal mendapat sambutan.