Thursday, October 04, 2007

Rasuah dalam PRK, pengundi UTM ditawar tiket Air Asia

Intan Abdullah
Harakahdaily
Thu | Oct 04, 07 | 10:49:31 am MYT

Tekanan pihak pentadbir kepada mahasiswa yang tidak menyokong Aspirasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai bukan lagi rahsia. Beberapa persatuan aliran Islam telah diugut agar tidak menyertai PRK atau menghadapi tindakan persatuan mereka dibubarkan.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, universiti mahu memastikan seramai mungkin mahasiswa turun mengundi. Mereka bimbang pelajar tidak ambil hirau lagi soal PRK dan ini akan memberikan imej yang buruk.

Jumaat lalu, 27 September, pihak universiti memberi taklimat kepada para pensyarah agar mereka memperuntukkan masa yang secukupnya kepada mahasiswa pada 2 Oktober untuk keluar mengundi

Malah pensyarah digalakkan untuk mengiringi mahasiswa ke pusat pengundian.

"Macamlah mahasiswa itu budak sekolah, kena iring pula," kata seorang pensyarah kanan.

"Kalau dah tekan mereka, apa pula nak minta turun mengundi beramai-ramai. Pelik sungguh."

Sebahagian pensyarah yang tidak senang dengan kejadian tersebut terutamanya apabila diminta mengiringi pelajar-pelajar mengundi.

Lebih melucukan, terbentang banner yang menawarkan cabutan bertuah kepada sesiapa yang mengundi. Antara hadiah ialah tiket penerbangan Air Asia pergi balik Johor Bharu ke Langkawi, kamera digital, pemain MP3, pen parker dan banyak lagi hadiah lain.

"Kalau mengundi, disuruh-suruh, sampai nak bagi hadiah. Tetapi calon bukan Aspirasi kena tekan kalau nak bertanding," tegas pensyarah itu lagi.

Dalam satu Bengkel Jabatan Dakwah anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UTM, seorang pegawai kanan universiti telah meminta kata putus daripada peserta bengkel tersebut yang terdiri daripada pimpinan tertinggi persatuan-persatuan aliran Islam mengenai pembabitan mereka semasa PRK nanti.

Jika kumpulan selain Aspirasi ini tidak meletakkan pencalonan,ada pihak yang beranggapan bahawa ia merupakan usaha yang didalangi oleh pihak tertentu yang sengaja untuk mencipta situasi seolah-olah wujud pertandingan dua kumpulan yang berbeza, walhal ia adalah daripada kalangan mereka sendiri.

Oleh sebab itu, sumber membuat kesimpulan bahawa apa yang berlaku di peringkat awal adalah usaha terancang bagi memastikan tidak ada pihak 'lain' yang menjadi peserta dalam PRK 2 Oktober ini.

Manakala di sesetengah IPT, hampir semua bangunan serta tempat strategik dalam kampus dilengkapi dengan kamera litar tertutup atau cctv bagi memantau pergerakan warga kampus, lebih-lebih lagi menjelang PRK tidak lama lagi. - mks.

No comments: