Thursday, October 04, 2007

Naib Canselor UKM tawar kenalan jadi Prof bergaji RM168,000 sebulan

Harakahdaily
Thu | Oct 04, 07 | 12:02:55 pm MYT

BANGI, 4 Okt (Hrkh) - Belum reda kontroversi pelantikan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Saran Kaur a/p Delio Singh, dari Pusat Bahasa dan Linguistik, mulai 1 September lalu, yang tidak dibuat secara telus dan terbuka mengikut tatacara dan prosedur Kementerian Pengajian Tinggi, kini Universiti Kebangsaan Malaysia gempar lagi.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Dalam perkembangan terbaru, Naib Canselor UKM, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, telah menawarkan jawatan Distinguished Profesor kepada Prof Dr Tan Hock Lim, seorang rakyat Malaysia, Profesor Paediatric Surgery, Universiti Adelaide, Australia dengan bayaran perkhidmatan RM8,064,000 selama 48 bulan, iaitu sebanyak RM168,000 sebulan.

Dr Tan juga akan diberikan dua permit import (AP) kereta bagi kegunaan peribadinya nanti. Ramai bertanya, "mengapa perlu sehingga dua AP?" Dr Tan kini menjadi profesor pelawat UKM dengan elaun RM4,000 sebulan, manakala kontraknya dengan Universiti Adelaide telahpun berakhir.

Difahamkan kebanyakan warga UKM, khususnya para pensyarah kanan, terutama di Fakulti Perubatan meragui kemampuan Dr Tan untuk memenuhi tanggungjawab menubuhkan Advanced Surgical Skills Center di Hospital UKM sehingga beliau diberi ganjaran yang begitu besar.

Mereka beranggapan, risiko kegagalan untuk mencapai target melalui kemasukan Dr Tan ke UKM cukup tinggi sedangkan RM8 wang rakyat telah dibelanjakan.

Peliknya, Dr Tan tidak pernah memohon jawatan berkenaan, sebaliknya Dr Sharifah Hapsah sendiri yang menawarkan kepada beliau, dan ini bercanggah dengan prosedur. Ia juga tidak dibawa ke dalam mesyuarat pengurusan universiti, badan yang mesti dirujuk sebelum keputusan-keputusan penting seperti berkaitan perlantikan jawatan strategik dan dasar universiti diputuskan.

"Kami bukan mahu memperkecilkan Dr Tan tetapi selama ini tidak pula kita dengar kehebatannya yang luar biasa sehingga perlu dibayar sebanyak itu," ujar seorang kakitangan senior UKM. "Dengan RM8 juta kita boleh lahirkan sehingga sembilan orang pakar bedah. Lagi pun beliau kini sedia berkhidmat dengan gaji RM4,000 sebulan, jadi apa perlu ditawar sesuatu yang tidak berbaloi dengan wang yang akan dibelanjakan?"

Malah Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dato' Dr. Lokman Saim hanya dimaklumkan mengenai kes Dr Tan ini oleh Naib Canselor melalui SMS sahaja. Justeru, dalam satu mesyuarat fakulti berkenaan, ahli-ahli mesyuarat merakamkan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan Dr Sharifah Hapsah yang mengetepikan segala ketetapan asas yang wajib dipatuhi. Pakar-pakar bedah tempatan turut terasa demoralise.

Kini Dr Tan sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan sebelum berkhidmat walaupun mengikut perjanjian beliau sepatutnya bertugas bermula dari 1 September 2007 sehingga 31 Ogos 2011. Khabarnya pihak Perbendaharaan sendiri mencurigai keupayaan Dr Tan untuk merealisasikan objektif UKM itu.

Rungutan terhadap stail pentadbiran Dr Sharifah Hapsah, yang dilihat hanya ghairah dengan perkara remeh-temeh dan bersifat luaran khususnya aspek keceriaan universiti, selain kecenderungannya untuk melantik staf wanita ke jawatan kanan walaupun tanpa memenuhi kriteria, hangat dibincangkan kakitangan UKM.

Menurut sumber, kes Dr Tan hanya satu daripada banyak kes lain. Dr Sharifah Hapsah dikatakan begitu teruja untuk meningkatkan ranking UKM sehingga sanggup membelanjakan ratusan ringgit membeli iklan dalam sebuah akhbar di London, 31 Ogos lalu. Kini tumpuannya ialah meletakkan UKM di tangga lebih tinggi dalam Times Higher Education Supplement, walaupun melalui publisiti murahan.

UKM menduduki tangga 175 dalam THES World University Ranking tahun 2006 dan tangga 56 dalam THES Ranking 2006 dalam bidang Perubatan dan Kesihatan, di samping menduduki tangga 62 dalam THES Ranking 2006 dalam bidang Sains.

"Saya perhatikan satu bentuk pentadbiran cara feudal sedang berlaku di UKM. Apa yang Naib Canselor mahukan mesti dapat walaupun ia bercanggah dengan prosedur," luahan hati seorang bekas pensyarah. "Jika ini berterusan, hasrat UKM untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan tersohor dan universiti Apex bukan saja tidak kesampaian, malah tinggal mimpi."

Menurut satu laporan, ASSC yang akan ditubuhkan oleh Dr Tan nanti merupakan satu strategi untuk meningkatkan Hospital UKM sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan perubatan, latihan dan perkhidmatan pembedahan bertaraf dunia yang akan menerima pelatih dan pesakit dari luar negara. ASSC diharap bukan sahaja meningkatkan nama baik UKM bahkan membawa faedah ekonomi kepada negara melalui health tourisme.

* Bagi mempertingkatkan laman ini menjelang pilihan raya umum ke-12, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM (564070000336)

No comments: