Saturday, September 10, 2005

‘Amfibia’ dalam UKM

Malaysia Today, 10 september 2005

Oleh: Heidi Mehdi

Memang tak sangka, UKM yang disemarakkan penubuhannya atas nama perjuangan rakyat, kini identitinya bagaikan ‘gelap menanti gulita’. Kebebasan akademik, yang satu ketika dulu menjadi amalan dunia intelektual, hari ini sudah berkubur.

Dengan penyingkiran Prof. P. Ramasamy (FSSK) dan Prof Shaharir Mohamad Zain (FST), maka tiada apa-apa lagi alasan yang dapat membuktikan bahawa kebebasan akademik di sini masih lagi wujud. Nyata sekali, rentetan panjang gugatan terhadap kebebasan akademik, akhirnya bernoktah di sini.

Bermula dari Surat Akujanji, kenaikan pangkat akademia secara terpilih, pemilihan naib canselor yang ‘Umno tulen’, kekangan suara intelektual, kini, atau lebih terang-terang lagi, tibanya waktu penyingkiran semua musuh-musuh politik kampus yang suka membuat ‘bising’!

Namun begitu, kekesalan yang terbesar bukanlah kerana kehilangannya dua tokoh akademik ini, sebaliknya etika intelektual di kalangan sejumlah besar ahli-ahli akademik UKM yang lain, terutamanya dalam mengharapkan dukungan dari rakan seangkatannya.

Di UKM, yang dulunya kaya dengan wacana ilmu - menandai kemeriahan budaya intelektual - tetapi hari ini, telah miskin dengan kejujuran dan keberanian. Hakikatnya, kuliah-kuliah falsafah yang diajar di sini sudah tidak lagi mencerminkan hasrat falsafah itu sendiri.

Falsafah, ilmu yang dekat dengan tema kebebasan sewajarnya bukan sahaja mendidik jiwa merdeka dalam diri para mahasiswa, sebaliknya juga para ahli-ahli akademiknya harus menunjukkan satu contoh ‘kepimpinan ilmu’ buat warga kampus yang lain.

Tetapi, bayangkanlah bila adanya teman-teman akademik mereka yang dianiayai oleh pengurusan universiti, ataupun oleh Kementerian Pengajian Tinggi, maka ke mana menghilangnya ilmu-ilmu yang mereka kokokkan dalam kuliah itu?

Jaguh-jaguh ilmu falsafah (kononnya) seperti Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud (ATMA), Prof. Abdul Latif Samian (PPU), Prof. Yussof Othman (FST), Prof. Baharuddin Yatim (Institut Sains Angkasa, UKM), Prof. Shamsul Amri Baharuddin (IKON), Dr. Supyan Hussein (ATMA) dll, ke mana mereka menyorok diri selama konflik ini tercetus?

Maaflah, jika saya katakan mereka semua ini adalah sebahagian daripada ‘amfibia’ di kalangan warga UKM. Dengan sifat dua alamnya, mereka ini seolah-olah ingin memberitahu, bahawa meskipun dua rakannya ini telah tersingkir, perjuangan akan tetap diteruskan. Ah, percaya kita dengan janji manis mereka ini? Perjuangan apa yang mereka tahu?

Untuk ‘amfibia’ ini, usahlah berdalilkan strategi dan kebijaksanaan lagi, kalau anda sendiri tidak mampu menjiwai ilmu yang anda sendiri ajarkan kepada para mahasiswa. Hentikanlah hipokrit tersebut, terus-terang saja bahawa anda kini telah ditundukkan oleh materialistik!

Ahli akademik dewasa ini nama saja mencintai kebenaran dan kebijaksanaan, yang kononnya bertanggungjawab membangun kembali semangat falsafah dan membina tamadun ilmu, tetapi sedihnya merekalah yang menderitai ‘misosophy’ - fobia pada kebenaran dan kebijaksanaan. Nah, kezaliman yang jelas di hadapan mata, kenapa enggan disanggah?

Mula detik ini, UKM wajar sekali mengharamkan nama-nama seperti ahli-ahli falsafah seperti Socrates, Descartes, Hagel, Durkheim, Sartre dll dari terus disebut dalam pagar kampus, kerana warga UKM sudah dihukum untuk tidak bebas lagi. Justeru, apa guna lagi kita belajar falsafah?

Bicara pilihan raya kampus

Malaysia Today, 10 september 2005

Amin Idris

Kehidupan di kampus merupakan proses transisi antara kehidupan fantasi dan idealistik kepada alam nyata dan realisik. Dalam erti kata lain, penulis umpamakan alam kampus seperti berada di dalam satu kem latihan. Mereka di dalamnya dilatih, diasak, dibentuk, dibina, ditiupkan api dan semangat perjuangan serta bekalan-bekalan kekuatan pada masa yang sama diberikan pendedahan sedikit demi sedikit berkenaan realiti keperitan serta strategi peperangan agar bersedia tatkala turun ke medan tempur. Sebarang unsur-unsur ketakutan yang berhapadan apa jua keperitan yang bisa menggoyahkan pendirian perjuangan akan cuba dikikis agar ia tidak bisa menjadi 'virus' yang boleh memperlahankan proses kemenangan.

Begitulah resamnya di kampus. Sebagai seorang mahasiswa undang-undang, penulis masih teringat akan pesan bapa sewaktu di tahun 1, kata beliau, "To be a lawyer you must think as a lawyer, act and dress like a lawyer." Begitu juga pensyarah sewaktu di tahun 2, "As law students, you must think legally. Do not think as a layman." Malah sewaktu di sekolah menengah naqib usrah berpesan, "Ilmu yang kamu perolehi tidak akan berguna jika kamu tidak mendalami dan memahami jiwa masyarakat. Sebab itulah Rasulullah di awal hidupnya dididik dengan berada di tengah masyarakat Arab Jahiliah."

Walaupun kesemua kata-kata tadi bukanlah dari bicara seseorang yang bernama Perdana Menteri, atau dari undang-undang ISA mahupun AUKU, atau dari mana-mana kuasa besar UMNO tetapi ia cukup memberi kesan kepada hidup penulis menyebabkan ia masih segar diingatan walaupun lebih separuh dekad yang lalu. Mengapa? Adakah kerana takut? Atau bimbang digantung universiti? Atau risau tidak mendapat bantuan dari kerajaan? Dalam menjawab persoalan ini, penulis telah mengerti bahawa kebijaksanaan, kebebasan, keadilan menjadi kunci penting di samping tidak meminggirkan keutamaan ilmu dan budi.

Bahang Pilihan raya Kampus

Dalam kerancakan menghadapi bahang pilihan raya kampus, penulis terbaca satu posting di dalam laman web Idealis-Mahasiswa.net:

"dah memang universiti ni universiti milik kerajaan dan dibiayai kerajaan dan memang apa yang kerajaan bagi tu terlalu banyak... so memang patut bekerjasama dgn kerajaan. kursus Biro Tata Negara memang menceritakan segala hal ehwal berkaitan dgn kerajaan m'sia dan memang diikuti oleh semua penjawat awam dan IPTA... korang nak tangkap bebudak yang pegi kursus BTN ker??? silakan... aper la punya bodoh punya bangang... keldai pun tak sebodoh puak2 korang." (oleh kopi 'o', 9 September 2005)

Daripada posting tersebut, beberapa perkara dapat disimpulkan ialah;

1. Sungguh singkat dan dangkal gaya pemikiran sebilangan mahasiswa yang terlibat di dalam politik kampus. Apakah ini rupa bentuk dan gaya seorang siswa di menara gading yang juga merupakan rakyat kepada sebuah negara demokrasi berparlimen?

2. Rupanya pertembungan politik di antara mahasiswa idealis / Islamis dan Rejim Aspirasi bukan di antara dua blok idealisma perjuangan semata, tetapi antara kejahilan pengetahuan sivil, kesedaran politik dan kebenaran, kemurnian demokrasi dan keadilan.

3. Jika benar dakwaan si kopi 'o' iaitu universiti merupakan milik kerajaan, maka sistem pemerintahan Barisan Nasional hari ini mengalami krisis dan masalah. Ke mana perginya political governance yang sepatutnya diamalkan oleh kerajaan yang memerintah? Benarlah kata teh ais dalam menjawab posting kopi 'o':

"sebuah negara demokrasi. Ertinya, kerajaan sepatutnya mengamalkan 'By the people for the people' bukannya 'BUY the people, FORCE the people'."

Pada tahun 2004, penulis telah menemui beberapa dokumen rasmi membuktikan dakwaan bahawa Rejim Aspirasi didalangi UMNO. Antaranya:

1. Satu kertas kerja Operasi Khidmat Masyarakat yang membabitkan IPTA, IPTS dan Kolej Universiti (kecuali UIA dan UM) merupakan agenda kempen pilihan raya UMNO menjelang pilihan raya umum Malaysia ke 11. Terdapat satu catatan tulisan tangan iaitu; "Program ini berkesan untuk agenda pilihan raya," dengan disertakan tandatangan Hishamuddin Tun Hussein dan nama Adham Baba yang tertera.

2. Satu persidangan akhbar membabitkan Preisden-Presiden MPP yang diadakan di Universiti Malaya telah dilakukan dengan arahan Kementerian Pendidikan. Kenyataan akhbar adalah bagi menyatakan sokongan Presiden-Presiden MPP kepada Barisan Nasional menjelang Pilihan raya Umum.

3. Minit mesyuarat antara kampus-kampus di bawah cengkaman Rejim Aspirasi bersama Adham Baba dan beberapa 'top-gun' Pergerakan Pemuda UMNO.

Penulis tidak berhajat untuk mendedahkan kesemuanya terutama bukti-bukti terkini. Yang pasti, terdapat satu grand design yang bermatlamatkan agenda meng'UMNO'kan kampus dan wujudnya satu pakatan jahat di antara barua-barua Aspirasi, Pemuda UMNO dan Biro Tatanegara. Tidak ketinggalan TNC-TNC yang sanggup menggadaikan amanah dan disiplin ilmu mereka yang bertunjangkan kebenaran.

Pilihanraya Kampus = Perang Salib?

Pertembungan ini membuatkan penulis terlintas akan permusuhan dan pertembungan umat Islam dengan tamadun barat-kristian bukan isu baru. Era perang salib yang berlangsung lebih dari 2 abad belum pernah berakhir sehingga hari ini. Biarpun sangat pahit untuk ditelan, hakikatnya dalam babak akhir pertembungan ini, umat Islam adalah golongan yang kalah dan antara kehancuran yang paling menyayat hati adalah tumbangnya khilafah Uthmaniyyah pada 1924.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar."

(al Baqarah: 120)

Pada satu ketika Islam tidak dilihat lagi sebagai kuasa yang mampu mencabar hegemoni tamadun barat apatah lagi dengan keperkasaan pengaruh komunisme antarabangsa. Walau bagaimanapun, selepas tumbangnya rejim Soviet dan lenyapnya pengaruh international communism, arus kebangkitan Islam semakin dirasai dan Islam dilihat sebagai satu-satunya peradaban yang mampu menumbangkan tamadun Barat. Hal ini diakui oleh ramai penganalisis dunia. Antaranya Samuel P Huntington dalam tesisnya yang penuh kontroversi, The Clash of Civilization yang antara lain menyebutkan:

"The greatest resistance to Western democratization efforts, however, came from Islam and Asia. This resistance was rooted in the movements of cultural assertiveness embodied in the Islamic resurgence and Asian affirmation... Islam is the only civilization, which has put the survival of the West in doubt, and it has done that at least twice".

Francis Fukuyama lebih ekstrem daripada Huttington dengan mengeluarkan pendapat dalam bukunya The End of Men History bahawa:

"And Islam indeed defeated liberal democracy in many parts of the Islamic world, posing a grave threat to liberal practice even in countries where it has not achieved political power directly. The end of the Cold War in Europe was followed immediately by the challenge to the West from Iraq, in which Islam was arguably a factor."

Agenda New World Order sememangnya sengaja dirancang untuk meneruskan perang salib era baru yang mensasarkan umat Islam sebagai sasaran untuk dimangsakan. Mereka menekan Negara umat Islam melalui hutang dan pelbagai bentuk sekatan ekonomi yang sengaja dilaksanakan. Alaf baru bermula dengan menyaksikan 2 buah Negara umat Islam dijajah secara ketenteraan dalam apa yang mereka namakan 'kempen anti keganasan anti terrorisme global.' Pemuda Islam sangat yakin bahawa tragedy 911 dan 7/7 adalah konspirasi zionis untuk memaksa dunia menyertai Ahzab Moden melanyak umat Islam habis-habisan. Isu Palestin, Chechnya dan Selatan Thai sengaja dipendamkan daripada masyarakat dunia biarpun saban hari umat Islam disembelih tanpa mengenal belas kasihan!

Sinonimnya, mahasiswa yang enggan berpihak, menyokong dan mengundi calon tajaan UMNO akan dilabel sebagai tidak menyokong kerajaan, tidak bersyukur dan mengkhianati Negara. Satu persoalan, adakah dengan hanya mengampu dan menyokong parti UMNO dan BN ertinya menyintai Negara? Hakikatnya ia nyata tidak bertepatan dengan semangat patriotik sebagaimana Tok Janggut, Burhanudin al-Helmy, Pak Sako dan para pejuang kemerdekaan yang lain. Budaya politik kampus kini umpama mengguna pakai pendekatan si zalim Bush iaitu, "If you’re not among us, you're with them (terrorist)."

Mahasiswa yang enggan dan tidak sesekali menyokong 'budak-budak' Aspirasi terpaksa membayar harga dengan berhadapan risiko:

1. Dibuang kolej.
2. Ugutan ditarik balik pinjaman, gantung pengajian.
3. Dicop sebagai puak ekstrim.
4. Dilabel sebagai pro-pembangkang.
5. Didakwa sebagai mengkhianati Negara.
6. Bakal berhadapan dengan masa depan yang gelap.

Pencabulan jenayah demokrasi menbunuh demokrasi

Kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke 11 telah menghadiahkan pelbagai pulangan lumayan kepada rakyat. Bermula dengan penjualan rumah kos rendah kepada golongan kaya di Selangor, kenaikan minyak yang sehingga kini mencecah 10 sen seliter, penswastaan air, pengurusan PTPTN yang tidak efisien dan bermacam-macam lagi tindakan yang mengakibatkan yang kaya semakin kaya, dan yang miskin semakin miskin serta melarat!!!

Tidak ketinggalan juga, rakyat Malaysia terus dihantui dengan undang-undang draconian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Siaran 1987, Akta Persatuan 1966, Akta Polis 1967, Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1971 (pindaan 1986) yang bukan sahaja menyekat hak asasi manusia, malah mencacatkan kemaraan gerakan Islam di Malaysia.

Melihat dalam konteks politik dan undang-undang dalam realiti sebenar, Malaysia yang masih meriah menyambut kemerdekaan yang ke 48 walaupun sudah bebas dari fizikal cengkaman penjajah rupanya masih tidak memerdakakan rakyatnya iaitu kecaman dan pencabulan hak asasi manusia.Walapun Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan menjamin hak-hak ini terjaga, namun terlalu banyak pencabulan sehingga menimbulkan tanda tanya adakah Malaysia sebuah negara demokrasi atau sebaliknya. Artikel 10 memberikan hak-hak berpolitik seperti kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, kebebasan mengadakan perhimpunan dan kebebasan berpersatuan kepada rakyat Malaysia sekalipun sebenarnya hak itu lebih banyak dinafikan atas sebab-sebab keselamatan negara, hubungan diplomatik dengan negara lain, keamanan dan melindungi keistimewaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan sebagainya. Artikel 10(3) dan (4) membataskan lagi hak-hak ini ditambah dengan keputusan-keputusan mahkamah yang menunjukkan bahawa hak-hak ini seolah-olah tidak wujud sedangkan ia diperuntukkan di bawah Piagam Bangsa-bangsa Bersatu 1945 dan Deklarasi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia 1948 di mana Malaysia menjadi salah seorang daripada anggotanya.

Lebih mengerikan, alam kampus yang merupakan training ground sebelum ke alam realti perjuangan sudah dicabuli kehormatannya dengan jenayah demokrasi yang telah dilakukan oleh pemerintah dan sekutunya secara terancang. Bermula dengan amalan pentadbiran kuku besi dan sekularisma, perjalanan pilihan raya kampus 'ala rimba' dan jakun sehinggalah tindakan me'label' mahasiswa yang sebenarnya bukan berpunca dari media, tetapi melalui bukti dokumen dan risikan, ini merupakan grand design dari manusia-manusia jahat dan khianat yang menyalahgunakan kuasa pemerintah.

Penutup

Penulis sentiasa optimis bahawa Rejim Aspirasi akan berhadapan dengan detik-detik yang memalukan. Yang penting, usaha gerak kerja, mobilasi dan kerahan tenaga, kebijaksanaan dalam mengatur dan melakukan langkah strategik mesti dilaksana. Pilihan raya kampus merupakan salah satu medan praktikal menguji ketahanan jihad dan ketabahan menghadapi tekanan perjuangan. Insya Allah, selepas ini kita akan berbicara tentang agenda mengisi kemenangan. Seperti kata keramat di dalam iklan Petronas, "Jalan mesti ke depan, buka ke belakang." Nyah Rejim Aspirasi!!!

Thursday, September 01, 2005

GPMS: Konspirasi jatuhkan Suhaimi Ibrahim ?

sumber: Buletin Utama 1-7 September 2005

KUALA LUMPUR: 'Sudah jatuh ditimpa tangga' begitulah nasib menimpa Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhalmi Ibrahim bila dengar ura-ura beliau akan dicabardalam mesyuarat tahunan gabungan itu tidak lama lagi. Jika benar Suhaimi dicabar maka menguatkan spekulasi sebelum ini wujud konspirasi politik menjatuhkan Presiden GPMS berwibawa tersebut.

Suhaimi, sebelum ini adalah bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berjaya memartabatkan majlis itu dengan beberapa siri pendekatan kepimpinan meningkatkan pembangunan belia di negara ini. Beliau juga memperjuangkan agar MBM mempunyai bangunan sendiri di Bandar Tun Razak, Cheras.

Selepas MBM mempunyai bangunan dan sedikit dana menggerakkan aktiviti belia di negara ini, kerusi presiden terus menjadi panas dan kini disandang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Selepas melepaskan kerusi Presiden MBM, pada 1997 Suhaimi mengambil inisiatif menghidupkan semula GPMS diasaskan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Pentadbiran GPMS dijalankan di sebuah bangunan JKR uzur berdekatan Bank Negara. Di bawah kepimpinan Suhaimi banyak memfokuskan pendidikan pelajar-pelajar Melayu luar bandar. GPMS juga membawa pelajar, Nor Amalina mendapat 17 Adalam Sijil Pelajaran Malaysia 'road show' ke seluruh negara bagi berkongsi pengalaman kejayaannya itu.

GPMS juga banyak mengadakan kursus motivasi dan seminar-seminar meningkatkan kecernerlangan pelajar Melayu dalam pendidikan cuma kurang mendapat publisiti pihak media. Jika benar desas desus bertiup kencang jawatan Presiden GPMS bakal dicabar, maka bolehlah dianggap ada pihak mula irihati dengan pencapaian Suhaimi berjaya meningkatkan taraf pendidikan anak Melayu di negara ini. Jika faktor usia dijadikan penyebabnya, Suhaimi lebih muda dibandingkan dengan Pengerusi Belia 4B, Datuk Seri Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

"Tak ada sebab faktor usia dijadikan alasan kerana Suhaimi masih muda cuma mungkin wujud konspirasi politik sengaja menjatuhkannya," kata satu sumber enggan menjelaskan lebih lanjut tapi merasa kesal, selepas sesuatu pertubuhan berjaya diterajui dengan baik oleh Suhaimi maka adalah pihak akan merebut kerusi disandangnya.

Selamatkan perjuangan Mahasiswa UKM

Malaysia Today, 1 September 2005

Penyenaraian nama-nama calon ini adalah bergantung kepada beberapa kriteria
yang telah ditetapkan iaitu:

(a) Mempunyai PNGK sekurang-kurangnya 2.80.

(b) Mempunyai sahsiah dan ciri penampilan identiti yang unggul.

(c) Mempunyai karisma kepimpinan yang telah diuji dengan track record yang cemerlang.

(d) Tidak pernah melakukan sebarang kesalahan yang melanggar AUKU mahupun peraturan lain universiti.

(e) Mempunyai hubungan mesra dan harmoni dengan pelbagai lapisan masyarakat kampus terutama pihak pentadbiran, pihak kolej dan pelajar.

Ada kemungkinan akan ada sekelompok lagi kumpulan yang berjuang atas nama aspirasi universiti yang akan menghantar senarai nama calon. Tetapi bagi pengetahuan Dato', golongan ini yang berjuang dengan penuh tipu muslihat (sehinggakan sanggup menggunakan nama Dato', Dr Muhammad Hussein dan nama saya sendiri) untuk mencapai matlamat mereka. Adakah ini kepimpinan yang menjadi tonggak aspirasi universiti?

Saya berasa cukup terkilan dan sedih kerana golongan sayap kiri ini hanya muncul ketika pilihan raya dan mendakwa kononnya mereka telah mendapat tempat di kalangan pelajar-pelajar lain.

Mungkin sebelum ini ada beberapa pihak melihat saya berkompromi dengan mereka tetapi diatas rasa tanggungjawab dan penuh amanah untuk melihat survival perjuangan suci aspirasi di bumi UKM ini terus mekar, maka saya tidak sanggup melihat tangan-tangan mereka mencoretkan zulmat lagi.

Untuk pengetahuan Dato', saya ada bukti-bukti yag kuat yang menyebabkan saya menolak cara dan metod golongan sayap kiri ini. Tetapi menjadi prinsip saya yang tidak suka menjaja keburukan orang lain walaupun saya ketahui mereka selalu memburukkan saya dan barisan PMUKM yang ada sekarang.

Saya juga berharap pihak Dato' boleh mengambil tindakan yang tegas dalam menentukan halatuju masa depan kepimpinan pelajar pro kerajaan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mereka semua yang menjumpai Dato' adalah penipu. Selamatkan perjuangan mahasiswa UKM dari tangan mereka. Selamatkan perjuangan TSB dan Aspirasi UKM daripada tangan mereka yang mengambil kesempatan untuk berkuasa demi kepentinga sendiri. Seandainya perlu, kami memohon dilakukan penyiasatan terhadap mereka kerana kumpulan ini telah banyak menyeleweng wang projek pelajar untuk diri mereka sendiri. Bantulah kami mahasiswa UKM yang cintakan perjuangan yang suci. Adakah Dato' mahu melihat golongan sayap kiri ini, yang menubuhkan kumpulan lain dengan menolak kepentingan keseluruhan gerak kerja aspirasi dan TSB demi kepentingan mereka sendiri berkuasa? Ataupun memang sudah menjadi trend kepimpinan sekarang, mereka yang paling kuat mengampu, mengambil kesempatan dan menggelapkan wang projek pelajar selayaknya menjadi pemimpin. Mungkin kerana IPT sudah ketandusan pemimpin agaknya dan mahasiswa terus menjadi lesu dan layu.

Apalagi.. siasatlah. Saya cuma menyampaikan berita.

tayabeskal corp

Tuesday, August 30, 2005

RESOLUSI SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)

Malaysia Today, 31 ogos 2005

PILIHANRAYA KAMPUS YANG BEBAS DAN ADIL
11,30 pagi, 30 Ogos 2005, Central Market

Pilihanraya adalah satu manifestasi kepada amalan demokrasi secara praktikel. Walaupun pilihanraya hanya sebahagian kecil daripada intipati demokrasi, namun pelaksanaannya memberi signifikan yang penting dalam amalan demokrasi kerana rakyat diberi hak dan kuasa untuk memilih pemimpin mereka secara bebas.

Seperti Pilihanraya Umum yang merupakan proses asas pembentukan Parlimen, Pilihanraya Kampus adalah satu ruang demokrasi untuk membentuk Persatuan Mahasiswa yang mewakili suara hati seluruh mahasiswa dalam memperjuangkan hak dan kebajikan bersama, serta memberi pandangan terhadap isu-isu negara dan polisi kerajaan.

Sejak tahun 2003, jenayah demokrasi yang berlaku telah mengakibatkan perjalanan pilihanraya kampus menjadi cacat. Misalnya tempoh kempen yang kurang daripada 48 jam adalah tidak munasabah sebab pengundi gagal mengenali siapa yang selayaknya untuk dipilih; campur tangan luar dari parti pemerintah menyebabkan mahasiswa yang dituduh sebagai penyokong pro-pembangkang dibuang kolej; sistem kiraan undi elektronik yang tidak telus dan kerahsiaan undi tergugat melalui penggunaan kaedah nombor siri.

Maka, kami, mahasiswa Malaysia berpendirian bahawa,

Pilihanraya Kampus yang bebas dan adil penting agar Persatuan Mahasiswa terpilih diberi tanggungjawab dan kuasa sah untuk menegakkan isu mahasiswa dan memperjuangkan agenda rakyat secara bebas dan berkecuali. Berikut adalah tuntutan kami untuk Pilihanraya Kampus yang bebas dan adil:

1. Membenarkan calon berpakatan dan bermanifesto secara terbuka supaya pengundi dapat memilih calon berdasarkan agenda dan prinsip.

2. Melanjutkan tempoh kempen pilihanraya kampus kepada 5 hari berkerja supaya pengundi dapat lebih mengenali calon serta agenda perjuangannya.

3. Menghentikan ugutan dan ancaman ke atas pengundi supaya pengundi dapat memilih tanpa gangguan dan rasa takut.

4. Menghapuskan undi elektronik dan penglabelan nombor siri di atas kertas undi supaya kerahsiaan undi dan ketelusan proses pengiraan undi terjamin.

5. Membenarkan pemantauan dari organisasi luar seperti SUHAKAM, SUARAM dan HAKAM sepanjang tempoh pilihanraya kampus.

Urusetia Pilihanrayan tidak harus dianggotai Timbalan Naib Canselor dan orang yang berkepentingan untuk memastikan proses pilihanraya kampus berjalan dengan saksama.
SMM menegaskan kesemua tuntutan tersenarai di atas penting untuk menjaminkan Pilihanraya Kampus berjalan dengan adil. Sekiranya kesemua tuntutan ini gagal dilaksanakan dan permasalahan yang sama berulangan, kami menuntut agar Timbalan Naib Canselor yang bertanggungjawab dilucutkan jawatannya atas kegagalan untuk memastikan perjalanan Pilihanraya Kampus berlandaskan prinsip demokrasi.

Kami juga berpendirian bahawa Persatuan Mahasiswa harus dianggotai wakil mahasiswa yang mendukung idea-idea progresif dalam membangunkan negara tanpa mengenal jantina, kaum, agama dan budaya. Berikut adalah saranan kami kepada mahasiswa yang bakal menerajui pucuk pimpinan Persatuan Mahasiswa:

Menuntut supaya mahasiswa mempunyai hak dan kebebasan untuk berorganisasi dan menggunakan segala kemudahan universiti tanpa diskriminasi dan sekatan.

Menuntut supaya yuran universiti dikurangkan dan pinjaman tanpa faedah ditawarkan kepada mahasiswa.

Menuntut supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menyekat kebebasan akademik dan mahasiswa untuk berorganisasi dan bersuara dimansuhkan.

Menuntut supaya kerajaan menangani korupsi dengan menyeluruh dan bersungguh-sungguh kerana korupsi menyebabkan kemiskinan masyarakat.

Akhirnya, kami, mahasiswa Malaysia yang bersatu di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tanpa batasan jantina, kaum, agama dan budaya, ingin menuntut arahan dan jaminan dari Perdana Menteri untuk memastikan pelaksanaan pilihanraya kampus yang adil, telus dan saksama demi mengembalikan hak kepada mahasiswa dan demokrasi dalam kampus.

Kementerian Pengajian Tinggi supaya bersikap berkecuali tanpa memberi kerjasama kepada mana-mana kumpulan mahasiswa dalam proses pemilihan.

Disediakan oleh,

SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA

Tel/Fax: 03-77839525
Email: smm_msia@yahoo.com

Jurucakap:

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM): Ginie Lim Siew Lin
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS): Hanif
Setiausaha Agung Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA): Ahmad Nizam
Secretary of International Affairs Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA): Kong Wee Cheng


Disokong oleh:

Alaigal
Aliran
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
Asian Students Association (ASA)
Campus Ministry Office, Penang Diocese (CMO)
Community Action Network (CAN)
Community Development Centre (CDC)
DAP Socialist Youth (DAPSY)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Jabatan Kebajikan Mahasiswa Mahasiswi (JKMI)
Justice & Peace Commission, Penang Diocese (J&P)
Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA)
Kumpulan Kemajuan Masyarakat (KKM)
Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Penang Graduate Youth Association
Penang Office for Human Development (POHD)
Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan (PERMAS)
Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS)
Red Rose Youth Center
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Tenaganita Sdn Bhd
University Malaya Association of New Youth (UMANY)
Woman's Aid Organisation (WAO)
Women's Development Collective (WDC)

Wednesday, June 08, 2005

Forum Gerakan Mahasiswa: Cabaran dan Harapan [Siri 3]

Forum Gerakan Mahasiswa: Cabaran dan Harapan [Siri 3]


Hit = [ 142 ]

sumber - UmmahOnline Team 04:30pm 08 Jun 2005

Berasaskan dari semangat jamak perspektif, ForumNet ini dicetuskan untuk menghimpunkan ragam cerapan dalam melihat sesuatu perkara bagi dinilai sendiri oleh para pembaca. ForumNet kedua yang bertema Gerakan Mahasiswa: Cabaran dan Harapan ini telah menghadirkan banyak pertanyaan menarik dari para pembaca, dan kami akan menyiarkannya secara bersiri.

Selain daripada itu, bagi memeriahkan lagi usaha ini, para pembaca sangat-sangatlah digalakkan menulis artikel atau surat kepada pihak Ummahonline.com sekiranya mereka tidak bersetuju atau tidak berpuas hati dengan idea-idea yang disuarakan oleh para panelis di sini dengan mengemukakan hujah-hujah yang ilmiah, rasional dan kritis berdasarkan teori-teori agama dan sains sosial Barat.

Akhir, Ummahonline.com ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan buat para panelis yang sedia berkorban masa dan idea, serta tidak dilupakan kepada mereka yang mengirimkan pertanyaan dan para pembaca Ummahonline.com yang setia menanti jawapan panelis. Moga-moga program ini dapat diteruskan dengan lebih sempurna lagi pada masa akan datang dalam mengungkapkan tema-tema yang berbeza dan pastinya menarik!


Para panelis:

Noor Amin Ahmad
Naib Yang Dipertua MPPUPM (menang atas tiket Aspirasi) tetapi berbicara dalam ForumNet II ini atas nama peribadi.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Penuntut King's College, London. Pernah terlibat di National Union of Students UK, dan bekas editor & pengasas SuaraAnum.com

Azwiralbukhairi Ab Aziz
Kini sebagai Setiausaha Agung PKPIM. Tulisannya banyak mengupas isu-isu keislaman, kemahasiswaan dan kesejagatan.

Helman Sanuddin
Mantan Setiausaha Agung MPPUiTM 1999/2000. Salah seorang daripada mangsa ISA7.

Ali Bukhari Amir
Aktivis gerakan mahasiswa USM. Sebelum ini pernah menjadi editor majalah Kampus.


SOALAN KELIMA: Parasit sosial; istilah yang di utarakan oleh Amien Rais bagi mengambarkan kelesuan gerakan mahasiswa. Mungkinkah iklim mahasiswa Malaysia dewasa ini sudah boleh disifatkan mencapai tahap parasit sosial? Muhaimin Muda, Student U.K


AMIN: Lesu itu dari sudut apa? Adakah kerana tidak ada lagi demonstrasi maka ia dikira lesu? Bagi saya lesu ini aspek minda. Sekiranya tidak ada lagi demonstrasi tetapi minda terus berfungsi menggerakkan perubahan, respon dan pengolahan idea-idea segar dalam pelbagai medium bagi saya sudah cukup baik.

Saya kekal mahu mengatakan bahawa selamanya demonstrasi bukan satu bentuk pilihan sekiranya kita punya media yang bebas, telus dan adil. Tetapi saya selalu percaya bahawa seorang diktator memang sentiasa boleh dijatuhkan melalui cara ini kerana menjadi diktator tidak mungkin ia akan membenarkan media bebas, telus dan adil... begitu juga Pilihan Raya (tidak dipanggil diktator jika ia berlaku!)


NIK NAZMI: [Tiada komen]


AZWIRAL BUKHARI: Mungkin ada kebenarannya, pelajar disuap, iklim subur ilmu yang sepatutnya berlaku tidak berlaku. Oleh itu ramai menumpang tuah dan kesenangan yang telah dibina oleh masyarakat.


HELMAN: Parasit sosial yang diistilahkan oleh Amien Rais, lebih jitu dalam mengambarkan sekelompok mahasiswa yang enggan memikirkan permasalahan masyarakat yang berlegar di dalam dan diluar kampus. Iklim Mahasiswa Malaysia kini telah mulai berubah. Musim revolusi kebangkitan Mahasiswa telah digantikan dengan zon keselesaan yang akhirnya menjumudkan pemikiran Mahasiswa.

Berbeza dengan zaman – zaman kebangkitan Mahasiswa pada tahun 70-an dan di ambang millennium 2000 dahulu, mahasiswa hari ini kurang sensitif terhadap isu – isu besar dalam dan luar Negara. Mahasiwa masa kini lebih menjiwai program – program reality show seperti Malaysian Idol, Fear Factor, Akademi Fantasi dan lainnya yang lebih kepada hiburan membazirkan minda berbanding isu – isu kemasyarakatan.

Tindakan kerajaan yang mencantas segala anasir gerakan Mahasiswa yang digelarkan sebagai ‘tangan – tangan pembangkang’ di dalam kampus telah menyebabkan Gerakkan Mahasiswa menjadi mandom. Kekusutan ini bertambah nyata bila mana blok yang digelarkan ‘kelompok Aspirasi Kerajaan’ gagal memainkan peranan besar terhadap isu – isu yang bermain di sekitar mereka atas alasan bahawa isu kemasyarakatan yang ada bukan tanggungjawab mereka. Tanggungjawab mereka sebagai pelajar untuk belajar dan lulus exam lebih banyak disuntik berbanding agenda nasional yang lebih merakyatkan mahasiswa.

Keselesaan yang dinikmati melalui program – program indoktrinasi BTN, ziarah ke putrajaya, kediaman baru di Kolej, pinjaman PTPTN dan sebagainya telah melalaikan pemimpin Mahasiswa yang sedia ada. Pujukkan massa yang memaksa mereka untuk menumpukan kepada dunia kuliah dan buku – buku akademik semata telah mematikan langkah juang mereka.

Idea meletakan filsafat mahasiswa dalam kelompok kampus dan menolak elemen luar sebagai nilai tambah pemikiran mereka telah mengosongkan sejarah gerakkan mahasiswa. Mahasiswa hanya keluar ke program – program khemah masyarakat dan anak angkat anjuran Universiti untuk mengiyakan apa yang dibuat oleh kerajaan, tetapi gagal untuk melihat apa yang diingini rakyat.

Atas sikap inilah, kelompok kepimpinan Mahasiswa yang ada pada hari ini digelarkan sebagai parasit sosial kepada dunia gerakkan mahasiswa dan masyarakat kerana mereka hanya memikirkan kepentingan diri sendiri sahaja. Walaupun ada sekumpulan pimpinan mahasiswa yang berani memanjat pintu pagar universiti untuk keluar memperjuangan nasib rakyat diluar, namun bilangan mereka agak kecil dan mereka menerima tekanan teruk oleh kerajaan bersama universiti. Vokal kumpulan ini agak lemah pada pandangan umum, namun peluang untuk kebangkitan mahasiswa masih ada walaupun nadanya tidak selantang dahulu.


ALI BUKHAIRI: Wallahu A’lam. Pendapat manusia adakalanya total betul. Adakala separuh benar. Bergantung kepada bagaimana huraiannya. Dari sudut apa, kita ini parasit sosial? Adakah kita mewawancarai beliau berhubung definisinya itu lebih mendalam?Rasa-rasanya ganjil pula ketika mendengar orang luar mentakrifkan kita begitu. Sejauh mana beliau mengenal permasalahan mahasiswa kita di sini?

Namun begitu, dalam fahaman saya (semoga saya tersilap lagi), kerajaan kita jauh lebih lama menggambarkan kita sebagai ‘parasit sosial’ secara tersirat. Tapi kita sendiri tidak menyedarinya. Apakah erti ‘parasit’ itu? Tanpa membuka kamus, konotasi ‘parasit’ menjulang makna yang jauh lebih buruk daripada ‘sampah masyarakat (sosial)’.

Sekurang-kurangnya, istilah ‘sampah’ jika dikembar dengan ‘masyarakat’, kurang menyusahkan daripada ‘parasit’.Sampah hanyalah dibuang dan mungkin boleh dikitarkan semula jika kena caranya. Tapi, ’parasit’ adalah suatu kehidupan yang jika ingin dibunuh, maknanya kita membunuh kemanusiaan, jika dibiarkan terus hidup, parasit ini akan terus bertambah menyusahkan, mengutip hasil titik peluh, kudrat dan darah masyarakat untuk kepentingan diri sendiri. Dalam makna lain, ‘lintah’, pun sejenis parasit juga.

Sekali lagi, penyakit sosial; ‘label-melabel’ hadir di dalam dunia akademik yang berjubahkan politik. Kalau ego menebal, mungkin kita akan menolaknya mentah-mentah. Kalau rasional, seperti yang saya katakan tadi, mungkin kita hantar wakil untuk bertanya kepada beliau mengenai apakah maksud sebenarnya itu. Kalau ego kita menipis, lalu kita akan mengiyakan sahajalah label ‘parasit sosial’ tersebut.

Sekarang kita boleh ambil sekurang-kurangnya tiga pendekatan. Diam, membalas semula dengan label yang boleh kita fikirkan bersama, atau pun bermuzakarah. Itu semua bergantung kepada cara kita berfikir dan menimbang berat pandangan masing-masing.

Kita juga boleh menjawab dengan melabel semula akademik berjubahkan politik itu dan mesti sedia berperang menggunakan idea juga serta bukan perarakan demonstrasi jalanan. Kesannya, boleh jadi banyak masa dan tenaga habis dalam usaha kita menangkis hujah dan mungkin kalah pula. Semuanya ada risiko yang tersendiri.

Sekali lagi, saya ingin bertanya, kita memilih yang mana? Jika saya, jawapannya ya (semoga saya tersilap lagi). Hujah saya begini. Sejak dahulu, peranan kapitalis, kaum pemodal atau lintah darat sering hadir dalam masyarakat Melayu.Bangsa kita banyak kali tertekan dan tertindas dengan sebab amalan hutang kepada ‘ceti’. Anda boleh lihat semua fenomena ini hadir dalam kebanyakan filem klasik Melayu khususnya P. Ramlee.

Sekarang, hal yang sama berlaku, lintah darat (gelaran kuno kepada kapitalis) ini menindas mahasiswa melalui berhutang. Memang banyak hadis-hadis Nabi yang selalu melarang kita dari berhutang. Selalunya orang berhutang itu akan ditimpa kehinaan selagi mana mereka belum melangsaikan hutangnya.

Program PTPTN adalah satu program yang sepatutnya membantu pelajar. Tetapi, oleh kerana ia adalah hutang, maka kehinaan itu tertimpa ke atas semua mahasiswa. Hatta mereka yang tidak meminjam PTPTN pun akan terpalit sama dalam kehinaan itu.Oleh itu kita biasa mendengar tokoh-tokoh politik, selalunya kerajaan akan sentiasa mengugut kita supaya tidak terlibat dengan hal yang bersalahan dengan Auku, jikalau tidak PTPTN akan dipotong. Sebenarnya, ada banyak lagi hal yang boleh kita ambil contoh.

Ketika kita berhutang kepada PTPTN, kita juga telah berhutang kepada KWSP.Ini kerana, saban tahun PTPTN telah berhutang berbilion ringgit kepada KWSP dan hutang ini masih belum dilunaskan. Yang memilukan dan memalukan kita, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan wang ini secara ‘peribadi’ atau ‘berkumpulan’.

Jika secara peribadi, mereka lebih suka menukar telefon bimbit daripada membeli buku-buku ilmiah dan lain-lain. Kalau yang menggunakan wang PTPTN (KWSP) secara tidak bertanggungjawab dalam ‘kumpulan’, contoh yang paling ketara, mereka cenderung membuat acara nyanyian, hiburan yang tiada kaitan dengan akademik.

Kalaulah ibu bapa kita atau sesiapa sahaja yang menabung di dalam KWSP yang tahu mengenai amalan ini berleluasa di seluruh universiti, alangkah malunya kita.Apakah dengan cara ini, kita tidak layak menerima ‘anugerah’ sebagai ‘parasit sosial’? Mungkin pahit untuk ditelan, tetapi hakikat ini terpaksalah kita terimanya. Bukankah ‘parasit’ tidak menyumbang apa-apa kepada umat? Bahkan kita hanya meratah tulang serta berkuahkan darah kaum buruh seluruh Malaysia. Anda fikir bagaimana? (semoga saya tersilap).


SOALAN KEENAM: Mengapa mahasiswa Malaysia gagal untuk berperanan sebagai suara pengimbang antara parti pemerintah dengan parti oposisi? Saya kira gerakan mahasiswa hari ini seperti “hidup segan, mati tidak mahu”; umpama gerakan yang langsung tidak membawa apa-apa erti dalam konteks sosio-politik nasional! Muhaimin Muda, Student U.K


AMIN: Saya percaya sebahagian aktivis sentiasa mencuba. Tidak semestinya kita mahu kepada perubahan makro, perubahan mikro yang mungkin terpencil daripada pengetahuan ramai juga perlu. Soalnya perubahan yang ‘sustain’ (kekal dan bergerak gelombangnya) atau sekadar perubahan ‘hangat-hangat tahi ayam?’.

Tapi kita tetap perlu mengusahakan perubahan makro. Soalnya sering ditanya min aina ila aina? - dari mana ke mana? Idea pendorong akan menentukan asasnya tetapi kita tidak boleh merencana semuanya kerana ia bersifat dinamik.


NIK NAZMI: [Tiada komen]


AZWIRAL BUKHAIRI: Biasanya gerakan pelajar yang yang mengambil sikap tidak terikat kepada mana-mana parti politik adalah tidak popular. Seperti PKPIM, mungkin, kritikan dan sikap kami kepada parti pemerintah dan pembangkang tetap ada. Oleh itu kami tidak popular di antara parti politik pemerintah atau pembangkang dan seringkali dianggap “pengacau” dalam keadaan tertentu.

Jikalau tindakan sesuatu persatuan seperti PKPIM itu kebetulan memberi keuntungan dan kelebihan kepada pihak pembangkang atau kerajaan ianya adalah kebetulan. Sandarannya tetap kepada asas kebenaran dan keadilan. Namun begitu, pandangan atau sikap PKPIM sebagai sebuah persatuan barangkali tidak tepat atau tidak betul. Sebagai pelajar sudah pasti kesilapan atau terlepas pandang dalam banyak hal pasti berlaku.

Kritikan kepada pembangkang sudah pasti akan mendapat tempat didalam media perdana kerajaan tetapi tidak media pembangkang, dan sebaliknya jika pandangan PKPIM dilihat mengkritik kerajaan maka ianya akan mendapat tempat didalam media milik pembangkang. Ada juga saluran pandangan yang tidak perlu dinyatakan atau diutarakan melalui media tetapi melalui surat atau pertemuan yang dilakukan.

Begitu juga dengan kekuatan jentera parti yang melakukan sumbangan dari kampung ke kampung meredah jauh ke hutan dan sebagainya. Mendapat tempat dalam media masing-masing. Pandangan saya, mungkin terdapat gerakan pelajar atau persatuan yang turut melakukannya tetapi tidak mendapat tempat dalam pengetahuan masyarakat kecuali program seperti OPKIM dengan kerjasama universiti.

Pengalaman singkat bersama PKPIM walaupun dengan kengkangan dan sumber yang kurang peluang meneroka kesusahan ibu tua di kawasan rumah usang di kampung sekitar Gombak, Sabah ataupun menelusuri dan membantu sedikit sebanyak nasib keluarga miskin dan orang asli di Kuala Krau, Pahang. Kegigihan rakan-rakan di Pulau Pinang dan Kedah membantu masyarakat nelayan di sana juga mungkin tidak mendapat tempat pengetahuan umum. Ini sangat berkait rapat dengan sumber berita dan liputan yang dikeluarkan oleh media hari ini. Siapakah hari ini yang bertanggungjawab dan memiliki media utama. Adakah dijaga dan dikuasai oleh kuasa politik atau pihak yang bagaimana?

Walaubagaimanapun, selaku persatuan pelajar, kami tetap memahami dan menghormati peranan dan fungsi parti politik. Namun begitu tanpa menafikan sumbangan dan peranan entiti politik baik dari Barisan Nasional atau Barisan Alternatif punyai kelebihan tersendiri didalam sudut tertentu didalam Negara. Namun sikap selaku Persatuan pelajar perlu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik, perlu diteruskan dan inilah keunikan dan asas kepada kekalkan gerakan ini walaupun ada pasang surutnya. Apapun kita perlu tetap optimis dan yakin dengan apa yang kita lakukan dan tidak terheret jauh dengan percaturan parti politik.

Dalam pengetahuan saya, memang banyak kumpulan pelajar samada PKPIM atau banyak lagi rakan-rakan yang membina kumpulan sendiri pergi atas inisiatif sendiri dengan pelbagai nama tetapi dengan tujuan menyelami kesusahan dan membantu penduduk. Pastinya program seperti ini bukan mengadakan program untuk membuat culaan dan membina pandangan penduduk untuk tujuan pilihanraya oleh sesetengah pihak. Bagi saya hak rakyat untuk memilih parti politik itu terletak pada diri masing-masing.

Namun mendidik dan membangunkan akal budi mereka menjadi tugas mahasiswa sebagai salah satu gerakan kempen kesedaran dalam banyak hal. Tidak banyak yang mahasiswa mampu sumbangkan, sebagaimana PKPIM yang tidak miliki wang untuk membina rumah baru atau bekalan beras yang konsisten kepada mereka. Apa yang termampu ialah membangunkan taraf pendidikan masyarakat ini agar tidak mudah ditipu baik dari penguasa atau mana-mana pihak yang mahu menggunakan mereka.

Membina minat, peribadi dan contoh tauladan anak-anak mereka melalui kelas percuma pengajian dan melalui program komuniti seperti sukan dan ibadat. Pastinya ia tidak ketahui umum kerana, Persatuan pelajar bukan parti politik yang perlukan nama untuk membuat semua perkara ini. Yang penting ialah kesan dan membekas kepada sasaran. Namun begitu mungkin benar kata sdr. Muhaimin, apa yang dilakukan oleh mahasiswa sekarang tidak begitu membantu masyarakat, dan kita bersedia menerima mana-mana cadangan baru dan sedia bersama-sama dengan pihak seperti sdr. Muhaimin membantu meningkatkan lagi peranan mahasiswa didalam masyarakat.


HELMAN: Menjelang abad ke 21, sikap segelintir pihak yang mendominasikan pemikiran memecah belahkan mahasiswa kepada kelompok Pro-Aspirasi (Kerajaan) dan Pro- Pembangkang menjadi punca kepada kehilangan identiti mahasiswa.

Mahasiswa yang menyokong agenda kerajaan automatik dicop Penyokong Kerajaan, manakala mahasiswa yang banyak mempersoalkan agenda kerajaan dilabelkan sebagai anak didik pembangkang. Melalui tafsiran sempit sebegini, mahasiswa akhirnya hanyut dalam arus politik semasa Negara dan kelibat mereka bukan lagi berjubahkan identiti mahasiwa.

Seharusnya pihak universiti juga bersikap terbuka dan tidak mengambil sikap melaga – laga pemimpin mahasiswa dengan label tertentu. Perpecahan mahasiswa dalam Negara hari ini menyebabkan mahasiswa gagal untuk bangkit sebagai satu kumpulan pendesak yang hebat kepada kumpulan parti pemerintah dan oposisi. Pandangan masyarakat juga telah dikelabui dengan agenda sempit yang menghimpit mahasiswa ke jalan sempit yang mematikan akal pikiran mereka. Justeru itu, agenda mahasiswa perlu dineutralkan dan disatukan atas nama Mahasiswa, bukannya atas label tertentu.

Mahasiswa tidak bersetuju dengan kerajaan bukan bererti mereka pembangkang, mahasiswa menyokong idea pemerintah bukan bermakna mereka pendokong wacana kerajaan. Mahasiswa adalah mahasiswa, satu kelompok manusia kecil yang seharus berjiwa besar untuk kebaikan Negara keseluruhannya.

Gerakan mahasiswa hari ini sebenarnya berada pada tahap kritikal kerana suasana yang tidak memihak kepada mereka. Apa yang ada hanyalah kelompok ‘pak angguk’ dan ‘pak sanggup’ yang terpaksa menuruti kehendak pentadbiran Universiti.

Namun begitu, kita tidak boleh salahkan Mahasiswa masa kini 100% dan memberikan hukuman bahawa mereka umpama “hidup segan, mati tidak mahu”. Mereka tidak segan, tapi mereka tiada kekuatan dan keberanian seperti kita dahulu. Mereka memang tidak mahu mati, kerana bila mereka mati akan tamatlah riwayat gerakan mahasiswa.

Kalau nak disalahkan, pada saya para Alumni patut lebih bersikap bertanggungjawab terhadap keadaan hari ini. Apa yang ada hari ini adalah warisan alumni gerakkan mahasiswa. Kegagalan mereka adalah kegagalan alumni gerakan yang tidak membimbing mereka dengan baik. Mereka umpama ‘anak terbuang’ yang terpaksa berjuang untuk hidup sendirian setelah ditinggalkan oleh ayah dan saudara mereka yang tidak mahu bertanggungjawab.

Jadi hentikanlah suara untuk menyalahkan gerakan mahasiswa hari ini sahaja. Para alumni harus berhenti mengutuk dan memperlekeh apa yang mereka buat. Jika benar para alumni gerakkan ini hebat pada zaman mereka, ayuh! Inilah masanya untuk buktikan bahawa mereka memang hebat. Ayuh! Kita turut membantu dan gerakan semula gelombang mahasiswa dalam cara alumni. Suntikan sedikit ubat agar kesakitan pimpinan Junior kita dapat terus bangkit dan dewasa dalam nada mahasiswa.


ALI BUKHARI: Boleh juga mahasiswa menjadi suara pengimbang. Namun, boleh juga mereka ini memihak. Ada dua perkara yang boleh diperhalusi di sini. Pelajar mahu memihak kepada ‘parti’ atau ‘isu’? Kalau seseorang pelajar mewakili Parti A, namun ada waktu-waktunya, kalau dia tidak menyetujui pendirian isu-isu yang diperjuangkan oleh Parti A, adakah dia akan terus memihak kepada parti tersebut?

Adilkan jika dia mengambil sikap berkecuali atau membuang undi rosak? Dilema yang dihadapi oleh kebanyakan orang ialah, mereka masih setia kepada sesuatu parti, tapi ketika pendirian presiden Parti A itu ditakrifkan sebagai pendirian parti tanpa mesyuarat, debat dan undian yang menyeluruh, maka sebarang tindakan protes mereka itu dikatakan tidak setia kepada parti, tidak patriotik dan sebagainya.

Demikianlah antara masalah yang timbul jikalau kita ingin memihak kepada parti dan isu-isu yang diperjuangkan oleh parti. Tetapi, di sana, ada juga yang menyoal kenapa mahasiswa tidak menjadi orang tengah yang berdiri di antara dua parti yang bertelagah? Saya fikir, kita bukan menghadapi masalah kurang pemimpin, tapi terlebih pemimpin.

Dalam banyak pemimpin, kita sendiri sukar mencari siapakah yang benar-benar layak untuk memimpin. Walaubagaimanapun, kepimpinan yang meletakkan diri mereka sebagai kuasa pengimbang sebenarnya terletak kepada keilmuan dan kekuatan moral.Jika ditinjau perkembangan intelektual Rasulullah sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul, ada kisah di mana Baginda menjadi orang tengah dalam pertikaian pemimpin kabilah.

Puncanya, Batu Hajar al-Aswad jatuh dan pemimpin kabilah masing-masing telah mendakwa bahawa mereka yang lebih berhak meletakkan batu itu ditempatnya. Kekuatan peribadi Rasulullah dan pengaruh kebenaran kata-katanya menjadikan pemimpin percaya kepada tindakannya. Maka, keempat-empat pemimpin mengangkat batu itu di atas sehelai kain. Peliknya, ketika hampir ke tempat Hajar al-Aswad, mereka mengizinkan Rasulullah s.a.w meletakkan batu tersebut ke tempatnya.

Adakah mahasiswa hari ini mempunyai kebenaran lidahnya, kekuatan ilmu serta moral untuk melengkapkan mereka sebagai kuasa pengimbang? Mereka mampu, kalaulah bukan hari ini, mungkin 10, atau 100 tahun lagi sebelum tibanya mujaddid mahasiswa itu. Dengan melihat kepada kekuatan akhlak dan peribadi Nabi Muhammad,Baginda juga ada musuh-musuhnya. Tetapi musuh-musuhnya berbeza dengan musuh-musuh mahasiswa.

Jika ditanya, adakah mereka memusuhi Rasulullah kerana keburukan akhlaknya? Mereka pasti berkata, bahkan akhlaknya terpuji. Akhirnya, mereka terpaksa memutuskan bahawa, kami memerangi Rasulullah bukan kerana peribadi Nabi yang jahat, tapi mereka sendirilah yang jahat sebenarnya.

Hari ini, jika kita bertanya kepada umat, pemimpin kerajaan dan sesiapa sahaja; kenapa anda memusuhi pergerakan mahasiswa walaupun mereka datang bukannya untuk merampas apa-apa dari anda. Kemungkinan besar, kita mendengar bahawa mahasiswa itu pinjam duit PTPTN tetapi tidak mahu membayarnya.

PTPTN meminjam wang dari KWSP, tetapi wang itu digunakan untuk berbelanja bertukar telefon bimbit, beli motor mewah, dan lain-lain yang membazirkan wang KWSP sendiri. Bahkan, kalau dilaburkan kepada kolej, asrama dan desasiswa, mungkin pelajar akan mengguna wang PTPTN (KWSP) untuk menaja acara-acara hiburan secara berpakej bergilir-gilir di kediaman mereka. Itu baru cerita PTPTN dan KWSP.

Mungkin juga dalam Bicara Siswa mereka memberi respon lain yang negatif juga. Mungkin, idea tidak bernas.Pandangan mereka klise dan merupakan cedukan dan saduran daripada orang lain. Sebab itulah agaknya, Debat Perdana lebih bertahan daripada Bicara Siswa. Dalam suasana begini, bolehkah mereka menjadi kuasa pengimbang?

Jadi,kekuatan peribadi Rasulullah s.a.w itu dimusuhi bukanlah kerana Baginda itu tidak bermoral, tetapi musuhnya sendiri yang bermasalah. Jika dibandingkan dengan kita, mereka kita sendiri yang bermasalah walaupun ‘musuh-musuh’ kita juga bermasalah.Jadi sebelum itu, marilah kita bermuhasabah dengan lebih terperinci.

Seharusnya kita bertanya kepada diri sendiri. Berapa ramaikah yang mengadakan perbincangan, dialog dengan menteri-menteri tertentu berhubung dengan apa jua isu-isu nasional dan internasional. Berapa ramai yang boleh menongkah arus saat pandangannya boleh jadi mendapat tentangan dan kritikan hebat dari orang luar?

Berapa ramai yang boleh melahirkan idea dan pandangan-pandangan baru serta berani mempertahan pendapatnya dengan membekalkan fakta dan hujah yang mantap?

Kenapa ada yang merasa kerdil apabila mengenang diri mereka sebagai seseorang yang tiada jawatan dalam persatuan? Adakah dengan tiadanya jawatan dalam persatuan, maka mereka tidak layak melahirkan satu pandangan peribadi di akhbar dan media?

Apabila kita dicerca dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan, berapa ramai pula yang sanggup, berani dan tangkas menjawab tuduhan dan tohmahan liar itu secara ilmiah dan bertenaga pula? (sekali lagi, tidak klise dan bukan ikut-ikutan).

ForumNet II: Gerakan mahasiswa: Cabaran & Harapan [Siri 4]

ForumNet II: Gerakan mahasiswa: Cabaran & Harapan [Siri 4]


Hit = [ 337 ]

sumber: UmmahOnline Team 04:30pm 08 Jun 2005

Berasaskan dari semangat jamak perspektif, ForumNet ini dicetuskan untuk menghimpunkan ragam cerapan dalam melihat sesuatu perkara bagi dinilai sendiri oleh para pembaca. ForumNet kedua yang bertema Gerakan Mahasiswa: Cabaran dan Harapan ini telah menghadirkan banyak pertanyaan menarik dari para pembaca, dan kami akan menyiarkannya secara bersiri.

Selain daripada itu, bagi memeriahkan lagi usaha ini, para pembaca sangat-sangatlah digalakkan menulis artikel atau surat kepada pihak Ummahonline.com sekiranya mereka tidak bersetuju atau tidak berpuas hati dengan idea-idea yang disuarakan oleh para panelis di sini dengan mengemukakan hujah-hujah yang ilmiah, rasional dan kritis berdasarkan teori-teori agama dan sains sosial Barat.

Akhir, Ummahonline.com ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan buat para panelis yang sedia berkorban masa dan idea, serta tidak dilupakan kepada mereka yang mengirimkan pertanyaan dan para pembaca Ummahonline.com yang setia menanti jawapan panelis. Moga-moga program ini dapat diteruskan dengan lebih sempurna lagi pada masa akan datang dalam mengungkapkan tema-tema yang berbeza dan pastinya menarik!


Para panelis:

Noor Amin Ahmad
Naib Yang Dipertua MPPUPM (menang atas tiket Aspirasi) tetapi berbicara dalam ForumNet II ini atas nama peribadi.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Penuntut King's College, London. Pernah terlibat di National Union of Students UK, dan bekas editor & pengasas SuaraAnum.com

Azwiralbukhairi Ab Aziz
Kini sebagai Setiausaha Agung PKPIM. Tulisannya banyak mengupas isu-isu keislaman, kemahasiswaan dan kesejagatan.

Helman Sanuddin
Mantan Setiausaha Agung MPPUiTM 1999/2000. Salah seorang daripada mangsa ISA7.

Ali Bukhari Amir
Aktivis gerakan mahasiswa USM. Sebelum ini pernah menjadi editor majalah Kampus.


SOALAN KETUJUH: Adakah anda bersetuju parti-parti politik meluaskan pengaruhnya ke dalam kampus seperti usaha tersirat yang telah dan akan dilakukan oleh Puteri dan Putera Umno? Apa impak - jika tindakan ini dilakukan - terhadap gerakan mahasiswa? Ummi, Kuching


AMIN: Ada 2 pilihan untuk saya.

Pertama, saya lebih suka universiti membenarkan parti politik bertapak di kampus. Tetapi telah saya gambarkan bagaimana universiti sendiri masih gagal berdikari. Kita boleh beri alasan bahawa emolumen universiti ditanggung oleh kerajaan atau korporat. Sebab itu ‘big picture’ ini perlu kita faham dan perubahan itu mesti bersifat menyeluruh kerana dasar pemikiran bahawa institusi ilmu mesti tunduk kepada paksaan pasaran adalah cukup bahaya kepada agenda ketamadunan.

Maksud saya kepada soalan Ummi ialah ‘level playing field’. Ini adalah pilihan pertama saya.

Kedua, haramkan mahasiswa menyertai parti politik. Saya percaya pilihan ini tidak begitu popular di kalangan aktivis. Bukan kerana aktivis itu mahu menyertai sangat parti politik, tetapi aktivis mahasiswa biasanya tidak kisah bersaing dengan parti politik selagi ada jaminan ‘level playing field’.

Suka atau tidak parti politik mempunyai kekuatan tersendiri dan lebih dulu terorganisasi. Tetapi ini bukan pilihan tunggal mahasiswa. Mahasiswa pada tahun kebangkitan 60-70 an pernah membuktikan mereka berani bersaing.


NIK NAZMI: Saya menyokong penubuhan Putera UMNO. Tetapi “keanehan” situasi di Malaysia terserlah. Khairy Jamaluddin, bekas mahasiswa Oxford itu cuba menjustifikasikan kewujudannya disebalik AUKU dengan mengatakan penyertaan mahasiswa ke dalam Putera UMNO harus dengan kebenaran Naib Canselor.

Saya sarankan kita bakulsampahkan sahaja AUKU. Kita lihat hari ini bagaimana Naib Canselor sentiasa tidak telus dalam kepetusan mereka – seperti kes Terence Gomez. Lebih bijak untuk kita akhiri kawalan ketat ke atas mahasiswa menerusi AUKU yang merimaskan. Dengan itu tak kisahlah Putera UMNO ke, Puteri UMNO ke, Srikandi PAS ke, Angkatan Muda Keadilan ke – apa salahnya mereka bertapak di kampus? Jika difikirkan elok, mahasiswa kita akan sertai mana-mana yang sesuai dengan fikrah mereka. Jika tidak, mereka boleh tak sertai atau tubuh persatuan mereka sendiri.

Hari ini pun, dengan AUKU parti-parti politik menyelinap ke dalam kampus menerusi pelbagai “fron”. Positif atau negatif – ini sesuatu yang sememangnya lumrah kerana di universitilah ramai bakal-bakal pemimpin dilahirkan. Tetapi tentunya lebih baik persaingan ini berlaku secara lebih jelas dan terbuka. Lagipun Perlembagaan kita mengatakan warganegara berumur 21 ke atas boleh mengundi. Ramai mahasiswa kita berumur 21 ke atas. Tak masuk akal hanya kerana mereka “mahasiswa” mereka tak boleh aktif dalam politik. Tiada kontradiksi kerana mereka bukannya pegawai kerajaan Kelas A yang mentadbir dasar negara.

Di NUS di UK yang mana saya aktif juga ada pelbagai kumpulan. Akhir-akhir ini kumpulan parti politik (khususnya Labour) kurang popular kerana kerajaan juga Labour dan dasar kerajaan Britain yang memperkenalkan yuran pengajian yang tidak popular di kalangan mahasiswa. Jadi mahasiswa yang bebas atau kurang terserlah kesetiaan politik mereka lebih mendapat tempat.

Tetapi tidak salah ruang ini diberikan kepada mahasiswa. Jika mahasiswa sokong PAS misalnya, biarlah PAS menang di kampus. Jika tidak mereka kalah. Kalau benar-benar kita fikirkan kepentingan bangsa, agama dan negara; dan merasakan mahasiswa kita sudah mumayyiz mengapa perlu kita cemas sangat? Berilah sedikit kepercayaan kepada mahasiswa.


AZWIRAL BUKHARI: Pada pandangan saya, secara peribadi sememangnya tidak bersetuju. Kesan kepada objektiviti pelajar dalam melihat sesuatu isu atau perkara akan berlaku. Pelajar sudah diwarnakan (politik) terlebih dahulu menyebabkan saya bimbang (tidak semua oran) sikap objektif itu hilang.

Namun begitu, jika parti politik itu benar-benar serius dan sedar tentang kesan sikap partisan politik ini, tetapi pada masa yang sama masih berminat untuk mengkader atau merekrut pelajar, mereka tidak seharusnya membentuk kerangka politik partisan yang akan mencengkam dan menutup pintu pemikiran baru dan sikap kepada tindak tanduk entiti yang terlibat didalam pertembungan perebutan kuasa.

Jika parti-parti politik ini masih serius dalam meluaskan pengaruhnya di dalam kampus, parti politik perlu memastikan kerangka pemikiran dan sifat ideal pelajar ini tidak dibunuh dengan idea politik yang mungkin menghakis daya intelektual dan kreativiti pelajar dan membina tassawur atau pandangan hidup tentang banyak perkara.

Biarkan pemikiran dan keupayaan artikulatif pelajar terbina dengan kekuatan ilmu tetapi hubungan sebagai organisasi mungkin boleh berlaku. Urusan akademik atau kebebasan academia tidak boleh diganngu dan perlu dibiarkan subur baik dari parti politik pemerintah dan pembangkang.

Beberapa tindakan kepada ahli akademik di universiti juga antara contoh terbaik dimana berlakunya campur tangan politik yang ketara. Universiti tidak akan menjadi tempat yang subur untuk membina ilmu tetapi tidak lebih kepada tempat menempah sijil atau mencari makan sahaja kelak.


HELMAN: Secara peribadi, saya tidak bersetuju jika Mahasiswa diperalatkan oleh mana – mana parti politik sama ada secara tersirat atau tersurat. Adalah satu kesilapan besar jika kita membiarkan parti politik menguasai mahasiswa kerana keadaan ini sekaligus akan menghilangkan identiti neutral mahasiswa. Mahasiswa akan gagal menjadi agen check and balance dan pejuang masyarakat jika mereka telah bersandar pada ideologi mana – mana parti politik.

Jika dilihat pada senario semasa, pihak universiti dilihat lebih terbuka untuk membiarkan mahasiswa diperalatkan oleh parti UMNO dan BN. Sebagai contoh, setiap kali tahun pemilihan UMNO mahasiswa terpilih dari UiTM akan dibenarkan menjadi petugas dalam Mesyuarat atau Perhimpunan Agung UMNO. Keadaan ini berbeza bilamana ada kalangan mahasiswa yang terlibat membantu parti pembangkang atau meraikan parti pembangkang dengan hadir sebagai tetamu kehormat dalam Muktamar atau Mesyuarat Agung mereka.

Justifikasi yang tidak selari ini sebenar tidak jujur dan mengambarkan bahawa Universiti sendiri gagal menunjukan bukti keadilan mereka. Jadi, seandainya kita membiarkan Puteri dan Putera UMNO memasuki kampus maknanya kita redha pada dasar yang tidak adil ini yang akhirnya akan mewujudkan mahasiswa jumud yang berpandu pada satu arah yang mereka sendiri tidak pasti sama ada itu adalah arah yang betul atau tidak kerana tiada pilihan lain.

Justeru itu, adalah lebih baik jika mahasiswa dibebaskan dari kongkongan mana – mana parti politik. Biarlah kampus dijadikan sebagai tempat mereka mempelajari, memahami dan menilai politik massa sebelum mereka memilih aliran sebenar yang sesuai dengan jiwa mereka setelah bergelar graduan.

Usaha mengkaderkan mahasiswa pada satu pilihan ideologi yang terhad dengan menolak pandangan lainnya harus dikritik kerana ianya tidak membina mahasiswa yang kreatif dan berpengetahuan luas. Seandainya wujud idea untuk membenarkan parti politik memasuki kampus dan mengkaderkan ahlinya, maka peluang sama rata harus diberikan pada semua parti politik dan hak kebebasan mahasiswa dalam memilih harus diberikan secara mutlak.

Jalan yang seimbang harus dibuka kepada mahasiswa untuk mereka berjalan diatas laluan yang harmonis, jika tidak dengan fikrah sehala yang fanatik kepada satu kumpulan sahaja ianya akan merosakan kualiti mahasiswa.

Secara keseluruhannya, saya tetap tidak dapat melihat bahawa campurtangan parti politik itu akan mewujudkan kesatuan dan keamanan dalam masyarakat mahasiswa. Keadilan dan keikhlasan dalam membawa masuk parti politik ke dalam kampus juga perlu diperhatikan kerana mereka pastinya punya agenda yang berbeza dengan Mahasiswa. Biarlah mahasiswa berdiri sebagai entiti yang bebas untuk menentukan hala tuju mereka dan menjadi organisasi bebas bagi menilai, menerima atau mengkritik apa yang kerajaan atau pembangkang buat untuk kebaikkan rakyat.

Seperkara lagi, amatlah diharapkan agar pihak Universiti dapat bersikap telus untuk mentadbir Universiti. Tugas mereka untuk mendidik anak bangsa menjadi tanggungjawab utama. Oleh itu, pihak universiti harus faham bahawa mereka memikul amanah dari rakyat melalui kerajaan. Dan Kerajaan rakyat harus dihormati, bukannya menghormati agenda politik parti yang memerintah. Universiti harus bijak membezakan kepentingan parti yang memerintah dan kerajaan. Jika UMNO dan BN atau apa jua parti tiada maka, kakitangan kerajaan tetap boleh melakukan tugasnya atas amanah rakyat dan pimpinan Yang diPertuan Agong. Universiti untuk rakyat bukannya untuk parti (Jika parti politik berhasrat mengindoktrinasi mahasiswa melalui Universiti, parti – parti politik harus mewujudkan universiti mereka sendiri yang datang bukan dari kantung rakyat dan dana negara).

Jika ada kalangan mahasiswa ingin bermain politik nasional, saya tiada masalah. Tetapi berfikirlah dahulu. Ini musim kampus, musim untuk mahasiswa belajar mengenali kulit dan isi, masa untuk memahami kebenaran dan kepalsuan, masa untuk memahami kehendak rakyat. Jangan biarkan agenda mahasiswa tenggelam akibat pengaruh parti politik. Kita jadi Pak angguk kerana menyertai UMNO atau kita menjadi pembangkang semata – mata tanpa melihat perkara positif lain kerana kita sokong parti pembangkang.

Kalau pun kerajaan benarkan mahasiswa berpolitik, saya tidak yakin bahawa undangan itu benar – benar ikhlas. Lihatlah pada apa yang berlaku kini. Parti mana yang dibenarkan masuk kampus untuk berdiskusi bersama mahasiswa? Adilkah kerajaan BN sekarang?


ALI BUKHAIRI: Sudah tentu saya bersetuju. Manusia adalah insan politik. Dalam kampus, politik adalah pelbagai warnanya. Politik kampus bukan setakat pertempuran merebut kekuasaan MPP antara pro-kerajaan dan pro-pembangkang. Ia juga melibatkan isu kenaikan pangkat NC, TNC, kenaikan gaji pensyarah, kehadiran SB yang memantau ucapan pensyarah dalam IPT, pihak luar menaja pelajar pro-kerajaan dan pro-pembangkang dan lainnya.

Politik adalah kepimpinan dan parti itu adalah wadah untuk seseorang memimpin. Kita boleh merujuk di dalam al-Qur’an betapa konsep Khalifah (politik) ini, adalah antara faktor yang manusia itu diturunkan ke bumi untuk mentadbir dan memimpin bumi ini. Parti pula hanyalah alat untuk melancarkan kepimpinan.

Bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir dan beberapa pemimpin politik dahulu telah menceburi politik kepartian seawal usia muda remaja mereka. Mereka ghairah berpolitik, menulis di akhbar tanpa sebarang sekatan. Maka, apa sebabnya kita dihalang berparti?

Dulu, saya pun termasuk dalam kumpulan yang menentang kemasukan parti-parti politik dalam kampus. Tapi, setelah difikir sedalam-dalamnya, kenyataan itu tidak masuk akal, lalu saya menolaknya.

Apa salahnya politik kepartian? Apa salahnya jika ada Putera serta Puteri Umno, Keadilan, Pas dan lain-lain parti dalam kampus?. Namakan pertubuhan ini dengan nama-nama lain ketika di dalam kampus dan sahkan mereka di bawah undang-undang universiti dengan nama Aspirasi, Wawasan, Hizbi, Umany, Revo, Sahabah, Idealisme Mahasiswa, dan apa sahaja. Itu perkara mudah. Kematangan mereka akan meningkat, Insya Allah.


“Tidak boleh, kalau ada politik kepartian, Umno kalah,” seorang rakan baik saya dalam Umno pernah berkata demikian di PWTC beberapa tahun lalu.

“Jadi, kalau menang, baru boleh wujudkan politik kepartian?” saya menyoalnya semula. Dia diam. Jika benarlah politik kepartian hanya dibuka kalau politik pro-kerajaan menang, hal ini menunjukkan bahawa mereka dalam dilema. ‘Dilema Pemimpin Melayu’.

“Bukan tak mau ada politik kepartian ni, tapi risau kalah,” katanya lagi. “Tengok saja pilihan raya kampus lepas, kita memang nak buktikan mahasiswa sokong kita.”

Kuasa pelajar sangat kebal. Rakan saya menyebut bahawa dalam apa jua keadaan, akhbar akan siar berita mengenai kemenangan mahasiswa pro-kerajaan agar rakyat lihat pelajar sekarang bukannya menolak mereka. Buktinya, seperti Puteri serta Putera Umno. Jika ramai penyertaan, ini bukti bahawa generasi muda sudah berubah.

Saya lalu membuat kesimpulan mudah. (Semoga saya tersilap). Jauh di sudut hati pemimpin kerajaan, mereka mahu politik kepartian ada dalam kampus, tapi biarlah semua mahasiswa menyokong mereka. Kononnya lagi, mereka tidak mahu ada perpecahan bila wujudnya puak-puak yang berorientasikan politik kepartian ini.

Ternyata mereka pun memang berpecah. Mengapa hipokrit? Kalau pemimpin IPT mahu pelajar bersatu, seharusnya mereka menyeru pemimpin parti di luar supaya bersatu. Barulah mereka boleh berkata pakatan dalam pilihan raya tidak dibenarkan.

Dalam pandangan hidup Islam, al-Qur’an itu sendiri hakikatnya adalah perkataan Tuhan yang diturunkan untuk melahirkan ‘perpecahan’. Al-Qur’an itu adalah ‘al-Furqan’ yang memisahkan antara Iman dan Kufur, syurga dan neraka, haq dan batil, keadilan dan kezaliman, dan lain-lain lagi. Mengapa terlalu ideal sehingga mahukan penyatuan sedang Islam itu secara automatik menjadi garis pemisah dan ia (Islam) di pihak yang benar.

Sehingga sekarang, tiada kenyataan yang benar-benar kukuh dan konkrit daripada para pemimpin universiti sehinggalah Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi yang menyatakan asas, kenapa politik kepartian harus ditolak dalam kampus. Kalaulah mereka cuba menjelaskan, nescaya ada saja jawapan yang mematahkan kenyataan itu. Akhirnya, mereka terpaksa berkata, “Politik kepartian memang tidak dibenarkan dalam kampus, kerana ia bersalahan dengan Auku”. Titik. Mengapa kerajaan tidak mahu pelajar terlibat dengan politik dan bermacam-macam pergerakan di luar universiti?

Kita harus meneropong sejarah perjuangan mahasiswa yang terawal. Asal-usulnya bermula di Singapura. Gerakan mahasiswa dan politik kepartian berpengaruh dan kadang kala berpadu tenaga dengan kaum buruh.Dalam memoir bekas Pengarang Utusan Melayu Said Zahari, memang ada catatan yang menunjukkan keterlibatannya bersama mahasiswa Kelab Sosialis di Universiti Malaya.

Kes ‘Perbicaraan Fajar’ turut mendapat liputan berita oleh Said Zahari. Sementara itu, beliau juga diundang memberikan ceramah oleh kelab tersebut di universiti mengenai isu-isu politik kenegaraan. Hubungan kerjasama golongan politik berhaluan kiri – pelajar universiti – kaum buruh turut dikesan dalam biografi Jins Shamsudin (Penerbit UKM), di mana buku itu menceritakan keterlibatan beliau sendiri dalam siri-siri demonstrasi.

Hubungan rapat antara mahasiswa - buruh - parti politik berhaluan kiri inilah yang paling digeruni oleh parti penguasa di Singapura. Tradisi ini diteruskan dalam isu petani Hamid Tuah di Selangor bersama persatuan pelajar era 70-an. Maka, melalui pengalaman inilah saya fikir, penguasa memutuskan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan:-

Sekatan-sekatan ke atas hak menubuhkan persatuan yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang mengenai ‘buruh’ atau ‘pelajaran’. – Perkara 10, Fasal (3)

Sejak itu, tiada lagi persatuan ‘pelajar’ dan ‘buruh’ dengan sewenang-wenangnya mendapat kelulusan menubuhkan pertubuhan mereka. Wallahu ‘Alam.


SOALAN KELAPAN: Saya cukup hairan, mengapakah ramai dari kalangan aktivis Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang melibatkan diri secara langsung dalam PAS selepas tamat pengajian? Adakah ini mencerminkan bahawa PMI itu PAS? Dan, apakah wujudkan ancaman/bahaya di sebalik hubungan/perkaitan ini? - Ahmad Mikhail, Skudai


AMIN: Bila Ahmad Shabery Chik menyertai UMNO, kenapa tidak ada yang mengatakan PMI itu UMNO? Tidak ada bahayanya hubungan PMI dan PAS sekiranya benar berlaku. Saya percaya kepada persaingan sihat.

Soal yang penting bagi saya aktivis PMI perlu tampil dengan pemikiran yang mewakili semangat zaman dan penampilan yang mampu memenangi penilai. Saya percaya sentiasa ada sebilangan aktivis PMI yang begini tetapi akhirnya mereka tidak punya tempat di dalam PMI. Mungkin pada satu peringkat mereka dapat naik tetapi sebaik mereka menelurkan pemikiran yang ada, mereka akan dicantas.

Saya percaya ini tidak berlaku dalam PMI sahaja tetapi mungkin telah jadi sifat sejati orang kita kot (ketawa).


NIK NAZMI: [Tiada komen]


AZWIRAL BUKHAIRI: [Tiada komen]


HELMAN: Perkara ini tidak seharusnya menjadi kerisauan kepada semua pihak. Semua orang mengakui bahawa golongan mahasiswa yang ada pada hari ini merupakan pelapis kepimpinan Negara di masa hadapan. Jadi tiada isu jika pimpinan PMI atau MPP atau mana – mana pertubuhan di Universiti pada hari ini atau sebelum ini keluar dari kampus dan menyertai mana – mana parti politik.

Pemikiran sempit bahawa mahasiswa yang bergelar graduan tidak boleh menjadi ahli atau pimpinan parti kerajaan atau pembangkang harus dijauhi. Apa guna mereka berjuang dikampus jika pengalaman ini tidak ditumpahkan dalam pentas masyarakat dalam keadaan yang mereka ingini.

Kita jangan terkejut jika pemimpin PMI ada yang menyertai BN atau pembangkang. Kita harus bangga kerana mereka mampu membuktikan pada dunia bahawa mereka bukan sekadar pemimpin kecil didalam kampus.

PMI sebagai agen PAS di dalam kampus merupakan idea yang tidak jelas dan progresif. Seharusnya kita memahami bahawa kewujudan PMI itu adalah untuk memperjuangan Hak Mahasiswa dan mengeluarkan pandangan bebas mahasiswa, khususnya untuk mahasiswa muslim dikampus. Ini berbeza dengan PAS yang banyak memainkan dan memperjuangan isu – isu peringkat nasional serta antarabangsa dan kurang mengambil tahu tentang isu – isu dalaman mahasiswa.

Hanya kerana idea dan dasar mereka sama, iaitu perjuangan membela umat Islam maka ramailah kalangan kita yang melabelkan PMI itu PAS, dan PAS itu mentor mereka. Lupakah kita bahawa kebanyakan ahli PMI yang keluar dari kampus tidak semuanya menyertai Politik PAS. Ada yang memilih jalan hidup terasing dari dunia politik, ada yang menyebelahi BN dan ada yang menyertai parti pembangkang lainnya.

Perjuangan mahasiswa didalam kampus tidak bertujuan untuk mengejar pangkat. Tanyalah pada mana – mana bekas pimpinan kampus, adakah mereka pernah dibayar untuk memegang jawatan, berdemontrasi dan sebagainya. Semua telah dilakukan atas dasar kemahasiswaan yang tulus dan tiada niat untuk menguntungkan diri sendiri.

Kesinambungan perjuangan kebanyakan pimpinan PMI bersama PAS diluar mungkin disebabkan oleh suasana yang tidak memihak mereka diluar. Pemimpin Kerajaan menolak mereka ketika di alam kampus hinggalah mereka bergelar graduan. Tetapi pemimpin PAS dilihat bijak untuk menarik mereka bagi menyertai politik PAS dengan instrument idea yang sama mereka melangkah jauh ke hadapan.

Kita lihat kepada pengalaman yang dilalui oleh Saudara Izwan Yusof (mantan Presiden PMIUM) yang gagal menempatkan diri dalam organisasi kerajaan, beliau akhirnya telah disambut oleh PAS dan diberikan pekerjaan serta tempat didalam PAS.

Jadi, siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Adakah pimpinan PMI yang telah di blacklisted oleh kerajaan harus dipersalahkan bila mereka terlibat dengan PAS setelah bergelar graduan? Adakah mereka bersalah bila terlibat dengan parti PAS yang telah membela nasib mereka? Adakah kita berhak memaksa mereka memilih jalan hidup seperti yang kita ingini?

Dalam sudut yang lain, kita juga tidak boleh menjumudkan pemikiran kita dengan menghalang pimpinan mahasiswa seperti PMI bergaul dengan masyarakat termasuklah ahli politik dari kerajaan atau pembangkang. Apa yang kita harapkan adalah keterbukaan minda dan hubungan harmonis antara pimpinan mahasiswa dengan pimpinan Negara yang ada tanpa mengira parti mana yang mereka terajui.

Terpulanglah pada pimpinan PMI untuk menentukan hala tuju mereka setelah melangkah keluar dari pintu gerbang universiti dan mengejar kedewasaan mereka bersama masyarakat. Ingatlah bahawa mereka tidak boleh menjadi pimpinan mahasiswa untuk selamanya, kerana pentas kecil ini tidak mampu untuk melaksanakan segala idea besar mereka. Diluar itulah pentas sebenarnya untuk kita melihat keikhlasan perjuangan mereka selama ini. Adakah mereka berjuang untuk mahasiswa dan rakyat? Lihatlah apa yang benar – benar ada dihadapan mata dan bukannya cakap – cakap orang di angin lalu.


ALI BUKHARI: Kita tidak perlu hairan. Sebab, hal ini sudah lama berlaku. Peristiwa ini bukannya berlaku baru semalam. Apa masalahnya PMI adalah Pas? Apa masalahnya, jika Wawasan dan Aspirasi ialah Umno? Dan kiaskanlah juga hal ini kepada pertubuhan lain. Saya fikir kita hipokrit dan yang paling menyakitkan hati, Auku itu sendiri yang tidak masuk akal. ‘Dosa terbesar’ Auku ialah menyekat keterlibatan politik ke atas mahasiswa. Natijahnya, penyakit ‘mahasiswa lesu’ muncul dan ia berjangkit kepada sindrom ‘belia lesu’.

Di manakah bahayanya? Siapakah yang mentakrifkan ‘bahaya’ itu? Mungkin PMI menganggap kewujudan Aspirasi, Wawasan, Revo, Sahabah sebagai ‘merbahaya’ kerana hal ini menggugat kaderisasi mereka. Begitu jugalah sebaliknya.Sebenarnya, kita masing-masing mempunyai takrifan sendiri ke atas istilah ‘bahaya’ serta berkecenderungan untuk menguatkuasakan ‘bahaya’ dalam takrifan kita ke atas khalayak massa.

Fenomena ini jelas hadir melalui Akhbar Mahasiswa (AM) di dalam beberapa siri keluaran yang lalu. AM umpamanya melahirkan beberapa komentar secara bersiri dengan berita atau rencananya untuk mempengaruhi khalayak mahasiswa mengenai bahayanya PMI, Gamis, MPMI ke atas mahasiswa di universiti. Itu takrifan ‘bahaya’ oleh AM yang mahu dikuatkuasakan ke atas minda masyarakat pelajar seluruhnya.

Dalam konteks Malaysia yang memerangi isu keganasan samada keganasan tahap Nusantara atau antarabangsa, negara tidak boleh memberikan kelulusan kepada Amerika untuk menempatkan pusat kajian antarabangsa mengenai keganasan di Kuala Lumpur. Ini kerana, Amerika dan PBB khususnya belum mentakrifkan ‘keganasan’ serta ‘pengganas’ yang boleh diterima pakai secara umum untuk membanteras keganasan global.

Jika mahu mentakrifkan ‘keganasan’ dan ‘pengganas’, maka sebenarnya Amerika itulah ‘pengganas’. Oleh itu, sekarang, ‘pengganas’ adalah sesiapa juga yang ditakrifkan sebagai ‘pengganas’ oleh Amerika. Mahasiswa sepatutnya mendesak dengan lebih keras supaya pusat kajian antarabangsa mengenai keganasan itu ditutup kerana takrifan tentang keganasan itu belum menyeluruh dan diterima pakai oleh semua negara. Ini masalah yang sama berlaku dalam iklim politik domestik dan politik kampus yang ingin kita debatkan.

Bagi Pas, kewujudan Gamis tidaklah merbahaya bahkan ia suatu keuntungan pula. Kepada Umno kewujudan PMI ini memanglah merbahaya kerana kaderisasi PMI ini akan menyambung perjuangan parti yang menjadi musuh tradisi mereka selama ini. Akhirnya, Wawasan dan Aspirasi pula ditubuhkan. Maka, pertubuhan ini tidaklah ‘merbahaya’ bagi Umno tapi mungkin ‘merbahaya’ kepad Pas pula. Ditambah pula dengan kehadiran Puteri Umno dan baru-baru ini Putera Umno (Semoga saya tersilap).

Pada saya, tidak ada satu pertubuhan pelajar pun, sama ada di dalam kampus atau di luar kampus, sama ada yang berdaftar atau pun tidak, boleh ditakrifkan sebagai bahaya oleh mana-mana pihak.Golongan pelajar hadir dengan kemuliaan sifatnya samada mereka dari aliran pembangkang atau kerajaan.

Jika ‘pembangkang’ itu negatif dan merbahaya, maka Umno Kelantan merbahaya kerana watak ‘kepembangkangan’ mereka. Merbahaya atau tidak, bukannya boleh dinilai dari sudut ‘KeUMNOan’ atau ‘KePASan’ mereka itu. Kerana, watak asli kedua-dua parti adalah bersifat neutral pada mulanya sehinggalah watak itu kotor ketika salah laku dalam membentuk polisi pemerintahan negara setelah memerintah.

Seterusnya, jika pembangkang itu ‘merbahaya’ dan negatif, maka tentulah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menafikan kehadiran pembangkang.Ini bermakna, kelulusan oleh kerajaan membuktikan bahawa kehadiran mereka memang diperlukan dalam negara. IPT adalah sebuah perkampungan ilmu yang wujud di dalam negara.Maka, jika pembangkang tidak dianggap ‘bahaya’ di peringkat nasional, bagaimanakah mereka dianggap bahaya di peringkat lebih kecil seperti di universiti?Adalah memalukan,jika pembangkang dianggap ‘bahaya’ oleh warga universiti yang dianggap berilmu tinggi dan pengetahuan luas.

Nota: nantikan siri kelima pada 5 Ogos 2005