Monday, August 14, 2006

GPMS: Suhaimi undur, Reezal menang tanpa bertanding

oleh: Muda Mohd Noor
sumber: Malaysia Kini Aug 14, 06 4:58pm

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim menjelaskan, beliau tidak bertanding mengekalkan jawatannya kerana mahu menyelamatkan gabungan itu daripada berpecah dan berkubur.

Katanya, jika kedua-dua pihak terus berdegil dan tiada jalan penyelesaian, sudah tentu nasib GPMS menjadi tidak menentu.

“Atas kesedaran ini dan juga atas nasihat Datuk Seri Najib Tun Razak saya mengambil keputusan tidak bertanding mengekalkan jawatan Presiden GPMS walaupun ramai ahli yang kecewa.

“Ada ahli yang kecewa kerana mereka begitu bersungguh-sungguh mempertahankan saya semasa krisis dengan Reezal,” katanya ketika berucap di mesyuarat khas GPMS di ibu negara hari ini. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam ucapannya terakhirnya sebagai Presiden gabungan itu, Suhaimi berkata, krisis kepimpinan selama sembilan bulan 10 hari membabitkan kem beliau dengan kem Reezal Marican Naina Marican adalah sesuatu yang tidak dijangka.


“Krisis kepimpinan ini telah berlarutan hingga menjejaskan ahli-ahli dan gabungan ini. Saya mengucapkan banyak terima kasih kepada Datuk Seri Najib yang membantu menyelasaikan krisis tersebut, jika tidak mungkin GPMS hanya tinggal nama sahaja,” katanya.

Sementara itu Reezal yang menggantikan Suhaimi selepas menang tanpa bertanding pula berkata, beliau dan pucuk pimpinan lain gembira kerana kemelut GPMS dapat diselesaikan secara baik.

Katanya, beliau mahu melihat GPMS dapat memainkan tanggungjawabnya secara kolektif dan lebih berkesan demi kepentingan pelajar Melayu yang masih memerlukan pembelaan.

Krisis kepimpinan GPMS berlaku sejak Oktober tahun lalu apabila kumpulan yang diketuai Suhaimi berebut jawatan dengan kem yang dikepalai oleh Reezal hingga menimbulkan ‘rampasan kuasa’ dan pergantungan beberapa orang pemimpin kanan dari jawatan masing-masing.

Masalah yang dihadapi oleh GPMS itu akhirnya terpaksa ditujuk kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi menentukan pihak mana yang sah dan layak memimpin gabungan tersebut.

Pada mesyuarat hari ini pemilihan ahli Majlis Tertinggi GPMS juga diadakan.



Thursday, August 10, 2006

PMIUSM Di Ambang Kesesatan Kerana Menentang Firman Allah Di Dalam Islam Hadhari

PMIUSM Di Ambang Kesesatan Kerana Menentang Firman Allah Di Dalam Islam Hadhari


Hit = [ 1215 ]

oleh Kencana Dewi melalui Borang Penulis Tamu

Assalamualaikum kepada semua pembaca IM. Kehadiran penulisan saya di dalam ruangan ini hanyalah sekadar untuk membuka ruang pemikiran kita bersama terhadap prinsip perjuangan berteraskan kepada pengetahuan agama. Mungkin para pembaca melihat banyak penulisan yang saya hasilkan terlalu kontra dengan PMIUSM. Sahabat pembaca mungkin merasakan bahawa saya merupakan penentang PMIUSM. Untuk menjawab persoalan tersebut, maka saya lahirkan melalui kupasan 10 prinsip Islam Hadahari di dalam penulisan kali ini.

Jujur dan ikhlas saya katakan, saya tidak menentang dan memusuhi PMIUSM. Yang saya tidak suka kepada kepimpinan PMIUSM ialah kerana mereka tidak berpijak di bumi yang nyata dan terlalu totok dengan prinsip dan pemahaman PAS. Dahulu pada penghujung tahun 70an PMIUSM dipimpin oleh mahasiswa yang pro kepada Kerajaan kerana ketika itu mahasiswa perlu bersatu untuk memartabatkan pengetahuan bangsa. Namun sejak tahun 1982 iaitu apabila Dewan Pemuda Pas mula campur tangan di dalam urusan politik kampus, maka saya mula tidak percayakan prinsip perjuangan PMI. PMI diseluruh negara semuanya sama memperjuangkan ideology PAS. Hampir semua kepimpinan tertinggi PMI akan menjadi kepimpinan PAS di peringkat kawasan apabila mereka menamatkan pengajian. Sewaktu di universiti mereka menafikan penglibatan mereka dengan PAS, namun setelah keluar, sifat munafik mereka mula terserlah. Inilah yang dinamakan ketentuan Allah.

Penulisan kali ini saya tumpukan kepada perbincangan PMIUSM berada di ambang kesesatan kerana tidak mempersetujui Islam Hadhari walaupun kupasan dan prinsip pelaksanaannya berteraskan Firman Allah dan Hadis Nabi. Bagi mereka, pemimpin UMNO tidak layak menggunakan Firman Allah. Apa-apa jua ayat-ayat Al Quran yang digunakan oleh pemimpin UMNO harus ditentang. Kesan daripada itu, firman Allah yang diambil untuk melaksanakan Islam Hadhari juga perlu ditentang. Di dalam Islam menentang Firman Allah hukumnya sesat dan individu tersebut perlu dinasihatkan. Oleh kerana PMIUSM merasakan MT-nya dan ahli-ahlinya syumul belaka, maka mereka layak untuk mempertikaikan firman Allah. Ulasan 10 prinsip Islam Hadhari di bawah jelas menerangkan maksud saya yang sebenarnya sebagai penilaian dari pembaca-pembaca IM.

10 PRINSIP ISLAM HADHARI

KEIMANAN DAN KETAQWAAN KEPADA ALLAH

Bagi orang Islam pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sebagai teras utamanya. al-qur’an dan sunnah Rasulullah S.A.W sebagai teras pegangan dan rujukannya. Gabungan kemantapan akidah (kepercayaan), syariah (perundangan), akhlak, moral dan nilai-nilai murni adalah teras perancangan dan pelaksanaan pembangunan diri dan pengurusan sistem untuk mencapai umat yang berkualiti dan negara yang cemerlang. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT. dalam surah al-A’raaf: 96, maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan(rasul kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Pada prinsipnya penentuan pegangan agama atau akidah bagi mereka yang berada di luar Islam terbahagi kepada dua iaitu tiada paksaan dalam agama dan kebebasan dalam menganut agama masing-masing seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah: 256 maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)”

Dan dalam surah al-Kaafiruun: 6, Allah SWT berfirman, Maksudnya: “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”

KERAJAAN ADIL DAN BERAMANAH

Adil adalah memberi yang hak kepada yang berhak akan haknya, mengikut kadar masing-masing. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nahl: 90, maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”.

Pelaksanaan keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Ini bersesuaian dengan peruntukan dalam al-qur’an dan hadis Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maa’idah: 8, maksudnya :

“Dan jangan sekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil(kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Dan hadis Nabi SAW diriwayatkan oleh Bukhari maksudnya, “Sekiranya (anakku) Fatimah mencuri nescaya aku akan memotong tangannya”.

Amanah pula bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang diletakkan ke atasnya. Ini bersumberkan dari al-qur’an dan hadis Nabi SAW. Dalam al-qur’an Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’: 58 Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah SWT dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat”.

Dan hadis nabi SAW, yang diriwayatkan oleh Ahmad, maksudnya: “Dan tidak beriman bagi seseorang yang tidak amanah”.

Islam Hadhari meletakkan amalan tadbir urus yang baik (good governance) dan adil serta amanah kepada semua lapisan rakyat. Pengurusan negara yang cekap, adil, amanah (tidak boros dan perbelanjaan berhemah) melahirkan negara yang baik, maju, dan dirahmati Allah SWT sebagaimana ditegaskan dalam al-qur’an surah Saba’: 15

Maksudnya: “Demi Sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur)”. Yang terletak disebelah kanan dan disebelah kiri (Kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka):”makanlah dari re4zeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya: (negeri kamu ini adalah)negeri yang baik(aman dan Makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun”.

RAKYAT BERJIWA MERDEKA

Salah satu prinsip utama pendekatan Islam Hadhari ialah mewujudkan rakyat yang berjiwa merdeka. Antara ciri jiwa merdeka ialah berfikiran kreatif dan inovatif. Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-qur’an surah al-Isra’: 70 maksud: “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan”.

Masyarakat hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan-amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu.

Masyarakat yang berjiwa merdeka bukanlah masyarakat yang terlepas daripada peraturan undang-undang dan etika, sebaliknya asas-asas murni itu hendaklah digunakan sebagai landasan membangunkan masyarakat dan negara yang teguh dan utuh.

Setiap potensi anggota masyarakat harus digerakkan sebijaksana mungkin sehingga mampu memartabatkan jatidiri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri.

Makna jiwa merdeka bukan hanya terletak pada slogan atau pernyataan luaran semata-mata tetapi lebih daripada itu menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara.

PENGUASAAN ILMU PENGETAHUAN

Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara intergratif boleh menjadikan kita memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa supaya kecemerlangan intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Proses ini perlu bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang terdapat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara kita. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-qur’an surah al-Mujaadalah: 11 maksudnya: “Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.

Dalam mana-mana sejarah masyarakat yang maju dan bertamadun ianya tidak akan berlaku tanpa menjadikan ilmu sebagai sumbernya. Tamadun Baghdad dan Tamadun Andalusia menjadi contoh nyata bagaimana ilmu yang integratif mampu menyumbang ke arah pembangunan tamadun Barat dan Timur.

Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan cabaran semasa, faktor ilmu intergratif, kemajuan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan ketrampilan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan manusia sejagat.

Melalui pengukuhan ilmu fardu ain yang dilengkapkan dengan penguasaan ilmu fardu kifayah, hasrat untuk mencapai kecemerlangan terbuka luas. Melalui system pendidikan yang melengkapi dwi pengkhususan dan double Major, kita boleh melahirkan sumber tenaga yang mampu menerajui program pembangunan negara dan ummah.

Usaha penggalian dan penerokaan serta penemuan ilmu sains dan teknologi amat digalakkan dalam tradisi Islam. Amat disedari umat Islam ketinggalan dalam penguasaan sains dan teknologi pada masa kini. Sewajarnya usaha pengkajian dan penyelidikan (tadabbur) dijadikan matlamat keilmuan supaya asas pembangunan intelek, rohani dan jasmani dapat berlaku secara seimbang, menyeluruh dan teratur. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali ‘Imraan: 190 Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda(kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

PEMBANGUNAN EKONOMI SEIMBANG DAN KOMPREHENSIF

Dalam usaha untuk memajukan negara, aspek ekonomi turut sama diberi keutamaan oleh Islam. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif memberikan satu pendekatan yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi yang berakhlak dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara berkesan sesuai dengan perkembangan ekonomi di dalam negara dan diperingkat antarabangsa. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Jumu’ah: 10 bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu dimuka bumi(untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa-apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak(dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya(di dunia dan akhirat)”.

Untuk menjayakan pendekatan tersebut, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu sama-sama berperanan secara bersepadu. Ini sudah pun diberi penekanan dalam konsep pensyarikatan Malaysia. Islam Hadhari menuntut setiap masyarakat merebut peluang untuk memaju pencapaian ekonomi mereka.

Usaha-usaha untuk memantapkan keadilan dan kestabilan ekonomi di dalam negara akan terus diberi keutamaan. Melalui strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, kestabilan paras harga dan pertumbuhan ekonomi yang mapan, keadilan dan kestabilan ekonomi akan dapat dicapai. Bahkan strategi tersebut menepati aspirasi Islam Hadhari.

Melalui strategi tersebut negara mampu mengembeling kesemua tenaga rakyat semoga mereka dapat berprestasi di peringkat optimum. Dalam rangka yang sama pendekatan Islam Hadhari akan terus berusaha untuk meningkat kecekapan sistem penyampaian sektor awam dan prestasi sektor swasta. Justeru itu mutu sistem pendidikan dan Institusi Latihan Negara perlu sentiasa dipertingkatkan semoga kesemua aspek keperluan tersebut dapat dibekalkan kepada rakyat.

Dalam suasana ekonomi dunia yang sangat mencabar dan tidak menentu, perancangan dan dasar ekonomi yang digubal perlu sensitif kepada perkembangan tersebut. Walaupun sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang secara besar-besaran kepada pertumbuhan ekonomi negara, demi keselamatan negara, sektor pertanian akan turut diberi perhatian yang sewajarnya. Pembekalan kepada makanan asasi rakyat, adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Melalui kemajuan bidang sains bioteknologi, negara akan berusaha untuk memaju sektor pertanian dengan teknologi tersebut.

Jelas sekali bahawa pendekatan Islam Hadhari adalah suatu pendekatan yang komprehensif di mana pencapaian pembangunan ekonomi negara mampu menjana kepada wujudnya sebuah masyarakat yang bertamadun dan progresif.

KEHIDUPAN BERKUALITI

Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material.


Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam al-qur’an surah al-Qasas: 77 bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu(keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu(dengan pemberian nikmat-nikmatnya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan dimuka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang.

Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut kualiti kehidupan mengikut Islam tidak bersifat statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek tersebut perlu diusaha dan dijayakan dari masa ke semasa semoga tahap pencapaian setanding dengan masyarakat yang maju di dunia.

Di samping itu, Islam memberi keutamaan kepada insitusi keluarga. Keluarga yang sejahtera akan menjamin kepada lahirnya generasi yang seimbang dan berprestasi. Bahkan gejala sosial masyarakat dapat diminimakan jika setiap institusi keluarga dapat berfungsi dengan berkesan.

Dalam konteks mencapai kehidupan yang berkualiti, kemudahan persekitaran turut serta diberi perhatian. Tempat rekreasi dan kemudahan beriadah turut sama difikir perlu dalam membina masyarakat yang sihat dan bertenaga.

Dari pendekatan Islam Hadhari, kita dapati bahawa kualiti hidup masyarakat dari kesemua aspek akan dibangunkan secara bersepadu.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah): dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: Ayat 77)

PEMBELAAN HAK KUMPULAN MINORITI DAN WANITA

Pendekatan pendidikan Islam Hadhari memberi kemuliaan insan itu diberikan kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam matlamat pesyariatan syariat Islam (Maqasid as-Syariah). Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut atau alasan menjadi kumpulan kecil atau perbezaan jantina. Penafian dan halangan ke atas hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-qur’an surah al-Hujuraat: 13 bermaksud “Wahai Umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan( dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu,(bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi mendalam pengetahuanNya(akan keadaan dan amalan kamu)”.

Jaminan ke atas hak-hak tersebut terkandung dalam Pelembagaan Persekutuan. Ia terdapat dalam Bahagian Kedua Perlembagaan yang membuat peruntukan mengenai kebebasan asasi (Fundemental Liberties).

Implikasi daripada jaminan tersebut meletakkan kumpulan minoriti dan wanita dapat menikmati apa jua yang dinikmati oleh kumpulan majoriti dan lelaki. Mereka berhak untuk turut sama dalam pembangunan negara dan menikmati apa jua yang dinikmati oleh kaum-kaum lain. Mereka boleh menyertai dalam pentadbiran negara aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan politik. Isu mengenai hak-hak wanita telah diberi perhatian yang khusus oleh kerajaan dalam menggubal dasar negara seperti termaktub dalam Dasar Wanita Negara.

Rasulullah S.A.W telah juga menyebut dengan jelas tentang wanita sejak mula hingga keakhir hayat baginda dengan peringatan khusus semasa mengerjakan Haji Wida’ (Haji Perpisahan) dengan sabdanya yang telah diriwayatkan oleh muslim, maksudnya:

“Maka bertaqwalah kamu kepada Allah terhadap wanita kerana sesungguhnya kamu mengambil mereka adalah kerana Allah dan Allah menghalalkan kepada kamu mencampuri mereka dengan ijab Kabul yang sah sesuai dengan aturan Allah dan hak suami terhadap isterinya ialah agar mereka tidak membiarkan orang luar yang dibenci oleh suaminya berkunjung kerumahnya. Sekiranya mereka melakukan sedemikian, ajarlah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Manakala bagi mereka (wanita) ke atas kamu (lelaki) pula ialah memberikan mereka rezeki (makanan) dan perhiasan/pakaian dengan cara yang baik. Dan telah aku tinggalkan kepada kamu suatu yang tidak akan menyesatkan kamu selepasnya sekiranya kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-qur’an)”.

Realiti yang berlaku di negara kita sejak negara mencapai kemerdekaan sampai ke hari ini menunjukkan setiap kaum dan bangsa tidak dinafikan hak-hak mereka, bahkan dalam beberapa perkara diberikan perlindungan dan jaminan melalui undang-undang negara.

Di negara kita seperti juga di kebanyakan negara-negara lain bagi menjamin hak-hak seseorang dan kumpulan itu tidak dinafikan, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Kerajaan juga telah menerima deklarasi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDHR), beberapa teriti dan kemanusiaan lain, termasuk mengenai wanita. Bahkan dalam beberapa aspek kedudukan wanita di negara ini jauh lebih baik berbanding di sesetengah negara Islam. Ada undang-undang yang menjamin hak-hak mereka dan kesatuan yang menguruskannya. Mereka boleh terlibat dalam semua sektor pekerjaan dan perkhidmatan yang tidak menyalahi undang-undang negara dan penyertaan dalam pembangunan negara.

Bagi menjamin hak-hak tersebut dihormati dan tidak dicabuli, terdapat badan-badan yang mengawasi termasuk mahkamah-mahkamah diberi kuasa dan bebas untuk membicarakan isu menyalahi hak-hak apabila berlaku pertikaian.

Dalam beberapa penulisan barat menimbulkan isu bahawa Islam tidak memberi perhatian dan kedudukan wajar kepada bukan Islam dan wanita. Sebenarnya hak-hak asasi sepatutnya diperjelaskan meliputi golongan bukan Islam dan semua kaum serta jantina. Dalam sejarah pemerintahan Islam orang bukan Islam diberi kedudukan dalam pemerintahan, hak-hak mereka tidak dinafikan. Kebebasan beragama diberikan bagi menjamin penghayatan dalam pembangunan negara dan perkhidmatan. Mereka diberikan hak sehingga menjawat jawatan menteri dan pegawai kanan kerajaan. Sejarah membuktikan orang bukan Islam begitu senang berada di bawah pemerintahan Islam kerana hak-hak mereka terjamin dan kerajaan berlaku adil ke atas mereka. Keadaan yang sama dapat disaksikan berlaku di negara kita.

Islam ditegakkan di atas prinsip-prinsip yang jitu serta adil, saksama, amanah dan bertanggungjawab kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, keturunan dan fahaman agama, tidak memandang rendah mana-mana golongan. Hak-hak mereka dilindungi oleh undang-undang dan apabila timbul pertikaian ia boleh diselesaikan oleh mahkamah atau badan seumpamanya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’: 58 maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya(yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hokum diantara manusia, (Allah menyuruh)maku menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”.

KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL

Satu daripada perinsip ketamadunan sesuatu bangsa dan negara ialah wujudnya keutuhan budaya dan ketinggian moral sebagai identiti negara tersebut. Dalam rangka meningkatkan kemajuan negara Malaysia, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mukminin: 1-2 maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya”.

Dengan demikian kemajuan ekonomi dan teknologi Malaysia akan berjalan selari dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum. Namun, gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia semasa, merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari.

Dari perspektif tamadun dan agama Islam, kemajuan ekonomi dan ilmu sesuatu bangsa harus dijiwai oleh budaya moral dan etika yang luhur. Matlamat ini tidak akan dapat dicapai selagi kemajuan kebendaan diasingkan daripada nilai-nilai moral, etika dan kerohanian yang luhur. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan Empayar Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat daripada kepincangan moral yang parah dalam masyarakat dan negara.

Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiring dengan nilai-nilai murni yang berasaskan keluhuran dan kreativiti yang menyumbang ke arah kebudayaan tinggi (high culture).

PEMELIHARAAN ALAM SEMULAJADI

Kehidupan manusia tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga hubungan manusia dengan alam persekitaran. Kesejahteraan yang dinikmati oleh manusia adalah akibat daripada kehidupan yang sejahtera antara sesama manusia dengan alam tabii. Dalam proses pembangunan, manusia mempunyai kecenderungan untuk menguasai dan mengekploitasi alam tabii secara berlebihan dengan menggunakan sains dan teknologi. Natijahnya, keseimbangan alam semula jadi tidak dapat dikekalkan. Peristiwa tanah runtuh, banjir kilat, pemanasan global, ribut taufan, hujan asid, pencemaran udara, air dan darat, kepupusan tanaman, habitat dan sebagainya semuanya menyumbang kepada ketidakstabilan eko-sistem yang dilakukan oleh aktiviti manusia.

Di peringkat antarabangsa beberapa deklarasi mengenai alam sekitar telah pun dilaksanakan oleh UNDP untuk memastikan pembangunan yang lestari. Deklarasi Reo De Janerio (1993) dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara dua deklarasi di mana Malaysia turut menandatanganinya. Malaysia sendiri telah mengadakan Deklarasi Langkawi untuk memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam.

Untuk mengatasi semua ini alam sekitar perlu ditadbir urus melalui kaedah dan pendekatan yang lebih seimbang dan menyeluruh. Pembangunan insan yang berteraskan kepada kehidupan yang berteraskan nilai-nilai murni agama, bertanggungjawab dengan alam, membangun alam secara terancang perlulah diberi penekanan yang bersungguh-sungguh. Pembangunan sains dan teknologi yang berteraskan kepada ajaran agama dan nilai budaya perlu diterapkan kepada seluruh peringkat masyarakat. Penyelidikan dan pemantauan terhadap alam tabii perlu dilakukan secara berterusan agar pembangunan yang dijalankan tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat.

Adalah menjadi pendekatan Islam Hadhari agar kehidupan manusia menjadi harmoni dengan alam sekitar dan persekitarannya disamping berusaha untuk terus maju.

KEKUATAN PERTAHANAN

Islam Hadhari melihat pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan ketenteraan dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, fizikal dan spritual. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-qur’an surah al-Anfal: 60 maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk mengerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahui nya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasanya kepada kamu,dan kamu tidak akan dianiayai”.

Bangsa yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara dari dicerobohi. Untuk itu mereka perlu memiliki kekuatan ketenteraan yang terkini bagi tujuan mempertahankan diri dan negara dan bukan untuk menyerang dan menguasai bangsa dan negara lain.

Kekuatan pertahanan akan menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan negara yang membolehkan proses pembangunan dilakukan secara berterusan.

Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan dan keupayaan mempertahankan diri. Negara perlu diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Pendekatan Islam Hadhari akan berusaha memperkasakan umat supaya mereka berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

Sekian untuk tatapan semua sahabat

Kencana Dewi

Aspirasi USM dan Penentangan PMIUSM Terhadap Pelaksanaan Islam Hadhari Di Malaysia

Aspirasi USM dan Penentangan PMIUSM Terhadap Pelaksanaan Islam Hadhari Di Malaysia


Hit = [ 131 ]

oleh Kencana Dewi melalui Borang Penulis Tamu

Assalamualaikum wbk

Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah (Islam Fundamental). Hal ini bukanlah satu perkara yang baru kerana agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah 'Hadhari' telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya 'Al-Muqaddimah' dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah 'hadhara' yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual. Aspirasi USM yang sudah diketahui umum sentiasa menyokong penuh Aspirasi Universiti dan Negara melihat pelaksanaan Islam Hadhari sebagai satu perkara asas di dalam membawa pembaharuan dan kemajuan umat Islam di Malaysia. Walaupun pelaksanaan Islam Hadhari mendapat tentangan dari Parti PAS dan PMIUSM, namun Aspirasi USM tetap dengan pendirian mereka menyokong dan mendokong penuh apa jua yang dilaksanakan oleh pemerintah. Pihak USM yang diketuai oleh Naib Canselornya sendiri menyokong penuh pelaksanaan Islam Hadhari. Namun, didalam keghairahan Naib Canselor USM menyampaikan pembentangan kertas kerja berkaitan Islam Hadhari terdapat segelintir besar kakitangan dan pensyarah USM yang tidak bersetuju dan menyindir pelaksanaan Islam Hadhari.

Bagi pergerakan pelajar pula, PMIUSM di dalam usrah-usrahnya telah mula menanamkan bibit–bibit kebencian supaya mahasiswa Islam tidak bersetuju dengan pelaksaan Islam Hadhari. Persoalannya, apakah benar usrah yang PMI USM jalankan itu benar dan membenarkan penentangan terhadap Islam Hadhari ? Berdasarkan maklumat yang diterima, apa jua perkara atau dasar kerajaan yang ditentang oleh Parti PAS di luar, maka PMIUSM akan sama-sama turut menentang dasar tersebut. Jelas disini menunjukkan bahawa PMIUSM menggunakan modus perjuangan yang sama dengan Parti PAS walaupun kepimpinan mereka menafikan dengan sekeras-kerasnya .

ASPIRASI USM MENJADI PENAMPAN ISLAM HADHARI DI USM

Seperti yang kita sedia maklum, bahawa apabila ada pihak yang menyokong Islam hadhari, maka pihak tersebut akan dilabel oleh PMIUSM sebagai parti kerajaan atau orang UMNO. PMIUSM merasakan UMNO amat jijik bagi mereka. UMNO bagi mereka ialah sebuah parti yang kotor dan tidak Islam. PAS pula bagi mereka ialah sebuah parti yang bersih dan menepati kehendak Islam.Oleh kerana fahaman ini berlegar didalam pemikiran mereka, maka menentang Aspirasi USM adalah wajib kerana ia samalah dengan menentang kemungkaran. Lantaran itu, Aspirasi USM yang sentiasa menyokong Islam Hadhari, terus ditentang oleh PMIUSM. Aspirasi dijadikan penampan terhadap serangan yang dibuat oleh PMIUSM terhadap Islam Hadhari.


MENGAPA ASPIRASI USM RELA MENJADI PENAMPAN ISLAM HADHARI ?

Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun menyeluruh - yang berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu dan umat Islam amnya. Islam Hadhari akan menjadikan warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam masa lampau sebagai pendorong kepada pembangunan dan kemajuan tamadun umat Islam masa kini dalam semua bidang kehidupan.

Lantaran itu Islam Hadhari telahpun dijadikan satu kerangka Dasar Nasional yang akan dijadikan sebagai asas di dalam perancangan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara Islam Maju menjelang Tahun 2020. Dalam erti kata lain, Wawasan 2020 yang telah dijadikan sebagai 'mainstream' negara selama ini haruslah berpaksikan kepada ruh Islami atau dalam istilah yang lebih progresifnya ialah Islam Hadhari. Inilah rahsia yang tersurat disebalik kesungguhan kepimpinan negara di bawah teraju YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari.

Oleh yang demikian, kepimpinan Aspirasi USM merasakan, bahawa mereka tidak perlu malu mempertahankan Islam Hadhari kerana, perjuangan yang mereka bawa adalah benar dan apa yang terkandung di dalam Islam Hadhari adalah bertepatan dengan kehendak Islam dan perjuangan dakwah Rasulullah SAW. Kencana ingin menasihatkan sahabat–sahabat di dalam Harakah Islam supaya tidak terikut-ikut dengan emosi di dalam memperjuangkan semangat Islam. Belajar mendidik hati kerana dengan adanya pendidikan hati, perasaan dan tindakan dapat dikawal. Ambillah cerita yang tersirat disebalik peristiwa pembersihan hati Rasulullah SAW oleh malaikat Jibril. Semoga, masa yang semakin suntuk ini, akan memberikan pengajaran yang baik kepada PMIUSM di dalam memartabatkan kembali sirah An Nabawiyyah. Janganlah isu kehadiran YB Ustaz Shahhabudin Yahaya ke Masjid Al Malik Khalid dijadikan isu untuk mengaitkan Aspirasi dengan UMNO. Sedarlah wahai sahabat PMIUSM bahawa kehadiran YB Ustaz Shahabudin Yahaya ke dalam Majlis Kesyukuran Mahasiswa Baru yang dianjurkan oleh MPP dan PPMS di bawah kepimpinan saudara Fakhrul Razi Sunip atas atas platform beliau sebagai seorang YDP MAIPP.

Pesanan: Pelik dan hairan PMIUSM ni, bukan setakat Aspirasi mereka tentang YDPMAIPP pun mereka tak suka.

Oleh: Kencana Dewi

Tuesday, August 01, 2006

Pesta konvo langgar arahan

oleh: Amir Mamat (am@hmetro.com.my)
sumber: Harian Metro Online 1/8/2006

MELAKA: Pesta Konvokesyen Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) ke-2 dikhuatiri dicemari dengan aksi tidak sihat di kalangan remaja apabila pihak penganjur bertindak mengundang seorang penyanyi rock pada 5 Ogos ini.

Biar pun, ‘rocker’ itu sudah disenaraihitamkan oleh kerajaan negeri daripada membuat sebarang persembahan di negeri ini sejak 2002, pihak penganjur didapati melanggar arahan berkenaan.

Sehingga kini, tiada arahan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam atau pihak kerajaan negeri untuk menarik balik arahan pengharaman ‘rocker’ bagi mengadakan persembahan di Melaka.

Menerusi pengisian aktiviti pesta konvokesyen di laman web KUTKM, artis turut dijadualkan mengadakan persembahan mulai 3 hingga 7 Ogos di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) Ayer Keroh.

Turut mengadakan persembahan dalam tempoh seminggu itu Kumpulan Mawaddah, Adam AF2, Farawahidah, Pak Pandir, Saleem, Jeffry Din, A Halim, Ali Mamak dan Abon.

Laporan akhbar 26 Februari 2002, Mohd Ali mengumumkan penyanyi itu diharamkan daripada mengadakan sebarang konsert di negeri ini.

Ini berikutan, persembahan artis itu serta sebuah lagi kumpulan rock pada konsert amal anjuran Gerakan Belia 4B cawangan Limbongan di Dewan Hang Tuah, sehari sebelum itu tercemar kerana ada belia dan remaja yang hadir melepaskan gian melakukan ‘head banging’ atau menari dengan menghentakkan kepala.

Konsert itu dihadiri lebih 500 remaja dan ada antara mereka memakai baju berlambangkan Black Metal serta menunjukkan isyarat kumpulan itu.

Pada konsert itu juga, ada remaja terikut-ikut dengan rentak muzik ‘ala Barat’ yang dipersembahkan penyanyi terbabit dengan melakukan ‘head banging’.