Tuesday, August 01, 2006

Pesta konvo langgar arahan

oleh: Amir Mamat (am@hmetro.com.my)
sumber: Harian Metro Online 1/8/2006

MELAKA: Pesta Konvokesyen Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) ke-2 dikhuatiri dicemari dengan aksi tidak sihat di kalangan remaja apabila pihak penganjur bertindak mengundang seorang penyanyi rock pada 5 Ogos ini.

Biar pun, ‘rocker’ itu sudah disenaraihitamkan oleh kerajaan negeri daripada membuat sebarang persembahan di negeri ini sejak 2002, pihak penganjur didapati melanggar arahan berkenaan.

Sehingga kini, tiada arahan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam atau pihak kerajaan negeri untuk menarik balik arahan pengharaman ‘rocker’ bagi mengadakan persembahan di Melaka.

Menerusi pengisian aktiviti pesta konvokesyen di laman web KUTKM, artis turut dijadualkan mengadakan persembahan mulai 3 hingga 7 Ogos di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) Ayer Keroh.

Turut mengadakan persembahan dalam tempoh seminggu itu Kumpulan Mawaddah, Adam AF2, Farawahidah, Pak Pandir, Saleem, Jeffry Din, A Halim, Ali Mamak dan Abon.

Laporan akhbar 26 Februari 2002, Mohd Ali mengumumkan penyanyi itu diharamkan daripada mengadakan sebarang konsert di negeri ini.

Ini berikutan, persembahan artis itu serta sebuah lagi kumpulan rock pada konsert amal anjuran Gerakan Belia 4B cawangan Limbongan di Dewan Hang Tuah, sehari sebelum itu tercemar kerana ada belia dan remaja yang hadir melepaskan gian melakukan ‘head banging’ atau menari dengan menghentakkan kepala.

Konsert itu dihadiri lebih 500 remaja dan ada antara mereka memakai baju berlambangkan Black Metal serta menunjukkan isyarat kumpulan itu.

Pada konsert itu juga, ada remaja terikut-ikut dengan rentak muzik ‘ala Barat’ yang dipersembahkan penyanyi terbabit dengan melakukan ‘head banging’.

No comments: