Monday, August 14, 2006

GPMS: Suhaimi undur, Reezal menang tanpa bertanding

oleh: Muda Mohd Noor
sumber: Malaysia Kini Aug 14, 06 4:58pm

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim menjelaskan, beliau tidak bertanding mengekalkan jawatannya kerana mahu menyelamatkan gabungan itu daripada berpecah dan berkubur.

Katanya, jika kedua-dua pihak terus berdegil dan tiada jalan penyelesaian, sudah tentu nasib GPMS menjadi tidak menentu.

“Atas kesedaran ini dan juga atas nasihat Datuk Seri Najib Tun Razak saya mengambil keputusan tidak bertanding mengekalkan jawatan Presiden GPMS walaupun ramai ahli yang kecewa.

“Ada ahli yang kecewa kerana mereka begitu bersungguh-sungguh mempertahankan saya semasa krisis dengan Reezal,” katanya ketika berucap di mesyuarat khas GPMS di ibu negara hari ini. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam ucapannya terakhirnya sebagai Presiden gabungan itu, Suhaimi berkata, krisis kepimpinan selama sembilan bulan 10 hari membabitkan kem beliau dengan kem Reezal Marican Naina Marican adalah sesuatu yang tidak dijangka.


“Krisis kepimpinan ini telah berlarutan hingga menjejaskan ahli-ahli dan gabungan ini. Saya mengucapkan banyak terima kasih kepada Datuk Seri Najib yang membantu menyelasaikan krisis tersebut, jika tidak mungkin GPMS hanya tinggal nama sahaja,” katanya.

Sementara itu Reezal yang menggantikan Suhaimi selepas menang tanpa bertanding pula berkata, beliau dan pucuk pimpinan lain gembira kerana kemelut GPMS dapat diselesaikan secara baik.

Katanya, beliau mahu melihat GPMS dapat memainkan tanggungjawabnya secara kolektif dan lebih berkesan demi kepentingan pelajar Melayu yang masih memerlukan pembelaan.

Krisis kepimpinan GPMS berlaku sejak Oktober tahun lalu apabila kumpulan yang diketuai Suhaimi berebut jawatan dengan kem yang dikepalai oleh Reezal hingga menimbulkan ‘rampasan kuasa’ dan pergantungan beberapa orang pemimpin kanan dari jawatan masing-masing.

Masalah yang dihadapi oleh GPMS itu akhirnya terpaksa ditujuk kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi menentukan pihak mana yang sah dan layak memimpin gabungan tersebut.

Pada mesyuarat hari ini pemilihan ahli Majlis Tertinggi GPMS juga diadakan.



No comments: