oleh: Muhammad Razif
sumber: Malaysia Kini Jul 26, 06 2:10pm
Benarkah krisis kepimpinan yang melanda Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sejak Oktober lalu telah pulih sepenuhnya?
Akan terlaksanakah ‘kompromi’ yang telah dicapai oleh Presiden GPMS, Datuk Suhaimi Ibrahim dengan saingannya Reezal Marican Naina Marican?
Sumber-sumber GPMS berkata, jawapan bagi kedua-dua soalan di atas ialah ‘tidak’.
Menurut sumber itu, perebutan jawatan dalam GPMS akan terus berlaku jika mesyuarat agung tahunannya dijalankan pada Ogos ini, sebagaimana yang dirancang oleh Suhaimi.
“Kumpulan kami yang dahulunya berketuakan Suhaimi akan bertanding merebut jawatan dalam GPMS. Apa yang disebut sebagai ‘kompromi’ oleh Suhaimi sebenarnya tidak pernah berlaku. Apa yang keluar dari mulut beliau adalah keputusannya sendiri.
“Barisan exco kanan yang memimpin GPMS sekarang tidak pernah bersetuju untuk bertolak ansur dengan kumpulan Reezal. Suhaimi membuat keputusan sendiri, tanpa berunding dengan kami,”jelas sumber tersebut yang juga seorang exco kanan GPMS.
Jadi penasihat
Sumber itu mendakwa, Suhaimi bersetuju bertolak ansur dengan kumpulan Reezal setelah berlaku tawar menawar yang menguntungkan dirinya sendiri.
Beliau menambah, Suhaimi juga tidak pernah muncul lagi di pejabat GPMS sejak mencapai ‘kompromi’ dengan Reezal dua bulan lalu.
“Apa yang dilakukan oleh Suhaimi bertentangan dengan perlembagaan GPMS. Mana pernah wujud jawatan penasihat dalam pertubuhan ini.
“Bukan ini caranya menyelesaikan kemelut persatuan. Sepatutnya Suhaimi membaiki semua kelemahan dalam akaun GPMS dan daftar keahliannya sebagaimana dikehendaki oleh ROS, bukannya membuat ‘trade off’ untuk dirinya sendiri,” tegas sumber itu lagi.Menurutnya, barisan ahli Majlis Tetinggi yang menguruskan pentadbiran GPMS ketika ini akan membuat pengumuman berhubung kedudukan dan pendirian mereka dalam beberapa hari lagi ada.
Awal bulan lalu, Suhaimi mengumumkan telah ‘berdamai’ dengan kumpulan Reezal dengan menarik diri daripada mempertahankan jawatan presiden dalam mesyuarat agung GPMS bulan depan bagi membolehkan Reezal memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.
Perpaduan ahli
Sebagai balasan kepada ‘langkah berdamai’ itu Suhaimi akan dilantik menjadi Penasihat GPMS. Persetujuan antara Suhaimi dengan Reezal itu diumumkan di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak.
Ketika mengumumkan ‘kompromi’ tersebut, Suhaimi dan Reezal berkata, tindakan itu bertujuan menyelamatkan GPMS dari dibubarkan dan menjamin perpaduan ahli-ahlinya.
Sebelum itu status kepimpinan GPMS telah dirujuk kapada Pendaftar Pertubuhan (ROS) apabila kedua-dua pihak mengaku menguasai kepimpinan GPMS menerusi mesyuarat agung yang dijalankan oleh kumpulan masing-masing.
Krisis GPMS ini bermula sejak Oktober tahun lalu apabila Suhaimi memecat beberapa exco kanan persatuan itu yang tidak sehaluan dengannya. Ekoran tindakan tersebut kumpulan exco yang dipecat itu telah mengumumkan pemecatan mereka tidak sah dan melakukan ‘rampasan kuasa’.
Kumpulan tersebut yang mahu mengangkat Reezal sebagai presiden baru GPMS, telah ‘menggantung’ Suhaimi . Ekoran pertelingkahan itu, kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat agung masing-masing pada hujung tahun lalu dan mendakwa kumpulan masing-masing sebagai pihak yang sah menerajui GPMS.
Reezal adalah naib presiden GPMS dan merupakan exco Pergerakan Pemuda Umno. Beliau juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.
No comments:
Post a Comment