Monday, October 01, 2007

Penamaan semula di UIA: Pro mahasiswa, Aspirasi masing-masing menang dua kerusi

Intan Abdullah
Harakahdaily
Mon | Oct 01, 07 | 12:59:46 pm MYT

Pilihan Raya Kampus 2007/2008 (PRK) menyaksikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi satu-satunya kampus yang melalui proses penamaan semula pada 30 September lalu.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Seramai 15 calon Aspirasi dan tiga calon bebas telah mendaftarkan diri sebagai calon setelah lulus ujian 'public speaking' oleh pihak jawatankuasa pilihan raya kampus UIAM.

Calon pro mahasiswa telah menang tanpa bertanding dua kerusi di Kuliyyah Kejururawatan, manakala dua kerusi di Kuliyyah Teknologi Komunikasi dan Maklumat dimenangi oleh kumpulan pro Aspirasi.

Dalam proses penamaan pertama pada 26 September lalu Aspirasi telah meletakkan 18 calon dan 25 pro mahasiswa daripada 27 kerusi yang dipertandingkan.

Walaupun terdapat 11 kerusi yang diisytiharkan menang tanpa bertanding pada hari tersebut, ianya terbatal setelah notis penamaan semula dinaikkan.

Tambahan pula, calon-calon yang berjaya dinamakan pada hari tersebut juga tidak dibenarkan berkempen sebelum penamaan semula dibuat pada 30 September lalu.

Ini bermakna tempoh kempen di UIAM hanyalah lebih kurang dua hari sahaja, berbanding IPT lain yang berkempen dalam tempoh enam hari ini. - mks.

No comments: