Wednesday, October 10, 2007

Tiada calon proaspirasi di Fakulti Perubatan UIAM

Ahmad Safwan Mohamad
Harakahdaily
Wed | Oct 10, 07 | 11:40:34 am MYT

Tindakan sesetengah pihak yang cuba mengheret pelajar universiti kepada hiruk-pikuk dunia politik kepartian adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Beberapa akhbar yang telah melaporkan bahawa Fakulti Perubatan UIAM telah dimenangi oleh pihak 'proaspirasi' dilihat sebagai tindakan yang salah dan tidak bertanggungjawab.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Kami tidak pernah mewakili mana-mana pihak semasa menyertai pilihan raya kampus ini. Atas dasar kesedaran untuk mewakili pelajar dalam memperjuangkan beberapa isu pelajar, maka kami menawarkan diri untuk bertanding. Ia tidak ada kena mengena langsung dengan mana-mana pihak, sama ada pembangkang, mahupun kerajaan.

Justeru, kami menganggap bahawa kemenangan kami adalah kemenangan pelajar sendiri. Kemenangan kami adalah simbolik bahawa pelajar mahukan kami berjuang bersama dengan mereka, bukan mewakili mana-mana pihak luar dan mengenepikan isu-isu pelajar.

Kami akan lebih memperjuangkan isu setempat, sambil memberikan pendedahan kepada pelajar tentang beberapa isu luar yang perlu mereka ketahui. Dalam menyuarakan pendapat, kami bebas untuk menyatakan idea kami sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak, dan selagi tidak bercanggah dengan peraturan universiti.

Kami mengharapkan agar pihak akhbar terbabit memberikan penjelasan semula tentang laporan mereka yang mengelirukan. Kami ingin katakan sekali lagi bahawa kami tidak pernah dan tidak akan terbabit dengan mana-mana parti politik. Kami mempunyai harga diri sendiri untuk menyokong atau mengkritik mana-mana dasar kerajaan ataupun pembangkang berdasarkan kajian kami sendiri.

Kami juga menuntut agar nama kami dibersihkan semula oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini, dengan harapan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi. Walaupun ramai yang berdiam diri terhadap kekeliruan yang anda lakukan, masih ada lagi golongan yang peka dengan persekitaran mereka.

Dengan rasa rendah diri, kami mohon kerjasama daripada semua pihak untuk akur dengan kebenaran ini.

No comments: