Tuesday, October 02, 2007

Kumpulan Pro-Mahasiswa dijangka terajui MPP UIAM jika tiada penipuan

Intan Abdullah
Harakahdaily
Tue | Oct 02, 07 | 6:02:46 pm MYT

Situasi di kampus tumpuan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hangat dengan sambutan mahasiswa yang keluar mengundi sejak tengahari tadi meningkat.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Walau bagaimanapun, tinjauan Harakahdaily mendapati poster dan kain rentang kempen calon tidak banyak kelihatan daripada luar kawasan fakulti.

Menurut sumber, kumpulan Pro-Mahasiswa yang menerajui Majlis Perwakilan Pelajar atau dikenali sebagai Student Representative Council (SRC) berhadapan dengan calon-calon Aspirasi.

Kumpulan Pro-Mahasiswa yang sebelum ini terkenal dengan rekod calon yang mempunyai latar belakang Islamik kini menghadapi saingan sengit apabila ditentang oleh calon yang sinonim dengan mereka, walaupun ditaja oleh Aspirasi.

Mereka adalah terdiri daripada 15 calon yang melalui proses penamaan calon kali kedua pada 30 September yang lalu. Ia diadakan selepas pihak pengurusan tertinggi UIAM mendapat tekanan daripada Presiden GPMS, Reezal Merican Naina Merican, yang juga Setpol Menteri Kewangan I.

Jika penamaan calon tidak dibuka semula, kumpulan Pro-Mahasiswa sudahpun menang tanpa bertanding sebanyak 11 kerusi dan jika diambil kira kesalahan calon-calon Aspirasi, bilangan itu meningkat menjadi 13 kerusi. Ini bermakna mereka hanya memerlukan satu lagi kerusi sebelum diisytihar menang dengan majoriti mudah.

Proses pembuangan undi UIAM yang menggunakan sistem pengundian secara 'e-voting' sepenuhnya di semua fakulti berjalan serentak bermula 8.45 pagi dan berakhir pada 4.30 petang tadi.

Sementara itu, dalam PRK 2006/2007 yang lalu kumpulan Pro-Mahasiswa telah berjaya menerajui kabinet kepimpinan SRC meskipun ditekan oleh pelbagai pihak.

Kabinet SRC UIAM sesi 2006/2007 telah ditangguhkan pengesahannya selama lebih empat bulan tanpa suatu alasan yang munasabah oleh pihak pentadbiran universiti berkenaan. Rektor baru UIAM, Dr Syed Arabi Idid merupakan dalang utama yang diperalatkan Umno bagi menekan kumpulan Pro-Mahasiswa.

Setakat ini, banyak pihak menjangkakan mereka mampu untuk mengulangi kejayaan tersebut sekiranya tiada campur tangan daripada mana-mana pihak yang tidak sepatutnya.

"Kalau sistem pengundian berjalan lancar dan telus, tak mustahil kami boleh menang. Tapi agak susah pada kali ini, jika dilihat pada permulaan penamaan pun dibuat semula. Macam ada yang tak kena," keluh seorang penyokong Pro-Mahasiswa mengenai peluang mereka.

Dibimbangi pihak pengurusan tertinggi UIAM akan "main kotor" dengan memanipulasikan sistem 'e-voting' yang dikatakan agak sukar untuk dipantau ketelusannya.

Memandangkan mereka bersedia melakukan apa sahaja, termasuk melanggar peraturan universiti mengenai penamaan calon, banyak pihak curiga dengan perjalanana pilihan raya kampus UIAM kali ini.

"Saya tak terkejut kalau kumpulan Aspirasi menang di UIAM kali ini. Segala tipu muslihat akan digunakan untuk memuaskan nafsu beberapa pihak yang berkepentingan di sana," ujar seorang pemerhati. - mks.

No comments: