Murtadza Ibrahim
Thu | Oct 11, 07 | 11:22:14 am MYT
Seorang bapa dari Teluk Intan, Perak begitu seronok dan megah apabila anak sulungnya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
Sebagai seorang pendidik, hampir seluruh masyarakat kampung mengunjungi kediaman beliau untuk mengucapkan tahniah. Beberapa orang penduduk kampung juga ada bertanya kepada pendidik ini cara-cara beliau mendidik anaknya sehingga berjaya ke institusi pengajian tinggi.
Malahan beberapa orang penduduk lainnya pula meminta anak-anak mereka supaya mengikut jejak anak pendidik ini yang sememangnya bijak sejak dari alam persekolahan rendah lagi.
Seorang bapa di Hulu Selangor pula memberitahu, dia terpaksa menjual kereta Proton Wira kerana mahu membiayai anaknya yang ketiga untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sebelum ini, dua orang anaknya telahpun menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Seorang di tahun akhir sementara seorang lagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
Bapa ini memberitahu, tanahnya sudah habis digadai semata-mata menampung perbelanjaan anaknya yang tinggi ini. Bagaimanapun dia tetap berasa puas hati dengan pengorbanannya itu.
Kedua-dua bapa ini dan majoriti keluarga yang anak mereka berjaya melanjutkan pengajian di IPTA mengharapkan agar anak mereka berjaya di bidang karier masing-masing.
Mereka sanggup berkorban sebagai mengikut saranan kerajaan bahawa mahasiswa adalah tenaga pelapis yang membakal memimpin negara pada masa akan datang.
Kita akan mendengar slogan dan propaganda di radio mahupun di TV bahawa anak-anak mahasiswa ini adalah pelapis kepada kepimpinan yang ada sekarang.
Apabila mendengar slogan "mahasiswa sebagai pemimpin pelapis negara", hampir semua mahasiswa bersemangat tinggi untuk menamatkan pengajian masing-masing. Hampir setiap hari mereka akan membayang jubah di hari konvokesyen dengan harapan merekalah bakal pemimpin yang bertanggungjawab dan membawa negara ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Itulah harapan mahasiswa yang bercita-cita mahu menyumbang baik buat ummah dan negara.
Namun, langkah pertama yang perlu mereka belajar adalah menghadapi pilihan raya kampus yang disifatkan asas kepada pembentukan diri sebagai seorang ahli politik.
Sesetengah mahasiswa membayangkan pilihan raya kampus adalah proses pemilihan memilih pemimpin pelajar di antara golongan berilmu atau intelektual, yang bersaing secara bebas.
Bagaimanapun, kini mereka hanya diberikan dua pilihan sama ada mahu menjadi kumpulan Aspirasi yang dikuasai oleh Umno atau kumpulan yang didakwa propembangkang.
Di sinilah majoriti mereka tergamam dan terkejut dengan situasi sebenar pilihan raya kampus yang sepatutnya dinamik dan bebas.
Di sinilah juga mereka berhadapan dengan situasi yang kacau apabila proses pilihan raya itu ditekan dan dicengkam sehingga matlamat sebenar mahu melahirkan pemimpin mahasiswa berwibawa dan bertanggungjawab hilang di celah-celah hiruk-pikuk emosi kepartain.
Seolah-olah yang hanya dibenarkan ialah aliran pemikiran yang selari (sebenarnya yang mengampu) dengan politik pemerintah. Siapa jua yang cuba menyanggah akan dilabelkan sebagai propembangkang yang perlu perlu dikalahkan.
Pada pilihan raya kampus 2007 yang lalu, kumpulan Aspirasi yang dikuasai oleh Umno telah mendabik dada kerana mereka diterima dan menang daripada 20 IPTA. Mereka hanya tewas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Di UIAM, para calon sudah diajar bagaimana mahu menjadi seorang ahli politik. Mereka diajar oleh tenaga yang dimport khas oleh Umno seperti Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Adham Baba dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dan juga Presiden GPMS, Reezal Meerican Naina Merican. Kedua-dua mereka adalah ahli Umno tulen dan hidup dalam kancah politik Umno.
Yang lebih menarik dan menyedihkan adalah para mahasiswa dan para pensyarah yang cerdik dan bijaksana itu diajar dan dipengaruhi oleh seorang yang tewas ketika bertanding jawatan Ketua Umno bahagian dan seorang presiden pertubuhan belia yang mempunyai rekod kemenangan yang penuh kontroversi, misteri dan memalukan.
Apakah perasaan Rektor Dr Syed Arabi Syed Idid dan Timbalan Rektor HEP, Hamidon Abd Hamid? Bagaimana perasaaan tenaga pengajar UIAM yang cukup hebat seperti Dr Aziz Bari, Dr Sidik Baba dan lainnya terhadap tunjuk ajar dan pengaruh dari dua pemimpin Umno ini yang berperangai kartun itu?
Di manakah hebat dan maruah mereka, seorang tewas bertanding dalam politik sebenar dan seorang menjadi presiden pertubuhan yang penuh kontroversi?
Setiap tahun pilihan raya kampus akan berlangsung dan setiap tahun juga pemimpin mahasiswa disogok dengan politik murahan dan tidak bermaruah. Inikah wajah-wajah bakal pemimpin masa depan negara yang benar-benar bermaruah, bertanggungjawab untuk mentadbir negara?
Jika demikian keadaannya, pemimpin pelajar dan mahasiswa boleh belajar dengan lulusan universiti ternama luar negara, misalnya Oxford. Mereka hanya perlu berfikiran sedikit kreatif dan gunakanlah pendekatan yang paling mudah untuk menjadi pemimpin dalam Umno.
Secara jenaka, carilah mana-mana anak perempuan atau lelaki yang bapa mereka adalah seorang Menteri Kabinet, Menteri Besar atau bakal Perdana Menteri.
Ketika itu, anda akan menjadi bakal pemimpin besar tanpa perlu bersusah payah seperti mana Dr Adham dan Reezal Meerican.
Apa pun, kasihanlah kepada pengorbanan ibu bapa mahasiswa yang bertungkus-lumus menghantar anak mereka ke menara gading tempatan. Mereka masih tidak tahu apa yang berlaku kepada masa depan anak-anak mereka di sana, sekadar dibuai slogan "mahasiswa adalah pemimpin pelapis" untuk masa depan negara etapi mereka sebenarnya dididik oleh ahli-ahli politik secara tidak bermaruah!
Lihat ucapan Salam Perantau & Adilfitri dari pembaca Harakahdaily.Net dari seluruh dunia. Sempena Ramadhan Al-Mubarak ini, menderma dan bantulah mereka yang memerlukan melalui Tabung Kemiskinan Harakah di Akaun (Maybank) 564070130442. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-40213343.