Friday, September 15, 2006

SMM kesal tidak dimaklum kelonggaran p’raya kampus

oleh: Muhammad Razif
sumber: Malaysia Kini Sep 15, 06 6:46pm

Kumpulan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bernaung di bawah gabungan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendakwa pihak pentadbir universiti bertindak tidak adil apabila tidak memaklumkan lebih awal perubahan dalam syarat berkempen pilihanraya kampus tahun ini kepada semua pihak yang bertanding.

Mereka mempersoalkan mengapa dan bagaimana kumpulan pro-aspirasi atau pro-kerajaan boleh tahu lebih dahulu kelonggaran waktu berkempen sedangkan ia sepatutnya diberitahu kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya berkenaan.

Pengerusi SMM, Ahmad Rifaudin berkata, kumpulannya amat kesal dengan tindak-tanduk Pengerusi Sekretariat Timbalan Naib Canselor dan Alumni (HEPA) IPTA, Prof Datuk Dr Mohd Wahid Samsudin mengumumkan perubahan syarat berkempen itu di akhbar.

“Sepatutnya masyarakat kampus dimaklumkan terlebih dahulu menerusi notis atau cara-cara lain. Sekarang kami hanya mengetahuinya melalui akhbar sahaja sedangkan tiada sebarang hebahan dibuat di kampus-kampus di seluruh negara.”

“Saya diberitahu kumpulan pelajar pro-aspirasi di beberapa kampus mengetahuinya semalam dan terus memasang poster dan sepanduk mereka. Ini adalah tidak adil,”katanya.

Laporan akhbar hari ini yang memetik kenyataan Dr Mohd Wahid yang menyatakan para pelajar yang bertanding boleh mula berkempen semalam.

Sebelum ini mereka hanya dibenarkan berkempen selama tiga hari selepas penamaan calon pada 18 September ini. Hari pengundian ialah pada 21 September.

Tempoh berkempen

Dr Mohd Wahid berkata, keputusan memanjangkan tempoh berkempen dibuat selepas mengambilkira rungutan para pelajar terhadap tempoh berkempen yang singkat.

Ahmah Rifaudin berkata, walaupun pihaknya mengalu-alukan tempoh berkempen yang lebih panjang itu namun mereka tetap menyesali tindakan pihak universiti yang membuat keputusan mengejut.

“Sebarang perubahan sepatutnya dihebahkan secara rasmi di kampus-kampus, bukannya menerusi akhbar. Perubahan-perubahan mengejut ini menjejeskan persiapan para calon,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jentera pilihanraya kumpulan SMM telah digerakkan serta merta hari ini bagi memanfaat ruang dan peluang yang diberikan oleh pihak pentadbir universiti itu.

“Kami memang sudah bersedia, calon-calon telah lama dipilih dan telah mula mengatur program masing-masing,” ujarnya.

Rifaudin juga menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kumpulan pelajar pro-pembangkang menghadapi kesukaran mendapatkan calon untuk bertanding dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kali ini.

“Kita mempunyai ramai calon, walaupun pada mula mereka agak keberatan untuk menonjolkan diri kerana bimbangkan tekanan daripada pihak tertentu tetapi semuanya telah dapat diselesaikan dengan baik,”jelasnya.

Rifaudin menambah, pertandingan antara calon-calon pro-aspirasi dan SSM dilakukan atas dasar individu kerana pihak universiti melarang pertandingan antara kumpulan.

Pengundian elektronik

“Tiada menang percuma kali ini, kami akan bertanding di semua kampus IPTA,” ujarnya.

Ini adalah kali kedua pilihanraya di semua kampus diadakan serentak. Ia diperkenalkan pada tahun lalu tetapi kumpulan pelajar pro-pembangkang memboikotnya kerana tidak puas hati dengan tindakan dan peraturan yang dikenakan oleh pihak universiti.

Ini menyebabkan semua 18 kampus awam di seluruh negara dimenangi oleh kumpulan pelajar pro-aspirasi.

Dalam pada itu Dr Mohd Wahid dalam kenyataannya semalam turut mengumumkan pengundian secara eletronik (e-voting) diperkenalkan dalam pilihanraya MPP kali ini.

Katanya, buat permulaan ini, “e-voting” akan dilaksanakan di tujuh IPTA iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kolej Universiti Islam Malaysia, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia dan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia.

Pengundian eletronik ini juga dilakukan di Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia dan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.

Beliau juga menyatakan, proses pembuang undi akan diadakan dari jam 8 pagi hingga 5 petang, 21 September ini dan keputusan terawal dijangka diketahui pada sekitar jam 9 malam.

No comments: