Friday, September 22, 2006

Pelajar pro-kerajaan kuasai hampir keseluruhan kerusi MPP

sumber: Malaysia Kini Sep 22, 06 1:05pm

Kumpulan pelajar pro-establishment yang dikenali sebagai Kumpulan Aspirasi memenangi hampir keseluruhan kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam pilihanraya kampus di universiti awam yang berlangsung semalam.

Daripada 17 universiti awam terbabit, hanya Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berjaya dikuasai oleh kumpulan anti-establishment selepas memenangi 28 daripada 32 kerusi MPP yang dipertandingkan. Kumpulan Aspirasi menang empat kerusi.

Pihak kerajaan mendakwa kumpulan pelajar anti-establishment di universiti tersebut ada kaitan dengan parti pembangkang Islam, PAS.

Bagaimanapun, di universiti awam yang lain, kumpulan Aspirasi menguasai hampir keseluruhan kerusi MPP, terutama di universiti awam yang baru ditubuhkan.

Di Universiti Malaya – universiti tertua di negara ini – kumpulan Aspirasi memenangi 36 kerusi MPP manakala kumpulan anti-establishment menang tiga kerusi. Bagaimanapun, pengundian semula akan diadakan untuk dua kerusi Rabu ini – kedua-duanya di Fakulti Undang-undang – selepas keputusannya semalam dipertikaikan.

Di Pulau Pinang pula, Kumpulan Aspirasi di University Sains Malaysia turut menang besar apabila mengondol 23 kerusi MPP manakala kumpulan anti-establishment menang lima kerusi. Begitu juga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana Kumpulan Aspirasi memenangi 29 kerusi berbanding lima kerusi yang dimenangi kumpulan anti-establishment.

Sementara itu, keputusan pilihanraya kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM) juga berpihak kepada kumpulan Aspirasi yang memenangi 42 kerusi. Walaupun kumpulan anti-establishment memulaukan pemilihan di UPM, namun calon-calon bebas berjaya memenangi enam kerusi.



Bagaimanapun, kumpulan Aspirasi menghadapi saingan hebat daripada kumpulan anti-establishment. Kumpulan Aspirasi memenangi 27 kerusi manakala kumpulan anti-establishment berjaya memenangi 18 kerusi MPP.

Hilang penguasaan

Sejak tiga tahun lalu, kumpulan Aspirasi, dengan bantuan pihak berkuasa kampus, berjaya menguasai kampus-kampus utama di negara ini.

Pihak universiti juga turut memperkenalkan peraturan baru, termasuk pengundian secara elektronik (e-voting) yang didakwa oleh kumpulan anti-establishment sebagai menguntung pihak Aspirasi.

Mereka juga mempertikaikan peraturan pemilihan yang didakwa tidak adil dan telah berulangkali mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya memantau pilihanraya kampus. Bagaimanapun, ia dibantah oleh pihak berkuasa universiti.

Pada tahun 2004, kumpulan anti-establishment menguasai lebih separuh daripada universiti awam, terutama kampus-kampus universiti utama.

Bagaimanapun, kumpulan anti-establishment memulaukan pilihanraya kampus 2005 sebagai membantah peraturan yang didakwa mereka tidak adil dan taktik kotor oleh pihak lawan mereka.

Berikutan itu, buat pertama dalam sejarah aktivisme pelajar, kumpulan anti-establishment hilang penguasaan di semua universiti awam tahun lalu.

Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak mengadakan pilihanraya kampus semalam kerana pelajarnya sedang bercuti. Ia akan diadakan pada 1 Oktober membabitkan 39 kerusi bagi MPP sesi 2006/2007.

No comments: