Thursday, September 21, 2006

Pelajar anti-establishment menang besar di UIA

oleh: Kuek Ser Kuang Keng dan Bede Hong
sumber: Malaysia Kini Sep 21, 06 7:16pm

Calon-calon kumpulan pelajar anti-establishment telah mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya kampus bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Kumpulan pelajar tersebut yang dikenali sebagai WUFI (Kami Bersatu Untuk Islam) memenangi 28 daripada 32 kerusi di kampus induk UIA di Gombak, dan menyapu bersih 10 kerusi yang dipertanding di kampus cawangan UIA di Kuantan, Pahang.

Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Timbalan Rektor UIA Bahagian Halehwal Pelajar dan Alumni, Hamidon Abdul Hamid.

WUFI meletakkan 14 calon, termasuk empat pelajar antarabangsa (dua dari Palestin, dua dari Afghanistan). WUFI dan kumpulan pro-establishment masing-masing menang empat kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon Isnin lalu.

Di Kampus UIA di Kuantan, pertandingan bagi 10 kerusi membabitkan calon individu. Kumpulan Aspirasi tidak meletakkan sebarang calon di kampus Kuantan.

Manakala proses pengundian di Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dilanjut kepada jam 8 malam ini. Ini berikutan sistem pengundian secara elektronik (e-voting) di universiti tersebut tidak berfungsi selama lebih tiga jam - dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengahari.

Proses pengundian di semua universiti lain berjalan lancar dan tamat jam 5 petang tadi.

Sementara itu, tinjauan malaysiakini ke beberapa kampus universiti hari ini mendapati pengundian dalam pilihanraya kampus berjalan lancar walaupun di beberapa universiti wujud usaha-usaha terakhir untuk memastikan kemenangan kumpulan pelajar pro-establishment.

Di UPM, Universiti Putra Malaysia, Para pelajar yang tidak dapat mengundi telah menyuarakan kekecewaan mereka terhadap pihak universiti. Contohnya, di Asrama 13, didapati ramai pelajar yang terpaksa berbaris panjang hingga ke luar bangunan. Sesetengahnya basah apabila hujun turun kira-kira jam 12 tengahari.

Pihak berkuasa UPM mewajibkan kesemua pelajar mengundi. Pelajar yang tidak mendaftar untuk mengundi, diarah supaya memberi surat penjelasan kepada pihak berkuasa.

Hari ini, dewan UPM dikawal ketat di mana pegawal keselamatan ditempatkan di semua pintu masuk ke asrama. Setiap kenderaan diperiksa dan pihak media tidak dibenarkan masuk ke kawasan kampus.

Di Universiti Malaya (UM) pula, proses pengundian juga berjalan lancar walaupun pelajar yang tinggal di asrama telah ‘dikurantin’ dan hanya dibenarkan keluar dari asrama selepas mereka mengundi. Semua pintu utama kolej-kolej kediaman ditutup dan orang luar tidak dibenarkan masuk.

Dalam pilihanraya tahun ini, jawatankuasa pilihanraya UM tidak lagi mencatatkan nombor siri setiap kertas undi ketika proses pengundian berjalan di dewan auditorium utama. Bagaimanapun, malaysiakini tidak dapat pasti sama ada perkara yang sama juga berlaku di asrama lain.

Ketika ditemui, beberapa pemimpin pelajar kumpulan anti-establishment mendakwa pihak pengurusan asrama universiti tersebut telah menghadkan kempen dalam kawasan kolej. Tempoh kempen dikurangkan kepada setengah jam dan setiap ucapan dihadkan kepada lima minit.

Bekalan elektrik diputuskan

Pemimpin pelajar berkata mereka menghadapi masalah ketika menggunakan sistem pembesar suara. “Tetapi bila pelajar pro-establishment yang berucap, sistemnya elok balik,” dakwa seorang pelajar

Terdapat juga dakwaan bahawa pelajar pro-establishment mengedarkan baju-T percuma sewaktu mereka berkempn.

Para pelajar yang tinggal di asrama juga mendakwa bahawa mereka dipanggil oleh pengetua asrama supaya menghadiri majlis dialog yang diadakan.

“Bila ada pelajar yang enggan datang, pihak berkuasa asrama memotong bekalan elektrik,” kata pelajar tahun kedua pentadbiran perniagaan Fou Hou Thek.

Dalam majlis dialog tersebut, para pelajar diminta supaya mengundi calon-calon Aspirasi. Pelajar mendakwa pihak berkuasa asrama telah memotong bekalan elektrik ke Kolej 10 bagi memastikan penghuninya turun menghadiri majlis dialog tersebut. Terdapat beberapa siri dialog yang diadakan – sekurang-kurangnya satu dalam bahasa Mandarin, satu dalam Bahasa Malaysia, satu untuk pelajar senior dan satu lagi untuk pelajar tahun pertama. Dialog tersebut dikendalikan oleh para pelajar, yang mendakwa mereka mendapat kebenaran daripada pengetua asrama. Ada juga dakwaan bahawa pelajar diberitahu jika lebih 90 peratus keluar mengundi, pihak pengurusan asrama akan mengurangkan sewa daripada RM6.50 sehari kepada RM5.50 sehari. Para pelajar juga berkata maklumat mengenainya terkandung dalam notis yang diletakkan di Kolej 12, yang turut menasihatkan pelajar supaya mengundi calon-calon Aspirasi.

Taktik jaga air muka

Bagi tahun ini, pengundian dijalankan secara elektronik dan sejumlah 11 pusat mengundi dibuka di UIA Gombak hari ini. Jurucakap WUFI berkata, pihaknya telah menugaskan tiga pelajar untuk memantau pusat pengundian terbabit.

“Kami tahu jumlah pelajar yang mengundi. Kami mahu memastikan angkanya tidak bertambah,” kata Penyelaras pilihanraya WUFI, Zikul Amin.

WUFI juga mendakwa bahawa kumpulan Aspirasi menjalankan kempen memburukkan mereka pada saat-saat terakhir.

“Kira-kira jam 6 pagi tadi, kita mendapati sesetengah pelajar sedang mengedar risalah yang memaparkan logo WUFI,” kata seorang pelajar. Tempoh berkempen tamat jam 12 tengah malam tadi.

“Risalah itu mendakwa mereka yang mengundi calon-calon Aspirasi adalah kafir dan jika WUFI menang pilihanraya kali ini, peraturan akan diperketatkan, dan pelajar lelaki dan perempuan akan dipisahkan sepanjang masa,” kata pelajar tersebut.

Para pelajar berkata, kumpulan Aspirasi kurang meletakkan calonnya pada tahun ini kerana masalah prestasi akademik yang rendah. Setiap calon diwajibkan mendapatkan Purata Markah Gred Terkumpul (CGPA) sekurang-kurang 2.8.

Bagaimanapun, seorang bekas pemimpin pelajar kumpulan WUFI, Amin Idrus berpendapat sebaliknya: “Mereka tidak bertanding banyak kerusi kerana mereka tahu mereka akan kalah. Ini taktik untuk menjaga air muka.”

.


No comments: