Tuesday, September 19, 2006

Kumpulan pro-aspirasi menang banyak kerusi

Malaysia today, 19 september 2006

Oleh SALHAN K. AHMAD & RADIN SRI GHAZALI
mStar


Apabila tempoh penamaan calon tamat petang tadi, beberapa kerusi di universiti-universiti tempatan dimenangi tanpa bertanding oleh kebanyakan calon yang memihak kepada kumpulan yang menyokong dasar kerajaan atau lebih dikenali sebagai kumpulan pro-aspirasi.

Jika keputusan di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dijadikan asas, cakap-cakap kedai kopi mengenai tentangan hebat yang akan diberikan oleh kumpulan pelajar yang menentang kumpulan pro-aspirasi setakat ini tinggal sebagai khabar angin sahaja.

Di UM misalnya, 8 daripada 32 kerusi fakulti yang tidak menyaksikan pertandingan, enam daripadanya dimenangi oleh calon kumpulan pro-aspirasi.

Di UIAM pula, daripada 11 kerusi yang tidak pertandingankan, sebahagian besarnya di dominasi oleh calon pro-aspirasi, walaupun secara rasmi kumpulan itu dikatakan tidak wujud di universiti itu yang sehingga tahun lepas sentiasa menjadi tumpuan umum setiap kali pilihanraya kampus berlangsung.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia pula semua kerusi akan dipertandingkan membabitkan pertembungan satu lawan satu antara calon pro-aspirasi yang menggondol majoriti kerusi dalam pemilihan tahun lepas dan pro-pembangkang yang menamakan kumpulan mereka Mahasiswa Penyelamat Umat Pelajar Universiti (Mampu).

Menurut cakap-cakap di kalangan pelajar UKM, pengaruh dua kumpulan itu hampir sama, presiden Mampu Suhaini Abdullah merendah diri mengatakan kumpulannya yakin akan menang sekurang-kurangnya satu kerusi.

Kekuatan atau kerapuhan kumpulan pro-mahasiswa itu akan hanya diketahui pada pemilihan bagi 23 kerusi fakulti dan 11 kerusi awam di universiti itu selesai Khamis ini.

Di UM, pula 44 calon akan bertanding bagi 24 kerusi fakulti yang belum dimenangi sementara 19 calon lagi akan berebut sembilan kerusi umum. Beberapa kerusi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara dua kumpulan dominan itu dan calon bebas.

Naib Cancelor UM Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus ketika ditemui selepas tamat penalonan dan tempoh bantahan berkata: "Tidak ada pihak yang kita sekat daripada bertanding kali ini, semuanya mempunyai peluang yang sama untuk menang."

Walau bagiamanapun, katanya kebebasan 100% memang tidak wujud di kalangan pelajar dan menjelaskan bentuk sekatan yang boleh dikenakan oleh pihak universiti termasuk menarik kelulusan untuk melakukan sesuatu aktiviti.

Beliau berkata keseluruhan proses penamaan calon hari ini berjalan dengan lancar walaupun terdapat lebih 500 pelajar yang mengiringi calon ke tempat penamaan dikesan berarak sambil melaungkan takbir dan slogan-slogan kebebasan.

Di UIAM, 22 calon akan bertanding merebut 14 kerusi untuk pilihanraya kampus kali ini. Beberapa calon bertanding bagi lebih daripada satu kerusi.

Menurut Naib Rektor Hal Ehwal Pelajar Alumni, Hamidon Abdul Hamid beberapa sekatan "tidak langsung" dikenakan terhadap pelajar, bukan bertujuan menyekat kebebasan mereka, tetapi bagi memastikan ia tidak memberikan impak negatif kepada pencapaian akademik pelajar.

"Saya berharap agar tiada kumpulan-kumpulan yang bergelar pro aspirasi atau sebaliknya di kalangan calon.

"Kesemua pelajar di universiti ini adalah sama dan mereka menyokong aspirasi universiti ini," ujar beliau mengulas cakap-cakap mengenai pembabitan pelajar dengan parti-parti ataupun kelompok berlandaskan idealogi politik.

Kenyataan Hamidon disokong salah seorang calon, Mohd Radzin Jalaludin yang berkata: "Saya berentap dengan tiket diri sendiri dan keseluruhan kempen saya dibiayai oleh bapa."

No comments: