Friday, September 29, 2006

Mustapa, Anuar peralat 17 naib canselor untuk Umno tawan Kelantan

Malaysia Today, 29 september 2006

Oleh Ahmad Lutfi Othman
Harakahdaily


Dato' Mustapa Mohamed jelas tidak mengambil iktibar daripada kes bekas Menteri Pengajian Tinggi yang disingkirkan, Dato' Dr Shafie Salleh, ekoran memperalatkan timbalan-timbalan naib canselor hal ehwal pelajar universiti awam, demi kepentingan politik sempit.

Pertengahan September lalu, pegawai khas Mustapa, Dr Azmi Setapa melalui surat kepada semua 17 naib-naib canselor dan rektor 17 institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Semenanjung, mengarahkan mereka hadir dalam satu pertemuan khas di Kelantan, yang bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan politik Mustapa.

Selain itu, tentunya majlis di Hotel Renaissance, Kota Bharu, jam 5-6.30 petang, 22 September, yang menghimpunkan kebanyakan timbalan-timbalan naib canselor HEP, membawa satu mesej jelas daripada Mustapa bagi membantunya untuk Umno-BN menawan Kelantan dalam pilihan raya akan datang.

Bincang kertas konsep

Sebenarnya mesyuarat petang Jumaat itu adalah untuk membincangkan kertas konsep mengenai program khidmat masyarakat mahasiswa kepada Mustapa di majlis makan tengah hari esoknya, Sabtu, 23 September.

Dalam suratnya, Dr Azmi menjelaskan bahawa Mustapa selaku Menteri Pengajian Tinggi mahu program khidmat masyarakat oleh IPTA di negeri Kelantan perlu dirancang dan dilaksanakan dengan teratur "untuk mendapat kesan yang memuaskan".

Setiap IPTA akan diperuntukkan satu kawasan angkat, berdasarkan sempadan kawasan parlimen di Kelantan, bagi mempastikan impak paling berkesan, untuk mempengaruhi pengundi setempat melalui pendekatan halus, yang membabitkan para mahasiswa dan juga kakitangan universiti, agar menyokong BN dan menamatkan pemerintahan PAS sejak 1990.

ImageKertas konsep yang diputuskan mesyuarat timbalan-timbalan naib canselor HEP itu kemudiannya dikemukakan dalam pertemuan khas, pada 23 September, bukan saja membabitkan Mustapa tetapi juga bersama Dato' Anuar Musa. Difahamkan Anuar turut berucap, lebih kurang selama 40 minit.

Mengapa perlu Anuar Musa bagi taklimat kepada TNC?

Dalam kertas aturcara majlis yang dihantar kepada 17 IPTA itu, Anuar diperkenalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Dan di sinilah terserlah niat sebenar pertemuan itu, yakni membincangkan operasi sulit di atas nama "program khidmat masyarakat IPTA" bagi memperkemaskan usaha Umno untuk menguasai Kelantan dalam pilihan raya yang dijadualkan tidak lama lagi.

Apa perlunya Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Anuar Musa, dijemput bersama dan diperuntukkan aturcara khas untuknya memberi taklimat dalam satu majlis rasmi anjuran Kementerian Pengajian Tinggi?

Bukankah ini menunjukkan bukti penyalahgunaan kuasa Mustapa Mohamed yang cukup ketara, yang memperalatkan pegawai-pegawai kanan univerisiti, dengan menghanguskan wang rakyat demi kepentingan politik beliau dan Umno Kelantan?

Ini mengingatkan kita bagaimana menjelang pilihan raya kampus tahun lalu, apabila semua timbalan naib canselor dan rektor IPTA seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak diarahkan menghadiri mesyuarat khas di Tingkat 38, Menara Dato' Onn, PWTC, yang menempatkan ibu pejabat Umno Malaysia.

Mesyuarat yang diadakan saban minggu, selama enam minggu berturut-turut itu membincangkan taktik dan strategi bagi memenangkan calon-calon Aspirasi pro-Umno di semua IPTA. Lebih mengejutkan apabila kebanyakan arahan-arahan yang dibuat kepada para "profesor dan dato'-dato'" itu datangnya daripada anggota Exco Pemuda dan Puteri Umno biro pendidikan!

Mustapa penceramah tetap untuk calon Aspirasi?

Lebih menarik apabila Mustapa, ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sering juga diundang untuk turut memberi penjelasan dalam mesyuarat berkenaan.

Mustapa juga dikatakan pernah membentangkan kertas kerja dalam pertemuan calon-calon Aspirasi pro-Umno di sebuah hotel di pinggir Kuala Lumpur.

Mustapa harus sedar, walaupun Shafie Salleh bertungkus-lumus memenangkan calon-calon Aspirasi pro-Umno dalam pilihan raya kampus 2005, melalui taktik kotor dan juga membazirkan wang awam, akhirnya Shafie kalah juga dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno dan digugurkan terus dalam rombakan Kabinet!

No comments: