Thursday, September 21, 2006

Akhbar tabloid berkempen untuk pro-aspirasi

oleh: Kuek Ser Kuang Keng and Ng See Yin
sumber: Malaysia Kini Sep 21, 06 7:37pm

Keluaran khas sebuah akhbar tabloid, Akhbar Mahasiswa setebal lapan muka surat yang memburuk-burukkan kumpulan pro-mahasiswa telah diedarkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pagi ini, sebelum pengundian pilihanraya kampus bermula.

Akhbar tersebut yang diberikan secara percuma kepada para pelajar yang pergi mengundi itu dimuatkan dengan berita dan rencana yang menggambarkan kumpulan Barisan Pelajar Progresif (SPF) sebagai musuh utama masyarakat kampus.

Laporan muka depannya dimuatkan dengan berita “eksklusif” bertajuk: ‘Pendedahan kes buli UPM’. Laporan ini merujuk kepada insiden anggota SPF dikasari oleh sekumpulan pemimpin pelajar pro-aspirasi baru-baru ini.

Dalam keluaran khas itu, anggota SPF dikatakan memulakan ketegangan tersebut dengan pertolongan orang luar seperti kumpulan pejuang hak asasi manusia, Suaram dan portal Internet berbahasa Mandarin, Merdekareview.com.

Menurut laporan itu, insiden tersebut merupakan sebahagian dari strategi untuk membantu SPF melebarkan pengaruhnya di kalangan pelajar UPM.

Turut disiarkan ialah wawancara dengan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Abdul Manaf, yang turut terbabit dalam insiden berkenaan.

Abdul Manaf mendakwa, anggota SPF telah melakukan provokasi. Beliau juga mendakwa, SPF adalah pertubuhan pelajar yang tidak berdaftar, maka ia tidak boleh menganjurkan aktiviti di kampus.

Satu lagi laporan di dalam keluaran khas itu menuduh SPF memainkan isu perkauman dan tindak tanduk mereka menjadi penghalang kepada integrasi nasional.

Dilaporkan SPF menerbitkan risalah dan bahan bacaannya dalam bahasa Mandarin sahaja.

Satu rencana lain mendakwa SPF didalangi dan dipimpin oleh “orang luar”

Keluaran khas itu juga memuatkan temubual dengan dua orang penjaga asrama UPM, Abu Sofian dan Jasni Sabri yang turut mengkritik SPF.

No comments: