Saturday, September 16, 2006

Demokrasi kampus caca merba, 200 mahasiswa buat bantahan depan PWTC

Malaysia Today, 16 september 2006

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
Harakahdaily


PERJALANAN pilihan raya kampus sejak tiga tahun kebelakangan ini sememangnya cukup memalukan warga kampus dengan pelbagai laporan mengenai dakwaan salahguna kuasa pihak tertentu yang mahu gerakan mahasiswa yang tidak sehaluan dengan aspirasi mereka tidak lagi menjadi 'leader' kepada mahasiswa di kampus.

Setiap kali menjelang pilihan raya kampus, ada sahaja suara-suara keluhan dari 'mahasiswa marhaen' yang menuntut satu pilihan raya yang telus, adil, wibawa tanpa sebarang campur tangan politik dari pemerintah mahupun pentadbir kampus seperti Bahagian Hal Ehwal pelajar (HEP).

Meskipun bantahan demi bantahan terhadap penyelewengan pilihan raya kampus dikemuka setiap tahun kepada pihak berwajib seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pihak Parlimen, namun insiden 'politik ugut' tetap berlaku di kampus.

Ramai mahasiswa yang menjadi mangsa kepada kerakusan pihak tertentu yang mahu cita-cita 'politik boss' mereka dilaksana meskipun jalan yang diambil membenam demokrasi.

'Rear culture' dimomok pentadbir?

Akibatnya lahir pula golongan mahasiswa yang kini berada dalam suasana 'fear culture' malah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)diperguna untuk membibitkan budaya takut ini dikalangan mahasiswa 'junior'.

Pilihan Raya Institut Pengajian Tinggia Awam (IPTA) sesi 2006/2007 yang akan berlangsung pada Khamis depan (21 September 2006) ini sekali lagi didakwa berlaku campur tangan politik dan penyelewengan seperti tahun-tahun terdahulu.

Tidak puas hati dengan kaedah perlaksanaan pilihan raya kampus yang akan berlangsung minggu hadapan itu Gerakan Mansuhkan Auku (GMA) hari ini mengadakan satu perhimpunan aman di hadapan Pusat

Dagangan Dunia Putra (Bersebelahan Bangunan Umno) ketika Menteri KPT, Dato' Mustapha Mohamed dan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bertemu di tempat yang sama.

Kira-kira 200 mahasiswa berkumpul sejak jam 3.45 petang di sepanjang jalan berhadapan PWTC dan Hotel Seri Pasific dengan slogan 'hidup mahasiswa, hapuskan Auku dan kembalikan demokrasi kampus'.

Anak-anak muda yang tidak mengenal erti kalah ini bingkas berjalan menuju ke dalam bangunan PWTC untuk bertemu dengan Mustapha bagi menyerahkan memorandum berhubung penyelewengan pilihan raya kampus.

Meskipun pada masa yang sama beberapa pegawai polis telah mula cuba menghalang, namun kumpulan mahasiswa tersebut tidak berganjak dengan niat mereka bertemu 'pak menteri' yang cukup sukar ditemui.

Gagal bertemu menteri

Bagaimanapun usaha mereka untuk bertemu menteri gagal dan hanya dibenarkan bertemu dengan wakil menteri di lobi PWTC.

Ini kerana pada masa yang sama, Najib dan Mustapha sedang mengadakan perjumpaan tertutup dengan 300 pelajar di bangunan tersebut untuk membincang isu-isu yang berkaitan dengan pelajar.

Kecewa dengan layanan itu 100 mahasiswa berkenaan duduk di hadapan lobi tersebut sambil melaungkan 'hidup mahasiswa' dan terus menuntut untuk bertemu menteri terbabit.

E-Voting melenyapkan demokrasi

Menurut jurucakap GMA, Zainur Faqar Yaacob, perhimpunan itu diadakan sebagai tanda mahasiswa kecewa dengan proses perjalanan pilihan raya kampus dari awal lagi dimana tarikh yang ditetapkan untuk membuang undi bergitu singkat hanya tiga hari selepas penamaan calon (18 September 2006).

Malah menurut beliau, kini pihak pentadbir kampus telah memulakan sistem e-voting untuk menafikan hak mahasiswa mendapatkan pilihan raya yang lebih telus dan adil.

"Ianya dijalankan di Unbiversiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).HEP juga mengenakan sistem penyaringan calon bagi memudahkan penyingkiran calon bukan dari kalangan pro aspirasi dibuat,"katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui di PWTC.

Dalam memorandum GMA menyebut, GMA Auku dimansuhkan selain mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku menjelang pilihan raya kampus yang dilihat lebih menyebelahi kumpulan pro-establishment.

Perhimpunan tamat pada jam 6.15 petang dalam keadaan aman.

Boikot pilihan raya di UPM

Sementara itu seorang mahasiswa UPM yang ditemui selepas perhimpunan aman tersebut menyatakan kumpulan bukan aspirasi akan memboikot pilihan raya kampus pada kali ini.

Boikot ini dibuat kerana mahasiswa berasa amat kecewa dengan pengendalian dan kaedah pembuangan undi dijalankan.

"Kita akan boikot kerana kecewa, perkara yang sama seperti tahun lalu tetap akan berulang," kata beliau yang tidak mahu namanya disiarkan.

No comments: