Friday, September 22, 2006

Kumpulan bukan pro aspirasi kuasai pilihan raya kampus di UIAM

Malaysia Today, 22 september 2006

Oleh Nyza Ayob
Harakahdaily


Kumpulan bukan pro aspirasi menguasai pilihan raya kampus di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berlangsung semalam.

Salah seorang pelajar UIAM yang menghubungi Harakahdaily menyatakan berdasarkan keputusan yang diterima kira-kira jam 6.30 petang semalam yang diumumkan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, pelajar bukan pro aspirasi memenangi 28 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

Keputusan tersebut sekaligus mengenepikan pelajar pro aspirasi yang hanya memenangi empat kerusi tanpa bertanding daripada dua kuliyyah (fakulti).

Peratusan jumlah pelajar yang mengundi ialah 87 peratus daripada 15,000 pelajar UIAM.

Dalam pilihan raya tersebut, 38 orang calon telah bertanding. Penamaan calon telah diadakan pada 18 September yang mana calon-calon perlu melepasi beberapa ujian kelayakan.

Pada 13 September, calon-calon telah menduduki ujian kelayakan bahasa Inggeris melalui pengucapan awam. Setelah itu, mereka juga perlu menghadiri sesi dialog bersama dekan kuliah.

Sementara pada 14 September mereka juga menghadiri sesi bersama Timbalan Rektor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan sesi bersama Presiden UIAM, Tan Sri Sanusi Junid.

Calon-calon hanya diperuntukkan selama tiga hari untuk berkempen.

No comments: