Friday, September 07, 2007

Suara mahasiswa perlu dikendong ke Parlimen

Harakahdaily, 7 sept 2007

Ali Bukhari Amir
Tue | Oct 09, 07 | 12:40:14 pm MYT

Zainuddin Maidin dalam suatu kenyataannya pada 5 Oktober lalu telah menyebut bahawa kemenangan proAspirasi menunjukkan bahawa mahasiswa kini telah mula menunjukkan sokongannya kepada kerajaan sekarang atau parti pemerintah; Umno-BN.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

ProAspirasi adalah kumpulan mahasiswa yang menyokong keputusan dan dasar kerajaan tanpa sebarang bantahan langsung. Kemenangan besar ini tentunya perlu ditafsirkan lebih teliti. Aspirasi menang apabila lahirnya ancaman ke atas proMahasiswa agar menarik diri daripada pilihan raya kampus (PRK).

Asalnya kumpulan yang kalah ini dikenali sebagai propembangkang. Demi melunakkan panggilan, mungkin kumpulan ini disebut sebagai proMahasiswa. Nampaknya perubahan nama ini pun belum juga menyebabkan mereka menang. (jika mereka menyangka gelaran pembangkang membawa makna negatif yang mampu meruntuhkan reputasi mereka)

Tetapi, sekali lagi kita perlu menoleh kepada ugutan dan ancaman pihak universiti ke atas mahasiswa. Iaitu, jangan ada yang sokong proMahasiswa. Kalau ada, maka boleh dibuang kolej kediaman, desasiswa, ditarik pinjaman-biasiswa dan pelbagai ancaman lain.

Bersuara

Akibatnya, mereka tidak mampu bersuara hatta di dalam kampus sendiri. Hanya ada tiga cara untuk bersuara. Pertama, menggunakan nama samaran. Sikap begini lazimnya tidak disukai oleh wartawan aliran perdana dan aliran alternatif. Ini kerana, nilai berita menjadi tidak tinggi, lemah dan tidak kuat untuk menarik perhatian pembaca.

Akhirnya, dalam keadaan tertentu berita seperti ini dibuang editor akhbar aliran perdana untuk diberikan kepada berita dan isu-isu lain di mana sumber-sumbernya boleh berucap dengan lebih jelas dan meyakinkan.

Cara kedua, seseorang pelajar proMahasiswa itu boleh bersuara menulis nama musuhnya sendiri di ruangan akhbar atau menggunakan kepala surat HEP untuk membuat kenyataan tersebut. Apa motif dan tujuannya tidak diketahui. Tetapi, kaedah ini pernah popular pada suatu masa ketika mana formula kepimpinan pelajar adalah, MPP = PMI, PMI = MPP.

Sejauhmana hal ini masih digunakan di universiti tertentu, tidaklah diketahui. Tapi, yang terbaik ialah bersuara secara lelaki budiman - membuat sidang media, menulis kenyataan media menggunakan nama sebenar dan mengirim fax dengan menggunakan kepala surat persatuan berdaftar di universiti.

Soal mereka perlu mendapatkan kelulusan HEP untuk bersuara terlebih dahulu adalah hal yang harus, bukan haram. Ertinya, jika minta kebenaran tidak menambahkan pahala. Jika tidak minta izin pun bukanlah dihumbankan ke dalam neraka. Namun, paling afdal adalah bercakap terus kepada media dan HEP terpaksa menjawab isu yang mereka bangkitkan.

HEP yang bermaruah tentulah akan menjawabnya semula kepada media dan jika sesekali HEP marah semula kepada pelajar kerana tidak minta izinnya, itu hal biasalah. Tapi kalau HEP tidak menjawab kepada media dan kemudian menggunakan Auku bagi menghukum hanya kerana bersuara kepada media, sudah tentulah HEP itu tiada maruah dan harga diri.

Ini baru kita bahaskan soal kebebasan bersuara di dalam universiti tempatan. Penyakit ini sebenarnya merebak di peringkat antarabangsa di mana dalam kes-kes tertentu HEP kita seperti mirip sikap Amerika dan pimpinan negara-negara lain yang bersifat menindas.

Contohnya, rujuklah dalam kes Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad yang dalam rangka lawatan kerjanya di PBB baru-baru ini. Beliau telah mengambil kesempatan untuk berucap di sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Malangnya rancangan awal dan kesempatan beliau untuk menjelaskan dasar Iran tentang program nuklear di Universiti Columbia menuang limpahan protes daripada pengkritik di negara itu. Demikian yang berlaku di universiti Amerika yang selalunya diangkat sebagai The Highest Ranking melalui THES.

Berdebat

Anehnya, Senator John Kerry dan George Bush dibenarkan pula berdebat di universiti pada 2004 ketika masing-masing merebutkan jawatan presiden AS. Maknanya, universiti Amerika dari sudut tertentu boleh diandaikan sebagai lembaga yang menderita penyakit diskriminasi perkauman. Mungkin hal ini dijangkit sesetengah universiti saja. Jadi, kata sesetengah orang, kita tidak perlulah risaukan sangat hal ini.

Pun begitu, kalau sindrom ini dapat dianggap sebagai barah, kita tentu risau ia akan merebak. Bukan apa, kita telah ada pengalaman diskriminasi parti di universiti Malaysia. Hanya parti pemerintah sahaja yang dibenarkan bersuara dalam universiti. Jika pembangkang, kita harus bersuara, bermuzakarah, berdemo di luar pagar universiti. (itu pun kalau pembangkang mahu berdemo di luar pagar universiti)

Buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan
saya budak baru belajar
silap dan salah tolong betulkan.

Berdemo-demolah di luar pagar
ajak pembangkang minta bantuan
mahasiswa kita tak makan diajar
kalau salah memang di'Auku'kan.

Bukan begitukah yang berlaku kini di Malaysia? Tapi, dalam kes Ahmadinejad ini, bukan diskriminasi kaum, malah diskriminasi ideologi.

Tentulah keturunan Bani Rom-Amerika tiada sebulu dengan Bani Parsi-Iran sejak dulu. Tidak hanya konflik perkauman, malahan konflik ideologi juga memainkan peranan di sini sehingga menyebabkan universiti tidak mampu berfikir secara rasional kerana mereka menjadi agen Barisan Nasional.

Tetapi, di Malaysia lebih parah. Walaupun sebahasa, sesilsilah, sejurai keturunan darah dan seagama pula, tapi konflik ideologi tak dapat menyebabkan parti penguasa bertolak ansur lagi. Segala macam fitnah, kritik dihumbankan ke atas musuh ketat dan seteru politiknya sebagai suatu helah untuk menjebak promahasiswa dan pembangkang daripada bersuara.

Bantah

Dalam kes Ahmadinejad, para pengkritik membantah tindakan universiti kerana memberi ruang buat seseorang yang ada rekod 'buruk' dalam keganasan antarabangsa. Hal ini ada kaitannya dengan sikap beliau yang menafikan kewujudan Holocaust yang dijaja Yahudi guna menarik simpati dunia ke atas kelompok minoriti yang paling berkuasa di Amerika.

Akhirnya, setelah menemukan jalan mati untuk berucap di universiti, sang presiden cuba menerangkan polisi berhubung nuklear itu dalam sebuah rancangan temubual terkenal 60 Minutes di rangkaian CBS. Beliau berusaha bersungguh-sungguh menyatakan Iran tidak bercadang membuat bom nuklear, sebaliknya ia dibangunkan untuk keperluan lain.

Beliau telah menggunakan saluran lain di luar universiti setelah gagal berdialog bersama golongan cendekia dan pelajar di salah sebuah universiti terkenal di Amerika. Walhal di situlah terhimpunnya sebuah masyarakat yang mampu menterjemahkan ucapan presiden itu secara rasional.

Tapi, paling penting ialah beliau tak berputus asa daripada berusaha menerangkan kepada khalayak antarabangsa berhubung niat negara membangunkan teknologi nuklear bukan atas tujuan peperangan.

Mantan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra ketika terlibat dengan tragedi Tak Bai lalu, telah diajak menyatakan pandangannya mengenai kes itu bersama mahasiswa Universiti Thammasart, Bangkok. Dalam beberapa jam, Thaksin berpeluh kerana beliau dihujani ribuan pertanyaan bertalu-talu daripada kelompok mahasiswa.

Sekejam-kejam Thaksin akhirnya dibuang oleh tentera dan akhirnya pembuangannya itu tidaklah dibela oleh rakyatnya sendiri. Ini kerana, Thaksin bukanlah pilihan rakyat dalam hakikat sebenarnya. Tapi, sebagai Perdana Menteri, dia berani berdepan dengan pelajar.

Bandingkan dengan sikap dan amalan universiti kita. HEP akan mengambil nama sesiapa sahaja yang berani mengajukan soalan-soalan panas kepada menteri-menteri yang datang berceramah forum ke universiti. Esoknya, pelajar akan dipanggil dan diminta menulis surat meminta maaf daripada sang menteri itu. Demikianlah 'tarbiyyah' HEP.

Tapi, jika suara mahasiswa terus-menerus disekat, apakah kita harus menerima seadanya? Dan perlu menunggu hingga ke tahun tiga dan tahun empat untuk menjadi lebih 'ganas'? Inilah yang diajar oleh senior dahulu di mana akhirnya membentuk pelajar yang akhirnya tidak 'mengganas' langsung hatta berada di semester terakhir.

Ruang bersuara mesti terus tercipta dan hanyalah minda kreatif yang akan dapat mencari kaedah untuk mempelbagaikan corak seruan promahasiswa ke arah usaha pembaikan. Di sinilah kita dapat menumpaskan semula andaian Zainuddin Maidin tadi yang menyatakan kemenangan proAspirasi menunjukkan pelajar telah 'insaf' dan mula sokong kerajaan.

Saya cuma mahu bertanya, adakah antara kita yang mahu bersuara dalam Parlimen nanti menjelang PRU? Mahukah bergilir secara rombongan, berjumpa pimpinan pembangkang (atau prorakyat) untuk bertukar fikiran, memberi cadangan kalau mereka mahu, bersetuju untuk memberi satu, dua kerusi kepada mahasiswa, mahasitua (bekas pelajar) yang masih berjiwa pelajar? Bolehkah pelajar ini dilantik sebagai senator dalam pilihan raya?

Jika pimpinan pembangkang bersetuju dan ingin menumpaskan kalimat keramat Zam dan rakan-rakannya yang menyatakan 'kemenangan Aspirasi adalah kemenangan Umno–BN, maka setidak-tidaknya mereka haruslah bersetuju bertukar fikiran dengan kita.

Jangan bimbang, pembangkang tak pernah kalah. Kita hanya belum menang. Tapi, kalau kita tidak peka isu kampus dalam kalangan siswa dan pensyarah, kita hanyalah menunda kejayaan kemenangan dalam PRU sehingga kiamat …

No comments: