Harakahdaily
Wed | Sep 26, 07 | 3:19:38 pm MYT
Seawal jam 9 pagi tadi, serentak di seluruh negara, semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memulakan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kampus (PRK) 2007 dan hampir semuanya berjalan lancar.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
Perhatian kali ini lebih tertumpu kepada satu-satunya kampus yang dikuasai oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai pro-mahasiswa di Lembah Klang, yakni bukannya kumpulan bukan Aspirasi-Umno (GPMS), iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Situasi pencalonan berjalan dengan lancar meskipun terdapat sedikit keraguan terhadap seorang 'calon' yang muncul di saat akhir bagi menyertai pertandingan 29 kerusi peringkat kuliyyah melibatkan kampus cawangan Bandar Muazzam Shah, Kuantan Pahang.
Sungguhpun begitu, menurut sumber, PRK kali ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu membabitkan golongan Aspirasi-Umno, kumpulan pro-mahasiswa serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Sementara di beberapa kampus-kampus lain pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu, antara kumpulan pro-mahasiswa menentang kumpulan Aspirasi-Umno.
Manakala di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia pula, kira-kira 400 mahasiswa berarak menuju ke tempat penamaan calon sambil membawa bendera dan sepanduk kumpulan masing-masing.
Bagi kumpulan Aspirasi-Umno, mereka dibayangi oleh sokongan jawatankuasa kebajikan kolej-kolej kediaman yang berpakaian serba hitam sambil membawa bersama kompang untuk menarik perhatian masyarakat kampus.
Namun, menurut sumber, terdapat calon-calon pro-mahasiswa di UPM, yang diugut serta dikecam oleh pengetua-pengetua kolej, agar menarik diri daripada terlibat dalam PRK.
Meskipun di semua IPTA lain kadar maksimum deposit calon hanya RM50, malah ada serendah RM10, tetapi pihak UPM mengenakana bayaran sebanyak RM100 bagi setiap pencalonan.
Tinjauan IPT di utara semenanjung mendapati terdapat unsur provokasi menakut-nakutkan calon dengan aksi beberapa individu merakamkan foto mahasiswa yang turun mengikuti sesi penamaan yang dijangka berakhir 3 petang ini.
Sesi rapat umum calon membentangkan manifesto mereka pula akan dijalankan pada 27, 29 September dan 1 Oktober akan datang.
Sumber juga memaklumkan bahawa beberapa individu yang tidak dikenali berkeliaran memantau perjalanan situasi kampus Universiti Teknologi Malaysia khususnya pejabat Hal Ehwal Pelajar sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Dipercayai bahawa mereka dihantar khusus oleh Unit Cawangan Khas Polis yang bergerak dengan berpakaian biasa supaya kehadiran mereka tidak disedari.
Keseluruhannya, senario penamaan calon hari ini ternyata mendapat sambutan yang dingin daripada masyarakat kampus di seluruh negara, yang hanya melibatkan kelompok kecil komuniti universiti.
Proses penamaan calon juga berjalan dengan aman dan lancar tanpa sebarang unsur provokasi yang mengundang kekecohan di mana-mana IPTA.
Apa yang dikesali, insiden-insiden ugutan dan kecaman masih mewarnai perjalanan PRK yang sewajarnya lebih adil dan bersih, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. - mr
No comments:
Post a Comment