Friday, September 28, 2007

Penamaan calon semula UIAM: Satu tragedi dan aib besar dunia pendidikan

Intan Abdullah
Harakahdaily
Fri | Sep 28, 07 | 3:03:59 pm MYT

Angkatan Muda KeADILan mendesak pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) supaya memecat Jawatankuasa Pengurusan Pilihan Raya Kampus (PRK) kampus tersebut ekoran proses penamaan calon dibuka semula.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

"Atas dasar apa mereka berbuat demikian? Jika disebabkan alasan aduan mahasiswa tidak sempat mengambil borang dan melengkapkannya, ia tidak sepatutnya berlaku," ujar Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Selaku bekas mahasiswa kampus tersebut serta mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM sesi 1996/97, Samsul Iskandar menyatakan bahawa apa yang berlaku dalam PRK kali ini tidak pernah terjadi dalam sejarah pilihan raya di kampus UIAM.

Satu tragedi pendidikan

"Saya malu dengan hal ini, kerana ia adalah suatu tragedi pendidikan yang besar untuk dirakamkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily

Tegas beliau, seharusnya kampus tersebut yang sinonim dengan gelaran 'taman ilmu dan budi' menjadi contoh kepada kampus lain, yang sentiasa menyebarkan nilai-nilai moral dan Islam yang tinggi serta mempraktikkan nilai tersebut dalam semua urusan.

Mengulas tentang campur tangan pihak luar, Samsul Iskandar tidak menafikan terdapat dalang tertentu daripada kalangan individu berkepentingan dalam kerajaan dan pentadbiran universiti yang berusaha untuk memenangkan kumpulan Aspirasi di UIAM.

"Jika benar dakwaan sesetengah pihak bahawa Reezal Merican terlibat, saya ingin nasihatkan beliau agar tidak campur tangan dalam PRK. Biarkan mahasiswa sendiri yang menentukan pemimpin dan hala tuju perjuangan mereka," ujarnya lagi.

Kampus jelasnya, adalah medan latihan untuk melatih kepimpinan mahasiswa yang neutral serta tidak dicemari unsur-unsur kotor.

Bukan isu besar sokong pembangkang atau bersama pemerintah

"Semasa di kampus dahulu, saya bertanding atas tiket Aspirasi, tetapi apabila saya meninggalkan alam kampus, saya menyertai KeADILan.

"Ada juga yang dahulunya pro-pembangkang di kampus, tetapi menyertai Umno-BN di luar kampus. Jadi tidak semestinya mereka terikat dengan ideologi yang dipegang semasa belajar," tegasnya.

Beliau menjelaskan campur tangan pihak luar adalah disebabkan mereka mempunyai motif bersifat politik bahawa mahasiswa adalah suatu entiti unik 'political force' yang mempunyai kekuatan politik tersendiri yang seringkali menarik perhatian parti-parti politik luar untuk kepentingan mereka

"Apa yang berlaku kini sudah sampai ke peringkat amalan diktator," katanya tegas.

"Akhirnya, mahasiswa IPT akan dikenali sebagai kumpulan yang diternak, bukan dididik yang akan memberi kesan jangka masa panjang kepada negara akibat tidak mendapat pendidikan yang tidak sempurna," tambahnya.

Tawar khidmat pembelaan

AMK ujarnya menawarkan khidmat nasihat dan pembelaan menerusi Biro Mahasiswa kepada calon yang merasakan diri mereka dianiaya oleh sistem PRK yang diamalkan sekarang kerana mereka yang telah sah dinamakan sebagai calon hanya mempunyai satu hari untuk berkempen, setelah dilarang menjalankan aktiviti kempen sebelum hari pembuangan undi.

Samsul turut berpesan kepada mahasiswa agar tidak gentar dan takut dengan tekanan pihak universiti dan Umno/BN dalam PRK akan datang ini.

Demokrasi kampus lambang demokrasi negara

Wajah demokrasi negara dapat dilihat dengan kadar kebebasan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi dalam menyuarakan pandangan serta tindakan yang masih menepati kehendak dan hasrat masyarakat.

Namun, semua itu telah lama mati akibat kerakusan pihak tertentu yang bertindak merampasnya daripada golongan muda yang kaya dengan semangat juang dalam membentuk peribadi sebagai medan terakhir sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Pandangan demikian dilontarkan oleh Naib Presiden PAS, Mohamed Sabu ketika dihubungi Harakahdaily berhubung isu penamaan semula pilihan raya kampus (PRK) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 30 September ini selepas ianya berlangsung secara serentak di semua IPT pada 26 September lalu.

Ujarnya, keadaan demokrasi kampus sekarang sudah mati, disebabkan mahasiswa ini sudah tidak boleh menyuarakan idealisme mereka sendiri akibat kongkongan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan ke atas mereka.

Jawatankuasa pilihan raya kampus lebih teruk daripada SPR

"Saya tidak yakin langsung dengan kredibiliti dan ketelusan jawatankuasa PRK yang dilantik. Sama macam SPR di luar kampus yang tidak bersih dan adil," katanya.

Beliau mendakwa Presiden UIA, Tan Sri Sanusi Junid bercakap bohong dan beliau yang dikatakan berkecuali dalam PRK ini adalah omongan kosong sahaja.

"Sepatutnya UIAM selaku sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa menjadi contoh kepada kampus-kampus lain, lebih bebas tetapi ini tidak. Dia jadi lagi teruk dan lebih buruk," tegas beliau lagi.

Mohamed Sabu juga tidak hairan dengan desas-desus kemungkinan penglibatan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sebagai dalang utama kepada apa yang terjadi di UIAM.

GPMS cuba tonjolkan diri di bawah era Abdullah

Ini adalah kerana, persatuan tersebut telah lama pupus dan tidak popular lantaran ditolak oleh mahasiswa pada tahun 1970-an, kini ia diberikan semula fungsinya bagi membantu regim Abdullah Badawi bagi membantu kemenangan Aspirasi-Umno di kampus yang dikatakan dikuasai pro pembangkang.

Beliau juga tidak menolak terdapatnya campur tangan Umno/BN secara terang-terangan.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata pihak mereka tidak akan berdiam diri dengan pelbagai kejadian yang berlaku dalam PRK kali ini.

Konspirasi kotor

Pengerusinya, Syeikh Omar Ali berkata apa yang berlaku merupakan konspirasi kotor yang telah mencalarkan imej IPT serta Kementerian Pengajian Tinggi sendiri dalam mengendalikan perjalanan PRK yang adil dan telus.

SMM sebelum ini ujarnya telah mengemukakan 10 tuntutan kepada KPT, Suhakam, Kaukus serta Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri.

Namun, KPT tidak memberikan sebarang jawapan terhadap aduan kami itu sebaliknya 'mempersembahkan' pelbagai kejadian yang 'menarik' dalam PRK ini yang berat sebelah, tidak telus serta menonjolkan cubaan pihak tertentu yang berkepentingan.

"Kami sungguh kecewa dan hilang keyakinan terhadap kredibiliti SPR kampus. Tak sangka ini yang kami dapat," ujarnya kepada Harakahdaily. - mns

No comments: