Harakahdaily
Sat | Sep 29, 07 | 10:24:41 am MYT
Berdasarkan Perlembagaan Universiti Malaya berkaitan Majlis Perwakilan Mahasiswa, ujuan dan fungsi persatuan ialah untuk memupuk semangat hidup sebagai suatu persatuan di kalangan pelajar-pelajar Universiti; tertakluk kepada arahan Naib Canselor untuk merancang dan menyelia kemudahan-kemudahan rekreasi, aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan, dan bekalan makanan dan minuman; untuk membuat representasi kepada Naib Canselor tentang segala perkara berhubungan atau berkenaan dengan keadaan tempat tinggal dan kehidupan pelajar-pelajar Universiti; untuk diwakili dalam mana-mana badan yang boleh, mengikut kaedah-kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan pelajar di Universiti; dan untuk menjalankan apa-apa aktiviti lain yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
Secara ringkas dan mudahnya tujuan MPMUM ialah memupuk kebajikan am badan mahasiswa, memajukan kegiatan sosial, kebudayaan dan mengadakan hubungan rasmi dengan badan lain. Ia adalah badan pelajar yang diberikan kuasa untuk mewakili mahasiswa dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan mahasiswa dan diakui sebagai suara rasmi pelajar oleh pihak Universiti Malaya.
Berdasarkan tujuan dan fungsi yang telah ditetapkan ini MPMUM selaku sebuah persatuan induk yang memimpin mahasiswa kampus mempunyai fungsi dan peranan yang sangat besar dalam merealisasi dan melaksanakan tugas dan peranan tersebut.
MPMUM atau dahulunya dipanggil PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) dan sebelumnya dipanggil UMSU (University of Malaya Student Union) ketika ditubuhkan pada tahun 1958 merupakan pengasas kepada pergerakan mahasiswa di negara ini.
Ia mempunyai kedudukan yang istimewa di mata masyarakat kampus dengan mendominasi dan mengetuai pergerakan serta perjuangan mahasiswa negara selama empat dekad.
Akan tetapi peranan dan fungsi yang sepatutnya dimainkan oleh MPMUM ini gagal dilaksanakan khususnya selepas pihak yang menggelarkan diri mereka Aspirasi memegang tampuk kepimpinan MPMUM selepas isu pemboikotan oleh Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya pada tahun 2004.
Kepimpinan MPMUM pada sesi-sesi seterusnya terus lena dibuai mimpi sehingga menyebabkan gerakan mahasiswa yang sebelum ini digerakkan oleh MPMUM dilihat sepi dan kebajikan mahasiswa yang sepatutnya dijaga terabai.
Segala gerak kerja dan program yang dilaksanakan dicorakkan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar manakala pimpinan hanya menjadi pelaksana semata-mata. Manifesto yang dilaungkan semasa kempen hanya retorik.
Salah satu aspek penting yang perlu diperjuangkan oleh MPMUM adalah berkaitan dengan soal kebajikan mahasiswa. Saban tahun isu ini semakin terabai dan MPMUM tidak berbuat apa-apa bagi menyelesaikannya walaupun telah lama dibangkitkan oleh beberapa kelompok mahasiswa yang prihatin.
Sebagai contoh mahasiswa yang menginap di Kolej Kediaman Kesembilan dan Kesepuluh tinggal dalam keadaan tidak selesa dan sempit kerana kuota penginapan dalam satu-satu bilik melebihi jumlah yang telah ditetapkan.
Bagaimana pula dengan mahasiswa yang dibuang kolej kerana dikatakan menentang kehendak mereka? Ada yang sudah terpaksa meninggalkan kolej kediaman walaupun baru sahaja menginap dalam satu semester.
Selain itu, isu yuran kolej yang dikatakan agak tinggi juga diabaikan oleh pihak MPMUM. Mahasiswa yang dibebankan dengan hutang PTPTN dan kadar bunga tiga peratus yang dikenakan. Setakat ini pihak yang berperanan aktif dalam memperjuangkan isu ini ialah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).
Kita belum melihat segala gerak kerja ini dilaksanakan oleh pihak MPMUM yang sepatutnya melaksanakan segala gerak kerja ini sejak dari awal kepimpinan mereka.
Satu perkara yang perlu difahami oleh pihak MPMUM bahawa mereka bukan setakat persatuan yang menganjurkan program semata-mata tetapi mempunyai tugas dan peranan yang lebih besar.
Penganjuran program merupakan kegiatan kedua selepas segala isu kebajikan ini ditangani dan dikendalikan secara bijaksana dan bersistematik.
Mahasiswa mengundi mereka bukan untuk menghadiri program yang dianjurkan tetapi agar soal kebajikan mereka terjamin.
Pihak MPMUM dalam tiga tahun kebelakangan ini juga dilihat gagal sama sekali dalam memperjuangkan nasib dan soal kebajikan mahasiswa luar kampus walhal hampir separuh daripada jumlah mahasiswa UM tinggal di luar kampus.
Ia sekadar membuka pusat aduan masalah tanpa ada penyelesaiannya.
Pengangkutan merupakan masalah utama terutamanya kepada mahasiswi. Mereka juga berhadapan dengan ancaman bahaya bila-bila masa khususnya bagi yang tinggal di kawasan hitam seperti di Pantai Dalam.
Isu penipuan rumah sewa, kos sewa yang tinggi, kecurian motorsikal dan menginap beramai-ramai dalam satu rumah adalah antara masalah yang dihadapi.
Gejala sosial merupakan penyakit yang kian membarah di kalangan mahasiswa. Penyakit inilah yang dilihat memundurkan daya intelek mahasiswa, membuahkan kesan hedonisme dan menjatuhkan maruah mahasiswa selaku golongan cerdik pandai dalam masyarakat.
Battle of the Band, pertandingan nyanyian dan tarian, pertandingan cheers semasa minggu haluan siswa dan stupid debate adalah antara kegiatan yang dianjurkan setiap tahun dengan restu MPMUM.
Dalam Haluan Siswa pula mahasiswa tahun pertama dipaksa menari, melompat dan terkinja-kinja melewati jam tiga pagi sehingga melupakan mereka kepada waktu solat.
TNC HEP dalam pertemuan dengan PMIUM mengakui bahawa program MHS yang dianjurkan ini tidak memasukkan waktu solat dalam jadual mereka. Bagaimanakah MPMUM boleh bersetuju dengan program sebegini?
Pernahkah mereka membentangkan cadangan mengenai peraturan moral (moral code) kepada pihak pentadbiran universiti bagi menangani kepincangan moral yang berlaku?
Mahasiswa kini tanpa segan silu berkelakuan sumbang, berpakaian menjolok mata, mengamalkan seks bebas, terlibat dengan kegiatan tidak bermoral dan banyak lagi.
Kita belum nampak apakah pendirian MPMUM terhadap beberapa isu yang berlaku di dalam dan luar negara. Mereka sangat pasif dan tidak mampu mengeluarkan pandangan dan pendirian sendiri.
MPMUM seharusnya mewakili mahasiswa UM dan duduk di barisan paling hadapan dalam menyuarakan pandangan dan pendapat ke atas sesuatu isu.
Namun apa yang dilihat mereka sama seperti mahasiswa lain yang langsung tidak mahu mengambil kisah tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Apa yang perlu difahami ialah ruang lingkup kegiatan MPMUM tidak hanya terbatas kepada persoalan di dalam kampus semata-mata tetapi perlu menjangkaui kepada soal politik, ekonomi dan kebajikan rakyat di negara ini.
MPMUM untuk sesi kali ini dilihat jelas sangat lemah. Berapa ramaikah di kalangan exco MPMUM yang melaksanakan bidang tugas dan portfolio mereka?
Dan apakah visi dan misi yang mereka gariskan berada pada landasan matlamat yang betul atau ia hanya satu peribahasa untuk mencantikkan poster?
Keadaan sekretariat MPMUM langsung tidak terurus dan diselia dengan baik.
Lif ada yang rosak sedangkan kos pembinaannya memakan belanja yang tinggi, meja banyak terbiar, kotor dan berhabuk, siling berlubang-lubang serta banyak lagi kerosakan yang dikesan. Ia dibiarkan sehingga sekretariat tidak ubah seperti sebuah rumah usang yang ditinggalkan.
Kesimpulannya, mahasiswa perlu kembali bangkit memilih pemimpin yang benar-benar mampu berperanan dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya.
Mahasiswa harus bijak membezakan perkara-perkara yang telah dijelaskan di atas walaupun ia diterangkan secara umum.
Pihak pentadbiran dan mahasiswa perlu melihat pilihan raya kampus sebagai sangat penting dalam memilih kepimpinan yang berkualiti.
Ini kerana MPMUM dilihat antara wadah utama untuk melahirkan secara berterusan individu yang memiliki karisma dan berkemahiran tinggi yang dilengkapi dengan kualiti kepemimpinan serta kemahiran antara perorangan yang baik seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran.
No comments:
Post a Comment