Wednesday, January 18, 1995

Program Orientasi gagal ?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Program Orientasi gagal ?

Salah satu program untuk memperkenalkan mahasiswa baru untuk mengenali "alam kampus" dipanggil dengan berbagai nama sama ada 'Program Haluan Siswa', 'Program Orientasi Mahasiswa Baru', 'Program Silaturahim', 'Program Taaruf' dan sebagainya. Program tradisi ini dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sejak beberapa tahun lalu setelah 'merampas'nya secara terhormat pengendaliannya dari Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) pada pertengahan dekad 80'an. Pegawai-pegawai HEP akan memilih sebilangan mahasiswa yang bersedia menjadi 'pak turut' sebagai pembantu mereka mengendali program ini.


Berbagai aturcara disediakan untuk menyambut 'orang baru' Dalam masa seminggu atau sepuluh hari sebelum memulakan pengajian, pelbagai aktivih dilaksanakan dalam program orientasi ini. Di samping itu terdapat juga program yang berlaku secara 'kebetulan' seperti adik angkat, kakak angkat dan sebagainya. Disebalik 'blue print' program orientasi ini, seringkali juga berlaku penyelewengan di mana berlaku kes-kes 'ragging' yang tidak bermoral yang dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa lama termasuk juga oleh AJKO sendiri. Berbagai tindakan dilakukan oleh kumpulan ini ke atas mahasiswa baru seperti ditampar, menari bogel dan berbagai lagi kegiatan yang tidak bermoral.


Terdapat beberapa kes tidak bermoral yang memaksa pihak universiti bertindak tegas memecat mahasiswa yang terbabit dari meneruskan pengajian mereka. Di akhir dekad 1980an pernah kes seumpama ini menjadi kes politik bila Presiden MIC mempertikaikkan keputusan Lembaga Disiplin Universiti bertindak membuang mahasiswa India tajaan mereka yang terlibat dalam kes tidak bermoral seperti itu.


Selepas seminggu program orientasi yang dijalankan oleh HEP berbagai-bagai kegiatan orientasi dan majlis-silaturahim yang dipanggil dengan berbagai nama diadakan oleh berbagai persatuan mahasiswa. Nama sahaja yang lain, 'body" atau kandungan programnya hampir sama sahaja. Ada yang panggil 'Minggu Muhibbah', 'Minggu Suaimesra', 'Minggu Silaturrahim' atau seumpamanya.


Ramai yang bersungut kerana program yang dilaksanakan dalam kegiatan Minggu Orientasi atau Haluan Siswa banyak menimbulkan masalah sosial. Mahasiswa baru banyak disogokkan dengan program hiburan, sukan dan bersuka ria yang melampau-lampau. Kekadang program seperti kuliah subuh dan ceramah-ceramah agama dikurang kan atau disingkatkan masanya. Ceramah-ceramah bercorak materialistik, individualistik dan sebagainya cuba diterapkan ke dalam pemikiran mahasiswa baru. Mereka yang tadinya datang dengan semangat berkobar-kobar membawa panji-panji harapan keluarga, masyarakat dan negara negara mula mendapati hidup di menara gading ini indah khabar dari rupa.


Program-program ini merupakan rintangan-rintangan yang disediakan oleh pihak-pihak tertentu dari membawa mahasiswa kembali ke zaman kegemilangan mereka sebagai pejuang keadilan yang kritis dan dinamis serta tahan diuji daya juang mereka. Banyak pihak berpendapat bukan masanya program Haluan Siswa dijadikan medan bersukaria dan berseronok-seronok dengan mengadakan 'Malam Kebudayaan', 'Malam Bakat Kampus' dan sebagainya yang boleh melalaikan mahasiswa baru.

Menyedari keadaan seperti ini bertentangan dengan Islam dan tidak menepati tujuan asal Haluan Siswa, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pernah membantah acara seperti ini berterusan pada tahun 1986 dan dengan tegas mendesak HEP Universiti Malaya bertanggung jawab mempastikan tiga perkara, iaitu;


Pertama: mengkhususkan satu malam untuk diadakan ceramah berkaitan dengan aspek pengenalan Islam yang dianggap sebagai satu cara hidup (way of life). Kedua: memansuhkan program-program yang boleh dianggap melanggar dan bertentangan dengan akhlak Islam seperti 'Malam Bakat Kampus' yang pada pandangan PMIUM ianya tidak sedikit pun dapat menyumbang kearah pembinaan pemikiran intelektual dikalangan mahasiswa. Ketiga: memastikan nilai-nilai Islam dihormati dan dipatuhi oleh semua mahasiswa/i dan Ahli Jawatan-kuasa Orientasi (JKO).


Sejak pertengahan dekad 1980an, yakni sejak kampus-kampus dipenuhi dengan berbagai kegiatan dakwah dan kumpulan-kumpulan Islam pula menguasai kepimpinan induk mahasiswa, program yang sepatutnya dikendalikan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) ini telah diambil alih pengendaliannya dari tangan mereka. Terdapat di sesetengah universiti exco Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dinafikan hak mereka untuk menjadi ahli Jawatankuasa Orientasi (JKO).


Pemimpin-pemimpin mahasiswa tidak dapat berbuat apa-apa kerana ini hak mutlak HEP. Kesemua program ini dirancang dan dikendalikan oleh HEP. Kehadiran mahasiswa sebagai JKO adalah sekadar pembantu 'yes man' sahaja. Mungkin ini salah satu strategi TNC (HEP) universiti-universiti tempatan untuk membendung kumpulan-kimpulan Islam yang menguasai kepimpinan mahasiswa.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia umpamanya, PMUKM yang diterajui oleh ATMA ketika itu (sekitar tahun 1984/85) telah memberikan tentangan hebat diatas tindakan HEP mengambilalih pengendalian Minggu Orientasi dari pada tangan mereka. Mereka mendakwa HEP sengaja bertindak sedemikian untuk membantu kumpulan TSB dalam pilihanraya kampus kerana pemilihan JKO di mana hampir keseluruhannya terdiri di aktivis kumpulan TSB yang sealiran dengan pegawai HEP.


Peranan dan sikap HEP ini secara tidak langsung berjaya mengurangkan komitmen dan pengaruh kumpulan Islam di kampus kerana sebahagian besar mahasiswa-mahasiswi baru tidak mengikut corak politik kampus tentunya akan terpengaruh dengan cara yang dilakukan oleh HEP ini. Pada mereka tindakan ini ternyata berjaya bila mana, HEP mengambilalih program ini pada sesi 1985/86, kumpui TSB dokongan mereka terus berjaya menguasai PMUKM sesi tersebut.


No comments: