Tragedi Kelesuan Politik Kampus
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
Kebangkitan Imej 'Pondok' di Kampus?
Ke arah manakah kampus-kampus universiti tempatan hendak dibawa? Persoalan ini masih gawat diperkatakan di kalangan tokoh-tokoh pendidik, politik, masyarakat, aktivis Islam dan sebagainya sejak sekian lama. Hingga sekarang persoalan ini masih belum beres sepenuhnya. Setiap kali berubah teraju kepimpinan utama kampus (Naib Canselor dan sebagainya) ataupun Menteri Pendidikan bertukar persoalan ini menjadi hangat semula buat beberapa ketika.
Ketika bekas pemimpin belia Islam ABIM, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguasai pendidikan negara ini sejak pertengahan dekad 80'an, harapan yang begitu besar diletakkan ke atas beliau untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh di negara ini. Pemimpin-pemimpin belia Islam lain pun semakin lantang menyuarakan pengislaman ilmu secara bersepadu. Pendidikan rabbani berorientasikan Islam yang diperjuangkan sejak dekad 1970'an yang dulu dikatakan akan menjadi kenyataan oleh beberapa pihak.
Kemunculan Anwar Ibrahim di Kementerian Pendidikan ketika momentum kegiatan Islam semakin mendatar di kampus dikatakan dapat memberikan nafas baru kepada gerakan belia dan pelajar Islam khususnya di kampus. Sesetengah pentadbir kampus juga memberikan reaksi yang positif ke arah itu seperti yang berlaku di Institut Teknologi MARA (ITM) di bawah Dr.Mansor Salleh, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Dr.Ridzuan Mohd Salleh. Lebih-lebih lagi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di mana Anwar sendiri turut menjadi Presidennya. Tetapi kehadiran Anwar Ibrahim di Kementerian Pendidikan selama setengah dekad tidak berupaya menjadikan kampus berorientasikan Islam apatah lagi melaksanakan pendidikan rabbani.
Kehadiran Anwar di Kementerian Pendidikan adalah sama seperti kehadiran lain-lain Menteri Pendidikan sebelum ini. Tidak ada apa yang harus dibanggakan kepada bekas aktivis belia Islam itu melainkan beliau hanya mempertahankan status 'quo' yang sedia ada dengan sedikit pindaan-pindaan kecil. Harapan gerakan mahasiswa untuk melihat beliau membuat sesuatu kepada Akta Universiti tinggal harapan sahaja.
Anwar yang menjadi Menteri Pendidikan bukan lagi Anwar yang dikenali sebagai Presiden ABIM yang pernah menjadi kebanggaan pemimpin-pemimpin mahasiswa suatu ketika dulu.
Dalam usaha mewujudkan suasana Islam di kampus melalui program-program yang dijalankan, kepimpinan mahasiswa perlu bersungguh-sungguh mengumpulkan tenaga, memerah otak berfikir, mengkaji dan menganalisa strategi bagi menjamin kerja mereka tidak sia-sia. Firman Allah S.W.T; "Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri".
Tetapi dalam masa mengisi kebangkitan Islam, masih ada lagi di kalangan kita yang bersuara sumbang dan mempertahankan apa yang diperjuangkan meskipun terang-terang ianya melewati batas-batas ketentuan yang dibenarkan dalam Islam. Masih ada lagi di antara kita yang sudi menjadi penggerak kepada keruntuhan moral dan akhlak siswa Melayu.
Terdapat pihak yang cuba menjadikan kampus-kampus tempat berpesta dan bersukaria. Berbagai konsert-konsert hiburan diadakan dan kadang-kadangnya mencetuskan kontroversi. Begitu juga denga pergaulan bebas di luar batas-batas agama dan kesusilaan timur hinggakan pernah mencemar nama baik universiti sebagai gedung ilmu.
Jika terdapat gerakan mahasiswa Islam yang cuba membendung budaya ini dari terus menjadi barah masyarakat, pihak-pihak tertentu dengan mudah mengatakan terdapat golongan cuba menghidup imej institusi pondok di kampus-kampus. Mereka mendakwa imej 'pondok' ini menonjol di kampus-kampus yang majoriti mahasiswanya Melayu seperti di UKM, ITM dan UTM. Berbagai hujah-hujah dangkal yang sengaja direka-reka untuk memperkuatkan tuduhan tidak berasas mereka, malah UKM dikatakan 'Universiti Kampung', UTM dikatakan sebagai 'Universiti Tabligh' dan sebagainya.
Gamal Nasir Mohd Ali menulis dalam sebuah akhbar harian, berbahasa Melayu bertajuk, "Imej Pondok di Institusi Pengajian Tinggi" secara melulu menuduh generasi mahasiswa Islam gagal menyesuaikan diri dalam pembaharuan-pembaharuan yang berlaku di depan mata mereka dan menjadi defensif serta bersikap menentang rasional dan modenisasi kerana berfikiran sempit dan ke belakang. Mereka ini didakwa mengekalkan imej pondok bagi menentang arus urbanisasi -industrilisasi serta berpaut teguh kepada ciri-ciri konservatif supaya tidak hanyut dalam perkembangan progresif dan dinamik dengan membawa sikap kolot ke Institusi Pengajian Tinggi.
Bagi mengelakkan tuduhan seperti ini berterusan, kesedaran Islam di kalangan mahasiswa hendaklah ditanggapi dengan penuh tanggungjawab. Sikap mahasiswa Islam yang 'lesu' atau pasif perlu dikikis bagi melahirkan masyarakat kampus yang sensitif dan aggresif. Golongan intelek Islam sewajarnya berfikiran dinamik dan bersikap kritis terhadap aktiviti kemasyarakat, politik, ekonomi, pendidikan dan kepimpinan ummah.
Prof. Madya Annuar Maarof pernah berkata dalam Nada Kampus (akhbar PMUTM), "untuk mengharapkan universiti dapat mengubah setiap individu kampus kearah pembentukan generasi bertaqwa, adalah perkara yang terlalu sukar. Masa yang amat terbatas di kampus selama 3 hingga 5 tahun tidak dapat menyediakan ruang yang cukup untuk 'membasuh' generasi yang telah terdidik selama 13 tahun di dalam satu pendidikan 'non Islamic'. Sesungguhnya 60 peratus daripada satu kelompok masyarakat akan mengikuti sistem pendidikan yang diterimanya di waktu kecil. Hanya 20 peratus yang cuba untuk mengubah. Jadi apalah yang boleh diharapkan sangat" [Annuar Maarof, 1985].
Manakala Prof Diraja Ungku Aziz pemah berkata, "sekularisasi dan sebagainya sudah timbul sejak dulu lagi. Trend dakwah, trend pakai jeans atau trend 'flower people' orang muda ini adalah biasa. Universiti yang baik adalah universiti yang menggambarkan dan mencerminkan masyarakat luar. Dari segi moral, kini bertambah baik. Sekarang ramai wanita muslim yang memakai tudung labuh. Mungkin orang-orang yang 'achievers' mempunyai motivasi yang kuat".
Kenapa kita masih tidak yakin kepada sistem hidup Islam sedangkan Islam menjanjikan suatu suasana yang harmoni dan aman damai sesuai dengan fitrah semulajadi makhluk yang dinamakan manusia. Ideologi-ideologi lain tidak mampu, malah terbukti gagal menangani setiap permasalahan umat manusia. Hanya Islam yang menawarkan penyelesaian yang seadil-adilnya tanpa membezakan warna kulit, kedudukan, ugama dan keturunan. Islam sebagai 'a way of life' sudah menyediakan peraturan yang lengkap sebagaimana firman Allah S.W.T bermaksud; " Dan pada hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu ugama kamu dan Aku cukupkan nikmatKu atasmu dan Aku redhai Islam itu sebagai agama kamu."
Mahasiswa mestilah terus berdakwah dengan menanamkan aqidah dan bukannya sibuk mencari teori-teori baru, slogan-slogan baru atau seumpamanya. Mahasiswa jangan angkuh dengan kedudukan rnereka dan mesti mendekati serta membela rakyat dengan ikhlas serta bersama menghidupkan kembali alam kemahasiswaan dengan mengembalikan kerancakan dan kesegaran dunia kampus yang penuh kecemerlangan dan cabaran.
No comments:
Post a Comment