Pilihanraya Kampus
Pilihanraya kampus merupakan detik-detik penting dalam menentukan corak dan pimpinan pelajar. Saya kira, dalam kerja berpilihanraya seperti ini memang sukar untuk dinafikan berlakunya kumpulan atau "parti" pelajar sama ada secara langsung atau tidak langsung. Memang sukar dan hampir mustahil untuk seseorang pelajar melakukannya bersendirian bertanding dalam pilihanraya kampus. Sebab itu berlaku kewujudan kumpulan-kumpulan tertentu dalam pertandingan pilihanraya kampus yang merupakan kemuncak segala aktiviti pelajar. Malah universiti-universiti utama dan terkemuka seperti Universiti Malaya dan sebagainya membenarkan perkara ini dilakukan secara terang-terangan tanpa perlu berselindung.
Di dalam Seksyen 48 Akta Universiti dan Kolej Universiti (pindaan 1975) memberikan kuasa kepada pihak berkuasa universiti membentuk satu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dipilih oleh pelajar sendiri. Pemilihan wakil pelajar untuk menduduki MPP ini dilakukan menerusi satu pilihanraya MPP yang biasanya dikenali sebagai pilihanraya kampus. Sungguhpun begitu terdapat perbezaan diantara sesebuah universiti dalam mengendalikan pilihanraya kampus ini. Ada universiti yang membenarkan pelajarnya bertanding secara berkumpulan (atau berparti) seperti di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan sebagainya.
Sementara di sesetengah universiti tidak membenarkan bertanding secara berkumpulan, sebaliknya bertanding atas nama individu seperti di Universiti Islam Antarabangsa dan sebagainya.Jika diteliti atau dikaji secara mendalam kewujudan kumpulan atau biasanya disebut parti ini hampir menyamai keadaan sebenar yang berlaku di luar kampus. Parti-parti yang dibentuk oleh pelajar ini ada yang pro-UMNO dan juga pro-PAS. ABIM dan IRC juga membentuk kumpulan mereka sendiri dan mengambil sikap bersendirian ataupun melakukan kerjasama salah satu dari dua parti utama itu mengiku 'trend' atau sikap pimpinan induk mereka.
Di awal 1980'an mereka bekerjasama dengan kumpulan pro-PAS mewujudkan "Barisan Islam" tetapi keadaan sebaliknya berlaku di akhir 1980'an dan dekad 1990'an ini.
Pelajar Cina dan India juga membentuk kumpulan atau parti mereka sendiri. Dalam pilihanraya kampus mereka akan membentuk gabungan dengan parti-parti Melayu menjadi seolah-olah "Barisan Nasional".
Proses pilihanraya kampus hampir menyamai pilihanraya umum yang sebenar. Perang poster dan kempen-kempen dibenarkan selama kira-kira seminggu. Di universiti- universiti yang utama dan "berfikiran terbuka", kempen-kempen pilihanraya begitu hidup dan sentiasa dinanti-nantikan oleh pelajar serta pengkaji-pengkaji politik kampus. Pengundian dan pengiraan undi dilakukan secara terbuka seperti pilihanraya umum. Keputusannya pula biasanya diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (HEP) sebagai pegawai utama pilihanraya sebaik sahaja selesai pengiraan undi.
Menerusi proses pilihanraya ini, pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan Maktab Perguruan berpeluang memilih wakil-wakil mereka bagi kawasan Umum (seluruh kampus) dan Fakulti atau Pusat Pengajian. Calon-calon yang menang dalam pilihanraya ini akan menjadi Ahli MPP selama satu tahun pengajian. Kedudukan MPP seakan menyamai dengan peranan Dewan Rakyat selaku badan perundangan di mana wakil-wakil pelajar menghadiri mesyuarat untuk berbincang, berbahas dan meluluskan sesuatu usul. Resolusi yang diambil oleh ahli MPP dalam membuat sesuatu keputusan memerlukan undi majoriti tetapi bagi mengubah sesuatu keputusan yang telah diambil atau ditetapkan memerlukan majoriti dua pertiga di kalangan ahli MPP.
Majlis Perwakilan Pelajar ini akan membentuk satu badan 'executive' atau 'kabinet' pelajar dikenali sebagai Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU). Kumpulan yang menguasai kerusi terbanyak kalangan ahli MPP akan membentuk kabinet PMU dengan melantik Presiden dan anggota exco yang lain. Manakala kumpulan yang tewas akan bertindak sebagai pembangkang. Tetapi di sesetengah universiti telah menetapkan semua ahli MPP akan memegang jawatan dalam PMU yang dibentuk oleh MPP.
Keputusan pilihanraya kampus terutamanya di universiti- universiti yang utama seperti Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya sentiasa mendapat liputan yang meluas di akhbar-akhbar tempatan. Terdapat ulasan-ulasan yang dibuat berdasarkan keputusan itu untuk menentukan pengaruh parti mana yang lebih kuat dan diterima ramai di kampus-kampus universiti. Keadaan ini begitu ketara di tahun-tahun 1980'an dan era 1990'an ini.
No comments:
Post a Comment