Sunday, January 22, 1995

Kelesuan berpunca daripada penguatkuasaan AUKU

Ulasan bab" -Tragedi Kelesuan Politik Kampus"

Kelesuan berpunca daripada penguatkuasaan AUKU

Oleh

Kamal Azman

(kamaazman@hotmail.com)

Maksud penulis "tragedi kelesuan politik kampus" apabila wujudnya kontradiksi di antara dua zaman iaitu zaman sebelum AUKU(1960-1974) dengan zaman selepas AUKU (1975-1990). Zaman sebelum AUKU penuh dengan kontraversi, demonstrasi dan antiestablisment, manakala selepas AUKU bercorak dalaman, sederhana dan kebajikan pelajar.

Penulis mengupas persoalan-persoalan asas yang diistilahkan "tragedi kelesuan" dengan melemparkan bentuk-bentuk persoalan.Benarkah mahasiswa menggugat? gerakan mahasiswa tergugat? AUKU punca kelesuan? Kerajaan tidak terlibat dalam melesukan politik kampus? HEP berpolitik? MPP tidak berfungsi? Mahasiswa tidak boleh berpolitik? Program orentasi gagal?, Ancaman 3D? dan Imej pondok kampus?

Apa kaitan persoalan itu dengan tragedi politik kampus? Pada penulis, faktor-faktor kelesuan berpunca daripada sikap aktivis mahasiswa, AUKU, MPP, HEP dan kerajaan(Menteri Pendidikan). Semua jawapan itu terangkum dalam persoalan-persoalan yang dikemukakan itu.

Turut dikupas mengenai 'sindrom' atau tanggapan negatif sesetengah pihak berkenaan imej politik kampus-'sindrom 3D' dan 'imej pondok'.

Penulis telah membawa kita menghayati kegiatan siswa sebelum AUKU(sebelum 1970) yang disimpulkan sebagai boleh menggugat kerajaan. Muhamad Abu Bakar dalam bukunya "Mahasiswa Menggugat" meletakkan dua frasa kegiatan siswa ini. Frasa pertama dinama frasa permulaan(1959-1965). Pada frasa ini, kegiatannya kurang menggugat hanya tertumpu kepada aspek dalam kampus dan kebajikan. Frasa kedua dinamakan frasa peralihan(1965-1970).

Maksud frasa peralihan ialah peralihan daripada tumpuan dalaman kampus dan kebajikan kepada aspek luaran dan kebajikan masyarakat luar kampus kepada zaman kontraversi dan demonstrasi. Sudut pidato(Hisyamudin Rais,1966); demonstrasi anti-AS-Hanoi-Haiphong,(Anwar Ibrahim,1966); pembelaan Hamid Tuah(Hisyamuddin Rais,1967) anti-Rusia-penaklukan Czechoslovakia(Anwar-1968),anti-Tengku(Anwar Ibrahim,1969), .Membantah pemecatan Abd. Rahman Yaacub-Menteri Pelajaran(Anwar Ibrahim, 1970),Demo Papan Tanda UM(Anwar Ibrahim, 1970),demo anti-AUKU(Anwar Ibrahim, 1971), Demonstrasi Baling(Anwar Ibrahim, 1974) dan demonstrasi Tasik Utara (Hisyamuddin Rais, 1974)

Kemuncaknya, kuasa siswa berusaha untuk 'merampas kuasa' pentadbiran universiti yang telah dilakukan oleh "Majlis Tertinggi Sementara"(MTS-Anwar Ibrahim) pada 20 September 1974. Tetapi tidak lama kemudian kumpulan pelajar lain yang bergelar "Majlis Tertinggi Nasional"(MTN-Hamzah Zainuddin) berjaya mengambilalih kuasa dan menyerahkan kepada naib canselor semula.

Selepas zaman AUKU, "sudut pidato" telah dibenar semula oleh naib canselor Universiti Malaya, Dr. Syed Hussein Alatas pada tahun 1989, malangnya sudut pidato yang cuba dihidupkan semula itu tidak dipersetujui oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut penulis, tindakan membatalkan sudut pidato sebagai "double standard" dan membantutkan kelahiran aktivis pelajar kerana Datuk Seri Anwar, sebelum menjadi menteri pendidikan merupakan suara siswa yang paling lantang menganjurkan demonstrasi dan menentang AUKU.

Penulis seolah-olah menyalahkan faktor kelesuan politik kampus ini berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, kerana tokoh pelajar itu dianggap penulis sebagai 'orang yang memahami' dan 'dilahirkan atas flatform pelajar', kini telah mempunyai kuasa untuk merubah-sebagai menteri pendidikan(1986-1990)-tetapi telah bertukar pula menjadi faktor penghalang pula dan berusaha mempertahankan status quo yang sedia ada.

Saturday, January 21, 1995

Kebangkitan Imej 'Pondok' di Kampus?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47

Kebangkitan Imej 'Pondok' di Kampus?

Ke arah manakah kampus-kampus universiti tempatan hendak dibawa? Persoalan ini masih gawat diperkatakan di kalangan tokoh-tokoh pendidik, politik, masyarakat, aktivis Islam dan sebagainya sejak sekian lama. Hingga sekarang persoalan ini masih belum beres sepenuhnya. Setiap kali berubah teraju kepimpinan utama kampus (Naib Canselor dan sebagainya) ataupun Menteri Pendidikan bertukar persoalan ini menjadi hangat semula buat beberapa ketika.


Ketika bekas pemimpin belia Islam ABIM, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguasai pendidikan negara ini sejak pertengahan dekad 80'an, harapan yang begitu besar diletakkan ke atas beliau untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh di negara ini. Pemimpin-pemimpin belia Islam lain pun semakin lantang menyuarakan pengislaman ilmu secara bersepadu. Pendidikan rabbani berorientasikan Islam yang diperjuangkan sejak dekad 1970'an yang dulu dikatakan akan menjadi kenyataan oleh beberapa pihak.


Kemunculan Anwar Ibrahim di Kementerian Pendidikan ketika momentum kegiatan Islam semakin mendatar di kampus dikatakan dapat memberikan nafas baru kepada gerakan belia dan pelajar Islam khususnya di kampus. Sesetengah pentadbir kampus juga memberikan reaksi yang positif ke arah itu seperti yang berlaku di Institut Teknologi MARA (ITM) di bawah Dr.Mansor Salleh, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Dr.Ridzuan Mohd Salleh. Lebih-lebih lagi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di mana Anwar sendiri turut menjadi Presidennya. Tetapi kehadiran Anwar Ibrahim di Kementerian Pendidikan selama setengah dekad tidak berupaya menjadikan kampus berorientasikan Islam apatah lagi melaksanakan pendidikan rabbani.


Kehadiran Anwar di Kementerian Pendidikan adalah sama seperti kehadiran lain-lain Menteri Pendidikan sebelum ini. Tidak ada apa yang harus dibanggakan kepada bekas aktivis belia Islam itu melainkan beliau hanya mempertahankan status 'quo' yang sedia ada dengan sedikit pindaan-pindaan kecil. Harapan gerakan mahasiswa untuk melihat beliau membuat sesuatu kepada Akta Universiti tinggal harapan sahaja.


Anwar yang menjadi Menteri Pendidikan bukan lagi Anwar yang dikenali sebagai Presiden ABIM yang pernah menjadi kebanggaan pemimpin-pemimpin mahasiswa suatu ketika dulu.
Dalam usaha mewujudkan suasana Islam di kampus melalui program-program yang dijalankan, kepimpinan mahasiswa perlu bersungguh-sungguh mengumpulkan tenaga, memerah otak berfikir, mengkaji dan menganalisa strategi bagi menjamin kerja mereka tidak sia-sia. Firman Allah S.W.T; "Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri".


Tetapi dalam masa mengisi kebangkitan Islam, masih ada lagi di kalangan kita yang bersuara sumbang dan mempertahankan apa yang diperjuangkan meskipun terang-terang ianya melewati batas-batas ketentuan yang dibenarkan dalam Islam. Masih ada lagi di antara kita yang sudi menjadi penggerak kepada keruntuhan moral dan akhlak siswa Melayu.


Terdapat pihak yang cuba menjadikan kampus-kampus tempat berpesta dan bersukaria. Berbagai konsert-konsert hiburan diadakan dan kadang-kadangnya mencetuskan kontroversi. Begitu juga denga pergaulan bebas di luar batas-batas agama dan kesusilaan timur hinggakan pernah mencemar nama baik universiti sebagai gedung ilmu.


Jika terdapat gerakan mahasiswa Islam yang cuba membendung budaya ini dari terus menjadi barah masyarakat, pihak-pihak tertentu dengan mudah mengatakan terdapat golongan cuba menghidup imej institusi pondok di kampus-kampus. Mereka mendakwa imej 'pondok' ini menonjol di kampus-kampus yang majoriti mahasiswanya Melayu seperti di UKM, ITM dan UTM. Berbagai hujah-hujah dangkal yang sengaja direka-reka untuk memperkuatkan tuduhan tidak berasas mereka, malah UKM dikatakan 'Universiti Kampung', UTM dikatakan sebagai 'Universiti Tabligh' dan sebagainya.


Gamal Nasir Mohd Ali menulis dalam sebuah akhbar harian, berbahasa Melayu bertajuk, "Imej Pondok di Institusi Pengajian Tinggi" secara melulu menuduh generasi mahasiswa Islam gagal menyesuaikan diri dalam pembaharuan-pembaharuan yang berlaku di depan mata mereka dan menjadi defensif serta bersikap menentang rasional dan modenisasi kerana berfikiran sempit dan ke belakang. Mereka ini didakwa mengekalkan imej pondok bagi menentang arus urbanisasi -industrilisasi serta berpaut teguh kepada ciri-ciri konservatif supaya tidak hanyut dalam perkembangan progresif dan dinamik dengan membawa sikap kolot ke Institusi Pengajian Tinggi.


Bagi mengelakkan tuduhan seperti ini berterusan, kesedaran Islam di kalangan mahasiswa hendaklah ditanggapi dengan penuh tanggungjawab. Sikap mahasiswa Islam yang 'lesu' atau pasif perlu dikikis bagi melahirkan masyarakat kampus yang sensitif dan aggresif. Golongan intelek Islam sewajarnya berfikiran dinamik dan bersikap kritis terhadap aktiviti kemasyarakat, politik, ekonomi, pendidikan dan kepimpinan ummah.


Prof. Madya Annuar Maarof pernah berkata dalam Nada Kampus (akhbar PMUTM), "untuk mengharapkan universiti dapat mengubah setiap individu kampus kearah pembentukan generasi bertaqwa, adalah perkara yang terlalu sukar. Masa yang amat terbatas di kampus selama 3 hingga 5 tahun tidak dapat menyediakan ruang yang cukup untuk 'membasuh' generasi yang telah terdidik selama 13 tahun di dalam satu pendidikan 'non Islamic'. Sesungguhnya 60 peratus daripada satu kelompok masyarakat akan mengikuti sistem pendidikan yang diterimanya di waktu kecil. Hanya 20 peratus yang cuba untuk mengubah. Jadi apalah yang boleh diharapkan sangat" [Annuar Maarof, 1985].


Manakala Prof Diraja Ungku Aziz pemah berkata, "sekularisasi dan sebagainya sudah timbul sejak dulu lagi. Trend dakwah, trend pakai jeans atau trend 'flower people' orang muda ini adalah biasa. Universiti yang baik adalah universiti yang menggambarkan dan mencerminkan masyarakat luar. Dari segi moral, kini bertambah baik. Sekarang ramai wanita muslim yang memakai tudung labuh. Mungkin orang-orang yang 'achievers' mempunyai motivasi yang kuat".


Kenapa kita masih tidak yakin kepada sistem hidup Islam sedangkan Islam menjanjikan suatu suasana yang harmoni dan aman damai sesuai dengan fitrah semulajadi makhluk yang dinamakan manusia. Ideologi-ideologi lain tidak mampu, malah terbukti gagal menangani setiap permasalahan umat manusia. Hanya Islam yang menawarkan penyelesaian yang seadil-adilnya tanpa membezakan warna kulit, kedudukan, ugama dan keturunan. Islam sebagai 'a way of life' sudah menyediakan peraturan yang lengkap sebagaimana firman Allah S.W.T bermaksud; " Dan pada hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu ugama kamu dan Aku cukupkan nikmatKu atasmu dan Aku redhai Islam itu sebagai agama kamu."


Mahasiswa mestilah terus berdakwah dengan menanamkan aqidah dan bukannya sibuk mencari teori-teori baru, slogan-slogan baru atau seumpamanya. Mahasiswa jangan angkuh dengan kedudukan rnereka dan mesti mendekati serta membela rakyat dengan ikhlas serta bersama menghidupkan kembali alam kemahasiswaan dengan mengembalikan kerancakan dan kesegaran dunia kampus yang penuh kecemerlangan dan cabaran.


Friday, January 20, 1995

Benarkah kampus diancam 3D?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Benarkah kampus diancam 3D?

Ketika semua 'pengurus pendidikan tinggi' sedang giat mencari punca dan strategi menghadapi fenomena yang menggugat kewibawaan kampus-kampus sebagai tempat yang dihormati setelah masyarakat memandang rendah kepada siswazah-siswazah kelahiran mereka kerana dikatakan gagal berkomunikasi, tidak tahu berbahasa orang putih dan sebagainya.


Datuk Ani Arope seorang tokoh korporat terkemuka ketika menjadi Pengerusi Majlis Institut Teknologi MARA (sekarang Pengerusi Majlis Universiti Sains Malaysia) telah mendedahkan masalah 'baru', yang mengancam mahasiswa khususnya pelajar ITM di konvensyen ITM ke 34.

Menurutnya mahasiswa sekarang diancam oleh "masalah 3D", iaitu dadah, dakwah songsang dan disko. Masalah ini sedang melanda kampus khususnya ITM yang dijaga oleh beliau sendiri. Persoalan yang timbul, apakah masalah ini baru berlaku atau telah lama berlaku dan sekarang pihak berkuasa baru membuka mata setelah keadaan menjadi semakin parah? Atau masalah ini hanya melanda ITM sahaja dan kampus lain tidak diserang wabak ini? Kampus lain bebas dari serang 3D yang disebut oleh Datuk Ani Arope. Malah ada pihak mengatakan perlu ditambah satu lagi perbuatan 'dedah' menjadikan 4D.


Osman Abdullah dalam tulisannya, "Jawapan kepada ancaman 3D-Dr. Ani Arope : Disko dan Dadah hasil sistem kapitalis" menyebut, sebenarnya dadah dan disko merupakan pelalian rakyat oleh tindak. tanduk pemerintah atas norma rakyat yang sengaja dilupakan. Hal begini sebenamya adalah pendekatan yang dinasihatkan oleh Niccolo Machiavelli kepada pemerintah yang ingin tahu bagaimana cara menguasai sentimen rakyat biasa untuk terus menyokong kerajaan.


Beliau juga berpendapat kedua-dua masalah tersebut adalah satu budaya baru masyarakat industri baik Anglo-Saxon ataupun Orient (Timorai) Jepun. Jika orang kampung dalam masyarakat desa di waktu petang berjamaah di surau atau masjid, masyarakat industri menghilangkan gangguan kehidupan dengan mengunjungi disko, tenggelam dalam budaya hiburan muzik dan pergaulan bebas. Jadi benih yang ditanam oleh sistem politik dan ekonominya pastilah membuah hasil sebagaimana yang difahami.


Berbalik kepada perkara pokok 3D ini, benarkah berlaku dakwah songsang di kampus? Siapakah pendokong dakwah songsang ini tidak pula disebut secara jelas. Mungkinkah dakwah songsang ini ditujukan kepada golongan Arqam yang diharamkan oleh pihak kerajaan baru- baru ini. Banyak perkara yang tidak disenangi terhadap Arqam ini yang terpaksa dipendam sebelum ini seperti siswi-siswi yang terlibat denganArqam meninggalkan pengajian sebelum tamat, berpurdah di kampus dan banyak lagi. Kesempatan mengecam Arqam tiba bila kerajaan mengharamkan kegiatan kumpulan tersebut. Tapi kalau bukan Arqam kumpulan dakwah mana lagi?


Bukan sahaja dakwah songsang yang diperangi. Malah kumpulan mahasiswa lain berdakwah di kampus pun tidak disenangi oleh pihak tertentu dengan berbagai tuduhan. Sebagai contohnya Nakhaei Hj. Ahmad menggunakan istilah 'dakwah sempit' kononnya memundurkan siswa (Panca Utusan,l November, 1991). Faisal Othman menggunakan istilah 'golongan yang hendak mewujudkan sistem pondok' di kampus. Berbagai lagi istilah yang digunakan terhadap kumpulan yang kembali kepada Islam. Tiada penjelasan yang jitu bagaimana dakwah sempit dan bagaimana sistem pondok diwujudkan oleh kumpulan mahasiswa Islam ini.


Apa yang jelas kepada masyarakat, mereka ini menentang berhabisan kumpulan Islam ini adalah kerana mereka gagal hendak menjadikan kampus ini tempat berpesta dan bersukaria kerana banyak percubaan membawa konsert-konsert rock dan seumpamanya dihalang oleh majoriti mahasiswa Islam. Tidak cukup dengan disko-disko dan pusat-pusat hiburan di luar, mereka mahu kampus juga dibanjiri oleh kegiatan-kegiatan seumpama ini.


Sementara seorang penulis lain menyebut, pimpinan kampus sekarang ini sedang menggalakkan budaya jamuan tahunan dan seumpamanya di hotel-hotel mewah serta kekadangnya diadakan majlis tari menari. Setidak-tidaknya mereka membawa masuk ke kampus konsert-konsert tertentu bagi menyerikan jamuan mereka. Di samping terdapat usaha untuk mempopularkan budaya 'senamrobik' di kampus-kampus. Fenomena ini memberikan saham yang besar kepada ancama disko di kalangan mahasiswa.


Begitu juga berhubung dengan masalah dadah di kalangan mahasiswa didapati berlaku kerana mereka menepikan Islam sebagai pegangan hidup mereka. Kumpulan mahasiswa Islam yang dituduh kolot dan sebagainya didapati tidak terlibat dalam kegiatan dadah. Dengan wujudnya dakwah Islamiah di kalangan mahasiswa, sebilangan besar mahasiswa bebas dari dadah. Yang terlibat dengan dadah ini adalah dari kumpulan yang kecewa dan mahu 'happy go lucky" sahaja. Jika Datuk Dr. Ani Arope dan ITM (sekarang beliau di USM) benar-benar mahu membenteras wabak ini, tidak mustahil ITM akan menjadi kampus kedua menjadi sasaran pihak-pihak berideologi sekular selepas UKM. Kita bimbang kalau-kalau ada akhbar harian akan menuduh Datuk Ani Arope pula ingin mewujudkan institusi pondok di ITM.


Sementara itu Osman Abdullah berpendapat golongan ini sedang menghadapi 3C iaitu Capitalis Minds (Minda Kapitalis), Corporationist Minds (Minda Korporatis) dan Corruption of environmetalism, iaitu susun lapis terkini dalam jendela kuasa 'metropolitan societis' yang selalu digambarkan oleh pemikiran-pemikiran sebelum ini sebagai simbol keagungan 'globalisation Megatrends 2000'.

Wednesday, January 18, 1995

Program Orientasi gagal ?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Program Orientasi gagal ?

Salah satu program untuk memperkenalkan mahasiswa baru untuk mengenali "alam kampus" dipanggil dengan berbagai nama sama ada 'Program Haluan Siswa', 'Program Orientasi Mahasiswa Baru', 'Program Silaturahim', 'Program Taaruf' dan sebagainya. Program tradisi ini dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sejak beberapa tahun lalu setelah 'merampas'nya secara terhormat pengendaliannya dari Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) pada pertengahan dekad 80'an. Pegawai-pegawai HEP akan memilih sebilangan mahasiswa yang bersedia menjadi 'pak turut' sebagai pembantu mereka mengendali program ini.


Berbagai aturcara disediakan untuk menyambut 'orang baru' Dalam masa seminggu atau sepuluh hari sebelum memulakan pengajian, pelbagai aktivih dilaksanakan dalam program orientasi ini. Di samping itu terdapat juga program yang berlaku secara 'kebetulan' seperti adik angkat, kakak angkat dan sebagainya. Disebalik 'blue print' program orientasi ini, seringkali juga berlaku penyelewengan di mana berlaku kes-kes 'ragging' yang tidak bermoral yang dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa lama termasuk juga oleh AJKO sendiri. Berbagai tindakan dilakukan oleh kumpulan ini ke atas mahasiswa baru seperti ditampar, menari bogel dan berbagai lagi kegiatan yang tidak bermoral.


Terdapat beberapa kes tidak bermoral yang memaksa pihak universiti bertindak tegas memecat mahasiswa yang terbabit dari meneruskan pengajian mereka. Di akhir dekad 1980an pernah kes seumpama ini menjadi kes politik bila Presiden MIC mempertikaikkan keputusan Lembaga Disiplin Universiti bertindak membuang mahasiswa India tajaan mereka yang terlibat dalam kes tidak bermoral seperti itu.


Selepas seminggu program orientasi yang dijalankan oleh HEP berbagai-bagai kegiatan orientasi dan majlis-silaturahim yang dipanggil dengan berbagai nama diadakan oleh berbagai persatuan mahasiswa. Nama sahaja yang lain, 'body" atau kandungan programnya hampir sama sahaja. Ada yang panggil 'Minggu Muhibbah', 'Minggu Suaimesra', 'Minggu Silaturrahim' atau seumpamanya.


Ramai yang bersungut kerana program yang dilaksanakan dalam kegiatan Minggu Orientasi atau Haluan Siswa banyak menimbulkan masalah sosial. Mahasiswa baru banyak disogokkan dengan program hiburan, sukan dan bersuka ria yang melampau-lampau. Kekadang program seperti kuliah subuh dan ceramah-ceramah agama dikurang kan atau disingkatkan masanya. Ceramah-ceramah bercorak materialistik, individualistik dan sebagainya cuba diterapkan ke dalam pemikiran mahasiswa baru. Mereka yang tadinya datang dengan semangat berkobar-kobar membawa panji-panji harapan keluarga, masyarakat dan negara negara mula mendapati hidup di menara gading ini indah khabar dari rupa.


Program-program ini merupakan rintangan-rintangan yang disediakan oleh pihak-pihak tertentu dari membawa mahasiswa kembali ke zaman kegemilangan mereka sebagai pejuang keadilan yang kritis dan dinamis serta tahan diuji daya juang mereka. Banyak pihak berpendapat bukan masanya program Haluan Siswa dijadikan medan bersukaria dan berseronok-seronok dengan mengadakan 'Malam Kebudayaan', 'Malam Bakat Kampus' dan sebagainya yang boleh melalaikan mahasiswa baru.

Menyedari keadaan seperti ini bertentangan dengan Islam dan tidak menepati tujuan asal Haluan Siswa, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pernah membantah acara seperti ini berterusan pada tahun 1986 dan dengan tegas mendesak HEP Universiti Malaya bertanggung jawab mempastikan tiga perkara, iaitu;


Pertama: mengkhususkan satu malam untuk diadakan ceramah berkaitan dengan aspek pengenalan Islam yang dianggap sebagai satu cara hidup (way of life). Kedua: memansuhkan program-program yang boleh dianggap melanggar dan bertentangan dengan akhlak Islam seperti 'Malam Bakat Kampus' yang pada pandangan PMIUM ianya tidak sedikit pun dapat menyumbang kearah pembinaan pemikiran intelektual dikalangan mahasiswa. Ketiga: memastikan nilai-nilai Islam dihormati dan dipatuhi oleh semua mahasiswa/i dan Ahli Jawatan-kuasa Orientasi (JKO).


Sejak pertengahan dekad 1980an, yakni sejak kampus-kampus dipenuhi dengan berbagai kegiatan dakwah dan kumpulan-kumpulan Islam pula menguasai kepimpinan induk mahasiswa, program yang sepatutnya dikendalikan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) ini telah diambil alih pengendaliannya dari tangan mereka. Terdapat di sesetengah universiti exco Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dinafikan hak mereka untuk menjadi ahli Jawatankuasa Orientasi (JKO).


Pemimpin-pemimpin mahasiswa tidak dapat berbuat apa-apa kerana ini hak mutlak HEP. Kesemua program ini dirancang dan dikendalikan oleh HEP. Kehadiran mahasiswa sebagai JKO adalah sekadar pembantu 'yes man' sahaja. Mungkin ini salah satu strategi TNC (HEP) universiti-universiti tempatan untuk membendung kumpulan-kimpulan Islam yang menguasai kepimpinan mahasiswa.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia umpamanya, PMUKM yang diterajui oleh ATMA ketika itu (sekitar tahun 1984/85) telah memberikan tentangan hebat diatas tindakan HEP mengambilalih pengendalian Minggu Orientasi dari pada tangan mereka. Mereka mendakwa HEP sengaja bertindak sedemikian untuk membantu kumpulan TSB dalam pilihanraya kampus kerana pemilihan JKO di mana hampir keseluruhannya terdiri di aktivis kumpulan TSB yang sealiran dengan pegawai HEP.


Peranan dan sikap HEP ini secara tidak langsung berjaya mengurangkan komitmen dan pengaruh kumpulan Islam di kampus kerana sebahagian besar mahasiswa-mahasiswi baru tidak mengikut corak politik kampus tentunya akan terpengaruh dengan cara yang dilakukan oleh HEP ini. Pada mereka tindakan ini ternyata berjaya bila mana, HEP mengambilalih program ini pada sesi 1985/86, kumpui TSB dokongan mereka terus berjaya menguasai PMUKM sesi tersebut.


Tuesday, January 17, 1995

Mahasiswa tidak boleh berpolitik ?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus-AUKU Menyekat Mahasiswa Berpolitik?-Bah. 3

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Mahasiswa tidak boleh berpolitik ?

Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik sudah menjadi lumpuh. Sejak dahulu hingga sekarang, kegiatan politik sukar dipisahkan dari gerakan mahasiswa. Mahasiswa tidak mahu ketinggalan dalam kegiatan politik. Tetapi mereka tidak dibenarkan bergiat cergas dalam politik kepartian. Berbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menafikan hak mahasiswa untuk terlibat sama dalam kegiatan di negara ini.


Kesedaran politik di kalangan mahasiswa amat diperlukan untuk menggerakkan gerakan mahasiswa supaya sentiasa aktif dan 'concern' dengan persekitaran mereka. Mereka perlu memahami politik negara supaya matang dengan perkembangan semasa yang berlaku. Dengan ini gerakan mahasiswa tidak hanya sekadar mengadakan aktiviti rutin sahaja sesuai dengan harapan yang diberikan masyarakat kepada mereka untuk menerajui generasi akan datang.


Kegiatan politik mahasiswa disekat sama sekali terutama dengan mewujudkan Seksyen 15 dalam AUKU (pindaan 1975). Peruntukan dalam seksyen ini menghalang sama sekali untuk mah siswa terlibat dalam kegiatan politik, dimana ;


Seksyen 15 (1) dan (2): Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar daripada menjadi ahli atau bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti kesatuan sekerja dan lain-lain kecuali sebagaimana diperuntukan Perlembagaan Universiti atau diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor.

Manakala Seksyen 15(3) dan (4): Melarang pelajar pertubuhan pelajar daripada menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain badan.


Melalui Seksyen 15(1),(2),(3) dan (4), mahasiswa dilarang sama sekali dari menganggotai mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan seumpamanya. Mereka juga tidak boleh bersuara sama ada untuk menyatakan sokongan, bangkangan ataupun bersimpati kepada pihak terbabit.
Disamping itu terdapat banyak lagi peruntukan lain dalan tersebut yang membatas kegiatan mahasiswa untuk terlibat aktiviti politik. Di antaranya adalah;


Seksyen 7(3): Tiada seorang pelajar boleh menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan kecuali mendapat kebenaran dari Naib Cancelor atau orang yang diberi kuasa olehnya.

Sementara seksyen 11 : Melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada menjalankan sebarang aktiviti di luar kampus kecuali dengan kebenaran bertulis Naib Canselor.


Dari segi hak asasi manusia, akta ini dikatakan bersifat 'standard' kerana disifatkan bertentangan dengan perlembagaan yang memberikan kebebasan ini kepada rakyatnya. Bagi mahasiswa di luar negara menikmati semuanya ini, malah digalakkan bergiat cergas dan boleh menubuhkan cawangan parti-parti tertentu terutamanya parti pemerintah seperti Kelab UMNO, MCA dan sebagainya di seluruh pelusuk dunia. Tetapi mahasiswa dalam negara dinafikan hak untuk terlibat dalam politik.


Kecenderungan mahasiswa untuk terlibat dalam isu-isu politik tidak terbendung dengan peruntukan yang ada dalam AUKU. Mereka sering menganjurkan forum-forum politik walaupun terpaksa berhadapan dengan berbagai kerenah pihak berkuasa universiti dalam memilih tokoh-tokoh tertentu terutamanya dari pihak pembangkang. Begitu juga mereka sering menganjurkan seminar-seminar politik. Di samping iru mereka juga sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbau politik walaupun terpaksa menghadapi risiko diambil tindakan tatatertib ataupun terpaksa menjawab surat tunjuk sebab kenapa tindakan tatatertib tindak boleh diambil ke atas mereka.


Mahasiswa selepas akta juga tidak mahu ketinggalan melibatkan diri dalam pilihanraya umum kebangsaan. Mereka turut mengadakan 'Pentas Mahasiswa' untuk berkempen menyatakan sikap mereka terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara seperti yang terjadi dalam piliharaya umum, 1986 dan 1990. Disamping itu mereka juga mengeluarkan manifesto mereka untuk disebarkan kepada pengundi-pengundi.


Malah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pernah bercadang untuk menaja calon mereka dalam Pilihanraya Kecil Bentong sedikit masa dahulu. Tindakan PMUM ini telah mendapat reaksi pro dan kontra dari berbagai pihak berhubung dengan tindakan PMUM untuk menghantar proksi dalam pilihanraya kecil tersebut. Gimik politik beberapa kerat pemimpin PMUM menjadi 'berkesan' bila mereka menamakan Timbalan Presiden PMUM ketika itu, Azmi Tajuddin yang kebetulan akan menamat pengajian sebagai calon mereka.

Monday, January 16, 1995

Majlis Perwakilan Pelajar Tidak Berfungsi ?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Majlis Perwakilan Pelajar Tidak Berfungsi ?

Setiap kali sesi baru bermula, isu politik kampus hangat diperkatakan oleh semua pihak yang berminat mengikuti perkembangan ini.. Bilakah pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau piliham kampus akan diadakan? Golongan manakah yang akan menguasai tampuk kepimpinan kampus? Inilah di antara topik yang hangat diperbualkan di kalangan politikus kampus. Mereka seolah-olah begituh minat terhadap perkembangan politik kampus.

Tapi keghairahan mereka terhadap pilihanraya kampus tak ke mana. Habis pilihanraya mereka pun senyap dengan hal masing-masing kecuali dua tiga 'kerat' sahaja. Apa yang MPP nak buat selepas itu, mereka tak ambil pusing lagi. Tugas mereka memilih MPP telah berakhir (?). Mereka sudah tidak berminat lagi untuk mengetahui, apa peranan MPP diadakan ? Kemanakah perjuangan pelajar hendak dihalakan? Untuk siapakah MPP itu?


Majlis Perwakilan Pelajar sendiri tidak "berhak" mencorakkan perjuangannya dengan lebih terbuka dan bebas kerana boleh diambil tindakan undang-undang bila-bila masa. Seolah-olah mereka lebih senang MPP menjadi golongan "yes man" dari bertindak sebagai "presure group" yang membina atau lebih tepat agaknya kalau kita katakan MPP adalah untuk membantu bahagian Hal Ehwal Pelajar di dalam pentadbiran universiti. Kesannya jadilah MPP sebagai badan penganjur program-program bercorak kebudayaan, sukan dan baktisiswa sahaja.

Apa tidaknya? Mereka ini dikongkong dan tidak dibenarkan bersuara lantang menegur atau mengkritik sesuatu tindakan yang dibuat walaupun tindakan tersebut melanggar undang-undang dan mencabul hak kebebasan bersuara yang dibenarkan oleh demokrasi. Mereka ini tidak dibenarkan membuat kenyataan akhbar dan bersuara lantang diugut dengan berbagai peraturan.


Apakah ini satu perkembangan yang sihat untuk melahir pemimpin yang berkaliber generasi 2020? Apa untungnya melahirkan pemimpin "yes man" kepada pembangunan negara? Apakah tidak mungkin negara akan menuju ke gerbang kehancuran kerana melahirkan pemimpin yang tidak berpendirian, rasuah dan pentingkan diri sendiri. Berbagai lagi persoalan lain yang timbul.


Suatu ketika dulu, pemimpin-pemimpin negara percaya terhadap kemampuan mahasiswa memainkan peranan mereka dalam masyarakat. Allahyarham Tun Razak pernah menekankan, "sebagai bakal pemimpin, mahasiswa mestilah menggabungkan pelajaran akademik dengan fahaman praktis terhadap kedudukan masyarakat dan negara di mana mereka terlibat."


Dulu pergerakan mahasiswa tidak pernah disekat, kini zaman itu telah berlalu dan menjadi kenangan dalam sejarah perjuangan mahasiswa. Kita tidak nafikan MPP diberikan sedikit suara di dalam perjalanan pentadbiran universiti. Sekurang-kurangnya dapatlah wakil mahasiswa yang dipilih menduduki MPP memberi sedikit pandangan dalam perjalanan universiti tetapi pendapat yang dibenarkan mestilah tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak pentadbiran universiti.


Tanpa disedari sedikit demi sedikit Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) khususnya Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) semakin tidak berperanan. MPP semakin tidak mendapat sokongan. Mahasiswa semakin tidak tahu peranan MPP yang sebenarnya. Pemimpin MPP yang dipilih seharusnya menyedari kehendak mahasiswa dan keadaan semasa. Pemimpin mahasiswa tidak seharusnya bertindak mengikut masa dan "carbon copy" sahaja.


Mereka tidak perlu takut untuk melakukan reformasi dan mencuba beberapa pendekatan baru bagi mengembalikan keunggulan MPP sebagaimana peranannya di zaman silam. Beberapa langkah perlu diambil oleh pemimpin mahasiswa kini khususnya yang terlibat dalam MPP untuk mendekatkan kembali mahasiswa dengan MPP. Buku Gerakan Pelajar Wawasan 2020 (edisi terbaru Buku Gerakan Pelajar : Kepimpinan, Pengurusan dan Cabaran - insyaAllah akan membicarakan perkara ini) memberikan penjelasan lebih lanjut berhubung dengan perkara ini. Kerancakan kembali politik kampus boleh manamatkan zaman "bisu" yang berlaku di kampus-kampus sejak selepas akta


Sunday, January 15, 1995

HEP 'berpolitik' dengan pelajar?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


HEP 'berpolitik' dengan pelajar?

Setelah wujudnya Hal Ehwal Pelajar, kebebasan pelajar dianggap sudah tidak wujud lagi. Majlis Perwakilan Pelajar sudah tidak bebas lagi bertindak memperjuangkan kepentingan dan kebebasan mahasiswa dan masyarakat luar. Begitu juga persatuan-persatuan tidak bebas lagi membuat apa-apa keputusan dalam apa-apa jua perkara sebelum merujuk kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar.


Memang tidak dapat dinafikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ini memberikan saham yang besar dalam tragedi ini. Dengan wujudnya HEP selepas pindaan AUKU 1975, peranan mahasiswa dalam mengendalikan kegiatan mereka menjadi semakin kecil malah kadang-kadang HEP berlumba-lumba dengan persatuan mahasiswa unruk mengendalikan sesuatu akhviti.

Segala pergerakan mahasisi mestilah mendapat kelulusan HEP sebelum boleh dilaksanakan di mana kelulusan dan syarat HEP tidak boleh dipertikaikan kerana kuasa terlalu besar diberikan kepada mereka sehingga boleh menentukan perjalanan dan akriviti persatuan.


Peraturan tertentu yang memberikan kuasa kepada Naib Canselor atau Menteri Pendidikan menentukan sesuatu perkara menyebabkan mereka berkuasa untuk 'memalapkan' lagi aktiviti kemahasiswaan sekiranya tidak memenuhi 'cita rasa' Naib Canselor atau Menteri berkenaan. Tetapi hari ini, keadaan seperti ini sudah tidak wujud lagi.


Kebebasan berpesatuan sudah terhad selepas pindaan keramat tersebut. Setiap persatuan yang hendak ditubuhkan mahasiswa mestilah dirujukkan terlebih dahulu kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi mendapat 'green light' sebelum boleh memanjangkan kepada Majlis Universiti untuk mendapat kelulusan. Sebenarnya mahasiswa sudah tidak bebas lagi menubuhkan sebarang persatuan yang mereka kehendaki sekiranya bertentangan denga 'citarasa' HEP. Lain Universiti, lain pula cita rasa pihak berkuasa HEP dalam mentafsir dan melaksanakan akta tersebut.


Sebagai contohnya persatuan-persatuan anak negeri tidak dapat didaftarkan secara rasmi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Tetapi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) persatuan bercorak tersebut dibenarkan dan dapat bergerak aktif. Begitu juga di sesetengah universiti seperti UUM misalnya tidak membenarkan wujudnya persatuan bercorak keagamaan seperti Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan sebagainya.


Persatuan-persatuan pelajar juga boleh dipermain-mainkan oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar pada bila-bila masa tanpa boleh dipertikaikan dengan menggunakan 'kuasa penuh' yang diperuntukkan kepada mereka. HEP boleh bertindak sewenang-wenangnya kepada pihak-pihak yang enggan 'tunduk' dan menjadi 'yes man' kepada mereka.Di antara cara yang digunakan oleh HEP menyelesaikan perkara adalah mengambil alih pengendalian Program Orientasi atau Haluan Siswa dari pihak Persatuan Mahasiswa Universiti.


Berbagai kerenah birokrasi yang ketat juga sengaja diwujudkan oleh HEP untuk membendung kegiatan berpersatuan. Pihak HEP dengan sewenang-wenangnya boleh membendung kelulusan sesuatu program yang hendak dilaksanakan oleh mahasiswa. Begitu juga masa untuk menunggu kelulusan pendaftaran sesuatu persatuan memakan masa yang lama, kekadangnya memakan masa setahun lebih.


Mahasiswa juga tidak dibenarkan berhubung dengan pertubuhan luar dengan sebebas-bebasnya. Malah untuk menyatakan sokongan moral kepada pertubuhan luar juga tidak dibenarkan walaupun isu tersebut mengenai kebajikan mereka. Contohnya sokongan moral PMUTM pada tahun 1986 kepada Persatuan Ulama Malaysia yang memperjuangkan hak mahasiswa berpurdah yang digantung pengajian mereka telah tidak dibenarkan dengan alasan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti pindaan 1975 (Akta 30, seksyen 15 ceraian 2,3,4,5) sama ada berbentuk simpati,sokongan,bantahan dan lain-lain yang boleh ditafsirkan demikian.

Begitu juga dengan yang terbaru dalam dekad 1990'an ini, isu "Demonstrasi mahasiswa membantah tindakan kerajaan Terenganu meroboh bangunan Institut Berakan" yang beroperasi di atas tanah kerajaan sejak tahun 1977 lagi telah menyebabkan ramai pemimpin mahasiswa dikenakan tindakan tatatertib. Malah terdapat ramai pemimpin mahasiswa dari UKM, UPM dan UTM yang tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam persatuan mahasiswa serta ada yang dilucutkan jawatan mereka secara paksa.


Pihak HEP hanya bertindak memberikan sedikit kelonggaran ,untuk mengadakan beberapa aktiviti tertentu seperti seminar, kursus, jamuan tahunan, forum dan sebagainya dengan syarat persatuan pelajar janganlah pula mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh ditafsirkan melanggar AUKU (pindaan 1975) sehingga HEP akan mendapat 'kesusahan' dengan pihak atasan.
Selagi projek yang hendak dilaksanakan tidak menyusahkan HEP, persatuan pelajar tidak akan disekat dari meneruskannya. HEP tidak kisah walaupun terdapat 3 atau 4 program dalam satu masa yang dikendalikan oleh persatuan tertentu. Mahasiswa akan berpecah mengikuti salah satu dari program tersebut sekiranya mereka berminat.Dasar pecah dan perintah ini memang baik untuk universiti kerana pelajar tidak dapat bersatu.


Saturday, January 14, 1995

Tragedi Kelesuan Mahasiswa : Kerajaan tidak terlibat ?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47

Tragedi Kelesuan Mahasiswa : Kerajaan tidak terlibat ?

Dengan wujudnya AUKU juga kekuasaan mahasiswa ke atas kegiatan mereka dan lain-lain kemudahan yang diperuntukkan kepada mereka menjadi terhad. Sebelum akta, pentadbiran alat cetak, perkhidmatan bas, 'loud speaker', sudut pidato, orientasi mahasiswa baru dan sebagainya dikendalikan sendiri oleh Persatuan Mahasiswa Universiti. Tetapi sekarang tugas tersebut diambil alih oleh pihak Pentadbir Universiti dan mahasiswa dikehendaki menjadi 'pelakon tambahan' dengan berbagai syarat setelah memohon untuk melakukannya atau menyertainya.


Mahasiswa tidak lagi mempunyai kuasa terhadap kemudahan yang disediakan kepada mereka setelah HEP diwujudkan dalam pentadbiran universiti untuk menyelaras kegiatan kemahasiswaan. Sedangkan keadaan yang berlaku hari ini adalah sebaliknya di mana HEP bukan lagi bertindak sebagai "koordinator" atau penyelaras, tetap "penguasa penuh" dalam sebarang aktiviti mahasiswa.


Satu lagi kesan yang jelas terasa dalam kegiatan mahasiswa selepas akta adalah kehilangan "Sudut Pidato" yang diharamkan oleh pihal berkuasa. Selama lebih 14 tahun sudut pidato hilang dari aktivili mahasiswa. Tiba-tiba pada 1 Mac, 1989, Sudut Pidato kembali semula buat seketika ke Universiti Malaya dibawah pimpinan Syed Hussein Al-Attas yang baru dilantik sebagai Naib Canselor yang baru. Seramai 23 orang mahasiswa telah berpidato dalam sudut pidato tersebut yang dibenarkan selama sejam.


Walaubagaimanapun sudut pidato kedua yang hendak diadakan selepas itu telah tidak dibenarkan oleh HEP Universiti Malaya setelah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan Sudut Pidato yang diadakan semula itu kerana terkeluar dari nilai-nilai 'kesopanan' mahasiswa. Beberapa percubaan untuk mengadakan Sudut Pidato di kampus-kampus lain selepas itu gagal mendapat kelulusan pihak HEP. Itulah Sudut Pidato yang pertama dan terakhir diadakan selepas akta.


Ramai pihak yang mempertikaikan langkah Anwar yang cuba menghalang usaha yang telah cuba dirintis kembali oleh mahasiswa Universiti Malaya itu. Alasan 'kesopanan' yang diberikan oleh beliau tidak munasabah dan telalu lemah untuk dijadikan hujah bagi menyekat program seumpama ini diteruskan kembali. Ramai yang berpendapat Anwar seharusnya insaf bahawa program sebeginilah yang telah melahirkan beliau dan rakan-rakannya sebagai pemimpin yang berkaliber hari ini. Apakah Anwar takut pemimpin-pemimpin mahasiswa selepas AUKU menyaingi kehebatannya?


Inilah tragedi mahasiswa sekarang. Mereka bukan sahaja tidak bernasib baik dan sentiasa menjadi 'cemuhan' masyarakat tetapi kegiatan mereka juga terbantut. Masyarakat sudah tidak menyanjung dan menaruh harapan yang besar kepada rnereka. Di sini dirasakan terdapat banyak masalah yang perlu diselesaikan dan menjadi inti kepada masalah yang sedang dihadapi oleh mahasiswa sekarang. Apakah kerajaan tidak turut terlibat dalam tragedi ini?


Dalam satu pandangan lain, Makmor Tumin dalam tulisannya bertajuk, "Ke arah kecemerlangan mahasiswa: HEP perlu Peka" memberikan tiga faktor utama kenapa berlaku kebekuan dalam perjuangan mahasiswa hari ini, khususnya selepas akta.

Beliau berpendapat; Pertama, mahasiswa sibuk mengejar ijazah kelas pertamanya sahaja lantas tidak mengambil pusing perkara-perkara di sekelilingnya. Pencapaian akademik dianggap sebagai suatu yang fundamental dan menyebabkan mereka hanya mahir menjawab soalan-soalan peperiksaan tetapi bisu bahkan ada yang terpinga-pinga apabila terserempak dengan persoalan-persoalan semasa. Amat kurang mahasiswa yang pergi ke perpustakaan dengan tujuan mengkaji perkara-perkara semasa melainkan dengan tujuan mengkaji perkara-perkara lain ataupun kertas-kertas kerja sahaja.

Kedua, kurang diberikan bimbingan dan tunjukajar di mana di universiti peranan besarnya dimainkan oleh pensyarah sendiri. Pepatah mengatakan, "bagaimana acuan, begitulah kuihnya". Golongan intelektual ini harus dari masa ke semasa memikir, merancang dan seterusnya melaksanakan pelbagai aktiviti untuk memastikan pelbagai aktiviti ini tidak berlaku. Pendedahan kepada dunia luar kampus haruslah diserapkan sejajar dengan kepentingan akademik itu sendiri.

Ketiga, peraturan-peraturan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang boleh menyekat perkembangan kematangan mahasiswa. Bahagian HEP haruslah mengkaji beberapa tindakann yang sedikit sebanyak membawa kepada kelesuan perjuangan mahasiswa. Majlis Perwakilan Pelajar jangan dijadikan majlis untuk mengiakan sahaja peraturan HEP ini.

Friday, January 13, 1995

Akta Universiti Punca Kelesuan Mahasiswa?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus-Bah. 1

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47

Akta Universiti Punca Kelesuan Mahasiswa?

Kelahiran Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971 dan diperketatkan lagi dengan pindaan pada tahun 1975 dikatakan berpunca dari kebimbangan pihak berkuasa terhadap kegiatan mahasiswa terkeluar dari garis-garis dan landasan yang dikehendaki oleh pemerintah. Perkembangan-perkembangan yang berlaku sebelum akta tersebut diadakan pada tahun 1971 jelas menunjukkan pemerintah mulai merasa bimbang terhadap tindak tanduk sesetengah pihak yang ingin menjadikan kampus universiti mengikut cita-cita perjuangan politik mereka. Malah setelah akta dilaksanakan pada tahun 1971 pun, kegiatan mahasiswa masih seperti biasa dan kadangkalanya semakin hebat.


Perkara ini diakui oleh Prof. Madya Dr.Sanusi Osman dalam ken kerjanya, "Mengapa Akta Universiti dan Kolej Universiti ditentang". Dalam kertas kerja tersebut, beliau menyatakan "penglibatan dan peranan mahasiswa penting sebagai jurubicara rakyat, imej mereka tinggi dan pengaruh mereka juga meluas dalam masyarakat. Sungguhpun begitu, kelantangan kritikan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan, pendedahan di surat-surat khabar mengenai kecurangan dan pernyelewengan kerajaan, pendedahan terhadap pemimpin-pemimpin yang rasuah dan opurtunis yang disertai pula dengan demonstrasi di dalam dan di luar kampus menimbulkan perasaan kurang senang di kalangm elit yang memerintah".


Selama lebih kurang empat tahun ianya diperkenalkan, ternyata ia tidak berjaya menyekat pergerakan pelajar unruk bertindak dan menangani sesuatu isu yang berlaku dalam masyarakat. Ramai pengkaji politik kampus berpendapat, dua peristiwa besar telah menyebabkan akta tersebut diperketatkan lagi pada tahun 1975, iaitu peristiwa demonstrasi Tasik Utara pada bulan September, 1974 dan diikuti pula oleh demonstrasi Baling pada 1 November, 1974. Dua peristiwa menyebabkan AUKU dipinda sekali lagi pada tahun 1975.


Setelah kerajaan membuat pindaan terhadap akta tersebut kebebasan mahasiswa dianggap sudah tidak wujud lagi. Kalau sebelum akta dahulu, mahasiswa dianggap bebas untuk berpersatuan dan boleh menubuhkan apa sahaja persatuan yang dikehendaki demi kepentingan perjuangan dan kebajikan mereka. Berdasarkan kajian akademik dan perbincangan yang dilakukan dalam berbagai seminar, forum dan seumpamanya, dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa peruntukan yang dikatakan amat menyekat kebebasan mahasiswa.

Peruntukan-peruntukan dalam Seksyen 15,16,48,49,51 dan kaedah tatatertib pelajar berserta ceraian-ceraian di bawahnya jelas sekali menunjukkan bahawa ia benar-benar diadakan untuk mengongkong pergerakan mahasiswa. (Penjelasan lanjut terdapat di dalam buku Gerakan Pelajan Kepimpinan, Pengurusan dan Cabaran karya Mohd Shuhaimi Embong).


Dengan peruntukan ini mahasiswa tidak bebas lagi memperjuangkan konsep 'bersama rakyat' sepertimana yang dipelopori oleh rakan-rakan mereka sebelum akta berkuatkuasa. Mahasiswa selepas akta seolah-olah di'penjara' di kampus-kampus dengan kehidupan mereka yang tersendiri. Peruntukan 'ugutan' mental secara halus oleh pihak berkuasa boleh melemahkan pemimpin-pemimpin mahasiswa berbuat sesuatu kerana boleh ditafsirkan melanggar akta dan menjadikan mereka ragu-ragu dan bimbang sama ada apa yang dilakukannya bertentangan dengan akta ataupun tidak. Penderaan mental seperti ini sudah cukup untuk memberi kesan kepada aktiviti kemahasiswaan. Akibatnya kegiatan kemahasiswaan menjadi semakin suram dan tidak bermaya.


Jadi tidak hairanlah kalau kita melihat hari ini mahasiswa tidak selantang mahasiswa sebelum akta dahulu. Mahasiswa kini begitu pasif melihat isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka seolah-olah seperti tiada apa-apa yang terjadi. Isu seperti pengharaman Purdah, Pindaan perlembagaan, Akta Mesin Cetak, Peristiwa Tanjung Periuk, Projek Mewah, Tragedi Memali, Isu Tuntutan Bertindih Pulau Baru Putih, Ligitan dan sebagainya, korupsi dan skandal seks di kalangan pemimpin negara, bohsia, bohjan dan lain-lain lagi tidak dipedulikan lagi oleh mahasiswa.

Thursday, January 12, 1995

Gerakan Mahasiswa Tergugat?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus-Bah. 1

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47

Gerakan Mahasiswa Tergugat?

Politik perkauman antara mahasiswa boleh membahayakan kedudukan masyarakat dan penentangan oleh mahasiswa-mahasiswa terhadap 'establishment' boleh membahayakan kedudukan kerajaan. Perkembangan yang berlaku sebelum akta tersebut dilaksanakan jelas menunjukkan bahawa pihak pemerintah telah mulai merasa bimbang terhadap tindak tanduk sesetengah pihak yang ingin menjadikan universiti mengikut cita-cita perjuangan politik mereka.


Walaupun setelah dilaksanakan AUKU pada tahun 1971 kegiatan mahasiswa adalah seperti biasa, malah lebih hebat dari sebelumnya. Selepas akta tersebut dilaksanakan, mereka masih cergas mengadakan demonstrasi serta menimbulkan berbagai isu masyarakat dan politik. Di antaranya yang bersejarah adalah "Demonstrasi Tasik Utara dan Baling" pada tahun 1974.


Ramai pemimpin mahasiswa telah ditangkap termasuk Setiausaha Agong PMUM, Hishamuddin Rais ekoran peristiwa demonstrasi Tasik Utara. Penangkapan pemimpin mahasiswa telah mencetuskan kemarahan mahasiswa Universiti Malaya yang menyebabkan berlakunya rampasan kuasa pentadbiran Universiti Malaya oleh Majlis Tertinggi Sementara (MTS) pada 20hb. September, 1974. Manakala Majlis Tertinggi Nasional (MTN) telah bertindak dan berjaya menyerahkan kembali pentadbiran universiti kepada Naib Canselor.


Pertentangan di antara dua puak yang berlainan pendirian ini telah membuka jalan kepada pihak kerajaan untuk campurtangan. Kerajaan telah bertindak tegas dengan menggantung PMUM. Walaubagaimanapun mahasiswa terus bergiat memperjuangkan hak masyarakat. Kemuncak perjuangan mereka adalah Peristiwa Baling pada bulan November 1974 di mana lebih 4,000 mahasiswa dari beberapa universiti telah bersama petani-petani mengadakan demonstrasi membantah kebuluran yang berlaku di Baling.


Manakala ekoran dari demonstrasi ini, lebih 1,000 mahasiswa daripada beberapa buah universiti telah ditahan dan sebahagiannya dihadapkan ke mahkamah. Gerakan mahasiswa menjadi begitu agresif dan optimis dalam tindakan-tindakan mereka serta mengancam kedudukan pemerintah. Kerajaan telah bertindak dengan meminda akta tersebut pada tahun 1975 supaya kegiatan mahasiswa dapat dikawal. Kerajaan juga telah bertindak mengongkong pergerakan mahasiswa dengan cara mewujudkan sebuah institusi baru yang dinamakan bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk mengawal aktiviti mahasiswa.


Perjuangan mahasiswa ketika itu sentiasa bersama dengan penderitaan masyarakat bawahan yang miskin. Sebab itulah setiap kali mahasiswa mengadakan demonstrasi terhadap sesuaru isu penderitaan masyarakat sentiasa mendapat sokongan dan dokongan rakyat. Dua peristiwa terbesar dalam sejarah perjuangan mereka adalah Perisriwa Tasik Utara dan Peristiwa Baling yang berlaku pada penghujung tahun 1974 telah mengakibatkan ramai pemimpin mahasiswa ditangkap dan juga kebebasan berpolitik mahasiswa juga dirampas melalui pindaan AUKU, pada tahun 1975.


Kegiatan mahasiswa selepas pindaan AUKU,1975 jauh berbeza , dengan rakan mereka sebelum akta dikuatkuasakan. Malah ramai pula mahasiswa yang ingin menjadi pemerhati atau pengikut sahaja daripada menjadi pendokong kegiatan kemahasiswaan menyebabkan mereka kekurangan pemimpin yang berwibawa. Ini akan merugikan perkembangan negara di masa akan datang kerana ramai tokoh-tokoh ;politik, kerajaan dan swasta sekarang adalah terdiri dan bekas tokoh-tokoh pemimpin mahasiswa di zaman mereka.


Kalau Peristiwa Baling 1974 menjadi kemuncak perjuangan mahasiswa, tetapi dalam peristiwa Tragedi Memali, Baling pada 19 November 1985 sukar untuk kita mencari suara-suara mahasiswa. Inilah "bahana" Akta Universiti yang berjaya menjajah pemikiran mahasiswa. Mahasiswa-mahasiswa dibawa leka dengan hiburan yang dinamakan dengan kebajikan seperti Pestaria Kebajikan, Konsert Kebajikan dan berbagai-bagai nama lagi.

Wednesday, January 11, 1995

Mahasiswa Menggugat

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Mahasiswa Menggugat

Muhammad Abu Bakar (1973) dalam bukunya "Mahasiswa Menggugat" menyatakan, "kegiatan mahasiswa sebelum akta boleh dibahagikan kepada dua, iaitu aktiviti tahun-tahun permulaan (1959-1965) dan aktiviti-aktiviti zaman peralihan".

Menurut beliau lagi, aktiviti-aktiviti tahun-tahun permulaan tidak begitu rancak. Kegiatan-kegiatan pada ketika itu hanya bertumpu kepada kegiatan sukan dan derma darah. Hanya pada tahun 1962, mereka mula mengorak langkah mendekati masyarakat dengan projek mengutip derma membina masjid dan badan-badan kebajikan.


Kekurangan aktiviti bersama masyarakat telah mendapat perhatian Naib Canselor Universiti Malaya ketika itu, Datuk Sir Alexander Oppenheim. Beliau berkata, "sekalipun usaha-usaha pelajar patut diberi pujian, saya berharap persatuan pelajar patut memikirkan soal melibatkan gerakarmya kepada kebajikan umum yang merangkumi bidang-bidang yang luas".


Gerakan mahasiswa sepatutnya dapat memainkan peranan yang besar dalam masyarakat seperti harapan Naib Canselor Universiti Malaya yang berbangsa Inggeris itu. Tetapi di peringkat awalnya keadaan gerakan mahasiswa tidak membanggakan semua pihak. Tetapi dalam pertengahan tahun 1960'an, suasana kampus menjadi lebih hangat dan tegang di mana kegiatan-kegiatan pelajar pula telah menampakkan perubahan yang besar. Isu-isu yang diperjuangkan oleh mahasiswa universiti makin bertambah dan penyertaan mereka semakh menggalakkan. Keadaan ini berterusan hingga lewat tahun-tahui 1960'an dan awal 1970'an.


Menurut Muhammad Abu Bakar, latar belakang pelajar dari keturunan elit yang menguasai universiti pada awal tahun 1960'an menyebabkan kegiatan bersama rakyat kurang. Di samping itu kesedaran politik di kalangan pelajar adalah kurang berbanding dengan pelajar-pelajar awal tahun 1970'an. Sebahagian besar mahasiswa datang ke universiti hanya untuk belajar semata-mata. Pelajar-pelajar ini tidak mempunyai cita-cita politik yang besar menyebabkan tidak lahirnya "presure group" yang efektif.

Mahasiswa Menggugat ?

Kisah perjuangan mahasiswa telah mendapat tempat dalam akhbar-akhbar luar negara. Kewujudan "Sudut Pidato" atau "Speaker Corner" pada 27hb. Mei, 1966 telah memberikan kesan yang besar dalam gerakan mahasiswa. Perisitiwa ini telah memberi erti yang besar dalam perjuangan mahasiswa Universiti Malaya kerana hampir semua demontrasi yang diadakan selepas tarikh tersebut (khususnya sebelur akta) bermula dengan perbahasan di sudut tersebut. Di "Speaker Corner mahasiswa-mahasiswa mengadakan dailog dan perbahasan mengenai sebarang masalah dengan bebas.


Selepas detik ini kegiatan mahasiswa semakin menonjol. Mereka mula membuat penentangan-penentangan terhadap kegiatan-kegiatan yang tidak diingini yang dilakukan oleh pihak pemerintah atau kuasa-kuasa luar negara. Penentangan ini dilakukan secara terbuka, iaitu dengan mengadakan simposium, debat ataupun berdemonstrasi.


Pada 21 hb. Julai, 1966, mahasiswa mengadakan "Demonstrasi hadapan Kedutaan Amerika Syarikat" di Kuala Lumpur kerana mengutuk pengeboman ke atas Hanoi-Haiphong oleh Amerika Syarikat.Mahasiswa telah membakar patung Presiden Johnsons sebagai menyatakan kemarahan mereka kepada perbuatan Amerika.


Setelah mendapati pihak universiti tidak bersungguh-sungguh melaksanakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama pada waktu itu, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) mengadakan Seminar Bahasa Kebangsaan pada 29 dan 30 hb.Oktober, 1966. Perjuangan mereka tidak berakhir dengan seminar itu, sebaliknya mereka mencabar Tunku Abd.Rahman ke saru rapat umum untuk membuktikan kejujurannya melaksanakan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran beliau.


Pada bulan September 1967, PBMUM telah menganjurkan simposium yang bertajuk "Masalah Penduduk Luar Bandar" unruk membincangkan pembelaan keatas rakyat miskin dan terbiar di desa-desa. Dengan cara ini mahasiswa dapat menyampaikan mesej mereka membela penderitaan yang dialami oleh anak-anak petani, persekolahan mereka, masalah pembahagian tanah, masalah kesihatan dan sebagainya.


Keperihatinan mahasiswa membela masyarakat berterusan bilamana berlakunya peristiwa penangkapan dan pemusnahan rumah dan harta benda Hamid Tuah dan pengikutnya di Telok Gong pada bulan Oktober, 1967 oleh Kerajaan Negeri Selangor. Mahasiswa telah mengadakan pameran kehidupan Hamid Tuah, berarak dengan sepanduk dan berpiket di hadapan pejabat SUK Selangor.


Selain peristiwa-perisriwa ini, banyak lagi peristiwa-perisriwa kegiatan mahasiswa. Di antaranya demonstrasi mahasiswa menentang pencerobohan Rusia ke atas Czekoslovakia, penentangan terhadap pemerintah menyediakan sejumlah wang yang banyak membela Rahman Talib yang dituduh melakukan rasuah, demonstrasi mengutuk kerajaan Filipina yang membuat tuntutan ke atas Sabah, penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya 1969 dan sebagainya.


Kesedaran mahasiswa ketika itu tentang peranan dan tanggungjawabnya terhadap pembangunan masyarakat dan isu-isu antarabangsa berasaskan kepada kebenaran, keadilan dan kejujuran yang semakin dominan menyebabkan kerapkali mereka dianggap menggugat kedudukan golongan tertentu di kalangan pemerintah.


Kegiatan mahasiswa berterusan dengan berbagai isu sehinggalah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilaksanakan pada tahun 1971. Kelahiran AUKU adalah berpunca daripada anggapan pemerintah bahawa tanpa apa-apa sekatan ke atas kegiatan politik mahasiswa maka suasana di kampus-kampus universiti akan menjadi kucar kacir. Ini adalah berdasarkan suasana perkauman yang sedia tegang di kampus-kampus ketika itu.

Monday, January 09, 1995

Ulasan Bab "Politik Kampus Sepintas Lalu

"Sudut Pidato" dan "Kelab Sosialis" pencetus politik kampus


Oleh

Kamal Azman

(kamal_azman@yahoo.com)

Buku "Di Sebalik Tabir Politik Kampus" dalam bab pertama bertajuk " Politik Kampus Sepintas Lalu" dipecahkan kepada tajuk kecil iaitu; pengenalan, aktiviti politik kampus, pilihanraya kampus dan percaturan politik kampus.

Gerakan siswa bermula seawal tahun 60-an berpusat di Universiti Malaya. Sudut pidato yang diperkenalkan pada 27 Mei 1966 menyemarakkan lagi minat siswa untuk berpolitik kerana hampir kesemua demonstrasi yang diadakan selepas tarikh itu dimulai dengan perbahasan di sudut pidato itu.

Penubuhan Kelab Sosialis Universiti Malaya lebih menyemarakkan lagi kegiatan politik pelajar khususnya aliran sosialisme.

Fahaman sosialisme begitu mendominasi pelajar pada awal dan pertengahan tahun 60-an,meskipun telah muncul aliran pelajar berfahaman islamis, namun kumpulan itu masih dianggap lemah. Pada 13 Mei 1969 kedua aliran pelajar ini telah bergabung tenaga menyertai demonstasi 13 Mei dan sebelumnya mengadakan protes anti-Tunku (Tunku Abd. Rahman), Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Kepulangan pelajar-pelajar dari Timur Tengah pada tahun 70-an, yang menjadi tenaga pengajar di dalam kampus dan aktivis masyarakat telah menguatkan kumpulan pelajar Islamis. Aktivis-aktivis pelajar bekas pelajar telah menubuhkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Kebangsaan(PKPIM) dan seterusnya Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) yang memberi impak besar kepada pergerakan politik kampus.

PKPIM dan ABIM merupakan badan luar yang berjaya menyerap masuk ke dalam kampus menggunakan faltform rasmi pelajar iaitu Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Univesiti Malaya(PMIUM).

Manalaka kepulangan pelajar-pelajar dari barat terutamanya United Kingdom, telah menyebabkan pengaruh Islamic Representative Council (IRC) telah mula menular ke dalam kampus. Mereka bergerak secara rahsia dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Pada ketika itu pelajar proPAS, proABIM dan proJIM, berlandaskan flatform PMIUM dan PBMUM saling bekerjasama untuk menentang pengaruh sosialisme.

Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya(PMUM) merupakan badan pelajar yang menjadi rebutan antara dua kumpulan ini.Penulis bersetuju pada awal tahun 80-an kumpulan islamis telah mula mendominasi dan menguasai sepenuhnya kampus tersebut.

Mengikut penulis kebangkitan pelajar aliran islamis yang berlainan kumpulan itu pada akhirnya, telah menyebabkan perebutan kuasa antara satu sama lain. ABIM, PAS dan JIM berlumba-lumba untuk mencari pengaruh dan menawan hati siswa/i kampus.

Pada pertengahan 80-an, penulis mengatakan aliran politik pelajar telah menyaksikan pertembungan baru antara dua kumpulan pelajar iaitu; pelajar proUMNO dengan proPAS. ABIM dan IRC membentuk kumpulannya sendiri dan bergerak secara sendirian ataupun melakukan kerjasama antara kedua kumpulan besar itu.Pada awal 80-an bekerjasama dengan kumpulan proPas tetapi pada awal 90-an bekerjasama pula dengan pelajar proUMNO pula.

Manakala Tabligh dan Arqam tidak berminat untuk berpolitik.

Walaupun pada asasnya mahasiswa terikat dengan AUKU tetapi mahasiswa telah bergerak secara underground mencorakkan politik negara. Pada pilihanraya umum 1990 mahasiswa proPAS membentuk "Gabungan Pelajar Islam Semenanjung"(GAMIS) dengan manifestonya "Selamatkan Malaysia Dengan Mewujudkan Keadilan, Kebebasan dan Kebenaran". Manakala mahasiswa proUMNO menubuhkan "Angkatan Mahasiswa Negara"(AMAN). Kedua-dua kumpulan pelajar ini terlibat secara langsung dalam pilihanraya umum negara.

Menurut penulis, oleh kerana peranan pelajar amat penting dalam politik negara, kedua-dua parti UMNO dan PAS menubuhkan biro pelajar di bawah sayap pemuda masing-masing. Pemuda UMNO menubuhkan Biro Hal Ehwal Pelajar(HEP) manakala Dewan Pemuda PAS menubuhkan Jawatankuasa Pelajar PAS(JPP).

Sunday, January 08, 1995

Politik Kampus Sepintas Lalu-Bahagian 5

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.13-24

Percaturan Politik Kampus



Mahasiswa merupakan segolongan manusia yang dapat pengaruhi masyarakat. Aktiviti-aktiviti politik kampus kebanyakannya menjadi tumpuan dan menarik minat masyarat. Aktiviti-aktiviti tersebut telah meninggalkan kesan kepada masyarakat kampus dan luar kampus. Kegiatan-kegiatan mahasiswa penuh dengan idealisma tersendiri sama ada dalam persoalan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya yang kadang-kadangnya bercanggah dengan dasar 'establishment'. Oleh itu tidak dapat dinafikan ianya turut meninggalkan kesan kepada mereka.
Walaupun mahasiswa tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik negara kerana tertakluk kepada AUKU.

Tetapi secara tidak langsung mahasiswa memainkan peranan yang penting dalam politik negara umpamanya dalam pilihanraya umum 1990 di mana telah wujud dua kumpulan mahasiswa turut terlibat dalam percaturan politik negara. Satu pihak dikenali sebagai Angkatan Mahasiswa Negara (AMAN) yang didokong secara tidak langsung oleh beberapa akrivis pemuda UMNO secara terang-terang menyokong Barisan Nasional.

Manakala satu lagi Gagasan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) tidak membuat kenyataan terbuka menyokong mana-mana parti politik. Tetapi penglibatan GAMIS dalam pilihanraya umum yang lalu secara tidak langsung menguntungkan parti-parti pembangkang setelah menyebarkan manifesto mereka yang bertemakan "Selamatkan Malaysia Dengan Mewujudkan Keadilan, Kebebasan dan Kebenaran".


Menyedari bahawa golongan mahasiswa merupakan satu 'asset' yang penting kepada masa depan politik negara, parti UMNO khususnya Pergerakan Pemudanya telah menubuhkan sebuah biro khas dinamakan Biro Hal Ehwal Pelajar (HEP) Pemuda UMNO pada tahun l990 untuk tujuan ini [Mohd Shuhaimi Embong, 1990].

PAS juga dikatakan mempunyai sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pelajar PAS (JPP) di bawah penyeliaan Dewan Pemuda PAS Pusat [Siti Zabidah bte. A.Rahman, 1991]..

Parti-parti lain tidak dapat dipastikan sama ada mereka juga mempunyai jawatankuasa khas pelajar ataupun tidak.


Jelaslah di sini, bahawa pengaruh mahasiswa dalam politik kampus dapat menyumbangkan "saham" tertentu dalam menentukan arah politik negara di masa akan datang. Parti-parti politik tidak mahu ketinggalan "memikat" mahasiswa supaya menyebelahi mereka dalam pergelutan politik negara. Tetapi di sini, mahasiswa tidak dibenarkan menganggotai parti-parti politik secara langsung seperti rakan mereka yang menuntut di luar negara yang boleh menganggotai Kelab UMNO, MCA dan sebagainya, menyebabkan hubungan mereka dengan parti-parti politik dibuat secara tidak langsung atau sulit.


Bagaimanapun untuk mempastikan sejauh manakah keberkesanannya dalam ertikata yang lebih luas dan menyeluruh bukanlahmerupakan satu perkara yan mudah. Persoalan yang sukar untuk ditentukan adalah 'Ke arah manakah politik kampus dibawa?'.