Siswa Di Persimpangan
oleh
Idealis_2, kolumnis IM
Dari dulu hingga mutakhir ini, banyak rencana-rencana, artikel-artikel ditulis mengkritik kelesuan mahasiswa. Setiap tulisan diolah dengan nada sinis seolah-olah memberi gambaran pemimpin siswa penakut dan dayus serta selalu membuat bandingan dengan gerakan siswa era 70-an. Tulisan-tulisan sebegini sedikit sebanyak menguris hati pemimpin pelajar dan mencabar kredibiliti mereka serta meletakkannya dalam persimpangan iaitu terpaksa akur dengan kebenaran hujah-hujah penulis (yang mungkin bukan bekas pemimpin siswa pun) atau mengikuti naluri dirinya sendiri, yang merupakan pemegang kuasa pada masa ini.
Isu kritikan, sindiran, tohmahan, pujian dan sanjungan bukan perkara baru dalam frasa gerakan mahasiswa.Sudah lama, malah berakar umbi ketika gerakan mahasiswa mula berputik sejak tahun 60-an lagi. Di sinilah ujian jati diri pemimpin siswa mengharungi cabaran dan tekanan masyarakat supaya tidak terus menerus berada di persimpangan.
Persimpangan sebelum AUKU
Zaman sebelum AUKU, gerakan siswa terdedah dengan dua pendekatan yang saling kontradik. Pemimpin siswa dalam dilema memilih pendekatan ekstrim atau diplomasi. Walaupun ketika itu terdapat pemimpin siswa yang memilih pendekatan diplomasi, namun pendekatan ektrimis mendapat tempat di dada akhbar, maka pendekatan seumpama itu disinonim dengan pemimpin dan gerakan siswa masa itu.
Pada tahun 70-an, Hisyamuddin Rais (Setiausaha Agung PMUM) mewakili kelompok ekstrimis dan Aziz Shamsuddin (Presiden PBMUM) mewakili kelompok diplomasi. Ekstrim selalunya merujuk kepada kelakuan melampau dan radikalisme (kamus dewan). Penyelesaiannya mesti terjawab dalam masa singkat, emosi dan luahan rasa akan ditunjukkan dalam bentuk 'demonstrasi'. Perarakan, spanduk, ceramah emosi adalah trade mark biasa yang melonjakkan nama Hisyamuddin Rais di persada negara. Bukan itu sahaja, di hadapannya tercongol barisan polis, SB. FRU, wartawan, lokap, semburan gas pemedih mata, ISA dan Kemunting. Sebab itu golongan diplomasi seperti Aziz Shamsuddin, tidak akan mendapat liputan akhbar dan namanya hampir-hampir dilupakan kerana memilih pendekatan yang bertolak ansur dan berlembut pada masa itu.
Darah anak muda ektrimis terus bergelora, hingga mampu merancang tindakan "merampas kuasa" autonomi universiti seperti yang pernah terjadi di Universiti Malaya pada era 70-an dengan pengisytiharan autonomi universiti mahasiswa oleh "Majlis Tertinggi Sementara"(MTS) selama setengah hari.Pada sebelah petang, kumpulan yang berkonflik dengan ekstrimis iaitu "Majlis Tertinggi Nasionalis" (MTN) bangkit rampas kuasa daripada MTS dan dikembalikan semula kepada pihak universiti.
Pendek kata bagi golongan yang memilih pendekatan ekstrim, mereka terpaksa menanggung risiko dan mempertaruhkan masa depan. Hisyamuddin Rais lari ke luar negara. Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Kamaruzzaman Yaakob merengkok dalam Kemunting.
Walaupun pemimpin siswa ini dianggap hero dengan keberaniannya, tetapi tidak semua yang memujanya, malah terdapat aktivis lain yang tidak bersetuju dengan cara dan pendekatan yang dianggap keterlaluan itu. Tambahan pula, sikap emosional, provokatif dan ekstrimisme itu telah menyebabkan AUKU diperkenalkan dan yang menjadi mangsa adalah generasi selepasnya.
Persimpangan selepas AUKU
Apabila AUKU diperkenalkan, gerne gerakan mahasiswa masih lagi dalam persimpangan. Persimpangan untuk memilih penerusan tradisi-tradisi 70-an atau mencipta budaya baru. Unsur-unsur sosialisme yang dperjuangkan pada tahun sebelum AUKU, semakin dipinggirkan, bersama Hisyamuddin Rais di perantauan. Gelombang kebangkitan Islam mula berpecah kepada dua gelombang iaitu gelombang radikalisme dan gelombang sederhana. Kedua-duanya saling mengkritik antara satu sama lain dari segi pendekatan dan cara menangani permasalahan ummah dan mahasiswa. Sesekali kedengaran juga riuh pikuk demonstrasi tetapi hanya yang bertumpu mengenai isu-isu hiburan dan keagamaan.Walaupun demonstrasi masih diteruskan namun, nadanya berbeza dengan tahun-tahun 70-an dan tidak ada sebarang nama pimpinan mahasiswa yang sanggup dipadankan dengan imej ISA dan Kemunting.
Ketika meletuskan gelombang reformasi (1999) dua nama pemimpin pelajar dijulang, iaitu Zaharuddin Abd. Rahman mewakili GAMIS(Islamis) dan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (Jonah) mewakili UBU (reformis sosialisme). Keduanya seolah senada dalam misi tetapi berbeza dari segi perinsip dan visi. Jonah diISAkan kerana kaitan dengan beberapa siri demonstrasi membantah akta yang ditentangnya itu. Zaharuddin, Faisal dan beberapa pimpinan utama GAMIS terselamat daripada sebarang tangkapan lantaran sikap bijaksana dalam memilih pendekatan.
Konflik berlaku apabila hanya anak buah yang ditangkap pihak berkuasa. 8 mahasiswa pimpinan pelbagai IPTA telah dibicarakan di mahkamah kerana terlibat dalam demonstrasi haram. Pimpinan mahasiswa terutamanya, Zaharuddin, Mohd Faisal, terselamat kerana kebijaksanaannya dalam memilih pendekatan.
Sikap para pimpinan utama GAMIS yang tidak berani bertanggungjawab itu menyebabkan namanya semakin dilupai selepas zaman kekuasaannya. Tambahan pula, kerana radikalisme pimpinan sebelumnya Akujanji telah diperkenalkan dan seluruh mahasiswa terpaksa menanggungnya walaupun bukan mereka yang melakukannya.
Persimpangan Zaman Sekarang
Sekarang, gerakan mahasiswa berpecah tanpa identiti pengenalan diri. BBMN dan GAMIS telah dibubarkan setelah menyedari beberapa kesilapan yang telah dilakukan oleh pimpinan lepas. Trend demonstrasi telah mula dipadamkan dan saf pimpinann generasi baru.
Faktor masa dan kesesuaian ini dianggap terbaik untuk pemimpin siswa zaman ini mencipta sesuatu kelainan dan genre baru dalam gerakan mahasiswa. Sesuatu yang tidak berindentiti, mementingkan personaliti, ketrampilan, harmonis, berfikiran positif, dan inteltektual adalah pattern baru yang ditunggu-tunggukan oleh seluruh warga kampus selama ini.
Tetapi, tidak kurang juga kumpulan pimpinan mahasiswa lain yang tidak setuju dengan pattern baru ini. Kata mereka, gerakan mahasiswa sekarang semakin lesu, jumud dan beku. Konflik berlaku antara kumpulan mahasiswa yang ingin meneruskan tradisi lama dengan kumpulan mahasiswa yang berhasrat mencipta pembaharuan.
Desakan semakin bertiup agar gerakan mahasiswa dikembalikan seperti era sebelumnya dan pastinya akan mewujudkan anjakan terkebelakang iaitu mengukur kredibiliti gerakan mahasiswa dari tahun 90-an, 80-an dan 70-an.
Konflik terus berlaku yang meletakkan mahasiswa berada di persimpangan.
Hari ini, pemimpin siswa yang membawa tradisi diplomasi telah menjadi Timbalan Menteri Pendidikan (Aziz Shamsuddin). Apa yang lebih menarik lagi, siswa yang tidak pernah menceburkan diri dalam sebarang aktiviti ekstrimisme suatu ketika dahulu dan hanya menumpukan bidang keintelektualan, hari ini menjadi Menteri Pendidikan ( Musa Mohamad) dan Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Mahathir Md. Khir.
Sejarah gerakan siswa membuktikan pemimpin berimejkan ektrimisme dan ISA akan terus berkonflik dengan diri sendiri dan masyarakat sampai bila-bila.
Kelang, 22 Mei 2003
Di Sebalik 'Nama' Pemimpin Pelajar
--------------------------------------------------------------------------------
# Idealis_2 adalah kolumnis IM, bekas pemimpin pelajar di salah sebuah IPTA terkemuka negara ini.
No comments:
Post a Comment