Monday, December 22, 2003

Hipotesis 3 Serangkai : Mengapa akhirnya memilih UMNO ?

http://idealis-mahasiswa.net/minda/minda24.html

Hipotesis 3 Serangkai : Mengapa akhirnya memilih UMNO ?

oleh

Idealis_2, kolumnis IM

Apabila penulis terdengar dari jauh bahawa Muhd Hisomuddin Bakar,(presiden MPMUM 2001/2002) Abdullah Abd. Karim,(presiden PMUKM 2001/02) Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain (presiden SRCIIUM 2002/03) sedang berkira-kira untuk menyertai UMNO, penulis sebenarnya tidak terkejut.

Tidak terkejut, kerana ia bukan satu kejutan besar. Malah jika nama-nama mereka tidak dipublisiti dalam media massa atau elektronik, tiada siapa mengenai mereka, terutamanya masyarakat umum. Mungkin hanya masyarakat sezaman dengan mereka yang mengenalinya, itupun masih bersifat lokaliti. Bagaimana dengan mahasiswa intervarsiti atau lebih jauh mahasiswa luar negara? Pernahkah nama mereka disebut-sebut sebagai pembentang kertas kerja atau penyumbang buah fikir yang bernas untuk pembangunan negara.

Tulisan sebegini tentunya tidak disukai, tetapi itulah hakikatnya yang patut diterima.Saban tahun selepas merdeka, universiti tempatan gagal melahirkan tokoh pemimpin pelajar yang beridealisme, karismatik yang wajar menjadi harapan negara. Kalau adapun sekadar menjadi pemimpin pelajar biasa yang terkepung dengan kebiasaan-kebiasaan yang diciptakan oleh kelompoknya. Setakat ini tidak ada pemimpin pelajar yang boleh diiktiraf sebagai luar biasa, yang boleh lari dari status quo . Rata-rata pemimpin pelajar sekarang masih lagi terikat dengan tradisi lama dan kepungan buah fikiran rakan sebaya atau patron yang mengangkat dirinya menjawat jawatan itu.

Sebab itu, apabila berada di universiti, seseorang itu diprojeksi sebagai presiden melalui proses patronage, yang terkeluar daripada proses ini, walaupun dari patronage yang sama tetapi tidak semestinya dipilih kerana nilaian ranking dan kesetiaan kepada patron telah diutamakan. Kes ini telah terjadi ke atas Dr. Mohamad Khir Toyo ketika menjadi aktivis pelajar, Universiti Malaya, pada tahun 1988/1989. Ketika itu, Dr. Khir (fakulti pergigian) hanya dicaturkan sebagai jawatan bertaraf exco,PMUM, manakala presiden pula dibaptiskan kepada Mohd Khir Zahari Abd. Ghani (Akademi Pengajian Islam). Setelah lima belas tahun masa berlalu, hari ini, Dr Khir telah dipilih menjadi Menteri Besar Selangor, exco pergerakan pemuda UMNO dan jawatan-jawatan lain yang bertaraf pengerusi dalam NGO. Manakala bekas presiden PMUM ketika Dr Khir, namanya masih tercorot dalam arena politik negara.

Penulis menyatakan rasa tidak terkejut dengan cadangan Muhd Hisomuddin Bakar,Abdullah Abd. Karim,Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan lain-lain bekas presiden, setiauasaha dan bekas exco untuk menyertai UMNO kerana kes-kes seumpama ini amat kerap berlaku.

Dahulu, Che Johan Che Pa,(Timbalan Presiden PMUM sesi 1985/86), Saifuddin Nasution Ismail (Presiden PMUPM sesi 1985/86) dan Mohd. Fuad Zakarsi (Setiausaha Agung, PMUM sesi 1981/82) pernah berbincang mengenai masa depan mereka dalam politik. Tentunya antara inti kandungan perbincangan mereka parti mana yang sesuai dianuti-antara UMNO dan PAS. Akhirnya keputusan dicapai, apabila mereka bertiga, bersama-sama dengan ustaz Nakhaie Hj Ahmad, bekas Naib Yang Dipertua PAS, telah mengisi borang UMNO pada awal tahun 1990.

Ironisnya, Che Johan Che Pa adalah bekas aktivis yang berjawatan dalam PMIUM. Begitu juga dengan Mohd Fuad Zakarsi. Sama juga dengan Saifuddin di UPM. Ketiga-tiga mereka dikenali sebagai tulang belakang dan penggerak PMI di kampus. Mereka tentu amat arif dengan sistem baiah, pemimpin-pemimpin parti dan perjuangan parti PAS yang diperjuangkan dalam kampus sebelum ini.Sama juga dengan ustaz Nakhaie Hj Ahmad, yang menyertai PAS pada tahun 1982, setelah sebelum ini lama berkecimpung dalam ABIM. Apa alasan mereka berempat menyertai UMNO, sedangkan sebelum ini berpegang teguh dengan ideologi PAS?

Sekarang, ustaz Nakhie Hj Ahmad berada dalam kerajaan, menjawat sebagai Yang Dipertua YADIM, Che Johan Che Pa, menjadi seorang peniaga, Mohd. Fuad Zakarsi dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Johor dan Saifuddin Nasution Ismail bertanding di Lunas, atas tiket Parti Keadilan Nasional. Ramai yang masih berteka-teki tentang masa depan dan pendirian politik Saifuddin, tetapi melihat kepada rangkaian sahabat terdekat, kesimpulannya amat mudah.

Begitu juga dengan Ahmad Shabery Chik, Presiden PMUM sesi 1981/82 (sezaman dengan Fuad Zakarsi) juga menyertai UMNO setelah parti Semangat 46 dibubarkan. Sebelum menjawat jawatan presiden PMUM, Ahmad Shabery telah memegang jawatan Presiden PMIUM selama dua sesi berturut-turut. Sekarang beliau menjadi pembantu kepada Tengku Razaligh Hamzah sekaligus sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO Terengganu.

Zaidi Mohd Zain naib presiden PMUM sesi 1994/95 juga adalah aktivis PMIUM. Sebagai pelajar Akademi Pengajian Islam, kenaikan dalam arena politik kampus bukanlah sesuatu yang menyukarkan, terutamanya bertanding atas tiket PMI. Tetapi sekarang telah menjawat jawatan penting dalam UMNO [ketua UMNO bahagian Serdang] dan telah bergelar datuk.

Mohd Izani Mohd Zain, exco penerbitan PMUM sesi 1996/97 dan speaker PMUM sesi selepasnya kini 'dibeli' UMNO apabila menjadi pensyarah di universiti Dr Mahathir, Universiti Utara Malaysia. Sedangkan semasa di kampus, Mohd Izani bertanding atas tiket PMI dan menjadi tenaga pengerak PMI kampus. Barangkali 'kesedaran' mulai timbul [untuk mengisi borang UMNO] apabila beliau membuat tesis masternya tentang 'pendemokrasian dalam parti PAS'

Anwar Ibrahim (Presiden ABIM), Kamarulzaman Yaakub (Presiden PMUM sesi 1973/74), Ibrahim Ali (Presiden KSITM sesi 1973/74) menjadi icon aktivis mahasiswa anti-establisment dengan trademark demonstrasi Baling. Ketiga-tiganya pernah ditahan di Kemunting ekoran demonstrasi itu. Anwar terutamanya membina imej menggunakan flatform Islam, tetapi berpusing 160 darjah selepas menjalani tahanan Kemunting.

Mengikut Kamal Azman [Akhbar Mahasiswa, Disember 2003], "Memandangkan nama Anwar dan ABIM terserlah ketika itu, ramai penganalisis politik berkeyakinan Anwar akan masuk PAS bagi menggantikan kepimpinan Asri yang dilihat sekular. Sebaliknya Anwar menyertai UMNO pada tahun 1982. Ramai yang berpendapat keputusan Anwar tidak menyertai PAS bukanlah sesuatu yang pelik kerana Anwar telah menghitung masa depan politik peribadinya sendiri. Kemunculan gelombang ustaz untuk berkuasa, slogan menumbangkan pemikiran "tidak jelas" dalam PAS dan perletakan benteng Dewan Ulama PAS merupakan faktor-faktor yang telah difikirkan Anwar".

Apakah yang difikirkan oleh Anwar, Kamarulzaman Yaakob dan Ibrahim Ali sehingga masing-masing menjawat jawatan ketua UMNO bahagian Permatang Pauh, Kuantan dan Pasir Mas, sedangkan sebelum ini mereka pernah memijak-mijak bendera UMNO.

Barangkali secara kebetulan, keputusan dibuat secara 'tiga berangkai'- Anwar-Kamarulzaman & Ibrahim, masuk UMNO sekitar tahun 80-an. Che Johan, Fuad & Saifuddin, masuk UMNO sekitar tahun 1990-an. Apakah mungkin tiga serangkai-Hisomuddin, Abdullah & Nazrul menjadi penyambung tradisi tahun 2000?. Betul atau tidak hipotesis ini hanya masa yang menentukan

Kelang, 22 Disember 2003

Siswa Di Persimpangan

Di Sebalik 'Nama' Pemimpin Pelajar
--------------------------------------------------------------------------------

# Idealis_2 adalah kolumnis IM, bekas pemimpin pelajar di salah sebuah IPTA terkemuka negara ini.


No comments: