Idealis_2, kolumnis IM
Abdullah Abd. Karim (MPPUKM), Muhd. Hisomuddin Bakar, (MPPUM), Mohd. Fadli Mohd. Ramly,(MPPUIAM), Mohd. Nasir Othman (MPPUPM), Juhazren Junaidi (MPPUTM), Ahmad Mahfuz Najhan (MPPUSM) dan ramai lagi telah meninggalkan status presiden majlis perwakilan pelajar, menjadi siswa biasa dan sesetengah di kalangan mereka telah meninggalkan alam kampus.
Tiada lagi suara mereka kedengaran di program 'Bicarasiswa'. Tiada lagi kenyataan-kenyataan mereka di dada-dada akhbar. Nama-nama mereka semakin tenggelam diganti dengan nama-nama baru, Haris Alimudin (MPPUKM), Wan Nazrul Helmey Wan Mohd. Zain (MPPUIAM), Muhamad Kamal Murtuzah Sheikh (MPPUSM), Mohd. Razif Abdullah (MPPUPM), Mohd. Shahar Abdullah (MPPUTM), Mohd. Rizuan Mohamad (MPPUUM) dan sebagainya.
Begitulah resam menjadi pemimpin pelajar, tidak kekal, hanya setahun sahaja masa diberi untuk 'membina nama', sebelum kembali menjadi mahasiswa biasa dan anggota masyarakat. Di kalangan pemimpin pelajar lepas, ada yang namanya masih dingati, tidak kurang juga namanya terasa asing apabila dipadankan sebagai 'bekas presiden'. Sesetengahnya namanya dikenali di peringkat nasional dan ada juga yang bersifat setempat, hanya dalaman kampus sahaja. Pun begitu, terdapat juga sesetengah pemimpin siswa yang namanya semakin tenggelam, meskipun menjawat jawatan presiden.
Itu hanya satu sesi, masa berlalu, bayangkanlah sesi-sesi yang lepas, setiap tahun kampus melahirkan presiden majlis perwakilan pelajar.
Ingatan kita sebagai masyarakat penonton, tidak akan kekal lama, kecuali jika nama pemimpin mahasiswa itu benar-benar boleh memberi kesan ingatan yang lama. Kita masih ingat tragedi 'DTC Terbakar 2001' dan nama Mohd. Fuad Mohd Ikhwan (MPPUM) segera terpancul, di kotak fikiran kita.
Maksudnya supaya nama pemimpin siswa kekal bertahan lama, sesuatu yang 'luar biasa' mesti dikaitkan dengan namanya. Sesuatu yang lain daripada orang lain. Kalau sekadar memperjuangkan masalah AUKU dan PTPTN, itu adalah perkara biasa yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin siswa sebelum ini dan sentiasa tidak berkesudahan. Sekadar 'cut and paste' idea-idea lama dan berkemungkinan besar nama pejuang AUKU dan PTPTN tidak akan kekal lama kerana terlalu ramai pemimpin siswa yang memperkatakannya.
Bukan bermaksud tulisan ini menggalakkan pemimpin siswa melakukan sesuatu perkara yang negatif untuk mencipta kelainan kerana kaitan nama dengan perkara 'luar biasa' belum tentu dapat menjamin survival perjuangan sesorang pemimpin siswa itu.
Kita masih boleh bertanya, apakah Mohd. Fuad Mohd Ikhwan sekarang berjaya membina namanya setelah dikaitkan dengan 'tragedi DTC terbakar'. Cukupkah elemen 'tragedi' itu untuk memperteguhkan namanya atau diperlukan elemen-elemen lain supaya nama dan jasad pemimpin itu terus segar diingatan kita. Kadang kala nama pemimpin siswa begitu gah , tetapi pengisian dalaman pemimpin itu amat lemah. Ideanya lemah, daya berdikarinya lemah, kebolehannya hanya bersifat sehala dan pemimpin jenis ini tidak bertahan lama sekiranya tidak disokong oleh faktor pemberian kuasa dan status jawatan.
Justeru itu, untuk mempastikan nama pemimpin pelajar terus berkekalan, makna di sebalik nama dan kualiti diri perlu seiring untuk membentuk karisma. Kuasa yang diberi hanya bersifat sementara untuk terus membina nama tetapi tanpa 'kuasa' dan 'status jawatan', pemimpin itu mampu terus membina nama sekiranya karismatik dalaman pemimpin itu benar-benar disebatikan dalam jiwanya.
Kuasa yang dikronikan oleh kelompok penyokong kampus hanya sesuai di kampus sahaja, ketika mana masih memegang jawatan yang diamanahkan. Lebih malang lagi, sekiranya pemimpin pelajar berjiwa kerdil, dan meletakkan dirinya sebagai penyambung kuasa, tanpa melakukan visi dan misi yang lebih istimewa daripada itu. Kerangka pemikirannya dikawal oleh kelompok kroni dan tidak mampu mencipta paradigma baru.
Sebab itu, dalam dunia realiti, ada di kalangan bukan pemimpin pelajar mampu membina nama di dunia kerjaya, berbanding dengan pemimpin pelajar hanya mampu membina nama di alam kampus sahaja.
Apa yang menarik, nama-nama pemimpin pelajar sesi 2001/2 seolah-olah telah bersepakat menyatakan bahawa retorik, demonstrasi dan gabungan haram bukanlah sesuatu agenda yang maha penting untuk diwarisi. Mereka berpandangan, tidak guna meneruskan paradigma lapuk yang diwarisi dari generasi ke generasi semenjak dari 70-an lagi.. Sebab itu budaya berdemontrasi dan menaja pertubuhan haram telah terputus sehingga zaman Mohd. Fuad Mohd. Ikhwan. Generasi selepasnya tidak mewarisi budaya itu.
Persoalannya bagaimana pula pola dan buadaya generasi pemimpin pelajar akan datang, mahu mewarisi elemen 70-an, atau mencipta paradigma baru yang belum pernah dicipta sebelum ini?
Paling penting perlu ditanya dalam diri setiap yang mengaku sebagai pemimpin pelajar, apakah cukup masa setahun sebagai medan latihan untuk mencipta' nama' sebagai bekalan mengisi kebenaran maksud kiasan "Mahasiswa Pewaris Negara".
Kelang, 26 April 2003
--------------------------------------------------------------------------------
# Idealis_2 adalah kolumnis IM, bekas pemimpin pelajar di salah sebuah IPTA terkemuka negara.
No comments:
Post a Comment