Monday, January 13, 2003

Untuk Apa Bertanding? Menjadi Politikus?

Dalam buku "Mahasiswa Menguggat" tulisan Profesor Madya Mohamed Bakar banyak menyentuh mengenai gerakan pelajar sekitar 60-an dan 70-an. Pelengkapnya, Suhami al Maniri menghasilkan buku yang bertajuk " Politik Kampus, Di Sebalik Tabir" yang menyusurgalurkan gerakan siswa sekitar tahun 80-an dan 90-an.

Penulis telah membaca kedua-dua buku itu dan menyimpulkan gerakan siswa hari ini adalah rentetan daripada gerakan siswa tahun sebelumnya. Saling berkaitan dan kalau ingin membaca 'pattern' gerakan siswa hari ini, elok dibaca buku-buku sebelumnya. Kedua-dua buku itu menyatakan pendapat yang sama iaitu pilihanraya kampus adalah medan untuk mencari ativis siswa dan menguji daya kepimpinannya selama mana memegang status sebagai pemimpin pelajar.

Kini, IPTA telah selesai memilih pemimpin masing-masing. Pilihanraya kampus memberi sumber inspirasi kepada para pelajar yang baru belajar menimba ilmu berpolitik. Memasuki alam pertandingan sama ada menang atau kalah merupakan saat-saat manis bagi yang merasainya.

Kalau memenangi pertandingan itu bermakna, bermulalah langkah pertama menjejaki kaki ke alam organisasi 'politik'. Bagi bekas pemimpin pelajar, langkah pertama bukanlah sukar untuk diharungi. Kalau seseorang itu pernah berjawatan dalam pelbagai persatuan, berkeperibadian mulia, mampu berpidato, disegani kawan dan lawan, insya allah mampu mengharungi dengan mudah halangan itu.

Memenangi pertandingan memberi makna sudah ada tanggungjawab dan amanah mahasiswa yang terpaksa dipikul. Tuntutan mahasiswa agar kepimpinan baru akan dapat memberi nafas baru-mengharmonikan kampus-melunaskan kebajikan mahasiswa yang terabai di samping tanggungjawab kepada diri sendiri-berjaya dalam bidang akademik.

Amanah dan tanggungjawab ini meletakkan pemimpin siswa berada dalam dilema : Memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar(statusnya lebih tinggi daripada pelajar-pelajar lain) dan memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pelajar universiti (statusnya sama dengan pelajar-pelajar lain).

Itulah neraca imbangan yang perlu ditempuhi oleh pemimpin pelajar. Sekiranya silap pertimbangan, salah satu akan pincang atau kedua-duanya terlepas di tangan.

Sekadar peringatan awal, ramai juga bekas pemimpin pelajar yang kecundang meneruskan pengajian akademiknya, gara-gara terlalu banyak masa dihabiskan untuk memenuhi tuntutan orang lain. Sekiranya keadaan ini terjadi, pelajaran ko-kurikulum yang ditimba selama ini, jawatan yang disandang menjadi sampah semata-mata.

Sukar untung menentukan untung nasib pemimpin pelajar pada masa mendatang kerana tiada paradigma tetap yang boleh dipatuhi-tiada kayu ukur yang boleh dijadikan panduan-semuanya bergantung kepada diri sendiri. Tidak salah jika dikatakan, memegang jawatan, menjadi pemimpin pelajar bermakna memperjudikan masa depan sendiri.

Rasa 'bangga' dan 'takut' bercampurbaur. "Bangga" kerana memenangi pilihanraya kampus-dikenali ramai-dipuji-dipuja-dihubungi oleh banyak pihak termasuk media massa. Suaranya ibarat 'suara emas'-didengar, dihormati dan terpapar di dada kertas.

Namanya sentiasa meniti di bibir mahasiswa-pentadbir universiti-polis-politikus.

Seperti kata pepatah cina, " orang yang memuji adalah musuhku-orang yang mencerca adalah kawanku". Maksudnya sekiranya pemimpin pelajar terlalu bermimpikan puji-pujian, maka alamatnya neracanya pertimbangannya mula pincang. Akan wujud sifat-sifat negatif, 'riak', 'sombong', 'gila kuasa', 'gila publisiti', 'suka mengarah', 'suka bergaya', 'berlagak', 'hard working'-tumpu sepenuh masa untuk menjaga kebajikan mahasiswa atau mempromosi diri sendiri.

Lantaran bimbang dihinggapi sindrom negatif itu, pemimpin pelajar dilanda pula sindrom 'takut'. Takut terlalu aktif hingga mengabaikan pelajaran-takut terlalu ikutkan emosi hingga melencong menjadi golongan antikerajaan-bersuara lantang-berdemonstrasi-ditahan polis-dibuang dari kampus.

Sindrom 'takut' dan dicampurbaur dengan kelemahan diri sendiri melawan ujian akan wujudlah golongan pemimpin pelajar yang 'bersemangat acuh tidak acuh', 'tidak bertanggungjawab dengan amanah yang dijanjikan', 'jarang ke sekretariat-hadiri mesyuarat', 'mementingkan diri sendiri' dan sebagainya.

Secara mudah dapat disimpulkan, menjadi pemimpin pelajar bermakna kesediaan diri sendiri untuk diuji-menjalani fasa-fasa rintangan untuk menguji bakat kepimpinan dan mengenali diri sendiri.

Biasanya bekas-bekas pemimpin pelajar yang pernah melalui 'ujian' ini akan dapat membuat kesimpulan diri. Nordin Achee, bekas Setiausaha Agung PMUM, misalnya menyimpulkan, dunia pemimpin pelajar berputar dalam kerangka yang sama.

Kerangkanya adalah-AUKU-HEP-Politikus dan kerajaan. Itulah dunia pemimpin pelajar seperti yang disimpulkan oleh bekas pemimpin pelajar itu.

Persoalannya untuk apa bertanding? Untuk apa memegang jawatan? Untuk apa menjadi 'aktivis siswa'?

Untuk menjaga kebajikan mahasiswa? Untuk melaksanakan program? Pada hemat penulis, kebajikan mahasiswa tidak akan terlunas sampai bila-bila. Selesai satu masalah, timbul pula masalah lain. Menjadi pemimpin pelajar bukanlah bererti berkuasa meluluskan projek, mempunyai dana untuk diagih-agihkan.

Sekiranya menjadi pemimpin pelajar hanya untuk melaksanakan projek, apa bezanya dengan aktivis pelajar kolej, kelab, persatuan dan anak negeri.Tidak apa yang boleh dibanggakan dengan 'pembinaan projek' kerana pemimpin akan datang boleh mendakwa melakukan perkara yang sama malah lebih hebat lagi.

Sama ada sedar atau tidak, menjadi pemimpin pelajar, terutamanya berjawatan penting dalam MPP, dunianya sangat hampir dengan politik negara. Para politikus luar sentiasa mengintai peluang untuk berbaik-baik dengan bakal pemimpin negara itu. Salah satu taktik yang digunakan untuk 'memikat' pemimpin pelajar adalah dengan cara memuji dan mengagung-agungkan kehebatan anak muda.

Sudah tentu puji-pujian itu mempunyai maksud yang tersirat.

Secara peribadi, penulis tidak percaya pemimpin mahasiswa mempunyai ideologi politik yang teguh. Memang ada idealisme yang dianuti, tetapi bukanlah bercorak kepartian mutlak. Masih ranum dan akan diwarnai oleh seseorang yang bakal menjadi idolanya. Menjadi kebiasaan bagi pemimpin pelajar menimba ilmu dari pengalaman, pembacaan dan politikus yang telah diidolakan itu.

Budaya meniru dan mengidola sudah menjadi lumrah. Walaupun pemimpin pelajar mempunyai idealismenya sendiri, tetapi sejauh manakah idealismenya itu dapat dipertahankan dan direalisasi sekiranya berlaku pertembungan antara dwi idealisme, yakni idealisme pemimpin pelajar yang masih ranum dengan idealisme bekas pemimpin pelajar atau politikus yang menjadikan kerjaya politik sebagai dunia penghidupannya.

Persoalannya sejauh manakah pemimpin pelajar mampu mempertahan idealisme tulin dari diri sendiri serta menangkis kebanjiran idealisme luaran.

Persoalan yang lebih besar yang ingin dilontarkan di sini adalah; adakah bertanding dan memegang jawatan semata-mata untuk memenuhi cita-cita menjadi pemimpin politik negara?

Penulis tidak berhasrat untuk melanjutkan perbincangan persoalan pertama kerana telah diulas serba ringkas dalam perenggan sebelumnya. Untuk mengulas persoalan kedua, penulis akan mengambil contoh universiti tertua Malaysia-Universiti Malaya.

Universiti perdana itu telah berjaya melahirkan pemimpin siswa. Anwar Ibrahim, Hisyamuddin Rais, Takiyuddin Hassan, Khir Zahari, Hisyamuddin Ali, Samsuddin Moner, Nazman Mustafa, Mohd. Khairudin Mohamad, Fakurazzi Ibrahim, Jais Sardai, Mohd. Izani Mohd. Zain, Borhan Che Daud, Mohd. Hafeez Samad, Mohd Fuad Mohd Ikhwan dan Mohd. Hisyamuddin Bakar.

Selain daripada Anwar Ibrahim (presiden PBMUM) dan Hisyamuddin Rais(bekas Setiausaha Agung PMUM), semua nama yang disenaraikan di atas adalah bekas-bekas presiden PMUM.

Anwar berjaya meniti karier politiknya hingga ke tangga kedua penting negara. Selepas itu kariernya menjunam jatuh, tidak sempat menikmati takhta perdana menteri. Hisyamuddin Rais, melarikan diri ke luar negara, kerana takut ditahan ISA dan kembali semula ke negara tercinta untuk memasuki ISA.

Takiyuddin Hassan, berjaya menjadi ketua pemuda parti PAS, menang dalam pilihanraya DUN Kelantan dan dilantik menjadi exco kerajaan itu. Selain daripada Takiyuddin siapakah lagi tokoh pemimpin pelajar yang berjaya dalam karier politik?

Sudah tentu tidak ada. Adakah senarai yang di atas semuanya menjadi tokoh politik atau sekurang-kurang setiausaha politik atau pegawai khas kepada mana-mana tokoh politik? Juga sukar untuk dibuktikan kerana ramai di kalangan mereka yang telah mula mengalih arah, daripada bercita-cita menjadi seorang politikus kepada kakitangan kerajaan atau akademik sahaja.

Ironinya, Khir Toyo yang hanya menjadi exco PMUM akhirnya berjaya menjadi Menteri Besar Selangor. Fuad Zakarsi, yang hanya memangku jawatan setiausaha agung PMUM, akhirnya berjaya menjadi setiauasaha politik kepada menteri besar Johor.

Lebih menarik lagi, seorang bekas siswi-Farahiyah yang kalah bertanding di UPM-tidak memegang apa-apa jawatan dalam MPP, akhirnya dinobatkan sebagai ketua Puteri UMNO Johor dan Setiausaha Kerja Puteri UMNO pusat.

Pemimpin siswi yang lain semuanya ke mana?

Persoalannya untuk apa memegang jawatan penting dalam mpp? Untuk melanjutkan karier sebagai politikus suatu hari kelak?

Kalau benar untuk menceburi diri sebagai politikus, berapa ramaikah yang bernasib baik seperti Takkiyudin Hassan, Khir Toyo dan Fuad Zakarsi?

Ketiga-tiga tokoh politikus itu telah meninggalkan 'jawatan' sebagai 'aktivis mahasiswa' kira-kira dua puluh tahun yang lampau, itu pun baru mendaki tangga sebagai pembantu kepada politikus yang lain. Setelah melalui ujian, rintangan, sepak terajang dunia politik sebenar, barulah dapat mengecapi sedikit hasilnya.

Bagaimana dengan yang lain? Ramai di kalangan mereka sudah melupakan cita-cita menjadi politikus dan beransur-ansur membina dunia lain yang lebih aman dan tenteram.

Jadi, kalau bukan bercita-cita menjadi politikus, untuk apa bertanding dan memegang jawatan?


Idealis_2

(idealis_2@hotmail.com)

Kelang, 13 Januari 2003

--------------------------------------------------------------------------------



No comments: