Tuesday, September 19, 2006

Politik "luar kampus" pengaruhi kempen MPP

Malaysia Today, 19 september 2006

Oleh SALHAN K. AHMAD
mStar


Walaupun bahang pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk sesi 2006/2007 baru hendak mula hangat, ada pihak yang telah menjangka keputusannya -- iaitu tidak banyak berbeza berbanding tahun lalu yang didakwa dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Dakwaan mengenai ketidaktelusan proses pemilihan MPP juga masih galak di samping kebimbangan mengenai penggunaan isu perkauman yang boleh memecah-belahkan pelajar bagi memancing populariti.

"Setakat ini, tidak nampak Mahasiswa yang membawa idea jati mahasiswa sendiri. Mereka seolah-olah menyambung pemikiran daripada luar sama ada dengan mengambil pandangan parti kerajaan mahupun pembangkang," kata Aqil Fithri, seorang pelajar sarjana semasa dihubungi semalam.

"Pemimpin pelajar sekarang masih belum mampu membina idea daripada kerangka fikiran mereka sendiri. Mereka sekadar memugarkan lagi idea-idea sesetengah pihak berkepentingan semasa berkempen," jelasnya.

Beliau yang berpengalaman memerhatikan pilihanraya kampus selama lebih lima tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata pemilihan wakil pelajar di universiti itu tidak melalui proses yang telus sepenuhnya dan khuatir ia akan berulang lagi tahun ini.

"Tidak wujud suasana di mana pelajar berani menyuarakan pandangan walaupun bercanggah dengan ketetapan pihak berkuasa sedangkan pelajar harus diberi peluang untuk membuat pilihan dan bereksperimen dalam suasana demokratik.

"Kalau idealisme sebegini dibungkam, mahasiswa kita sebenarnya tidak dilayan sebagai penuntut institusi pengajian tinggi tetapi lebih kepada pelajar sekolah yang masih perlu dilarang itu dan ini setiap masa," kata Aqil.

Antara perkara yang masih menjadi pertikaian adalah peraturan berkempen yang ketat dan keperluan gred minimum untuk menjadi calon. Ramai melihat suasana ini sebagai peraturan yang mengekang intelektualisme mahasiswa daripada menjana idea-idea baru yang boleh dimanfaatkan.

Pemerhati juga menjangkakan pertembungan sengit berlaku di antara calon-calon Aspirasi (penyokong kerajaan) dan pelajar-pelajar anti-establishment sepanjang tempoh berkempen bermula semalam hinggalah tarikh pembuangan undi pada 21 September.

Di UKM, bahang pilihanraya sudah mula dirasai sejak minggu lalu (minggu orientasi pelajar) apabila risalah-risalah "berbau perkauman" dilaporkan mula diedarkan ke kolej-kolej kediaman pelajar.

Bagi seorang bekas calon MPP di UPM, Amiruddin Sari, pilihanraya kali ini seolah-olah akan "melengkapkan lagi proses membunuh demokrasi di kampus."

Beliau mendakwa perkara ini berlaku kesan daripada kebaculan golongan bekas pelajar yang kini menjadi pentadbir kampus. Golongan inilah juga, dakwanya, yang bertanggungjawab memastikan kampus IPTA di seluruh negara "diambil-alih oleh golongan tententu dalam satu operasi besar-besaran" pada 2005.

Amiruddin berpendapat pilihanraya kampus pada Disember tahun lalu adalah di antara projek paling berjaya bagi golongan itu.

Pun begitu, pemilihan kali ini tetap menarik untuk diperhatikan kerana ini adalah kali kedua pemilihan MPP dijalankan serentak di kesemua IPTA, memandangkan pilihanraya pertama yang memakai kaedah ini tahun lepas berakhir dengan calon Aspirasi (pro-kerajaan) memenangi kesemua kerusi tanpa bertanding di tujuh kampus pada hari penamaan calon di samping majoriti kerusi di empat universiti lain.

"Perkara yang paling berbahaya di dalam kampus adalah kebaculan intelektual, apabila mereka tidak berani bersuara sedangkan mereka melihat sendiri ketidakadilan yang berlaku.

"Bila diasak sedikit dengan undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti, takut. Pelajar sudah terdidik supaya takut dengan pentadbir dan pelajar junior pula sudah dipupuk supaya takut dengan pelajar senior," katanya.

Senario baru menjelang pilihanraya Isnin ini lebih membimbangkan kerana menurutnya para pelajar sudah mula dilaga-lagakan di antara mereka sendiri oleh pihak tertentu

Hal ini, menurutnya dikesan daripada aduan terdapat penceramah dalam program tersebut didakwa cuba mengapi-apikan pelajar Cina dengan pelajar Melayu/Islam dengan mengaitkan beberapa kumpulan pelajar Cina dengan pertubuhan Yahudi.

"Bila mereka dipisah-pisahkan dan diasuh supaya mencurigai satu sama lain, lebih senanglah mereka menerima apa saja saranan daripada pihak tertentu," kata Aminuddin.

Beliau percaya isu perkauman yang dijangka akan memanaskan lagi suasana pilihanraya kampus kali ini berpunca daripada program orientasi yang dijalankan oleh Biro Tata Negara kepada pelajar-pelajar baru sesi pengajian ini minggu lalu.

Beliau berkata, ketelusan tidak wujud di dalam pilihanraya kali ini selagi pelajar tidak dibenar menyatakan pendapat dengan bebas dan membentuk kumpulan mereka sendiri.

Pemilihan yang bakal melihat 850 calon bertanding kali ini juga dijangka tegang apabila kumpulan pelajar anti-establishment dikatakan akan mengadakan demonstrasi 'besar-besaran' hari ini untuk menarik sokongan pelajar bagi memboikot pilihanraya depan, menurut sebuah laman web komuniti pelajar yang dibangunkan untuk "mendedahkan kemelut politik kampus IPTA."

No comments: