Sunday, September 24, 2006

Pilihan raya kampus: Gamis berikrar menjadi 'pembangkang' terku

Malaysia Today, 24 september 2006

Oleh Ali Bukhari Amir
Harakahdaily


Walaupun ditekan dalam pilihan raya kampus (PRK) yang menyebelahi Aspirasi baru-baru ini, namun Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) yang berjaya menawan UIA berikrar akan menjadi 'pembangkang' yang terkuat dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi memastikan situasi semak dan seimbang wujud badan tersebut.

Gamis yang dikenali sebagai 'We Unite For Islam' (Wufi) di UIA telah berjaya menawan 28 kerusi daripada 32 buah kerusi yang dipertandingkan di kampus induk di Gombak pada 21 Sept lalu. Wufi juga berjaya menawan 10 buah kerusi yang dipertandingkan di kampus cawangannya di Kuantan, Pahang.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini, Presiden Gamis, Ahmad Tarmizi berkata, Gamis juga akan mencari pendekatan terbaik untuk menjadikan PMI setiap IPT kembali berpengaruh sebagai 'pembangkang' yang mantap dan paling aktif di kampus masing-masing.

"Walaupun menang di UIAM, tapi kita masih menerima laporan mengenai kes-kes ugutan yang berleluasa di UTM, UPSI dan lain. Jadi, kami akan terus membuat kenyataan akhbar, road show anti Auku. Sekarang, kami sudah melancarkan Gerakan Mansuhkan Auku.

"Mengenai penyelewengan pilihan raya kampus kali ini, kami akan terus membuat perjumpaan bersama menteri dan pihak-pihak tertentu untuk membincangkan masalah tersebut," kata Ahmad Tarmizi.

Amalan menekan bukan calon pro aspirasi masih berleluasa

Sementara itu, berhubung isu tekanan dalam PRK baru-baru ini, Harakahdaily turut menerima laporan kes ugutan ke atas calon bukan pro aspirasi yang berlaku di kampus Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Menurut laporan sebuah perkumpulan mahasiswa yang dikenali sebagai Gagasan UTM, seorang calon siswi telah diugut oleh pengetua kolej kediamannya, agar pelajar tersebut berundur dengan alasan, calon itu bertanding tanpa pengetahuannya sebagai pengetua kolej kediaman.

"Sebagai hukuman, siswi itu dikecam di depan ahli jawatankuasa kolej. Hal ini menjatuhkan maruah beliau sebagai seorang calon kerusi umum.

"Ada kes lain yang menunjukkan pengetua kolej kediaman mengugut pelajar agar menarik diri dari menjadi calon pilihan raya kerana tindakan mereka itu menjejaskan imej kolej," lapor Gagasan UTM.

Selain itu, tambah Gagasan UTM, ada calon yang diminta berundur hanya kerana beliau didakwa bertanding bagi mewakili pakatan tertentu, walhal calon itu bertanding di atas tiket bebas.

Calon diugut, dilarang bertanding

Di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim pula turut menyaksikan kejadian yang sama. Di bawah peraturan tertentu, manifesto calon perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (SPMPP) terlebih dahulu, sedangkan manifesto adalah hak mutlak calon sebagai ikatan janji antara calon dengan mahasiswa.

Menurut sumber Upsi, kempen juga dilarang secara bersemuka seperti di tempat ibadat, bilik bacaan dan dari bilik ke bilik.

"Kempen di bilik kuliah dibenarkan, tapi mestilah mendapat kelulusan pegawai akademik dan hal itu tidak boleh melebihi 10 minit.

"Selain itu, hanya poster dan kain rentang yang mendapat kelulusan SPMPP sahaja yang boleh digunakan. Kita hanya dibenarkan mengguna tali yang disediakan oleh SMPP sahaja dan menampal pada papan kenyataan yang dibenarkan sahaja mereka," jelas sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, ada sesetengah calon yang diugut dan dilarang bertanding oleh pengetua kolej dan felo-felo, bahawa nama mereka akan dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai pro pembangkang.

"Calon-calon yang bukan ditaja oleh HEP tidak mendapat tandatangan Dekan malah diugut oleh Dekan sekiranya menang akan memberi kesan untuk 'posting' dalam kerjaya perguruan setelah tamat pengajian.

"Selain itu, pihak HEP sendiri telah menyediakan senarai calon Aspirasi di pihak mereka sahaja. Senarai itu telah digunakan untuk memudahkan rujukan para Dekan sebelum menurunkan tandatangan bagi mengesahkan pencalonan," kata sumber berkenaan.

Menurut sumber, pihak polis turut berada di sekitar pejabat HEP pada hari penjualan borang pencalonan dilakukan.

No comments: