Monday, August 27, 2007

Menteri tidak peka - Mahasiswa kesal dengan Mustapa Mohamed

Harakahdaily, 27 ogos 2007

Intan Abdullah
Mon | Aug 27, 07 | 06:17:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Hrkh) - Mahasiswa terus bangkit menyatakan kekecewaan mereka terhadap layanan dan sikap yang ditunjukkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamad berhubung isu pilihan raya kampus (PRK).

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Mustapa sebelum ini dikatakan pernah menjemput mahasiswa untuk berbincang, kini seolah-olah tidak serius mendengar pandangan dan kritikan mahasiswa.

"Buktinya, mereka hanya menghantar pegawai khas kepada menteri berkenaan iaitu Ahmad Ikmal, untuk mengambil dan menguruskan isu ini walaupun saban tahun kami menyuarakannya," ujar Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Syiekh Omar b. Ali

"Adakah ini bermakna bahawa beliau tidak serius mendengar pandangan kami atau isu ini dirasakan sebagai suatu isu yang tidak penting dan serius kepadanya?" soalnya.

Syeikh Omar berkata, mahasiswa berasa terpanggil untuk bertanggungjawab dalam soal keadilan kampus ditambah lagi terdapat bukti yang menunjukkan bahawa ada unsur campur tangan pihak tertentu dalam perjalanan pilihan raya yang menjadikannya berat sebelah.

"Sungguhpun pelbagai usaha telah cuba dijalankan oleh SMM termasuk menghantar wakil untuk berdialog dan bersemuka dengan KPT, namun setakat ini masih belum ada suatu jawapan yang konkrit," nyata beliau yang kesal dengan respon Mustapa.

"Kami mahu penjelasan, bukan penangguhan dan penelitian lagi. Cukuplah beberapa tahun yang lalu," tegasnya.

Atas kesedaran ini, lebih 1,000 mahasiswa telah berarak bagi menyerahkan memorandum menuntut PRK yang bersih dan adil daripada Masjid Negara menuju ke pejabat Suhakam pada 24 Ogos lalu.

Berhubung pandangan Menteri yang menyatakan bahawa hanya sebilangan kecil mahasiswa yang membuat protes dan tidak semua yang terlibat, SMM merasakan ini adalah kesan daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mencengkam mahasiswa daripada mencerna keberanian dan idealisme yang membentuk pemikiran agar lebih kritis.

SMM berpendapat senario keruntuhan akhlak kini memperlihatkan mahasiswa sudah tidak mempedulikan isu keadilan kampus lantaran minda mereka telah didominasi dengan budaya berhibur secara berlebihan.

Apa yang menyedihkan ujarnya, mahasiswa yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap isu berkaitan dengan keadilan dan demokrasi di kampus ini ditekan dengan ugutan dan kecaman oleh pihak Hal Ehwal Pelajar.

Sempena Kemerdekaan ke-50, mahasiswa berharap kemerdekaan di kampus dapat diperbaiki.

Diskriminasi untuk kepentingan Umno

Sementara itu, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai We Unite For Islam (Wufi) di Universiti Islam Antarabangsa pula terkilan dengan sikap diskriminasi atau double standard, yang ditunjukkan oleh pentadbiran baru di bawah kepimpinan rektor, Prof Syed Arabi Idid yang lebih mirip kepada pendekatan politik kepartian berbanding rektor sebelum ini iaitu Prof Kamal Hasan selepas terlalu banyak perubahan drastik yang dilakukan sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan mahasiswa mahupun staf universiti.

Pernyataan demikian dibuat Wufi, ekoran tindakan penggantungan operasi selama satu semester sebuah kelab dakwah atas dakwaan kelab tersebut telah mendapat sokongan dan suntikan dana daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Walaupun setakat ini tiada sebarang bukti yang mengaitkan kelab tersebut dengan parti politik itu, pihak Divisi Pembangunan Pelajar UIAM, memberikan arahan secara lisan tanpa bertulis untuk menggantung operasi kelab.

Menurut Jurucakap Wufi, Ahmad Fawwaz Abd Aziz jika dibandingkan dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan UIAM yang dikatakan mendapat layanan kelas pertama oleh pihak pentadbiran mahupun rektor sendiri dan operasi persatuan ini juga, disalah gunakan oleh juak-juak UMNO di UIAM.

"GPMS menafikan hak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM untuk menghadiri aktiviti-aktiviti luar MPP UIAM sendiri. Pihak pentadbiran memberikan aktiviti tersebut kepada pihak GPMS dan memaksa mereka mengaku bahawa AJK GPMS adalah Exco MPP. Pihak WufiI menyedari bahawa GPMS diperkudakan oleh Umno untuk bertapak di UIAM," tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Walaupun GPMS merupakan satu badan pelajar Melayu yang ditubuhkan khusus untuk membantu pelajar-pelajar sekolah dalam pendidikan, tetapi banyak programnya menjurus ke arah nasionalis dan perkauman sempit yang bertentangan dengan prinsip UIAM yang mengamalkan dasar ummah sejagat kepada setiap program-program yang dianjurkan oleh mahasiswa.

Yang Di Pertua GPMS UIAM sendiri telah menjadikan organisasi tersebut sebagai 'kambing hitam' Umno, yang kerap kali menganjurkan program dengan menjemput wakil Umno untuk mengisi slot-slot bersama mahasiswa seperti program Baktisiswa di Rawang yang melibatkan Ketua Wanita UMNO Bahagian untuk bersama dengan mahasiswa di samping menggunakan nama Kursus Asas Fasilitator sebagai nama samaran bagi kursus 'group binding' kumpulan Aspirasi Umno.

"Kami percaya bahawa GPMS mendapat sokongan penuh daripada Presiden GPMS Pusat, Rektor dan beberapa staf UIAM, pegawai JASA dan alumni aspirasi UIAM. Mereka juga cuba untuk mewujudkan jaringan bersama pihak gerakan mahasiswa Islam yang lain, Kolej Islam Antarabangsa, Pusat Asasi UIAM dan UIAM kampus Kuantan," ujarnya lagi.

Wufi dalam kenyataan tersebut juga mencabar pentadbiran UIAM agar membubarkan GPMS di UIAM kerana mengamalkan politik perkauman dan melanggar beberapa polisi universiti. Pihak pentadbiran seharusnya bersikap akauntabiliti dan telus dalam aspek tindakan tatatertib dan pengurusan mahasiswa.

"Kami jamin sekiranya tiada tindakan yang diambil oleh pentadbiran universiti berhubung hal ini, maka pihak kami tidak akan teragak-agak membongkarkan isu-isu yang melibatkan salah guna kuasa, penyelewengan dana UIAM dan lebih teruk daripada iaitu, pihak pentadbiran yang kini sudah berani menzahirkan figura-figura Umno di kampus," tegasnya memberi amaran kepada pentadbiran UIAM. - mr

No comments: