Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Aug 15, 07 | 08:53:17 AM
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Hrkh) - Pendirian Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Dato' Dr Rafiah Salim bahawa melahirkan kepimpinan bukanlah bermula di kampus disangkal oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
Menurut Kamarudin, kenyataan Rafiah itu kurang tepat kerana kebanyakan kepimpinan negara yang ada hari ini adalah lahir dari suasana kampus yang benar-benar terbuka dan bebas satu masa dahulu.
Meskipun melahirkan kepimpinan tidak semestinya dari kalangan mereka yang berdemonstrasi dan berpidato tetapi suasana penyuburan demokrasi di kampus adalah faktor penting menuju ke arah pembinaan insan bernama pemimpin, katanya.
Beliau berkata demikian semalam ketika mengulas pandangan Dr Rafiah berhubung isu kebebasan kampus setelah NC UM itu dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berpendirian melahirkan pemimpin bukanlah bermula di kampus sahaja.
Rafiah dilaporkan sebagai berkata, ada kepimpinan hari ini adalah di kalangan mereka yang bukan warga kampus.
Sambil tidak menafikan bahawa ada kempimpinan yang bukan lahir di kampus tetapi beliau meletakkan bahawa ramai di kalangan kepimpinan negara hari ini termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah mereka yang pernah mengalami proses kepemimpinan di kampus.
Untuk menyatakan bahawa keterbukaan kampus bukan faktor kepada penyuburan demokrasi yang melahirkan kepimpinan ianya adalah salah, katanya.
Jika dahulu ruang demokrasi di kampus dibuka seluasnya kepada mahasiswa dan ahli akademik untuk berforum, berpidato dan mengkritik kerajaan semata-mata untuk melihat proses melahirkan kepimpinan terus berjalan, katanya.
Malangnya kini demokrasi kampus ditutup oleh pentadbirnya dengan campur tangan oleh parti kerajaan yang memerintah sekaligus melahirkan mahasiswa yang tidak berpengetahuan luas termasuk soal politik, ekonomi dan keadaan semasa, katanya.
Justeru itu sebagai Naib Canselor yang baik, Dr Rafiah perlu mengamalkan urus tadbir universiti dengan baik seperti mana saranan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah dalam satu program di UM baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Raja Dr Nazrin bertitah, semua pihak perlu menetapkan minda dan pandangan mengenai tadbir urus baik sekiranya mahu sistem itu direalisasikan di Malaysia.
Baginda bertitah, dengan pemahaman umum bahawa tadbir urus baik merupakan proses yang cekap, berkesan dan beretika, maka proses perubahan ke arah sistem itu yang telah pun bermula boleh dipercepatkan.
Untuk berbuat demikian, titah baginda, ketelusan dan keterbukaan perlu wujud dengan menggalakkan aliran maklumat yang bebas serta mudah diperolehi agar masyarakat boleh membuat keputusan yang bijak dan mengurangkan kejadian salah guna kuasa.
Oleh itu, titah baginda lagi, negara ini perlu terus bergerak ke arah sistem tadbir urus yang semakin terbuka.
Menurutnya, pembasmian kerenah dan prosedur birokrasi boleh membantu mengurangkan kos ekonomi yang tinggi dan menghalang sebarang peluang bagi bayaran haram.
"Bilangan perundangan, permit dan lesen mesti dikurangkan. Proses tender perlu dijadikan lebih berdaya saing dan telus. Pembekal maklumat perlu dilindungi daripada tindak balas mereka yang diadu.
"Langkah-langkah ini boleh membantu mengurangkan peluang bagi rasuah," titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ‘Cabaran-Cabaran Pendemokrasian dan Tadbir Urus Baik dalam Sektor Awam Malaysia’ di Universiti Malaya 13 Ogos lalu.
Persidangan dua hari anjuran Universiti Malaya (UM) dan Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma) itu turut dihadiri Naib Canselor UM, Rafiah Salim dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub.
Raja Nazrin Shah bertitah, tadbir urus baik turut memerlukan sifat bertanggungjawab oleh mereka yang memegang kuasa.
Titahnya, walaupun pegawai awam perlu diberikan kuasa yang secukupnya untuk menyalurkan tadbir urus yang baik, namun perlu ada halangan yang berkesan ke atas kuasa itu agar kepentingan awam dipenuhi, bukan 'kepentingan khas'.
"Kepentingan kebebasan kehakiman dan pengasingan kuasa yang rasmi antara cabang kerajaan yang berlainan tidak boleh diketepikan," titahnya.
Baginda bertitah, tadbir urus baik turut melibatkan penyertaan awam yang aktif dan berleluasa kerana masyarakat kini semakin berpendidikan, canggih dan lengkap.
Titah Raja Nazrin Shah, masyarakat kini mengalu-alukan dan menghargai kerajaan yang mudah didekati serta boleh dirunding, kerajaan yang memberi petunjuk dan bukannya mengarah.
"Oleh itu, adalah logik bagi gesaan ke arah tadbir urus baik diiringi gesaan bagi pendemokrasian yang lebih hebat kerana mereka berhubung kait walaupun berbeza dari segi konsep," titahnya.
Demokrasi, titah baginda, memberikan saluran kepada pelbagai pihak memberi suara mengenai cara mereka mahu ditadbir, iaitu kerajaan dengan keizinan.
"Proses pendemokrasian juga perlu mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Penyertaan mereka perlu digalakkan ke tahap mereka membantu institusi kuasa untuk berfungsi dengan lebih baik," titah Raja Nazrin Shah. - mks.
No comments:
Post a Comment