Tuesday, January 17, 1995

Mahasiswa tidak boleh berpolitik ?

Tragedi Kelesuan Politik Kampus-AUKU Menyekat Mahasiswa Berpolitik?-Bah. 3

Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Mahasiswa tidak boleh berpolitik ?

Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik sudah menjadi lumpuh. Sejak dahulu hingga sekarang, kegiatan politik sukar dipisahkan dari gerakan mahasiswa. Mahasiswa tidak mahu ketinggalan dalam kegiatan politik. Tetapi mereka tidak dibenarkan bergiat cergas dalam politik kepartian. Berbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menafikan hak mahasiswa untuk terlibat sama dalam kegiatan di negara ini.


Kesedaran politik di kalangan mahasiswa amat diperlukan untuk menggerakkan gerakan mahasiswa supaya sentiasa aktif dan 'concern' dengan persekitaran mereka. Mereka perlu memahami politik negara supaya matang dengan perkembangan semasa yang berlaku. Dengan ini gerakan mahasiswa tidak hanya sekadar mengadakan aktiviti rutin sahaja sesuai dengan harapan yang diberikan masyarakat kepada mereka untuk menerajui generasi akan datang.


Kegiatan politik mahasiswa disekat sama sekali terutama dengan mewujudkan Seksyen 15 dalam AUKU (pindaan 1975). Peruntukan dalam seksyen ini menghalang sama sekali untuk mah siswa terlibat dalam kegiatan politik, dimana ;


Seksyen 15 (1) dan (2): Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar daripada menjadi ahli atau bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti kesatuan sekerja dan lain-lain kecuali sebagaimana diperuntukan Perlembagaan Universiti atau diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor.

Manakala Seksyen 15(3) dan (4): Melarang pelajar pertubuhan pelajar daripada menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain badan.


Melalui Seksyen 15(1),(2),(3) dan (4), mahasiswa dilarang sama sekali dari menganggotai mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan seumpamanya. Mereka juga tidak boleh bersuara sama ada untuk menyatakan sokongan, bangkangan ataupun bersimpati kepada pihak terbabit.
Disamping itu terdapat banyak lagi peruntukan lain dalan tersebut yang membatas kegiatan mahasiswa untuk terlibat aktiviti politik. Di antaranya adalah;


Seksyen 7(3): Tiada seorang pelajar boleh menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan kecuali mendapat kebenaran dari Naib Cancelor atau orang yang diberi kuasa olehnya.

Sementara seksyen 11 : Melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada menjalankan sebarang aktiviti di luar kampus kecuali dengan kebenaran bertulis Naib Canselor.


Dari segi hak asasi manusia, akta ini dikatakan bersifat 'standard' kerana disifatkan bertentangan dengan perlembagaan yang memberikan kebebasan ini kepada rakyatnya. Bagi mahasiswa di luar negara menikmati semuanya ini, malah digalakkan bergiat cergas dan boleh menubuhkan cawangan parti-parti tertentu terutamanya parti pemerintah seperti Kelab UMNO, MCA dan sebagainya di seluruh pelusuk dunia. Tetapi mahasiswa dalam negara dinafikan hak untuk terlibat dalam politik.


Kecenderungan mahasiswa untuk terlibat dalam isu-isu politik tidak terbendung dengan peruntukan yang ada dalam AUKU. Mereka sering menganjurkan forum-forum politik walaupun terpaksa berhadapan dengan berbagai kerenah pihak berkuasa universiti dalam memilih tokoh-tokoh tertentu terutamanya dari pihak pembangkang. Begitu juga mereka sering menganjurkan seminar-seminar politik. Di samping iru mereka juga sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbau politik walaupun terpaksa menghadapi risiko diambil tindakan tatatertib ataupun terpaksa menjawab surat tunjuk sebab kenapa tindakan tatatertib tindak boleh diambil ke atas mereka.


Mahasiswa selepas akta juga tidak mahu ketinggalan melibatkan diri dalam pilihanraya umum kebangsaan. Mereka turut mengadakan 'Pentas Mahasiswa' untuk berkempen menyatakan sikap mereka terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara seperti yang terjadi dalam piliharaya umum, 1986 dan 1990. Disamping itu mereka juga mengeluarkan manifesto mereka untuk disebarkan kepada pengundi-pengundi.


Malah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pernah bercadang untuk menaja calon mereka dalam Pilihanraya Kecil Bentong sedikit masa dahulu. Tindakan PMUM ini telah mendapat reaksi pro dan kontra dari berbagai pihak berhubung dengan tindakan PMUM untuk menghantar proksi dalam pilihanraya kecil tersebut. Gimik politik beberapa kerat pemimpin PMUM menjadi 'berkesan' bila mereka menamakan Timbalan Presiden PMUM ketika itu, Azmi Tajuddin yang kebetulan akan menamat pengajian sebagai calon mereka.

No comments: