Sunday, October 07, 2007

Promahasiswa dihukum buang kolej kerana terlibat PRK?

Harakahdaily, 7 okt 2007

Ali Bukhari Amir
Wed | Oct 10, 07 | 12:10:01 pm MYT

SERDANG, 10 Okt (Hrkh) - "Adalah dimaklumkan bahawa Ahli Jawatankuasa Penginapan Kolej Tujuh Belas menarik balik penginapan saudara di Kolej Tujuh Belas dan saudara dikehendaki mengosongkan bilik 'serta merta' berkuatkuasa mulai 2 Oktober 2007 (Selasa).

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

“Ini adalah kerana saudara telah secara sengaja melanggar Arahan Tetap Kolej Kediaman (ATKK). Saudara adalah diminta agar mengisi Borang Permohonan Mahasiswa Luar Kampus secepat mungkin.”

Demikian petikan isi surat daripada pihak pengurusan Kolej kepada pelajar UPM, Mohd Sulhi Waqiyuddin Mohd Jufri yang diakhiri slogan - 'Berilmu Berbakti' serta 'Berilmu, Bertaqwa, Berjasa'.

Suatu sumber berkata, hal pembuangan kolej ke atas Sulhi mungkin disebabkan kegiatan rakannya (Sulhi) dalam pilihan raya kampus baru-baru ini.

"Dia dibuang kolej sekitar 12:20 tengahari. Apabila Sulhi persoalkan kembali kes itu, pengurus kolej berkata, hal ini adalah arahan Timbalan Naib Canselor," ujar sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, kebanyakan calon promahasiswa yang menang PRK berdepan risiko akan dibuang kolej walhal mereka diundi untuk menjaga kebajikan pelajar.

"Sepatutnya wakil pelajar promahasiswa yang menang akan terus mendapat haknya di kolej kerana di situ mereka berpeluang bersemuka dengan pelajar yang mahu mengadu masalah seharian mereka.

"Tahun lalu hampir 38 ahli PMI dibuang kolej kerana terlibat dalam PRK. Ia melibatkan enam calon MPP promahasiswa yang baru saja menang pada waktu itu," tambah beliau lagi ketika mengulas kes pembuangan kolej ke atas Sulhi yang pernah menginap di D-3-12-2, Kolej Ke-17 sebelum ini.

Surat bertarikh 2 Oktober itu ditandatangani Penolong Pengurus kolej, Cik Rahiza Abu Hanipah, bagi pihak Pemangku Pengetua Prof Madya Dr Mohd Bakri Ishak. Sementara itu, salinan surat tersebut diberi kepada Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Ahmad Razeen Zulkifli.

"Jadi, ada dua isu di UPM ini. Iaitu promahasiswa dikenakan yuran pendaftaran pencalonan PRK yang tinggi agar menyulitkan mereka bertanding. Namun, jika menang pula mereka berdepan risiko dibuang kolej," tambah sumber berkenaan.

Sementara itu, ketika mengulas kes pembuangan Sulhi tersebut, wakil Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB) Abdul Basit Abdullah berkata, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan pegawai universiti yang mendapat pengiktirafan sijil ISO 9001.

"Pelajar bagaikan pelanggan universiti. Kalau beginilah layanannya, wajarlah ditarik kembali ISO 9001 kerana layanan buruk ke atas pelanggan.

"HEP tak sepatutnya mengarahkan pengetua kolej membuang pelajar yang tidak sehaluan dengan mereka. Amanah jawatan TNC HEP bukan untuk menindas, tapi untuk membantu pelajar," jelas Abdul Basit.

Nota: Maklumat terkini mengenai kampus UPM, sila layari www.upmkini.blogspot.com

No comments: