Monday, October 01, 2007

PRK: Kampus UKM dikawal ketat, pintu masuk kolej dikawal 'SB'

Intan Abdullah
Harakahdaily
Mon | Oct 01, 07 | 11:44:37 am MYT

Hari ini merupakan hari terakhir kempen calon-calon pilihan raya kampus 2007/2008 bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), tetapi ia merupakan hari kedua kempen bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang baru sahaja melalui proses penamaan semula pada 30 September, semalam.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Tinjauan Harakahdaily mendapati, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meningkatkan tahap keselamatan terutamanya menjelang pengundian PRK esok.

Rata-rata pintu masuk utama kampus tersebut dikenakan pemeriksaan ketat bagi memastikan tiada 'orang luar' yang akan membolosi kampus berkenaan.

Bahkan pengawal keselamatan sendiri mengatakan bahawa lebih baik mahasiswa tidak terlibat dengan PRK, lebih-lebih lagi dengan permainan politik kampus seraya menggambarkan seolah-olah ianya akan memudaratkan mahasiswa.

Di setiap pintu masuk ke kolej-kolej kediaman pula, kelihatan dua individu yang tidak dikenali, dan menurut sumber dipercayai mereka adalah 'jentera kumpulan Aspirasi' atau 'SB' yang berkawal bagi melaporkan maklumat keselamatan kepada 'bos' mereka agar tiada pihak yang tidak diingini masuk ke premis yang dikawal mereka.

Bahkan timbul sedikit kekecohan di Kolej Burhanuddin Helmi, apabila calon pro mahasiswa tidak dibenarkan berkempen di sana.

Pertelingkahan antara mahasiswa tahun pertama yang 'berkawal' di pintu masuk kolej tersebut yang berkeras tidak membenarkan calon-calon pro mahasiswa ini masuk untuk meneruskan aktiviti kempen di sana.

Menurut sumber, dipercayai mereka telah dilantik oleh kumpulan lawan pro mahasiswa iaitu Aspirasi atau Tindakan Siswa Bersatu agar kolej tersebut tidak dikunjungi oleh musuh mereka itu.

Sementara itu, calon-calon yang mewakili kumpulan-kumpulan yang bertanding sibuk memanfaatkan sisa-sisa waktu kempen yang sudah sampai ke penghujungnya.

Setiap mereka diiringi oleh agen masing-masing beserta risalah manifesto yang digunakan sebagai senjata bagi mengumpan pengundi untuk memberikan undi kepada mereka.

Poster dan kain rentang kempen setiap calon juga tidak begitu meriah sehinggakan masih ramai di kalangan masyarakat pelajar terutamanya pengundi tidak mengenali calon-calon yang akan mereka pilih esok. - mks.

No comments: