Tuesday, October 02, 2007

PRK UM: Aspirasi berkempen ala 'Mafia'

Alumni Aktivis Kampus
Harakahdaily
Tue | Oct 02, 07 | 11:33:25 am MYT

Aspirasi sekarang jelas tertekan di Universiti Malaya (UM). Selain Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Jawatankuasa Pilihan Raya sebagai proksi untuk menyelamatkan 16 calon-calon mereka yang terang-terang melanggar peraturan pilihan raya (sekurang-kurangnya berbaki dua semester sebelum tamat pengajian), mereka sekarang menggunakan strategi ala samseng dan mafia dalam mengekang kebangkitan pengaruh kumpulan pro-mahasiswa dalam pilihan raya kali ini.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Penyokong pro mahasiswa nyaris mati

Pilihan raya kali ini nyaris mengorbankan seorang penyokong pro-mahasiswa ketika beliau cuba menghalang sekumpulan penyokong Aspirasi mencabut poster calon-calon pro-mahasiswa.

Kumpulan tersebut menaiki van kolej kediaman ketiga 'nekad' melanggar penyokong pro-mahasiswa tersebut. Mujur beliau cepat bertindak.

Hanya motosikalnya sahaja remuk teruk dan beliau mendapat rawatan pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pemandu van kolej kediaman ketiga yang melanggar penyokong pro-mahasiswa adalah pelajar tahun pertama dan tidak mempunyai lessen memandu.

Apabila disiasat oleh pihak keselamatan, beliau mengaku diarahkan untuk mengoyak poster calon pro-mahasiswa oleh Pengetua Kolej Kediaman tersebut, Prof Madya Dr Sharifuddin Zainuddin.

Dipercayai Sharifuddin telah mengerahkan lebih kurang 30 pelajar dari kolejnya untuk mem’bersih’kan poster-poster calon pro mahasiswa.

Tindakan ini dianggap sebagai tindak balas kepada demonstrasi bantahan yang dilakukan oleh kumpulan pro mahasiswa selepas bantahan mereka terhadap 16 calon Aspirasi yang ditolak mentah-mentah oleh SPR UM.

Ternyata bantahan luar dugaan itu benar-benar menggugat Aspirasi yang sebelum ini menjangkakan konspirasi mereka akan berjalan 'tanpa banyak gangguan'.

Calon pro mahasiswa didakwa tanpa alasan

Pelik dan jelik! Selepas bantahan ke atas 16 calon Aspirasi ditolak oleh SPR, kira-kira 12 orang calon Pro-Mahasiswa pula telah menerima surat daripada jawatankuasa tatatertib untuk disoal siasat kononnya terlibat dalam kesalahan pilihan raya.

Serentak dengan itu, kesemua 12 calon ini tidak dibenar meneruskan kempen sehinggalah selesai proses mengambil keterangan oleh jawatankuasa tatatertib selesai.

Siapa kata SPR kendalian HEP tidak pantas dan efektif? Lihat mereka begitu pantas bertindak memanggil calon-calon Pro Mahasiswa dan mengarahkan mereka supaya menghentikan kempen. Mereka hanya lembab dan 'pekak badak' apabila ada sebarang kes yang melibatkan calon-calon Aspirasi.

Inilah wajah demokrasi di kampus perdana dan terulung negara. Di UM, hanya Pro-Mahasiswa sahaja yang melanggar peraturan dan calon-calon Aspirasi langsung tiada cacat celanya.

Keberanian yang terus ditakuti

Walaupun mereka Aspirasi dan SPR melakukan segala yang mungkin untuk membuli calon-calon Pro-Mahasiswa, namun mereka mati akal dengan keberanian luar biasa mahasiswa tanpa mengira fahaman membantah satu demi satu muslihat mereka.

Dalam satu majlis berbuka puasa proksi Aspirasi di UM, salah seorang daripada penasihat mereka berkata "PMIUM begitu kemas merekrut barisan pelapis dan mereka begitu konsisten. Saya tak terkejut sekiranya dalam masa setahun dua lagi, takbir akan kembali bergema di DTC (Dewan Tunku Canselor)."

Pilihan raya pre-determined

Hari ini, pilihan raya kampus diadakan serentak di semua IPTA seluruh Negara. Tahun lepas Aspirasi hanya tewas di UIA dan menang di kampus-kampus lain.

Ternyata Aspirasi telah melakukan apa yang termampu secara 'halal' ataupun 'haram' untuk mempertahankan kemenangan mereka.

Bahkan kemenangan mereka sudah ditentukan terlebih dahulu (pre-determined) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan HEP di semua universiti dengan curahan beratus ribu ringgit dan pengembelengan jentera universiti.

Apa pun yang berlaku selepas ini, kalian teruskanlah berjuang, agar semangat kalian tempiasnya dirasai rakyat.

Biarlah ada yang sinis mempertikaikan kejituan tekad kalian, berjuanglah, kemuliaan pasti menjadi milik kalian, bijak dan pemberani! - mks.

No comments: