Friday, August 24, 2007

SSM serah memorandum pada Suhakam tuntut pilihan raya kampus adil dan bersih

harakahdaily, 24 ogos 2007

Intan Abdullah
Fri | Aug 24, 07 | 06:21:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Hrkh) - Laungan keramat 'Merdeka Mahasiswa' bergema kali ini di Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tepat jam 3 petang tadi.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Selesai menunaikan solat Jumaat, lebih 1,000 mahasiswa berarak bagi menyerahkan memorandum menuntut Pilihan raya Kampus (PRK) yang bersih dan adil daripada Masjid Negara menuju ke pejabat Suhakam.

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) yang dianggotai oleh beberapa front mahasiswa iaitu Dema, Umany, Gamis, PKPIM, Gabungan Anak Muda dan Pelajar Jerit melibatkan beberapa buah institusi pengajian tinggi awam iaitu Univeristi Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Univeristi Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia sambil membawa kain rentang 'Merdeka Mahasiswa' sepanjang tiga meter dengan slogan 'Bebaskan kampus dari Penjajahan HEP dan Sistem Pilihan raya Kuku Besi' serta sepanduk 'Student Independent Day From Auku'.

Mereka yang berjalan dengan melambai-lambaikan bendera Malaysia sambil dikawal dengan baik oleh pihak polis dan pasukan polis trafik Kuala Lumpur turut mendapat perhatian yang meluas daripada pihak media.

Seperti yang dijanjikan, pihak Suhakam menyambut kedatangan enam wakil SMM dalam sesi perbincangan ringkas bersama Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam mengenai memorandum yang dikemukakan.

"Saya percaya sistem melantik pengawas sekolah lebih adil daripada sistem pilihan raya kampus," ujar Dato' Siva Subramaniam dalam sesi soal jawab bersama mahasiswa tersebut.

"Jangan label mereka sebagai proaspirasi kerajaan atau propembangkang. Ini akan memecah-belahkan perpaduan masyarakat kampus yang hidup harmoni," kata Siva memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berniat untuk memecah belahkan perpaduan mahasiswa.

Beliau turut mengulas tindakan pihak yang cuba merosakkan kesatuan mahasiswa, dengan menyatakan bahawa tidak guna menjadi orang politik jika tidak mengotakan apa yang dikatakan serta mengabaikan aspek perpaduan .

SMM dalam memorandumnya kepada Suhakam menuntut agar badan itu dapat bertindak sebagai pemantau dan pemerhati bebas kepada perjalanan pilihan raya kampus yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Sejak 2005 kami tidak jemu-jemu datang ke Suhakam kerana kami masih menaruh keyakinan dan kepercayaan terhadap kewibawaan Suhakam bagi memastikan pilihan raya kampus dapat berlangsung secara adil dan bersih," kata Pengerusi SMM, Syeikh Omar Ali.

Siva pula dalam jawapannya kepada SMM menjelaskan bahawa Suhakam tidak duduk diam selepas menerima aduan yang telah dikemukakan oleh kumpulan mahasiswa sebelum ini.

Jelasnya, pada 5 September tahun lalu, beliau telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed yang membabitkan kajian semula terhadap seksyen 15 dan 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

Beliau menerangkan bahawa Suhakam telah menerima beberapa pandangan daripada kalangan mahasiswa IPTA mengenai beberapa peruntukan yang melanggar hak asasi manusia.

Antara enam perkara yang telah diklasifikasikan ialah seksyen 15, 15(c), 15(d), seksyen 16, pilihan raya kampus dan surat akujanji.

Suhakam berpendapat, perkara-perkara ini harus dikaji semula kerana terdapat beberapa seksyen yang menyekat mahasiswa bersuara dan berhimpun secara aman.

"Ini adalah kerana kami berpendirian bahawa hal ini akan memberi kesan yang negatif kepada perkembangan minda mahasiswa yang seharusnya lebih analitikal dan responsif kepada isu semasa yang berlaku," katanya tegas.

Beliau tidak menafikan bahawa terdapat beberapa peraturan pada era kepimpinan Perdana Menteri sebelum ini sudah tidak lagi relevan sekarang sesuai dengan peranan mahasiswa masa kini.

"Mereka mempunyai tanggungjawab bagi menyuarakan kesilapan dan kecacatan apatah lagi pandangan bagi memperbaiki keadaan sistem yang dijalankan," tambahnya lagi.

Beliau menyambut baik kedatangan mahasiswa ke Suhakam sebagai tanda tanggungjawab mereka terhadap kampus yang didiami.

Dalam sesi perbincangan selama setengah jam itu, beliau menjelaskan bahawa Suhakam tidak dibenarkan untuk masuk ke kampus oleh pihak pengurusan universiti bagi memantau perjalanan pilihan raya

"Namun begitu, kami menggunakan mekanisme tersendiri bagi memastikan kami mendapat maklumat secukupnya mengenai apa yang berlaku bagi menjalankan analisis," katanya.

Sementara itu, Siva turut mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi penghargaan kepada universiti yang mengambil tindakan tidak membenarkan parti Umno berkempen sambil mengakui bahawa terdapat campur tangan parti politik sepanjang berlangsungnya pilihan raya kampus sebelum ini.

Walau bagaimanapun, beliau sangat optimis bahawa beberapa perubahan akan dibuat selepas ini oleh pihak KPT dan berjanji akan menyampaikan tuntutan mahasiswa ini kepada Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abdul Mutalib selepas ini untuk tindakan selanjutnya.

Ketika berucap kepada mahasiswa yang berhimpun di perkarangan pejabat Suhakam, Siva juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan keselamatan yang membantu mengawal perarakan dari Masjid Negara ke Suhakam serta membenarkan mahasiswa mengadakan perhimpunan aman.

Perhimpunan tersebut diakhiri pada jam 4 petang dengan seluruh mahasiswa menandatangani banner Merdeka Mahasiswa dan laungan "Merdeka Mahasiswa". - mns

No comments: