Monday, August 13, 2007

Laungan 'student power' bergema di Putrajaya

Harakahdaily, 13 ogos 2007

Oleh Intan Abdullah
Mon | Aug 13, 07 | 01:07:22 PM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Hrkh) - Laungan 'Student Power' bergema lagi buat kali keempat dan kali ini ia dilaungkan di parcel E, Putrajaya.

Hampir 1,000 mahasiswa daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar lembah Klang, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hadir di perkarangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selepas selesai menunaikan solat Jumaat, untuk bertemu dengan Menteri KPT, Dato' Mustapa Mohamed bagi menuntut pilihan raya kampus yang bersih dan adil yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Solidariti Mahasiswa Malaysia pada 10 Ogos yang lalu, telah menghantar satu memorandum mahasiswa Menuntut Kebebasan dan Keadilan dalam proses perlaksanaan Pilihan raya kampus bagi tahun ini.

Namun begitu, mereka gagal bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed tetapi pihak KPT hanya menghantar wakilnya iaitu pegawai Khas kepada Menteri tersebut, Ahmad Ikmal Ismail yang juga merupakan exco Pemuda Umno.

Sebelum ini, SMM juga mendesak untuk bertemu dengan menteri sendiri, tetapi mereka hampa kerana KPT hanya menghantar 'ikan bilis' mereka untuk menyelesaikan hal ini.

Bahkan, bagi pihak menteri, Ahmad Ikmal membenarkan kumpulan mahasiswa ini untuk datang sekali lagi dan beliau berjanji akan menyediakan makanan yang lazat serta ruang perbincangan yang lebih selesa tanpa perlu duduk di atas kaki lima di hadapan pintu masuk kementerian itu.

Namun begitu, pelawaan beliau tersebut ditempelak oleh SMM bahawa mereka tidak memerlukan layanan seperti yang ditawarkan bahkan menurut SMM mereka telah cukup kecewa dan terguris dengan sikap serta tindakan KPT terhadap demokrasi yang kini telah mati.

"Mahasiswa tidak perlukan kemewahan dan keselesaan, tetapi apa yang kami mahukan ialah kembalikan semula demokrasi di kampus," tegas Pengerusi SMM, Syeikh Omar sebagai respon kepada wakil KPT yang berjanji akan menyediakan makanan dan tempat perbincangan

"Meskipun wakil KPT tadi berkata beliau terguris dengan tindakan kami mengadakan perhimpunan di hadapan kementerian ini, tetapi ingin dijelaskan di sini bahawa kami telahpun lama terguris sejak tiga sesi yang lepas, kami sangat kecewa dengan layanan yang telah diberikan oleh pihak KPT," tegasnya lagi setelah selesai pertemuan dengan Ahmad Ikmal yang menyatakan rasa kesal dengan tindakan mahasiswa yang berkumpul di hadapan bangunan kementerian tersebut secara berbondong-bondong

Walaupun Ahmad Ikmal meminta agar SMM memperincikan aduan yang telah dikemukakan kepada beliau, SMM pula menuntut agar pihak KPT dapat turun sendiri ke kampus bagi menyiasat dakwaan SMM tersebut

Dalam perhimpunan tersebut juga, SMM mengadakan pelancaran kain rentang 'Mahasiswa Menuntut PRK bersih dan adil' dengan motif seorang pesalah yang dihukum gantung dengan label padanya, 'Auku - Kampus mati'.

Sementara menanti perbincangan antara pihak SMM dengan KPT selesai, mereka sempat menyanyikan lagu 'student power' dan ucapan wakil pelbagai pertubuhan mahasiswa bagi mengisi masa tersebut, sambil diperhatikan oleh beberapa orang pegawai keselamatan dan kakitangan KPT.

Kelibat serta laungan mereka turut menarik perhatian pegawai-pegawai polis bertugas yang meminta agar mahasiswa menurunkan semua sepanduk dan kain rentang yang dibawa.

Sepanduk-sepanduk dan kain rentang yang dibawa dengan slogan-slogan 'Mansuhkan Auku', 'HEP jangan campurtangan', 'mahasiswa bukan boneka', 'Mahasiswa tuntut PRK adil', ' mahasiswa bergotong royong menegakkan demokrasi' dalam pelbagai bahasa.

Perhimpunan yang bermula pada 2.30 petang diakhiri dengan nyanyian lagu 'student power' pada jam 4.45 petang.

Ia adalah anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan disokong oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(Gamis), Malaysia Youth and Students Democratic Movement (Dema), Forum Lorong Tengah (For - Lot), Gabungan Anak muda dan Pelajar (Gamp), Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Univesity Malaya Association of New Youth(Umany), Food Not Bomb (FNB) dan Jawatankuasa Mahasiswa/i Universiti Kebangsaan Malaysia. - mks.



No comments: