Saturday, July 15, 2006

Israel menggodam infrastruktur utama Lubnan

Malaysia Today, 15 julai 2006

Tentera Israel sedang menggodam Selatan Lubnan dan memusnahkan infrastruktur utama negara tersebut.

Awal Khamis dan sepanjang Jumaat, pesawat Israel menyerang stesen janakuasa di Jiyye, 25 kilometer selatan Beirut, meletupkan lapangan terbang antarabangsa buat keenam kalinya dan mensasarkan jambatan-jambatan dan jalan-jalan raya. Selain itu, pencawang bagi talian talifon juga turut dimusnahkan. Dengan semua perhubungan darat, udara dan telekomunikasi dimusnahkan, Beirut kini terputus daripada dunia luar.

Tiada yang dapat menghentikan keganasan Israel dari merebak di seluruh rantau Asia Barat. Keadaan itu amat membimbangkan kerana jika ia berlaku, perang akan meletus dan terkesan di merata dunia, dan sukar untuk dikawal kelak.

Kerajaan Lubnan meminta agar Amerika mengarahkan Israel supaya menghentikan serangan ke atas Selatan Lubnan, namun, Presiden Amerika tetap menyokong tindakan Israel yang kononnya mempertahankan negara tersebut daripada serangan pengganas.

Dalam perkembangan dalam negara, Angkatan Belia Islam (ABIM) mengecam tindakan Israel menyerang Selatan Lubnan yang dikhuatiri akan membawa ketidakstabilan di seluruh rantau Asia Barat.

Setiausaha Agung ABIM Khairul Arifin Md Munir menggesa komuniti antarabangsa mengecam serangan tersebut dan mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenakan sekatan ke atas Israel, dan menghalang serangan serupa daripada berlaku.

Beliau juga meminta Organization of the Islamic Conference (OIC) memainkan peranan yang lebih berkesan dalam membantu dari segi kemanusiaan terhadap penduduk Palestin.

Dalam isu berkaitan, Gerakan mahasiswa telah menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert sebagai penjenayah perang serta mengheretnya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Tuntutan tersebut dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan oleh wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) melalui Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Mohd Haniff Baderun, di pejabat pertubuhan itu di sini, pagi Jumaat.

Memo yang diserahkan pada jam 10.30 pagi itu turut mengandungi desakan agar PBB di Malaysia mempelopori kempen anti-Zionis yang merupakan sebahagian daripada kempen cintakan keamanan di peringkat Malaysia dan antarabangsa.

Menurut Haniff, langkah ini perlu memandangkan kebiadapan rejim zionis Israel ke atas kerajaan dan penduduk Palestin sejak dahulu, sehingga melarat ke Beirut seperti yang dilaporkan akhbar.

Turut berucap dalam majlis itu ialah wakil Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Mohd Safwan Saparudin; wakil Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Nazree Mohd Yunus; wakil University of Malaya New Youth Association (Umany), Wong Teck Chi; wakil GEMA Palestin, Muhamad Fadzil Ahamad, serta beberapa wakil mahasiswa lain

1 comment:

NaS said...

ni apa taruh berita2 lama daa. kalau ye pun, tukar la tarikh, tak letak aug2007. bagi konpius org saja...