Wednesday, June 08, 2005

ForumNet II: Gerakan mahasiswa: Cabaran & Harapan [Siri 4]

ForumNet II: Gerakan mahasiswa: Cabaran & Harapan [Siri 4]


Hit = [ 337 ]

sumber: UmmahOnline Team 04:30pm 08 Jun 2005

Berasaskan dari semangat jamak perspektif, ForumNet ini dicetuskan untuk menghimpunkan ragam cerapan dalam melihat sesuatu perkara bagi dinilai sendiri oleh para pembaca. ForumNet kedua yang bertema Gerakan Mahasiswa: Cabaran dan Harapan ini telah menghadirkan banyak pertanyaan menarik dari para pembaca, dan kami akan menyiarkannya secara bersiri.

Selain daripada itu, bagi memeriahkan lagi usaha ini, para pembaca sangat-sangatlah digalakkan menulis artikel atau surat kepada pihak Ummahonline.com sekiranya mereka tidak bersetuju atau tidak berpuas hati dengan idea-idea yang disuarakan oleh para panelis di sini dengan mengemukakan hujah-hujah yang ilmiah, rasional dan kritis berdasarkan teori-teori agama dan sains sosial Barat.

Akhir, Ummahonline.com ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan buat para panelis yang sedia berkorban masa dan idea, serta tidak dilupakan kepada mereka yang mengirimkan pertanyaan dan para pembaca Ummahonline.com yang setia menanti jawapan panelis. Moga-moga program ini dapat diteruskan dengan lebih sempurna lagi pada masa akan datang dalam mengungkapkan tema-tema yang berbeza dan pastinya menarik!


Para panelis:

Noor Amin Ahmad
Naib Yang Dipertua MPPUPM (menang atas tiket Aspirasi) tetapi berbicara dalam ForumNet II ini atas nama peribadi.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Penuntut King's College, London. Pernah terlibat di National Union of Students UK, dan bekas editor & pengasas SuaraAnum.com

Azwiralbukhairi Ab Aziz
Kini sebagai Setiausaha Agung PKPIM. Tulisannya banyak mengupas isu-isu keislaman, kemahasiswaan dan kesejagatan.

Helman Sanuddin
Mantan Setiausaha Agung MPPUiTM 1999/2000. Salah seorang daripada mangsa ISA7.

Ali Bukhari Amir
Aktivis gerakan mahasiswa USM. Sebelum ini pernah menjadi editor majalah Kampus.


SOALAN KETUJUH: Adakah anda bersetuju parti-parti politik meluaskan pengaruhnya ke dalam kampus seperti usaha tersirat yang telah dan akan dilakukan oleh Puteri dan Putera Umno? Apa impak - jika tindakan ini dilakukan - terhadap gerakan mahasiswa? Ummi, Kuching


AMIN: Ada 2 pilihan untuk saya.

Pertama, saya lebih suka universiti membenarkan parti politik bertapak di kampus. Tetapi telah saya gambarkan bagaimana universiti sendiri masih gagal berdikari. Kita boleh beri alasan bahawa emolumen universiti ditanggung oleh kerajaan atau korporat. Sebab itu ‘big picture’ ini perlu kita faham dan perubahan itu mesti bersifat menyeluruh kerana dasar pemikiran bahawa institusi ilmu mesti tunduk kepada paksaan pasaran adalah cukup bahaya kepada agenda ketamadunan.

Maksud saya kepada soalan Ummi ialah ‘level playing field’. Ini adalah pilihan pertama saya.

Kedua, haramkan mahasiswa menyertai parti politik. Saya percaya pilihan ini tidak begitu popular di kalangan aktivis. Bukan kerana aktivis itu mahu menyertai sangat parti politik, tetapi aktivis mahasiswa biasanya tidak kisah bersaing dengan parti politik selagi ada jaminan ‘level playing field’.

Suka atau tidak parti politik mempunyai kekuatan tersendiri dan lebih dulu terorganisasi. Tetapi ini bukan pilihan tunggal mahasiswa. Mahasiswa pada tahun kebangkitan 60-70 an pernah membuktikan mereka berani bersaing.


NIK NAZMI: Saya menyokong penubuhan Putera UMNO. Tetapi “keanehan” situasi di Malaysia terserlah. Khairy Jamaluddin, bekas mahasiswa Oxford itu cuba menjustifikasikan kewujudannya disebalik AUKU dengan mengatakan penyertaan mahasiswa ke dalam Putera UMNO harus dengan kebenaran Naib Canselor.

Saya sarankan kita bakulsampahkan sahaja AUKU. Kita lihat hari ini bagaimana Naib Canselor sentiasa tidak telus dalam kepetusan mereka – seperti kes Terence Gomez. Lebih bijak untuk kita akhiri kawalan ketat ke atas mahasiswa menerusi AUKU yang merimaskan. Dengan itu tak kisahlah Putera UMNO ke, Puteri UMNO ke, Srikandi PAS ke, Angkatan Muda Keadilan ke – apa salahnya mereka bertapak di kampus? Jika difikirkan elok, mahasiswa kita akan sertai mana-mana yang sesuai dengan fikrah mereka. Jika tidak, mereka boleh tak sertai atau tubuh persatuan mereka sendiri.

Hari ini pun, dengan AUKU parti-parti politik menyelinap ke dalam kampus menerusi pelbagai “fron”. Positif atau negatif – ini sesuatu yang sememangnya lumrah kerana di universitilah ramai bakal-bakal pemimpin dilahirkan. Tetapi tentunya lebih baik persaingan ini berlaku secara lebih jelas dan terbuka. Lagipun Perlembagaan kita mengatakan warganegara berumur 21 ke atas boleh mengundi. Ramai mahasiswa kita berumur 21 ke atas. Tak masuk akal hanya kerana mereka “mahasiswa” mereka tak boleh aktif dalam politik. Tiada kontradiksi kerana mereka bukannya pegawai kerajaan Kelas A yang mentadbir dasar negara.

Di NUS di UK yang mana saya aktif juga ada pelbagai kumpulan. Akhir-akhir ini kumpulan parti politik (khususnya Labour) kurang popular kerana kerajaan juga Labour dan dasar kerajaan Britain yang memperkenalkan yuran pengajian yang tidak popular di kalangan mahasiswa. Jadi mahasiswa yang bebas atau kurang terserlah kesetiaan politik mereka lebih mendapat tempat.

Tetapi tidak salah ruang ini diberikan kepada mahasiswa. Jika mahasiswa sokong PAS misalnya, biarlah PAS menang di kampus. Jika tidak mereka kalah. Kalau benar-benar kita fikirkan kepentingan bangsa, agama dan negara; dan merasakan mahasiswa kita sudah mumayyiz mengapa perlu kita cemas sangat? Berilah sedikit kepercayaan kepada mahasiswa.


AZWIRAL BUKHARI: Pada pandangan saya, secara peribadi sememangnya tidak bersetuju. Kesan kepada objektiviti pelajar dalam melihat sesuatu isu atau perkara akan berlaku. Pelajar sudah diwarnakan (politik) terlebih dahulu menyebabkan saya bimbang (tidak semua oran) sikap objektif itu hilang.

Namun begitu, jika parti politik itu benar-benar serius dan sedar tentang kesan sikap partisan politik ini, tetapi pada masa yang sama masih berminat untuk mengkader atau merekrut pelajar, mereka tidak seharusnya membentuk kerangka politik partisan yang akan mencengkam dan menutup pintu pemikiran baru dan sikap kepada tindak tanduk entiti yang terlibat didalam pertembungan perebutan kuasa.

Jika parti-parti politik ini masih serius dalam meluaskan pengaruhnya di dalam kampus, parti politik perlu memastikan kerangka pemikiran dan sifat ideal pelajar ini tidak dibunuh dengan idea politik yang mungkin menghakis daya intelektual dan kreativiti pelajar dan membina tassawur atau pandangan hidup tentang banyak perkara.

Biarkan pemikiran dan keupayaan artikulatif pelajar terbina dengan kekuatan ilmu tetapi hubungan sebagai organisasi mungkin boleh berlaku. Urusan akademik atau kebebasan academia tidak boleh diganngu dan perlu dibiarkan subur baik dari parti politik pemerintah dan pembangkang.

Beberapa tindakan kepada ahli akademik di universiti juga antara contoh terbaik dimana berlakunya campur tangan politik yang ketara. Universiti tidak akan menjadi tempat yang subur untuk membina ilmu tetapi tidak lebih kepada tempat menempah sijil atau mencari makan sahaja kelak.


HELMAN: Secara peribadi, saya tidak bersetuju jika Mahasiswa diperalatkan oleh mana – mana parti politik sama ada secara tersirat atau tersurat. Adalah satu kesilapan besar jika kita membiarkan parti politik menguasai mahasiswa kerana keadaan ini sekaligus akan menghilangkan identiti neutral mahasiswa. Mahasiswa akan gagal menjadi agen check and balance dan pejuang masyarakat jika mereka telah bersandar pada ideologi mana – mana parti politik.

Jika dilihat pada senario semasa, pihak universiti dilihat lebih terbuka untuk membiarkan mahasiswa diperalatkan oleh parti UMNO dan BN. Sebagai contoh, setiap kali tahun pemilihan UMNO mahasiswa terpilih dari UiTM akan dibenarkan menjadi petugas dalam Mesyuarat atau Perhimpunan Agung UMNO. Keadaan ini berbeza bilamana ada kalangan mahasiswa yang terlibat membantu parti pembangkang atau meraikan parti pembangkang dengan hadir sebagai tetamu kehormat dalam Muktamar atau Mesyuarat Agung mereka.

Justifikasi yang tidak selari ini sebenar tidak jujur dan mengambarkan bahawa Universiti sendiri gagal menunjukan bukti keadilan mereka. Jadi, seandainya kita membiarkan Puteri dan Putera UMNO memasuki kampus maknanya kita redha pada dasar yang tidak adil ini yang akhirnya akan mewujudkan mahasiswa jumud yang berpandu pada satu arah yang mereka sendiri tidak pasti sama ada itu adalah arah yang betul atau tidak kerana tiada pilihan lain.

Justeru itu, adalah lebih baik jika mahasiswa dibebaskan dari kongkongan mana – mana parti politik. Biarlah kampus dijadikan sebagai tempat mereka mempelajari, memahami dan menilai politik massa sebelum mereka memilih aliran sebenar yang sesuai dengan jiwa mereka setelah bergelar graduan.

Usaha mengkaderkan mahasiswa pada satu pilihan ideologi yang terhad dengan menolak pandangan lainnya harus dikritik kerana ianya tidak membina mahasiswa yang kreatif dan berpengetahuan luas. Seandainya wujud idea untuk membenarkan parti politik memasuki kampus dan mengkaderkan ahlinya, maka peluang sama rata harus diberikan pada semua parti politik dan hak kebebasan mahasiswa dalam memilih harus diberikan secara mutlak.

Jalan yang seimbang harus dibuka kepada mahasiswa untuk mereka berjalan diatas laluan yang harmonis, jika tidak dengan fikrah sehala yang fanatik kepada satu kumpulan sahaja ianya akan merosakan kualiti mahasiswa.

Secara keseluruhannya, saya tetap tidak dapat melihat bahawa campurtangan parti politik itu akan mewujudkan kesatuan dan keamanan dalam masyarakat mahasiswa. Keadilan dan keikhlasan dalam membawa masuk parti politik ke dalam kampus juga perlu diperhatikan kerana mereka pastinya punya agenda yang berbeza dengan Mahasiswa. Biarlah mahasiswa berdiri sebagai entiti yang bebas untuk menentukan hala tuju mereka dan menjadi organisasi bebas bagi menilai, menerima atau mengkritik apa yang kerajaan atau pembangkang buat untuk kebaikkan rakyat.

Seperkara lagi, amatlah diharapkan agar pihak Universiti dapat bersikap telus untuk mentadbir Universiti. Tugas mereka untuk mendidik anak bangsa menjadi tanggungjawab utama. Oleh itu, pihak universiti harus faham bahawa mereka memikul amanah dari rakyat melalui kerajaan. Dan Kerajaan rakyat harus dihormati, bukannya menghormati agenda politik parti yang memerintah. Universiti harus bijak membezakan kepentingan parti yang memerintah dan kerajaan. Jika UMNO dan BN atau apa jua parti tiada maka, kakitangan kerajaan tetap boleh melakukan tugasnya atas amanah rakyat dan pimpinan Yang diPertuan Agong. Universiti untuk rakyat bukannya untuk parti (Jika parti politik berhasrat mengindoktrinasi mahasiswa melalui Universiti, parti – parti politik harus mewujudkan universiti mereka sendiri yang datang bukan dari kantung rakyat dan dana negara).

Jika ada kalangan mahasiswa ingin bermain politik nasional, saya tiada masalah. Tetapi berfikirlah dahulu. Ini musim kampus, musim untuk mahasiswa belajar mengenali kulit dan isi, masa untuk memahami kebenaran dan kepalsuan, masa untuk memahami kehendak rakyat. Jangan biarkan agenda mahasiswa tenggelam akibat pengaruh parti politik. Kita jadi Pak angguk kerana menyertai UMNO atau kita menjadi pembangkang semata – mata tanpa melihat perkara positif lain kerana kita sokong parti pembangkang.

Kalau pun kerajaan benarkan mahasiswa berpolitik, saya tidak yakin bahawa undangan itu benar – benar ikhlas. Lihatlah pada apa yang berlaku kini. Parti mana yang dibenarkan masuk kampus untuk berdiskusi bersama mahasiswa? Adilkah kerajaan BN sekarang?


ALI BUKHAIRI: Sudah tentu saya bersetuju. Manusia adalah insan politik. Dalam kampus, politik adalah pelbagai warnanya. Politik kampus bukan setakat pertempuran merebut kekuasaan MPP antara pro-kerajaan dan pro-pembangkang. Ia juga melibatkan isu kenaikan pangkat NC, TNC, kenaikan gaji pensyarah, kehadiran SB yang memantau ucapan pensyarah dalam IPT, pihak luar menaja pelajar pro-kerajaan dan pro-pembangkang dan lainnya.

Politik adalah kepimpinan dan parti itu adalah wadah untuk seseorang memimpin. Kita boleh merujuk di dalam al-Qur’an betapa konsep Khalifah (politik) ini, adalah antara faktor yang manusia itu diturunkan ke bumi untuk mentadbir dan memimpin bumi ini. Parti pula hanyalah alat untuk melancarkan kepimpinan.

Bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir dan beberapa pemimpin politik dahulu telah menceburi politik kepartian seawal usia muda remaja mereka. Mereka ghairah berpolitik, menulis di akhbar tanpa sebarang sekatan. Maka, apa sebabnya kita dihalang berparti?

Dulu, saya pun termasuk dalam kumpulan yang menentang kemasukan parti-parti politik dalam kampus. Tapi, setelah difikir sedalam-dalamnya, kenyataan itu tidak masuk akal, lalu saya menolaknya.

Apa salahnya politik kepartian? Apa salahnya jika ada Putera serta Puteri Umno, Keadilan, Pas dan lain-lain parti dalam kampus?. Namakan pertubuhan ini dengan nama-nama lain ketika di dalam kampus dan sahkan mereka di bawah undang-undang universiti dengan nama Aspirasi, Wawasan, Hizbi, Umany, Revo, Sahabah, Idealisme Mahasiswa, dan apa sahaja. Itu perkara mudah. Kematangan mereka akan meningkat, Insya Allah.


“Tidak boleh, kalau ada politik kepartian, Umno kalah,” seorang rakan baik saya dalam Umno pernah berkata demikian di PWTC beberapa tahun lalu.

“Jadi, kalau menang, baru boleh wujudkan politik kepartian?” saya menyoalnya semula. Dia diam. Jika benarlah politik kepartian hanya dibuka kalau politik pro-kerajaan menang, hal ini menunjukkan bahawa mereka dalam dilema. ‘Dilema Pemimpin Melayu’.

“Bukan tak mau ada politik kepartian ni, tapi risau kalah,” katanya lagi. “Tengok saja pilihan raya kampus lepas, kita memang nak buktikan mahasiswa sokong kita.”

Kuasa pelajar sangat kebal. Rakan saya menyebut bahawa dalam apa jua keadaan, akhbar akan siar berita mengenai kemenangan mahasiswa pro-kerajaan agar rakyat lihat pelajar sekarang bukannya menolak mereka. Buktinya, seperti Puteri serta Putera Umno. Jika ramai penyertaan, ini bukti bahawa generasi muda sudah berubah.

Saya lalu membuat kesimpulan mudah. (Semoga saya tersilap). Jauh di sudut hati pemimpin kerajaan, mereka mahu politik kepartian ada dalam kampus, tapi biarlah semua mahasiswa menyokong mereka. Kononnya lagi, mereka tidak mahu ada perpecahan bila wujudnya puak-puak yang berorientasikan politik kepartian ini.

Ternyata mereka pun memang berpecah. Mengapa hipokrit? Kalau pemimpin IPT mahu pelajar bersatu, seharusnya mereka menyeru pemimpin parti di luar supaya bersatu. Barulah mereka boleh berkata pakatan dalam pilihan raya tidak dibenarkan.

Dalam pandangan hidup Islam, al-Qur’an itu sendiri hakikatnya adalah perkataan Tuhan yang diturunkan untuk melahirkan ‘perpecahan’. Al-Qur’an itu adalah ‘al-Furqan’ yang memisahkan antara Iman dan Kufur, syurga dan neraka, haq dan batil, keadilan dan kezaliman, dan lain-lain lagi. Mengapa terlalu ideal sehingga mahukan penyatuan sedang Islam itu secara automatik menjadi garis pemisah dan ia (Islam) di pihak yang benar.

Sehingga sekarang, tiada kenyataan yang benar-benar kukuh dan konkrit daripada para pemimpin universiti sehinggalah Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi yang menyatakan asas, kenapa politik kepartian harus ditolak dalam kampus. Kalaulah mereka cuba menjelaskan, nescaya ada saja jawapan yang mematahkan kenyataan itu. Akhirnya, mereka terpaksa berkata, “Politik kepartian memang tidak dibenarkan dalam kampus, kerana ia bersalahan dengan Auku”. Titik. Mengapa kerajaan tidak mahu pelajar terlibat dengan politik dan bermacam-macam pergerakan di luar universiti?

Kita harus meneropong sejarah perjuangan mahasiswa yang terawal. Asal-usulnya bermula di Singapura. Gerakan mahasiswa dan politik kepartian berpengaruh dan kadang kala berpadu tenaga dengan kaum buruh.Dalam memoir bekas Pengarang Utusan Melayu Said Zahari, memang ada catatan yang menunjukkan keterlibatannya bersama mahasiswa Kelab Sosialis di Universiti Malaya.

Kes ‘Perbicaraan Fajar’ turut mendapat liputan berita oleh Said Zahari. Sementara itu, beliau juga diundang memberikan ceramah oleh kelab tersebut di universiti mengenai isu-isu politik kenegaraan. Hubungan kerjasama golongan politik berhaluan kiri – pelajar universiti – kaum buruh turut dikesan dalam biografi Jins Shamsudin (Penerbit UKM), di mana buku itu menceritakan keterlibatan beliau sendiri dalam siri-siri demonstrasi.

Hubungan rapat antara mahasiswa - buruh - parti politik berhaluan kiri inilah yang paling digeruni oleh parti penguasa di Singapura. Tradisi ini diteruskan dalam isu petani Hamid Tuah di Selangor bersama persatuan pelajar era 70-an. Maka, melalui pengalaman inilah saya fikir, penguasa memutuskan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan:-

Sekatan-sekatan ke atas hak menubuhkan persatuan yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang mengenai ‘buruh’ atau ‘pelajaran’. – Perkara 10, Fasal (3)

Sejak itu, tiada lagi persatuan ‘pelajar’ dan ‘buruh’ dengan sewenang-wenangnya mendapat kelulusan menubuhkan pertubuhan mereka. Wallahu ‘Alam.


SOALAN KELAPAN: Saya cukup hairan, mengapakah ramai dari kalangan aktivis Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang melibatkan diri secara langsung dalam PAS selepas tamat pengajian? Adakah ini mencerminkan bahawa PMI itu PAS? Dan, apakah wujudkan ancaman/bahaya di sebalik hubungan/perkaitan ini? - Ahmad Mikhail, Skudai


AMIN: Bila Ahmad Shabery Chik menyertai UMNO, kenapa tidak ada yang mengatakan PMI itu UMNO? Tidak ada bahayanya hubungan PMI dan PAS sekiranya benar berlaku. Saya percaya kepada persaingan sihat.

Soal yang penting bagi saya aktivis PMI perlu tampil dengan pemikiran yang mewakili semangat zaman dan penampilan yang mampu memenangi penilai. Saya percaya sentiasa ada sebilangan aktivis PMI yang begini tetapi akhirnya mereka tidak punya tempat di dalam PMI. Mungkin pada satu peringkat mereka dapat naik tetapi sebaik mereka menelurkan pemikiran yang ada, mereka akan dicantas.

Saya percaya ini tidak berlaku dalam PMI sahaja tetapi mungkin telah jadi sifat sejati orang kita kot (ketawa).


NIK NAZMI: [Tiada komen]


AZWIRAL BUKHAIRI: [Tiada komen]


HELMAN: Perkara ini tidak seharusnya menjadi kerisauan kepada semua pihak. Semua orang mengakui bahawa golongan mahasiswa yang ada pada hari ini merupakan pelapis kepimpinan Negara di masa hadapan. Jadi tiada isu jika pimpinan PMI atau MPP atau mana – mana pertubuhan di Universiti pada hari ini atau sebelum ini keluar dari kampus dan menyertai mana – mana parti politik.

Pemikiran sempit bahawa mahasiswa yang bergelar graduan tidak boleh menjadi ahli atau pimpinan parti kerajaan atau pembangkang harus dijauhi. Apa guna mereka berjuang dikampus jika pengalaman ini tidak ditumpahkan dalam pentas masyarakat dalam keadaan yang mereka ingini.

Kita jangan terkejut jika pemimpin PMI ada yang menyertai BN atau pembangkang. Kita harus bangga kerana mereka mampu membuktikan pada dunia bahawa mereka bukan sekadar pemimpin kecil didalam kampus.

PMI sebagai agen PAS di dalam kampus merupakan idea yang tidak jelas dan progresif. Seharusnya kita memahami bahawa kewujudan PMI itu adalah untuk memperjuangan Hak Mahasiswa dan mengeluarkan pandangan bebas mahasiswa, khususnya untuk mahasiswa muslim dikampus. Ini berbeza dengan PAS yang banyak memainkan dan memperjuangan isu – isu peringkat nasional serta antarabangsa dan kurang mengambil tahu tentang isu – isu dalaman mahasiswa.

Hanya kerana idea dan dasar mereka sama, iaitu perjuangan membela umat Islam maka ramailah kalangan kita yang melabelkan PMI itu PAS, dan PAS itu mentor mereka. Lupakah kita bahawa kebanyakan ahli PMI yang keluar dari kampus tidak semuanya menyertai Politik PAS. Ada yang memilih jalan hidup terasing dari dunia politik, ada yang menyebelahi BN dan ada yang menyertai parti pembangkang lainnya.

Perjuangan mahasiswa didalam kampus tidak bertujuan untuk mengejar pangkat. Tanyalah pada mana – mana bekas pimpinan kampus, adakah mereka pernah dibayar untuk memegang jawatan, berdemontrasi dan sebagainya. Semua telah dilakukan atas dasar kemahasiswaan yang tulus dan tiada niat untuk menguntungkan diri sendiri.

Kesinambungan perjuangan kebanyakan pimpinan PMI bersama PAS diluar mungkin disebabkan oleh suasana yang tidak memihak mereka diluar. Pemimpin Kerajaan menolak mereka ketika di alam kampus hinggalah mereka bergelar graduan. Tetapi pemimpin PAS dilihat bijak untuk menarik mereka bagi menyertai politik PAS dengan instrument idea yang sama mereka melangkah jauh ke hadapan.

Kita lihat kepada pengalaman yang dilalui oleh Saudara Izwan Yusof (mantan Presiden PMIUM) yang gagal menempatkan diri dalam organisasi kerajaan, beliau akhirnya telah disambut oleh PAS dan diberikan pekerjaan serta tempat didalam PAS.

Jadi, siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Adakah pimpinan PMI yang telah di blacklisted oleh kerajaan harus dipersalahkan bila mereka terlibat dengan PAS setelah bergelar graduan? Adakah mereka bersalah bila terlibat dengan parti PAS yang telah membela nasib mereka? Adakah kita berhak memaksa mereka memilih jalan hidup seperti yang kita ingini?

Dalam sudut yang lain, kita juga tidak boleh menjumudkan pemikiran kita dengan menghalang pimpinan mahasiswa seperti PMI bergaul dengan masyarakat termasuklah ahli politik dari kerajaan atau pembangkang. Apa yang kita harapkan adalah keterbukaan minda dan hubungan harmonis antara pimpinan mahasiswa dengan pimpinan Negara yang ada tanpa mengira parti mana yang mereka terajui.

Terpulanglah pada pimpinan PMI untuk menentukan hala tuju mereka setelah melangkah keluar dari pintu gerbang universiti dan mengejar kedewasaan mereka bersama masyarakat. Ingatlah bahawa mereka tidak boleh menjadi pimpinan mahasiswa untuk selamanya, kerana pentas kecil ini tidak mampu untuk melaksanakan segala idea besar mereka. Diluar itulah pentas sebenarnya untuk kita melihat keikhlasan perjuangan mereka selama ini. Adakah mereka berjuang untuk mahasiswa dan rakyat? Lihatlah apa yang benar – benar ada dihadapan mata dan bukannya cakap – cakap orang di angin lalu.


ALI BUKHARI: Kita tidak perlu hairan. Sebab, hal ini sudah lama berlaku. Peristiwa ini bukannya berlaku baru semalam. Apa masalahnya PMI adalah Pas? Apa masalahnya, jika Wawasan dan Aspirasi ialah Umno? Dan kiaskanlah juga hal ini kepada pertubuhan lain. Saya fikir kita hipokrit dan yang paling menyakitkan hati, Auku itu sendiri yang tidak masuk akal. ‘Dosa terbesar’ Auku ialah menyekat keterlibatan politik ke atas mahasiswa. Natijahnya, penyakit ‘mahasiswa lesu’ muncul dan ia berjangkit kepada sindrom ‘belia lesu’.

Di manakah bahayanya? Siapakah yang mentakrifkan ‘bahaya’ itu? Mungkin PMI menganggap kewujudan Aspirasi, Wawasan, Revo, Sahabah sebagai ‘merbahaya’ kerana hal ini menggugat kaderisasi mereka. Begitu jugalah sebaliknya.Sebenarnya, kita masing-masing mempunyai takrifan sendiri ke atas istilah ‘bahaya’ serta berkecenderungan untuk menguatkuasakan ‘bahaya’ dalam takrifan kita ke atas khalayak massa.

Fenomena ini jelas hadir melalui Akhbar Mahasiswa (AM) di dalam beberapa siri keluaran yang lalu. AM umpamanya melahirkan beberapa komentar secara bersiri dengan berita atau rencananya untuk mempengaruhi khalayak mahasiswa mengenai bahayanya PMI, Gamis, MPMI ke atas mahasiswa di universiti. Itu takrifan ‘bahaya’ oleh AM yang mahu dikuatkuasakan ke atas minda masyarakat pelajar seluruhnya.

Dalam konteks Malaysia yang memerangi isu keganasan samada keganasan tahap Nusantara atau antarabangsa, negara tidak boleh memberikan kelulusan kepada Amerika untuk menempatkan pusat kajian antarabangsa mengenai keganasan di Kuala Lumpur. Ini kerana, Amerika dan PBB khususnya belum mentakrifkan ‘keganasan’ serta ‘pengganas’ yang boleh diterima pakai secara umum untuk membanteras keganasan global.

Jika mahu mentakrifkan ‘keganasan’ dan ‘pengganas’, maka sebenarnya Amerika itulah ‘pengganas’. Oleh itu, sekarang, ‘pengganas’ adalah sesiapa juga yang ditakrifkan sebagai ‘pengganas’ oleh Amerika. Mahasiswa sepatutnya mendesak dengan lebih keras supaya pusat kajian antarabangsa mengenai keganasan itu ditutup kerana takrifan tentang keganasan itu belum menyeluruh dan diterima pakai oleh semua negara. Ini masalah yang sama berlaku dalam iklim politik domestik dan politik kampus yang ingin kita debatkan.

Bagi Pas, kewujudan Gamis tidaklah merbahaya bahkan ia suatu keuntungan pula. Kepada Umno kewujudan PMI ini memanglah merbahaya kerana kaderisasi PMI ini akan menyambung perjuangan parti yang menjadi musuh tradisi mereka selama ini. Akhirnya, Wawasan dan Aspirasi pula ditubuhkan. Maka, pertubuhan ini tidaklah ‘merbahaya’ bagi Umno tapi mungkin ‘merbahaya’ kepad Pas pula. Ditambah pula dengan kehadiran Puteri Umno dan baru-baru ini Putera Umno (Semoga saya tersilap).

Pada saya, tidak ada satu pertubuhan pelajar pun, sama ada di dalam kampus atau di luar kampus, sama ada yang berdaftar atau pun tidak, boleh ditakrifkan sebagai bahaya oleh mana-mana pihak.Golongan pelajar hadir dengan kemuliaan sifatnya samada mereka dari aliran pembangkang atau kerajaan.

Jika ‘pembangkang’ itu negatif dan merbahaya, maka Umno Kelantan merbahaya kerana watak ‘kepembangkangan’ mereka. Merbahaya atau tidak, bukannya boleh dinilai dari sudut ‘KeUMNOan’ atau ‘KePASan’ mereka itu. Kerana, watak asli kedua-dua parti adalah bersifat neutral pada mulanya sehinggalah watak itu kotor ketika salah laku dalam membentuk polisi pemerintahan negara setelah memerintah.

Seterusnya, jika pembangkang itu ‘merbahaya’ dan negatif, maka tentulah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menafikan kehadiran pembangkang.Ini bermakna, kelulusan oleh kerajaan membuktikan bahawa kehadiran mereka memang diperlukan dalam negara. IPT adalah sebuah perkampungan ilmu yang wujud di dalam negara.Maka, jika pembangkang tidak dianggap ‘bahaya’ di peringkat nasional, bagaimanakah mereka dianggap bahaya di peringkat lebih kecil seperti di universiti?Adalah memalukan,jika pembangkang dianggap ‘bahaya’ oleh warga universiti yang dianggap berilmu tinggi dan pengetahuan luas.

Nota: nantikan siri kelima pada 5 Ogos 2005

No comments: