Thursday, October 05, 2006

SMM tuntut KPT siasat salah laku pihak berkuasa universiti

Malaysia Today, 5 oktober 2006

Oleh Nyza Ayob
Harakahdaily


Gerakan pelajar, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menggariskan beberapa tuntutan ke arah menjernihkan demokrasi di universiti termasuk mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengadakan siasatan ke atas kes salah laku yang melibatkan pihak berkuasa universiti sepanjang pilihan raya kampus lalu.

SMM dalam kenyataan medianya menyatakan, tuntutan tersebut dibuat berdasarkan pemerhatian serta 'post mortem'nya yang mana pihaknya dapat mengesan beberapa salah laku dan penyelewengan dalam pilihan raya kampus yang berlangsung serentak di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 21 September lalu.

Untuk itu, SMM sedang berusaha mengumpulkan bukti serta saksi-saksi yang terlibat dengan ugutan dan halangan-halangan sewaktu melalui proses pilihan raya, katanya.

SMM turut mempertikaikan fungsi KPT yang sepatutnya bertindak menjernihkan amalan korup bagi memastikan prinsip demokrasi tertegak khususnya terhadap pentadbiran universiti.

Justeru SMM mendesak KPT mengadakan siasatan ke atas kes salah laku yang melibatkan pihak berkuasa universiti sepanjang pilihan raya kampus sebelum Disember ini serta mengemukakannya kepada Perdana Menteri serta pelajar di semua IPTA.

Di samping itu, SMM mengharapkan pihak KPT memberikan ruang kepada para pemimpin mahasiswa di dalam Majlis Perwakilan Pelajar untuk bersuara dan mengemukan pandagan sama ada melalui media atau cara lain.

Gerakan pelajar yang ditubuhkan pada 2002 itu juga menuntut pihak pentadbiran universiti serta KPT supaya mengkaji semula sistem pengurusan dan pelaksanaan pilihan raya kampus agar sejajar dengan prinsip demokrasi dan piawaian antarabangsa.

Selain itu, SMM juga melahirkan kekesalan dengan tindakan pentadbiran universiti di kebanyakan kampus yang berat sebelah dan mengamalkan sikap 'double-standard' dalam pengurusan pilihan raya yang mana amalan ini menimbulkan budaya politik takut (political culture of fear) di kalangan mahasiswa.

Dalam pada itu, media massa juga diharapkan agar menghentikan segera tindakan melabelkan mahasiswa sama ada sebagai Pro-Aspirasi Kerajaan atapun Pro-Pembangkang, selain melaporkan berita dengan seimbang dan berasaskan fakta yang kukuh dan tepat terhadap isu mahasiswa samada berkenaan pilihan raya mahupun Majlis Perwakilan Pelajar.

SMM juga akan mengemukakan laporan daripada pilihan raya tersebut kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya mengadakan siasatan menyeluruh di semua IPTA terhadap laporan-laporan salah laku pegawai pentadbiran semasa pilihan raya kampus, katanya.

Selain itu, badan hak asasi manusia ini juga diharapkan dapat mengadakan proses inkuiri awam terhadap pegawai-pegawai universiti yang didapati bersalah dalam penyelewengan pilihan raya kampus di samping mengemukakan laporan rasmi berkenaan pilihan raya itu sebelum Disember ini.

No comments: