Sunday, September 30, 2007

Kempen pilihan raya kampus: Penyokong pro mahasiswa dilanggar van

Intan Abdullah
Harakahdaily
Sun | Sep 30, 07 | 4:38:45 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Hrkh) - Pelbagai kejadian berlaku dalam tempoh kempen pilihan raya kampus (PRK) 2007 di seluruh IPTA yang wujudnya pertandingan.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Seorang penyokong pro-mahasiswa telah dilanggar oleh sebuah van kolej sehingga mengalami kecederaan dalam kempen di Universiti Malaya (UM).

Mahasiswa tahun tiga Akedemi Pengajian Islam UM Mohd Norhafiz Roslan, telah dilanggar oleh mahasiswa tahun pertama yang membawa van Kolej Kediaman Ketiga UM pagi tadi di pintu masuk utama UM, Kuala Lumpur.

Ketika disoal siasat oleh Pegawai Keselamatan UM, pelajar terbabit mengaku diarahkan oleh pengetuanya, Dr Sharifudin memandu van terebut untuk mencabut kain rentang kempen calon pro mahasiswa di sekitar kampus.

Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes ini akan dibawa ke mahkamah. Pelajar terbabit akan didakwa atas kesalahan cubaan mencederakan atau memudaratkan seseorang.

Semalam, kumpulan pro mahasiswa telah mengadakan satu perhimpunan di hadapan kolej kediaman kesembilan yang dihadiri kira-kira 200 penyokong pro mahasiswa

Mereka membawa kain rentang, yang bertulis 'Awas! 16 calon tidak sah berkeliaran di kampus' pada jam 3 petang sambil melaungkan slogan mengecam Pengetua kolej tersebut, Wira Karnain Sani yang didakwa mereka sebagai dalang kepada insiden-insiden yang mencetuskan pecah belah kumpulan Aspirasi UM dan master mind untuk memenangkan Aspirasi dengan menggunakan apa jua cara sekalipun.

Akhirnya, Wira Karnain keluar menunjukkan muka kepada kumpulan mahasiswa yang berkumpul sejurus menutup pintu masuk ke kolej tersebut.

Situasi kempen di UM kelihatan hambar dan dingin apabila poster-poster calon tidak dinaikkan lagi ekoran pengurusan yang agak 'perlahan' menurut dakwaan sumber. - mns

'Lawan tetap lawan' di UKM

Intan Abdullah
Harakahdaily
Sun | Sep 30, 07 | 5:03:42 pm MYT

Tiada istilah menang tanpa bertanding di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana kumpulan Aspirsi dan Pro Mahasiswa akan berjuang merebut 34 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus (PRK) 2 Oktober ini.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Situasi di sana membuatkan slogan 'lawan tetap lawan' sangat relevan memandangkan kampus lain tidak menghadapi situasi seumpama ini.

Namun, menurut sumber PRK ini adalah milik kumpulan Aspirasi-Umno yang mana kumpulan lain terutamanya pro mahasiswa akan tetap kalah disebabkan campur tangan pihak berautoriti serta taktik kotor yang digunakan.

PRK 2007 menyaksikan kejayaan awal pro mahasiswa yang dikenali sebagai Gabungan Mahasiswa UKM setelah beberapa tahun kumpulan tersebut gagal menghantar calon untuk bertanding di semua kerusi yang dipertandingkan.

Apa yang pasti, masyarakat kampus akan mengundi calon daripada tiga kumpulan besar di UKM iaitu kumpulan pro mahasiswa, Aspirasi dan Tindakan Siswa Bersatu.

Menurut sumber, semua peraturan dan prosedur yang ditetapkan sepanjang PRK hanyalah untuk dipatuhi oleh kumpulan selain daripada kumpulan Aspirasi, yang sekali gus berfungsi sebagai imuniti mereka.

Ini kerana menurut maklumat yang diterima satu pertemuan telah diaturkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM (TNC HEPA), Prof Dr Abdul Wahid Shamsudin bersama pengetua-pengetua kolej di Kolej Ibu Zain minggu lepas.

Motif perjumpaan tersebut adalah untuk meminta pengetua-pengetua kolej untuk masuk campur yakni membantu kempen calon-calon Aspirasi yang bertentangan dengan arahan Naib Canselor UKM, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Shahabudin yang melarang mereka daripada campur tangan dalam PRK. - mns

Saturday, September 29, 2007

Reezal arah Syed Arabi paksa Hamidon buka semula penamaan calon UIAM

Ahmad Lutfi Othman
Harakahdaily
Sat | Sep 29, 07 | 1:20:09 pm MYT

Saya kurang bersetuju dengan cadangan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus UIAM 2007/08 dipecat ekoran kontroversi penamaan calon "terpaksa" dibuka semula selepas 11 calon Pro-Mahasiswa diisytihar menang tanpa bertanding.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Apatah lagi pihak yang bakal memecat suruhanjaya itu ialah pentadbiran tertinggi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sendiri. Sedangkan orang yang bikin onar dan keributan ialah Rektor Dr Syed Arabi Idid, selepas ditekan oleh pihak luar, yang diketuai oleh Presiden GPMS, Reezal Merican Naina Merican, yang juga Setpol Menteri Kewangan I.

ImageBagi saya, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ustaz Hamidon Abdul Hamid, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus UIAM, boleh diumpamakan seperti kambing hitam. Beliau bersama pesuruhjaya, Dr Raihan Othman sudah menjalankan tugas sepertimana diamanahkan.

Agak ramai juga bakal-bakal calon Aspirasi yang tidak melepasi syarat dan kelayakan asas untuk bertanding. Dan ini menimbulkan kemarahan amat sangat Reezal Merican (bersama isterinya, Datin Ismalina), yang seterusnya membuatkan Setpol Abdullah Ahmad Badawi itu menghubungi Syed Arabi mendesak agar dilakukan apa jua jalan bagi menghalang kumpulan Pro-Mahasiswa menang mudah.

Pastinya jiwa Reezal Merican "terbakar hangit", sekali gus diaibkan apabila "budak-budaknya" tewas sebelum berjuang. Ada di kalangan mereka yang terkandas dalam ujian pengucapan awam. Lebih mengaibkan, dua daripadanya tidak mengisi borang pencalonan dengan lengkap, dan ini menyebabkan mereka tersingkir lebih awam.

Sumber memberitahu, selepas diasak Reezal, maka Syed Arabi bertindak segera mengarahkan Hamidon mengeluarkan satu notis baru memaklumkan proses penamaan calon dibuka semula pada hari minggu, 30 September, manakala hari mengundi tidak berganjak daripada tarikh asal, 2 Oktober, Selasa.

Mungkin menyedari beliau akan dituduh sebagai pihak tidak bertanggungjawab atau tidak mahu dilabelkan "pak sanggup", Hamidon, dalam notis umum pada petang 27 September, iaitu sehari selepas penamaan calon (pertama) berakhir, meletakkan ungkapan "Directive From Top Management" pada para awal.

Beliau seperti mahu memberitahu bahawa keputusan drastik (dan tidak munasabah itu) bukan idea Suruhanjaya Pilihan Raya yang dipengerusikannya, tetapi merupakan "wahyu" (yang tidak boleh disanggah) pengurusan tertinggi universiti, merujuk langsung kepada Syed Arabi.

Dalam ayat kedua notis tersebut, Hamidon sekali lagi menekankan: "The Election Commission has been instructed ...."

Peranan Reezal sebagai dalang utama Aspirasi di UIAM terbongkar apabila satu kertas kerja "e-day 07/08" bertajuk "Revival of Students Movement", yang membutirkan langkah pihaknya untuk menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UIAM daripada kumpulan mahasiswa yang dianggap propembangkang, bocor kepada warga universiti Islam itu.

Dalam lampiran I kertas kerja berkenaan, disenaraikan panel penasihat mereka, antara lain Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamad; Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein; Dr Khir Toyo, Menteri Besar Selangor;Sanusi Junid, Presiden UIAM; Dr Syed Arabi Idid, Rektor UIA; Reezal sendiri; Dr Adham Baba, Setiausaha Parlimen KPT; dan Yuszahari Mohd Yusoff, Adun Gombak.

Dimaklumkan Pengetua Kolej Kediaman Bilal, Dr Jamil Hashim juga merupakan tenaga penting menggerakkan perancangan Reezal itu, termasuk menyediakan beberapa kemudahan logistik dalam kampus. Manakala Adun Gombak Setia, Yuszahari bertanggungjawab memcari markas operasi di luar kampus. Isteri Reezal turut menjadi pembantu kanan beliau.

Dalam kertas kerja itu juga dicatatkan bahawa Reezal menyumbangkan RM1,5000. Anggota Exco Pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail (diperkenalkan sebagai Abang Ikmal) turut menghulurkan wang tunai dalam jumlah yang sama, selain membayar RM1,000 lagi untuk kegunaan segera.

Justeru, ada pihak menjangkakan Hamidon mungkin akan digugurkan selepas ini akibat kegagalannya menjaga maruah dan air muka Reezal. Syed Arabi hanya melaksanakan saja tuntutan pihak luar yang berkepentingan itu.

Ia dapat dijangka lebih awal memandangkan Hamidon tidak pun disenaraikan dalam kertas kerja itu sebagai penasihat, sedangkan tujuh kakitangan UIAM yang lain dilibatkan bersama.

Difahamkan Timbalan Rektor HEP itu sudah lama disangsikan "kesetiaannya" dan jarang dijemput menghadiri siri pertemuan sulit rakan-rakan sejawatannya bagi merumuskan tindakan memenangkan Aspirasi dalam PRK.

Majlis Perwakilan Mahasiwa UM gagal tangani isu kebajikan

Pemerhati Kampus
Harakahdaily
Sat | Sep 29, 07 | 10:24:41 am MYT

Berdasarkan Perlembagaan Universiti Malaya berkaitan Majlis Perwakilan Mahasiswa, ujuan dan fungsi persatuan ialah untuk memupuk semangat hidup sebagai suatu persatuan di kalangan pelajar-pelajar Universiti; tertakluk kepada arahan Naib Canselor untuk merancang dan menyelia kemudahan-kemudahan rekreasi, aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan, dan bekalan makanan dan minuman; untuk membuat representasi kepada Naib Canselor tentang segala perkara berhubungan atau berkenaan dengan keadaan tempat tinggal dan kehidupan pelajar-pelajar Universiti; untuk diwakili dalam mana-mana badan yang boleh, mengikut kaedah-kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan pelajar di Universiti; dan untuk menjalankan apa-apa aktiviti lain yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Secara ringkas dan mudahnya tujuan MPMUM ialah memupuk kebajikan am badan mahasiswa, memajukan kegiatan sosial, kebudayaan dan mengadakan hubungan rasmi dengan badan lain. Ia adalah badan pelajar yang diberikan kuasa untuk mewakili mahasiswa dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan mahasiswa dan diakui sebagai suara rasmi pelajar oleh pihak Universiti Malaya.

Berdasarkan tujuan dan fungsi yang telah ditetapkan ini MPMUM selaku sebuah persatuan induk yang memimpin mahasiswa kampus mempunyai fungsi dan peranan yang sangat besar dalam merealisasi dan melaksanakan tugas dan peranan tersebut.

MPMUM atau dahulunya dipanggil PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) dan sebelumnya dipanggil UMSU (University of Malaya Student Union) ketika ditubuhkan pada tahun 1958 merupakan pengasas kepada pergerakan mahasiswa di negara ini.

Ia mempunyai kedudukan yang istimewa di mata masyarakat kampus dengan mendominasi dan mengetuai pergerakan serta perjuangan mahasiswa negara selama empat dekad.

Akan tetapi peranan dan fungsi yang sepatutnya dimainkan oleh MPMUM ini gagal dilaksanakan khususnya selepas pihak yang menggelarkan diri mereka Aspirasi memegang tampuk kepimpinan MPMUM selepas isu pemboikotan oleh Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya pada tahun 2004.

Kepimpinan MPMUM pada sesi-sesi seterusnya terus lena dibuai mimpi sehingga menyebabkan gerakan mahasiswa yang sebelum ini digerakkan oleh MPMUM dilihat sepi dan kebajikan mahasiswa yang sepatutnya dijaga terabai.

Segala gerak kerja dan program yang dilaksanakan dicorakkan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar manakala pimpinan hanya menjadi pelaksana semata-mata. Manifesto yang dilaungkan semasa kempen hanya retorik.

Salah satu aspek penting yang perlu diperjuangkan oleh MPMUM adalah berkaitan dengan soal kebajikan mahasiswa. Saban tahun isu ini semakin terabai dan MPMUM tidak berbuat apa-apa bagi menyelesaikannya walaupun telah lama dibangkitkan oleh beberapa kelompok mahasiswa yang prihatin.

Sebagai contoh mahasiswa yang menginap di Kolej Kediaman Kesembilan dan Kesepuluh tinggal dalam keadaan tidak selesa dan sempit kerana kuota penginapan dalam satu-satu bilik melebihi jumlah yang telah ditetapkan.

Bagaimana pula dengan mahasiswa yang dibuang kolej kerana dikatakan menentang kehendak mereka? Ada yang sudah terpaksa meninggalkan kolej kediaman walaupun baru sahaja menginap dalam satu semester.

Selain itu, isu yuran kolej yang dikatakan agak tinggi juga diabaikan oleh pihak MPMUM. Mahasiswa yang dibebankan dengan hutang PTPTN dan kadar bunga tiga peratus yang dikenakan. Setakat ini pihak yang berperanan aktif dalam memperjuangkan isu ini ialah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Kita belum melihat segala gerak kerja ini dilaksanakan oleh pihak MPMUM yang sepatutnya melaksanakan segala gerak kerja ini sejak dari awal kepimpinan mereka.

Satu perkara yang perlu difahami oleh pihak MPMUM bahawa mereka bukan setakat persatuan yang menganjurkan program semata-mata tetapi mempunyai tugas dan peranan yang lebih besar.

Penganjuran program merupakan kegiatan kedua selepas segala isu kebajikan ini ditangani dan dikendalikan secara bijaksana dan bersistematik.

Mahasiswa mengundi mereka bukan untuk menghadiri program yang dianjurkan tetapi agar soal kebajikan mereka terjamin.

Pihak MPMUM dalam tiga tahun kebelakangan ini juga dilihat gagal sama sekali dalam memperjuangkan nasib dan soal kebajikan mahasiswa luar kampus walhal hampir separuh daripada jumlah mahasiswa UM tinggal di luar kampus.

Ia sekadar membuka pusat aduan masalah tanpa ada penyelesaiannya.

Pengangkutan merupakan masalah utama terutamanya kepada mahasiswi. Mereka juga berhadapan dengan ancaman bahaya bila-bila masa khususnya bagi yang tinggal di kawasan hitam seperti di Pantai Dalam.

Isu penipuan rumah sewa, kos sewa yang tinggi, kecurian motorsikal dan menginap beramai-ramai dalam satu rumah adalah antara masalah yang dihadapi.

Gejala sosial merupakan penyakit yang kian membarah di kalangan mahasiswa. Penyakit inilah yang dilihat memundurkan daya intelek mahasiswa, membuahkan kesan hedonisme dan menjatuhkan maruah mahasiswa selaku golongan cerdik pandai dalam masyarakat.

Battle of the Band, pertandingan nyanyian dan tarian, pertandingan cheers semasa minggu haluan siswa dan stupid debate adalah antara kegiatan yang dianjurkan setiap tahun dengan restu MPMUM.

Dalam Haluan Siswa pula mahasiswa tahun pertama dipaksa menari, melompat dan terkinja-kinja melewati jam tiga pagi sehingga melupakan mereka kepada waktu solat.

TNC HEP dalam pertemuan dengan PMIUM mengakui bahawa program MHS yang dianjurkan ini tidak memasukkan waktu solat dalam jadual mereka. Bagaimanakah MPMUM boleh bersetuju dengan program sebegini?

Pernahkah mereka membentangkan cadangan mengenai peraturan moral (moral code) kepada pihak pentadbiran universiti bagi menangani kepincangan moral yang berlaku?

Mahasiswa kini tanpa segan silu berkelakuan sumbang, berpakaian menjolok mata, mengamalkan seks bebas, terlibat dengan kegiatan tidak bermoral dan banyak lagi.

Kita belum nampak apakah pendirian MPMUM terhadap beberapa isu yang berlaku di dalam dan luar negara. Mereka sangat pasif dan tidak mampu mengeluarkan pandangan dan pendirian sendiri.

MPMUM seharusnya mewakili mahasiswa UM dan duduk di barisan paling hadapan dalam menyuarakan pandangan dan pendapat ke atas sesuatu isu.

Namun apa yang dilihat mereka sama seperti mahasiswa lain yang langsung tidak mahu mengambil kisah tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Apa yang perlu difahami ialah ruang lingkup kegiatan MPMUM tidak hanya terbatas kepada persoalan di dalam kampus semata-mata tetapi perlu menjangkaui kepada soal politik, ekonomi dan kebajikan rakyat di negara ini.

MPMUM untuk sesi kali ini dilihat jelas sangat lemah. Berapa ramaikah di kalangan exco MPMUM yang melaksanakan bidang tugas dan portfolio mereka?

Dan apakah visi dan misi yang mereka gariskan berada pada landasan matlamat yang betul atau ia hanya satu peribahasa untuk mencantikkan poster?

Keadaan sekretariat MPMUM langsung tidak terurus dan diselia dengan baik.

Lif ada yang rosak sedangkan kos pembinaannya memakan belanja yang tinggi, meja banyak terbiar, kotor dan berhabuk, siling berlubang-lubang serta banyak lagi kerosakan yang dikesan. Ia dibiarkan sehingga sekretariat tidak ubah seperti sebuah rumah usang yang ditinggalkan.

Kesimpulannya, mahasiswa perlu kembali bangkit memilih pemimpin yang benar-benar mampu berperanan dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya.

Mahasiswa harus bijak membezakan perkara-perkara yang telah dijelaskan di atas walaupun ia diterangkan secara umum.

Pihak pentadbiran dan mahasiswa perlu melihat pilihan raya kampus sebagai sangat penting dalam memilih kepimpinan yang berkualiti.

Ini kerana MPMUM dilihat antara wadah utama untuk melahirkan secara berterusan individu yang memiliki karisma dan berkemahiran tinggi yang dilengkapi dengan kualiti kepemimpinan serta kemahiran antara perorangan yang baik seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran.

Dr Wahid Samsudin langgar arahan Naib Canselor UKM

Intan Abdullah
Harakahdaily
Sat | Sep 29, 07 | 11:34:40 am MYT

Di Universiti Kebangsaan Malaysia, kempen calon Pro-Mahasiswa di kolej-kolej kediaman tertentu seperti Kolej Ibrahim Yaakob dan Kolej Dato’ Onn dihalang dengan secara kekerasan oleh Jawatankuasa Kebajikan Siswa-siswi (Jaksa) bersama kumpulan Aspirasi sehingga menimbulkan kekecohan pada malam 27 September 2007.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Walhal sebelum ini, Naib Canselor UKM, Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah mengarahkan kepada pentadbir kolej untuk tidak campur tangan dalam pilihan raya kampus, bagi memberi ruang berkempen yang sama rata untuk semua calon.

Namun, pada 27 September lalu, di Kolej Ibu Zain, jam 9.30 malam, TNC HEP, Dr Mohd Wahid Samsudin mengadakan mensyuarat tergempar dengan semua pengetua kolej bagi membatalkan arahan tersebut dan beliau secara terbuka mengarahkan semua pengetua untuk berkempen buat calon-calon Aspirasi, dan menekan kumpulan Pro-Mahasiswa.

Majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo di dewan kuliah Bestari, 27 September digunakan sepenuhnya untuk berkempen calon Aspirasi.

Dr Wahid juga membuka ruang seluas-luasnya kepada pemimpin Umno Kelantan (misalnya Mustapa Mohamad, Anuar Musa, Fatmi Che Salleh dan Sazmi Miah) untuk bertemu mahasiswa dari negeri itu dalam beberapa perjumpaan khas, yang diperalatkan untuk kempen pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, kumpulan Aspirasi di UKM juga berpecah dua, satu berkiblatkan Dr Wahid, dan satu lagi di bawah pengaruh Dr Muhamad Hussin. Salahguna kuasa dan penyelewengan besar berlaku apabila pegawai-pegawai kanan universiti bertindak sebagai jurukempen buat Aspirasi sedangkan mereka sepatutnya bersikap berkecuali dan membiarkan semua calon mendapat hak sama untuk berkempen.

Friday, September 28, 2007

Wahai anakanda di Penjara Menara Gading!

Hassan Al-Banna
Harakahdaily
Fri | Sep 28, 07 | 10:47:15 am MYT

Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama mahasiswa.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya anakanda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan mahasiswa jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman;

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Al Kahfi:13)

Dengan kesimpulan inilah maka anakanda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu anakanda itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya anakanda berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah anakanda menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.

Anakanda di penjara menara gading,

Ada mahasiswa yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula mahasiswa yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, hak mereka yang dijajah. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.

Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi mahasiswa tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, mahasiswa tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.

Anakanda yang berada di penjara menara gading hari ini, bertuah sebenarnya sebab anakanda termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata anakanda melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.

Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh mahasiswa yang terus menerus bekerja dan bertindak.

Anakanda di penjara menara gading,

Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.

Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.

Memandang semua inilah ayahanda berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anakanda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.

Anakanda di penjara menara gading,

Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-cengan dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.

Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.

Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.

Allah berfirman(Al-Imran:18-19): Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.

Suatu lagi firman Allah (Al-Ma’idah:3): Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.

Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak.

Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.

Allah berfirman (Al-Imran : 85):

Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima.

Anakanda di penjara menara gading,

Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan diselubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya.

Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.

Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.

Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita wahai anakanda tercinta ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.

Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah islam itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.

Anakanda di penjara menara gading, Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.

Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.

Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :

Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.

Anakanda di penjara menara gading,

Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan anakanda semua angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada anakanda serta mendidik anakanda sekelian atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan anakanda di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada anakanda kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.

Allah berfirman (Al-Imran : 110): Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):

Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.

Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru ialah hendaklah anakanda mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah anakanda menyedari martabat diri anakanda dan yakinlah bahawa anakandalah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan.

Hendaklah anakanda yakin bahawa anakanda adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi anakanda dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

_________________

NOTA DARI EDITOR:

Warkah atau ucapan permulaan dari assyahid Hasan Al Banna ini dibuat dalam satu perjumpaan bersejarah bersama ribuan mahasiswa di Universiti Qahirah pada tahun 1940-an. Beberapa suntingan kecil dilakukan kepada ucapan berkenaan.

Semoga tiupan semangat Imam Banna ini akan membangkitkan semangat juang buat mahasiswa di IPTA hari ini. Lebih-lebih lagi pilihanraya kampus semakin panas dengan pelbagai isu dan tekanan.

Roh perjuangan Imam Banna sentiasa menemani mahasiswa sekelian.

Walaupun beliau telah kembali ke rahmatullah, namun bingkisan dan ucapannya tetap relevan sepanjang zaman. Semuga dorongan beliau ini akan memberi motivasi kepada semua mahasiswa yang berada di penjara menara gading. Roh perjuangan imam banna tetap segar walaupun beliau sedang bersenadi tenang di pusara. Biarkan orang lain tidak membela mahasiswa! Allah dan rasulNya tetap bersama pejuang yang bersabar.

Warkah kedua akan menyusul. Insya-Allah!

Daripada Ayahandamu,
Assyahid Hassan Al Banna

Kecoh apabila UM terima 16 calon Aspirasi-Umno yang tidak layak

Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin
Harakahdaily
Fri | Sep 28, 07 | 12:22:00 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) - Seawal jam 9.30 pagi, kira-kira 200 mahasiswa Universiti Malaya (UM) berhimpun di perkarangan bangunan Canseleri dan Dewan Tunku Canselor bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengendalian proses penamaan calon pada 26 September lalu.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

ImageIa ekoran isu bantahan terhadap 16 calon yang tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya kampus (PRK) 2007/2008 kerana kesemua pelajar terbabit merupakan pelajar tahap akhir dalam pengajian masing-masing.

Sungguhpun begitu, 16 calon yang didakwa 'pro-aspirasi Umno', diterima bertanding untukPRK UM, walaupun mereka melanggar peraturan pilihan raya yang ditetapkan iaitu Seksyen 52(4) dan seksyen 18(a) Perlembagaan UM dan peraturan 12.1 Peraturan dan Panduan Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa(MPM) UM sesi 2007/2008.

Peruntukan tersebut menyebutkan bahawa calon bagi kerusi MPMUM perlulah di kalangan mereka yang masih berbaki dua semester (satu tahun) pengajian.

ImageSetakat ini pihak pro mahasiswa tmengemukakan dua kali bantahan berhubung kes ini, iaitu pada malam hari selepas penamaan calon dan secara rasmi pada 8.30 pagi di Kompleks Perdana Siswa hari ini.

Akan tetapi, menurut jurucakap pro mahasiswa kesemua bantahan tersebut ditolak dan tidak dilayan oleh pihak TNC HEP tanpa memberikan sebarang alasan yang kukuh.

Pagi ini, kira-kira 5 orang delegasi mahasiswa berjumpa dengan wakil Naib Canselor, Dato' Dr Rafiah Salim mengenai penjelasan tindakan pihak jawatankuasa pemilihan MPM UM yang menerima pencalonan 16 calon yang dikatakan tidak layak.

ImageDelegasi mahasiswa tersebut terdiri daripada wakil Persatuan Mahasiswa Islam UM, Umany dan kumpulan pro mahasiswa yang membawa surat bantahan.

Menurut wakil NC tersebut, satu panel penasihat undang-undang yang terdiri daripada tiga orang pegawai akan dilantik bagi membuat siasatan dan kajian terhadap bantahan yang dikemukakan oleh mereka sebelum ini.

Beliau berjanji akan menyampaikan surat bantahan tersebut kepada NC selepas ini dan meminta agar perhimpunan tersebut disuraikan secara aman.

Ketua Pengarah Keselamatan, Ismail berkata setakat ini makluman surat tersebut telah disampaikan kepada Imagesetiausaha NC yang dikenali sebagai 'kak Ton', akan membuat penilaian semula terhadap bantahan yang dikemukakan ke atas 16 calon tersebut.

Namun, jurucakap pro mahasiswa tetap mendesak agar NC sendiri memberikan penjelasan secara terbuka kepada mahasiswa berhubung alasan yang digunakan untuk melayakkan 16 calon tersebut bertanding.

Setelah itu, gerombolan mahasiswa tersebut bergerak menuju ke Kompleks Perdana Siswa (KPS), dan berhenti sejenak di depan bangunan Dewan Tunku Canselor sambil melaungkan 'Student power' dan 'Kami mahu PRK bersih'.

Teriakan mereka menarik perhatian masyarakat kampus serta pengguna jalan raya di UM yang berhenti untuk melihat aksi mahasiswa terbabit yang membawa kain rentang serta sepanduk yang berbunyi 'Awas 16 calon tidak sah sedang berkeliaran di kampus' dan Kredibiliti SPR UM tergugat'.

Setibanya di KPS, mahasiswa tersebut berhimpun di Gazebo sambil delegasi pro mahasiswa pergi berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu 16 calon yang tidak sah seperti yang didakwa mereka sebelum ini.

Suasana gamat seketika dengan laungan slogan-slogan oleh kumpulan mahasiswa yang turut diawasi oleh pegawai-pegawai keselamatan serta beberapa kakitangan universiti yang dilantik bagi memantau gerak geri mahasiswa dalam tempoh PRK berlangsung. - mr

Penamaan calon semula UIAM: Satu tragedi dan aib besar dunia pendidikan

Intan Abdullah
Harakahdaily
Fri | Sep 28, 07 | 3:03:59 pm MYT

Angkatan Muda KeADILan mendesak pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) supaya memecat Jawatankuasa Pengurusan Pilihan Raya Kampus (PRK) kampus tersebut ekoran proses penamaan calon dibuka semula.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

"Atas dasar apa mereka berbuat demikian? Jika disebabkan alasan aduan mahasiswa tidak sempat mengambil borang dan melengkapkannya, ia tidak sepatutnya berlaku," ujar Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Selaku bekas mahasiswa kampus tersebut serta mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM sesi 1996/97, Samsul Iskandar menyatakan bahawa apa yang berlaku dalam PRK kali ini tidak pernah terjadi dalam sejarah pilihan raya di kampus UIAM.

Satu tragedi pendidikan

"Saya malu dengan hal ini, kerana ia adalah suatu tragedi pendidikan yang besar untuk dirakamkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily

Tegas beliau, seharusnya kampus tersebut yang sinonim dengan gelaran 'taman ilmu dan budi' menjadi contoh kepada kampus lain, yang sentiasa menyebarkan nilai-nilai moral dan Islam yang tinggi serta mempraktikkan nilai tersebut dalam semua urusan.

Mengulas tentang campur tangan pihak luar, Samsul Iskandar tidak menafikan terdapat dalang tertentu daripada kalangan individu berkepentingan dalam kerajaan dan pentadbiran universiti yang berusaha untuk memenangkan kumpulan Aspirasi di UIAM.

"Jika benar dakwaan sesetengah pihak bahawa Reezal Merican terlibat, saya ingin nasihatkan beliau agar tidak campur tangan dalam PRK. Biarkan mahasiswa sendiri yang menentukan pemimpin dan hala tuju perjuangan mereka," ujarnya lagi.

Kampus jelasnya, adalah medan latihan untuk melatih kepimpinan mahasiswa yang neutral serta tidak dicemari unsur-unsur kotor.

Bukan isu besar sokong pembangkang atau bersama pemerintah

"Semasa di kampus dahulu, saya bertanding atas tiket Aspirasi, tetapi apabila saya meninggalkan alam kampus, saya menyertai KeADILan.

"Ada juga yang dahulunya pro-pembangkang di kampus, tetapi menyertai Umno-BN di luar kampus. Jadi tidak semestinya mereka terikat dengan ideologi yang dipegang semasa belajar," tegasnya.

Beliau menjelaskan campur tangan pihak luar adalah disebabkan mereka mempunyai motif bersifat politik bahawa mahasiswa adalah suatu entiti unik 'political force' yang mempunyai kekuatan politik tersendiri yang seringkali menarik perhatian parti-parti politik luar untuk kepentingan mereka

"Apa yang berlaku kini sudah sampai ke peringkat amalan diktator," katanya tegas.

"Akhirnya, mahasiswa IPT akan dikenali sebagai kumpulan yang diternak, bukan dididik yang akan memberi kesan jangka masa panjang kepada negara akibat tidak mendapat pendidikan yang tidak sempurna," tambahnya.

Tawar khidmat pembelaan

AMK ujarnya menawarkan khidmat nasihat dan pembelaan menerusi Biro Mahasiswa kepada calon yang merasakan diri mereka dianiaya oleh sistem PRK yang diamalkan sekarang kerana mereka yang telah sah dinamakan sebagai calon hanya mempunyai satu hari untuk berkempen, setelah dilarang menjalankan aktiviti kempen sebelum hari pembuangan undi.

Samsul turut berpesan kepada mahasiswa agar tidak gentar dan takut dengan tekanan pihak universiti dan Umno/BN dalam PRK akan datang ini.

Demokrasi kampus lambang demokrasi negara

Wajah demokrasi negara dapat dilihat dengan kadar kebebasan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi dalam menyuarakan pandangan serta tindakan yang masih menepati kehendak dan hasrat masyarakat.

Namun, semua itu telah lama mati akibat kerakusan pihak tertentu yang bertindak merampasnya daripada golongan muda yang kaya dengan semangat juang dalam membentuk peribadi sebagai medan terakhir sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Pandangan demikian dilontarkan oleh Naib Presiden PAS, Mohamed Sabu ketika dihubungi Harakahdaily berhubung isu penamaan semula pilihan raya kampus (PRK) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 30 September ini selepas ianya berlangsung secara serentak di semua IPT pada 26 September lalu.

Ujarnya, keadaan demokrasi kampus sekarang sudah mati, disebabkan mahasiswa ini sudah tidak boleh menyuarakan idealisme mereka sendiri akibat kongkongan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan ke atas mereka.

Jawatankuasa pilihan raya kampus lebih teruk daripada SPR

"Saya tidak yakin langsung dengan kredibiliti dan ketelusan jawatankuasa PRK yang dilantik. Sama macam SPR di luar kampus yang tidak bersih dan adil," katanya.

Beliau mendakwa Presiden UIA, Tan Sri Sanusi Junid bercakap bohong dan beliau yang dikatakan berkecuali dalam PRK ini adalah omongan kosong sahaja.

"Sepatutnya UIAM selaku sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa menjadi contoh kepada kampus-kampus lain, lebih bebas tetapi ini tidak. Dia jadi lagi teruk dan lebih buruk," tegas beliau lagi.

Mohamed Sabu juga tidak hairan dengan desas-desus kemungkinan penglibatan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sebagai dalang utama kepada apa yang terjadi di UIAM.

GPMS cuba tonjolkan diri di bawah era Abdullah

Ini adalah kerana, persatuan tersebut telah lama pupus dan tidak popular lantaran ditolak oleh mahasiswa pada tahun 1970-an, kini ia diberikan semula fungsinya bagi membantu regim Abdullah Badawi bagi membantu kemenangan Aspirasi-Umno di kampus yang dikatakan dikuasai pro pembangkang.

Beliau juga tidak menolak terdapatnya campur tangan Umno/BN secara terang-terangan.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata pihak mereka tidak akan berdiam diri dengan pelbagai kejadian yang berlaku dalam PRK kali ini.

Konspirasi kotor

Pengerusinya, Syeikh Omar Ali berkata apa yang berlaku merupakan konspirasi kotor yang telah mencalarkan imej IPT serta Kementerian Pengajian Tinggi sendiri dalam mengendalikan perjalanan PRK yang adil dan telus.

SMM sebelum ini ujarnya telah mengemukakan 10 tuntutan kepada KPT, Suhakam, Kaukus serta Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri.

Namun, KPT tidak memberikan sebarang jawapan terhadap aduan kami itu sebaliknya 'mempersembahkan' pelbagai kejadian yang 'menarik' dalam PRK ini yang berat sebelah, tidak telus serta menonjolkan cubaan pihak tertentu yang berkepentingan.

"Kami sungguh kecewa dan hilang keyakinan terhadap kredibiliti SPR kampus. Tak sangka ini yang kami dapat," ujarnya kepada Harakahdaily. - mns

Mahasiswa, lawan habis-habisan, kami akan membela anda

Abdullah A Karim
Harakahdaily
Fri | Sep 28, 07 | 6:27:59 pm MYT

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar seluruh IPTA tempatan sudah berlangsung pada 26hb September lepas dan pengundian akan dijalankan pada 2hb Oktober 2007.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Namun, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pentadbir-pentadbir universiti, terutamanya di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk memastikan kemenangan mutlak parti pro Umno-BN, iaitu parti Aspirasi nampaknya sudah sampai ke tahap yang cukup menjijikkan dan tidak pernah terpikir oleh kita sebelum ini.

Bayangkan bagaimana di UIAM, parti Aspirasi sepatutnya telah kecundang seawal peringkat penamaan calon lagi disebabkan oleh kegagalan mereka mengemukakan calon-calon pada hari penamaan calon pada 26hb September 2007.

Parti We Unite for Islam (WUFI) sudah memenangi 13 kerusi tanpa bertanding (termasuk dua lagi kerusi yang mana calon Aspirasi telah dibatalkan pencalonan kerana melanggar peraturan kempen) dan hanya memerlukan satu (1) kerusi sahaja lagi untuk mendapat simple majority 14 kerusi dari 27 keseluruhan kerusi yang dipertandingkan bagi membentuk kerajaan (Kabinet Students Representative Council) bagi Sesi 2007/2008.

Namun, atas arahan dari 'tangan-tangan ghaib' yang dipercayai didalangi oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang sudah semestinya merupakan arahan langsung dari Umno, tidak semena-mena, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM dipaksa untuk mengeluarkan satu notis yang memaklumkan bahawa penamaan calon untuk pilihan raya kampus UIAM akan diadakan semula pada 1hb Oktober 2007 (Isnin)!!

Lihatlah betapa 'gilanya' Umno-BN yang berselindung menggunakan topeng KPT dan pentadbir UIAM untuk melaksanakan apa jua cara dan tipu muslihat, semata-mata untuk memastikan mereka dapat menawan kembali kampus UIAM.

Begitu juga di kampus UM, dimana terdapat 16 orang calon Aspirasi tidak layak bertanding disebabkan sudah berada di semester akhir pengajian, sedangkan peraturan pilihanraya UM mensyaratkan bahawa seseorang calon yang hendak bertanding mestilah mempunyai baki pengajian sekurang-kurangnya dua semester.

Kumpulan gabungan mahasiswa yang berlawan dengan Aspirasi mengemukakan bantahan dan sepatutnya Suruhanjaya Pilihanraya UM akan dengan mudah menerima bantahan tersebut dan memmbatalkan pencalonan 16 orang wakil Aspirasi tersebut oleh kerana ianya jelas berlawanan dengan peraturan pilihan raya yang digubal oleh UM sendiri.

Namun, SPR dan Timbalan Naib Canselor (HEP) menjadi begitu 'kecut' untuk membuat keputusan terhadap bantahan tersebut, sebaliknya mereka memberikan isyarat seolah-olah bantahan tersebut telah pun ditolak dan 16 wakil Aspirasi tersebut layak bertanding, walaupun jelas tidak mematuhi peraturan bertulis!

Bayangkan sekiranya parti gabungan mahasiswa yang mengemukakn calon yang tidak layak, saya amat yakin, aspirasi sendiri tidak perlu membuat bantahan. SPR akan awal-awal lagi menolak pencalonan tersebut tanpa perlu kepada bantahan.

Di kampus-kampus lain pula menunjukkan suasana yang hampir sama seperti tahun-tahun yang lepas, iaitulah calon aspirasi bebas berkempen di dalam kampus, bahkan ditaja dan dianjurkan pula majlis kempennya oleh pihak universiti.

Sedangkan calon dari kumpulan lain diugut dan dilarang untuk masuk merayu undi di kolej-kolej kediaman dan asrama. Manakala para penyokong dan petugas terus diugut dan ditakut-takutkan.

Nampaknya, pentadbir-pentadbir universiti ini sudah menjadi semakin melampau dan semakin menurut apa sahaja arahan dari Umno.

Bukan lagi rahsia bahawa sebarang bentuk arahan politik dari KPT tidak perlu sangat kepada Menterinya untuk mengeluarkan arahan tersebut, namun cukup dengan panggilan telefon atau mesyuarat yang hanya dihadiri oleh Ahmad Ikmal Ismail, Pegawai Khas Menteri yang kebetulan merupakan Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno.

Si pencacai inilah yang menjadi antara perancang utama yang amat digeruni oleh hampir kesemua Naib Canslor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor IPTA..

Saya ingin ulangi seruan saya kepada parti-parti Barisan Alternatif dan NGO-NGO, kita jangan berselindung lagi. Marilah kita turut serta bergiat secara aktif dalam politik pelajar.

Semakin kita mengelak, maka semakin bobrok situasi di dalam kampus dan jangan harap produk kampus tempatan akan berani untuk menyokong kita apabila tamat pengajian kelak.

Umno-BN yang pengecut itu tidak perlu menunjukkan muka secara langsung disebabkan mereka memakai topeng KPT dan Hal-Ehwal Pelajar.

Mari kita 'bakulsampahkan' Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 itu yang telah sekian lama dijadikan bahan ugutan kepada pelajar supaya menjauhi kita, sedangkan Umno-BN telah 'memperkosanya' sejak dari dulu lagi.

Kepada mahasiswa, lakukan apa sahaja untuk menentang ketidakadilan dan diskriminasi sepanjang pilihan raya kampus sesi ini.

Kalau perlu berdemonstrasi, maka berdemonstrasilah dengan penuh berani.

Laksanakan kempen secara terbuka. Edarkan risalah-risalah anda secara terbuka.

Jika ada yang ditangkap atau didakwa di mahkamah universiti, jangan risau dan takut, kerana kami Pemuda PAS dan KeADILan akan membela anda.

Thursday, September 27, 2007

TNC HEP Universiti Malaya collapse bila diasak pelajar!

Alumni Aktivis Kampus
Harakahdaily
Thu | Sep 27, 07 | 2:08:30 pm MYT

Bahang pilihan raya kampus (PRK) di Universiti Malaya (UM) terasa sudah panas seawal hari penamaan calon semalam, 26 September 2007.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Kali ini pertempuran dengan Aspirasi di UM bukan sekadar melibatkan lawan tradisi mereka Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (Gagasan) tetapi juga calon-calon bebas yang secara 'consensus' membuat pakatan menghadapi Aspirasi dalam pertandingan dua penjuru di 13 daripada 16 fakulti.

Setakat tamat sesi penamaan calon, calon-calon yang menawarkan diri di tiga fakulti secara tidak rasmi menang tanpa bertanding.

Kedua-dua calon Aspirasi menang tanpa bertanding di kedua-dua kerusi di Pusat Kebudayaan.

Kerusi-kerusi di Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Undang-undang telah dimenangi secara percuma oleh calon-calon bukan Aspirasi.

Pelajar Undang-undang mengajar 'Ayahanda'

Kekecohan mula tercetus dalam majlis taklimat pilihan raya kampus yang turut dihadiri oleh 'Ayahanda' Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof. Madya Dr Azarae Hj Idris selaku Pengerusi Suruhanjaya Plihan Raya(SPR) kampus.

Seorang calon yang merupakan pelajar Fakulti Undang-undang membangkitkan semula bantahan yang dibuat terhadap lima orang calon kawasan umum tajaan Aspirasi yang sudah berada pada tahun akhir pengajian masing-masing.

Beliau membangkitkan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Universiti Malaya (P.U. (A) 107/97), seksyen 52(4) yang menyatakan bahawa:

"The members of the Undergraduates' Representative Council and its office bearers shall be elected for one year."

Seterusnya beliau membangkitkan definisi terma 'Pelajar Berdaftar' iaitu Seksyen 52(18) yang menyatakan:

"For the purpose of this section, 'registered student' means a student who is following a course of study in the University for a degree or a diploma, not being a post-graduate diploma, and includes a student who is a holder of a diploma and is following a course of study of a degree:

Provided that a student shall cease to be a registered student within the meaning of this subsection-

1. upon the publication of the result of the final examination for such course of study, if he passes such examination;"

Ini bermakna, menurut beliau, sekiranya calon-calon yang berada pada tahun akhir pengajian dibenarkan bertanding, tempoh mereka berada dalam MPP sekiranya menang, tidak sampai setahun.

Hal ini bertentangan dengan peruntukan dalam perlembagaan Universiti. Beliau juga membangkitkan, adakah universiti sehebat UM menggalakkan budaya ‘extend’ pengajian di kalangan pelajar tahun akhir tanpa sebarang alasan yang munasabah.

'Ayahanda Collapse', Aspirasi panik

Seorang demi seorang calon dan wakil-wakil calon bertubi-tubi mengajukan perkara yang sama kepada 'Ayahanda' TNC HEP dan jawatankuasa SPR kampus.

Ayahanda sememangnya tidak mampu menjawab langsung soalan-soalan yang diajukan sehingga bangun seorang pelajar, mencabar semua calon-calon yang berada di tahun akhir secara sukarela menarik diri daripada bertanding kerana tidak menepati syarat kelayakan untuk bertanding.

Kumpulan Aspirasi kelihatan tersentak kerana daripada perkiraan rambang lebih daripada 15 calon mereka adalah pelajar tahun akhir!

Kegagalan jawatankuasa pemilihan untuk membuat keputusan memaksa Naib Canselor UM membincangkan perkara ini dalam mesyuarat senat universiti yang diadakan esok untuk membuat keputusan terhadap bantahan yang dikemukakan oleh calon-calon pilihan raya kampus.

Persoalannya apakah Senat mempunyai cukup keberanian untuk melucutkan kelayakan 15 orang lebih calon Aspirasi daripada bertanding dalam pilihan raya kampus kali ini?

Kepada pejuang-pejuang muda di kampus, ayuh kita lanyak kebatilan dan menyanggah kezaliman!

Biar putih tulang, jangan putih mata!/wann.

Exco MPP Aspirasi sibuk berpacaran, lupa kebajikan siswa

Ali Bukhari Amir
Harakahdaily
Thu | Sep 27, 07 | 1:36:12 pm MYT

Persekutuan, kompromi dan konspirasi antara bani-bani Hep, kabilah-kabilah Aspirasi dan rabai-rabai Yahudi daripada KPT semakin menjadi-jadi. Saya ambil istilah Presiden PAS, arwah Ustaz Fadhil Noor yang menggunakan istilah "Pakatan Ahzab" bagi menggambarkan kompromi Umno-MCA-MIC dalam mendepani kemaraan PAS.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Untuk lebih adil, biarlah saya berterus-terang juga. Bahawa, istilah ini juga turut dipakai seorang penulis berhaluan Sosialis di negara kita ini. Untuk sementara, izinkan saya meminjam istilah ini daripada mereka, guna melunaskan geram yang mendekam sebagai sekam membara dalam hati.

Dan, saya memohon maaf kerana ada istilah yang kasar sebagai tajuk di atas. Apabila menulis ini pun, emosi saya tak tenteram dan gelodak jiwa makin tidak terkawal. Dendam pun kian menebal. Pada saat ini juga saya menerima kiriman sms daripada teman-teman:

"Salam. Penamaan calon hari ini dan ada perarakan pro-mahasiswa. STUDENT POWER!"

Iklan Bicara Siswa

Pagi ini juga saat menonton program Selamat Pagi Malaysia saya terlihat iklan Bicara Siswa (BS) yang topiknya membincangkan hal kemajuan dan kegemilangan universiti. Ia akan diadakan pada Jumaat ini (malam Sabtu). Kalau tidak silap, biasanya BS ditayangkan pada Sabtu malam.

Saya jadi keliru kerana kadangkala BS ada, dan kadangkala ia ditiadakan bagi memberikan laluan kepada tayangan acara tv bola sepak yang disiarkan secara langsung.

Tiba-tiba BS muncul semula di celah-celah kegawatan PRK kali ini. Ertinya, Bani HEP dan rabai-rabai KPT sedang mengguna Aspirasi bagi tujuan memeriahkan PRK kali ini untuk menonjolkan siswa yang pro-kerajaan.

Jadi, ketika menulis ini, saya tidak tahu sejauhmana parti pembangkang memanfaatkan perarakan STUDENT POWER di Universiti Malaya sekarang ini. Adakah mereka turun memberi sokongan atau tidak? Wallahu ‘Alam. Mungkin ada pihak yang boleh memberikan jawapannya.

Jadi, sedang saya menulis ini, mungkin beberapa kelompok mahasiswa tertindas sedang berjuang dan membela nasib mereka sendiri, setelah mereka tak betah lagi memperjuangkan isu-isu rakyat. Mungkin kurang pengalaman. Ah! Hal itu boleh kita bahaskan kemudian.

Keutamaan, awlawiyyat kini ialah meriwayatkan hikayat Bani HEP dan ceritera Kabilah Aspirasi yang menuba benih-benih legasi Student Power di universiti-universiti awam.

Setakat ini, rasanya mereka berjaya. Di USM misalnya, tahun lalu dengarnya kita kurang lelaki sebagai pimpinan. Ini petanda buruk. Saya harap tahun ini akan ada perubahan.

Di UPM, Angkatan Muda Keadilan mengadakan percubaan memasuki kawasan kampus. Mereka dipantau oleh pegawai keselamatan dengan angka yang ramai juga. Sebenarnya tujuan "ziarah" itu hanyalah untuk menyerahkan memorandum kepada TNC HEP UPM Dr Azali.

Derita berpanjangan

Alkisahnya, setelah kumpulan pro pelajar dibentuk di UPM, kenderaan salah seorang pimpinannya diwarnakan dengan cat kuning dengan "percuma".

Masalahnya, kelompok pengkhianat itu "tersilap" mengecat; di bahagian tempat duduk motor yang tidak boleh dicat itulah yang dikhianatinya.

Tuhan telah mengecat hati mereka dengan warna hitam sebelum mereka memberikan warna negatif kepada siswa yang mereka gelar sebagai pro pembangkang. Hati yang hitam tidak akan mengenal lagi perbezaan antara halal haram, kebaikan dan keburukan.

Segala yang dideritai Student Power kini; Wan Afifi ditampar, Khalila Bakri yang dikasari ketika beliau bangun qiamullail, Hilman yang dirampas komputer ribanya adalah jelmaan peristiwa lampau di mana perang antara kabilah dan bani-bani ini sedang meletus ke atas Muslimin di bumi Makkah.

Seolah-olah, gambaran peristiwa lalu menjelma; Bilal bin Rabah ditampar, Mus'ab bin Umair dan Sumayyah ditindas pada awal-awal kebangkitan Islam. Jika mereka tabah menggalas fitnah dan terus perjuangkan semua ini selepas berijazah, ganjaran besar Allah memberi.

Ada maklumat tiba ke pengetahuan saya yang menuntut Bani HEP - Kabilah Aspirasi menjawabnya jika tak keberatan. Iaitu hal penyalahgunaan pejabat MPP khasnya oleh exco tertinggi MPP. Benarkah pejabat MPP UPM menjadi tempat tidur oleh exco tertinggi MPP di universiti berkenaan?

Menurut kenyataan segolongan mahasiswa yang menggelar diri mereka sebagai Mahasiswa Prihatin SeMalaysia (GMPS), hal ini juga tidak sampai ke pengetahuan universiti. Harap dapatlah universiti memberikan responnya.

Selepas MPP dibubarkan Isnin lalu (24 September) dalam tinjauannya GMPS mendapati motor salah seorang exco tertinggi badan induk pelajar itu masih diletakkan di suatu sudut di depan pejabat MPP.

Adakah setelah MPP dibubarkan bilik pejabat masih beroperasi lagi? Menurut GMPS, motor itu telah diletakkan di situ sejak sebulan sebelum ini.

"Pejabat MPP yang sepatutnya dibuka kepada mahasiswa untuk mengadu masalah kebajikan akhirnya ditutup," kata seorang wakil GMPS Abdul Hakim Abdullah.

Tambahnya, masalah ini yang menyebabkan MPP Aspirasi gagal berfungsi untuk perjuangkan isu parking pelajar dan hal kebenaran membawa kenderaan pelajar di kampus.

Tandus intelektualisme

Acara hiburan menjadi keutamaan. Acara intelektual tidak dirancang. Mereka gemar berhibur. Battle Of the Band, adalah antara ramuan utama dalam konvo UPM.

"Bayangkan bagaimana Exco Kerohanian MPP menari dan berkaraoke dengan wanita berusia. Belum lagi hal bekas pimpinan Aspirasi yang ada hubungan cinta sesama mereka dan keluar berpeleseran tanpa memikirkan kedudukan mereka sebagai role model kepada pelajar lain.

"Ini berbeza dengan generasi terdahulu. Kita melihat bagaimana MPP pro pelajar menyuarakan hak pelajar. Mereka berjaya mendesak penurunan kadar riba PTPTN kepada 3%," kata beliau.

Abdul Hakim berkata, kumpulan Aspirasi gagal berfungsi dengan baik, hatta hal mudah seperti tugas menurunkan banner program pun tidak dapat diuruskan. "Banner program Carnival PC sudah hampir satu sesi digantung. Dari semester lepas hingga tiba Carnival PC baru, banner itu masih di situ.

"Kami dapat maklumat ini daripada MPP Aspirasi sendiri yang tak puas hati dengan kepimpinan yang ada. Dan, mereka ini tak sanggup bersubahat dengan ketidakadilan," tambah Abdul Hakim.

Aliran kepenggunaan wang kolej kediaman

Sementara itu, menyentuh isu aliran kepenggunaan wang di kolej kediaman di Universiti Malaya, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syekh Omar menjelaskan bahawa hal ini turut mewujudkan kesulitan dalam kalangan pelajar yang membabitkan keselesaan mereka di kampus.

"Alasannya, untuk pembangunan kolej. Tapi yuran itu ke mana perginya? Kita hairan mereka ada banyak kereta, rumah di Damansara. Tapi, mereka tidak lantik pengurus domestik yang menyelia permasalahan kolej kediaman dan sebagainya.

"Pengetua Kolej ke-3 pernah berdepan dengan persoalan yang menyentuh yuran kolej kediaman yang tinggi yang dibangkitkan oleh kalangan warga kolej," jelas Syekh Omar.

Beliau risau ada pihak tertentu yang mengaut keuntungan daripada yuran kolej kediaman dengan menempatkan empat orang dalam sebuah bilik, di mana kadar sewa bilik itu adalah RM10 sehari.

"Walhal sepatutnya, setiap bilik adalah untuk dua orang saja. Selain itu, jika kebakaran berlaku tentu pihak bomba salahkan pihak atasan kolej. Ini kerana peraturan yang dibenarkan berdasarkan keluasan bilik itu adalah terhad kepada dua orang sahaja," kata beliau.

Tindakan meletakkan empat orang pelajar dalam sebuah bilik yang cuma memuatkan dua pelajar ini, disifatkan Syekh Omar sebagai "penjajahan bentuk baru" dalam kampus yang perlu dibanteras.

"Penjajah dahulu mengenakan cukai tinggi dan berlebihan ke atas orang tempatan. Kami pejuang kemerdekaan telah dicerca, diugut, dipukul, dirosakkan hak milik dan sebagainya. Tapi, berundur tidak sekali," katanya.

Menyentuh hal demokrasi yang diperjuangkan SMM, beliau berkata pilihan raya kampus (PRK) perlu bersih dan adil kerana ia mendedahkan kepada pelajar mengenai pengendalian demokrasi negara melalui pengundian.

”Mahasiswa perlu celik demokrasi dan dapat menemui sesiapa saja atas kesedaran demokrasi. SMM sebagai forum mewakili semua badan mahasiswa amat prihatin soal demokrasi ini.

Campur tangan ketara

”Kesedaran demokrasi dalam konteks PRK perlu difahami semua mahasiswa kerana sistem PRK yang adil sudah pasti melahirkan pemimpin yang adil. Demikianlah sebaliknya.

Namun, realiti mutakhir ini menyaksikan wujudnya kelompangan yang parah dalam PRK akibat campur tangan dalam sistem demokrasi kampus. Lalu, bagaimana SMM mendepani hal ini?

"Bagi memastikan PRK berjalan secara adil, SMM menyerahkan memorandum ke KPT meskipun Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed enggan bertemu kami. "Kemudian menyusul perarakan pelajar ke Suhakam dan pertemuan SMM dengan Kaukus Hak Asasi Manusia bersama Datuk Nazri Aziz," kata beliau.

Namun, bagi Syekh Omar, ada suatu masalah unik yang perlu diberi perhatian khusus mengenai status Aspirasi. Iaitu, status "pertubuhan" Aspirasi sebagai suatu pertubuhan haram kerana tidak didaftarkan secara sah di dalam mana-mana universiti.

"Ia (Aspirasi) ditaja oleh pihak luar kampus. Mereka tuduh kita sebagai pro pembangkang dalam masa yang sama mereka tutup pekung sendiri kerana mereka juga ada kaitan dengan parti politik luar.

"Mereka risau pro pelajar membersihkan pengaruh ketidakadilan yang menyelubungi pentadbiran berkaitan pelajar. Aspirasi serang PMI walhal Aspirasi bukan pertubuhan berdaftar. Mereka tuduh PMI agen Yahudi di UM," jelas beliau lagi.

Hal ini sekali gus membuktikan bahawa Aspirasi adalah badan haram yang menyerang kumpulan berdaftar lain.

"Justeru, golongan ini bukanlah pro idealisme universiti seperti yang mereka laung-laungkan," kata Syekh Omar.

Perang-perang antara kabilah HEP, bani-bani, suku kaum Aspirasi ke atas mahasiswa pro pelajar akan berlarutan dalam tempoh yang tak dapat dijangkakan.

KPT akan terus berfungsi sebagai rabai Yahudi yang menggubal Auku bagi menyempitkan laluan denai demokrasi kampus termasuklah mengetatkan kebebasan akademik kaum pensyarahnya.

Pembangkang pun tak peduli

Dalam sirah agama-agama Samawi, hanyalah pendeta rabai Yahudi yang berani campurtangan dalam urusan memindahkan firman dan surah Tuhan demi kepentingan mereka.

Tapi, Tembok Besar China dan Tembok Berlin yang harus juga direbahkan dari jiwa pro pelajar ialah, bolehkah mereka bersuara dalam Parlimen untuk menentang Menteri Pengajian Tinggi setelah berentap di luar Parlimen?

Atau, sejauhmanakah mereka dapat menyedarkan pembangkang untuk peduli isu demokrasi kampus? Atau, setidaknya membawa senior untuk beraksi, berdemo di luar kampus untuk menekan Bani HEP.

Adakah diberi ruang kepada siswa untuk beraksi dalam PRU, agar mereka dapat mewiridkan Laporan Penyelewengan PRK kepada Suhakam di depan Agong? Di sana, pelajar dapat memerangi rabai KPT untuk batalkan Auku di Parlimen.

Kata H Fansuri, tak dapat bersuara dalam Parlimen, jadi Senator di Dewan Negara pun jadilah. Tiada rotan, akar pun berguna juga. Tepuklah gendang PRK, nescaya kompang PRU-Bersih berbunyi jua.

UPM buat duit sempena Pilihan Raya Kampus

Abdul Rahman Abdullah
Thu | Sep 27, 07 | 4:15:41 pm MYT

Pada sesi pilihan raya kampus kali ini, UPM sekali lagi mencatat rekod dengan menjadi universiti yang menjadikan pilihan raya kampus sebagai medan membuat duit. Perkara ini dapat dilihat ketara sejak bermula proses pendaftaran calon pilihan raya lagi.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Perkara ini mungkin tidak disedari oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa kerana terlalu sibuk untuk memenangkan calon-calon Aspirasi. Mahasiswa yang ingin bertanding merasa begitu tertindas akibat tindakan pendaftaran untuk menjadi calon pilihan raya dengan RM100 bagi setiap calon.

Tindakan UPM ini bercanggah dengan kampus-kampus lain yang mana telah menurunkan yuran pendaftaran kepada RM50 sahaja. UPM pada tahun sebelum ini hanya mengenakan RM50 sahaja untuk bertanding sebagai calon.

Tindakan menaikkan wang pendaftaran kepada RM100 ini mempunyai motif politik dimana kumpulan aspirasi yang sepenuhnya dibiayai oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) tidak akan mempunyai masalah dengan kenaikan ini. Mereka tidak menggunakan duit mereka sendiri untuk bertanding.

Tindakan ini sebenarnya dipercayai untuk memberi tekanan kepada kelompok pro mahasiswa yang bertanding dengan duit sendiri. Tindakan ini mungkin difikirkan mampu untuk mengurangkan jumlah calon dari kumpulan pro mahasiswa yang betanding.

Mahasiswa bertanding bertambah terbeban apabila terpaksa menghabiskan sebanyak RM200 untuk proses rayuan, bantahan terhadap proses pencalonan mereka pada hari penamaan calon semalam.

Rayuan pertama kepada Jawatankuasa Pelaksana (JKP) yang diketuai oleh TNC HEP UPM sendiri, Prof Dr Azali.

Kemudian, rayuan kedua terpaksa dibuat sekiranya Pengerusi JKP ini menolak permohanan rayuan itu. Setiap kali rayuan RM100 dikenakan.

Lihatlah betapa pandainya UPM membuat duit melalui pilihan raya kampus pada hari ini.

Mereka mungkin tidak fikir tentang dari mana mahasiswa nak dapatkan duit sebanyak itu untuk bertanding? Hal ini jelas membebankan mahasiswa dan mengekang mereka dari bertanding dengan adil dan bersih.

Proses membuat duit ini oleh HEP UPM dikhuatiri dirancang oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab. TNC HEP UPM sendiri misalnya pernah dikaitkan dengan kes penyalahgunaan duit mahasiswa.

Akhir sekali, saya mewakili Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) menggesa agar pihak berwajib terutama Badan Pencegah Rasuah (BPR) melihat dengan serius perkara ini.

Kami bimbang jika perkara ini berterusan ianya bakal merosakkan sistem pilihan raya kampus dimana pilihan raya akan hanya disertai golongan yang kaya.

Golongan yang kurang mampu mengalami diskriminasi yang teruk. Kami turut risau berlaku penyelewangan dalam pengurusan wang pelajar dan ia boleh menjadi satu barah sekiranya tidak segera ditegah.

Calon bukan Aspirasi-Umno di UPM, UM mula ditekan

Intan Abdullah
Harakahdaily
Thu | Sep 27, 07 | 4:36:44 pm MYT

Setelah tamat proses penamaan semalam, semua calon yang terlibat dengan pilihan raya kampus(PRK) telah memasuki fasa kempen yang akan berjalan selama enam hari sehingga 2 Oktober akan datang.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Hari penamaan calon semalam menyaksikan pelbagai peristiwa menarik di beberapa kampus selain membuktikan pihak Hal Ehwal Pelajar terus menjalankan taktik kotor untuk memenangkan kumpulan Aspirasi-Umno secara mudah.

Ia termasuk jumlah wang taruhan yang perlu disediakan oleh seorang calon di Universiti Putra Malaysia yang mencecah RM200.

Mahasiswa yang bertanding bertambah terbeban apabila terpaksa menghabiskan sebanyak RM200 untuk proses rayuan dan bantahan terhadap proses pencalonan mereka.

Berbeza keadaannya di kampus-kampus lain yang telah menurunkan kadar deposit tersebut kepada RM50 sahaja.

Bagi calon-calon Aspirasi-Umno, wang sebanyak itu tentulah tidak mendatangkan masalah kepada mereka dibantu dari segenap segi oleh HEP dan pemimpin Umno-BN sendiri.

Situasi kempen PRK bermula dengan pelbagai insiden yang bercanggah dengan prinsip demokrasi itu sendiri khususnya di beberapa kampus tertentu.

Calon-calon yang menggelarkan diri mereka sebagai pro-mahasiswa (iaitu bukan kumpulan Aspirasi-Umno) dari Kolej Canselor UPM juga telah dipanggil oleh pengetua kolej serta diugut untuk diambil tindakan tatatertib kerana bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Cukup mengecewakan apabila ugutan dan ancaman bukan sahaja diterima daripada pelajar kumpulan Aspirasi-Umno tetapi kumpulan bukan Aspirasi itu turut dikecam pengetua-pengetua dan staf kolej.

Dalam satu perkembangan lain di Kolej 11 UPM, pihak kolej mengeluarkan surat ancaman agar setiap majlis tertinggi mahasiswa di kolej berkenaan tidak terlibat dalam pilihan raya kali ini terutama sekali untuk turut bertanding.

Kumpulan Aspirasi-Umno di UPM turut menamakan kumpulan mereka kali ini dengan tema "harimau maut".

Perkara itu secara tidak langsung mencetuskan persoalan di kalangan mahasiswa, "adakah kumpulan Aspirasi-Umno sudah hendak mati?"

Namun, segalanya terjawab apabila sticker haram kumpulan Aspirasi ini yang ditampal di merata tempat termasuk cermin-cermin dan pintu masuk fakulti dengan lambang harimau.

Ada pihak mentafsirkan bahawa maksud di sebalik lambang berwajah harimau itu ialah: "Jangan lawan aspirasi, jika tidak harimau akan menyerang dengan serangan maut."

Justeru, tidak hairan kalau ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan tidak yang senonoh, antaranya menghina calon pro-mahasiswa dengan mengugut mengatakan calon bukan Aspirasi-Umno ini sebagai penyokong pembangkang.

Calon pro-mahasiswa juga dikatakan tidak bersyukur kepada kerajaan apabila bertanding dalam pilihan raya kampus kali ini.

Situasi ini sebenarnya sangat mirip kepada modal kempen Umno-BN dalam kancah politik negara menjelang sesuatu pilihan raya.

Kempen di Universiti Malaya pula menghadapi kesukaran di mana calon-calon pro-mahasiswa tidak dibenarkan masuk ke kolej-kolej kediaman berbanding calon Aspirasi-Umno yang mendapat kempen percuma dari pengetua-pengetua kolej.

Taktik keji gagalkan kemenangan bukan Aspirasi: UIAM buka pencalonan semula

Intan Abdullah
Harakahdaily
Thu | Sep 27, 07 | 5:55:38 pm MYT

Proses penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), seperti juga bagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lainnya, telahpun disempurnakan semalam, 26 September, namun pengumuman terbaru petang tadi mengejutkan semua pihak.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Melalui notis yang ditandatangani Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Ustaz Hamidon Abdul Hamid, pihak pentadbiran UIAM memaklumkan bahawa proses pencalonan dibuka semula dan pelajar yang berminat untuk bertanding dalam PRK boleh mengisi borang untuk diserahkan pada hari penamaan calon, yang ditetapkan pada 30 September ini, iaitu hari Ahad.

Manakala hari mengundi tidak pula berganjak, iaitu ditetapkan pada 2 Oktober. Ini bermakna tempoh kempen yang dibenarkan tidak sampai pun dua hari.

Difahamkan, apabila penamaan calon ditutup semalam, sembilan calon kumpulan pro-mahasiswa diisytihar menang tanpa bertanding, dan ini memberi laluan mudah kepada mereka untuk mempertahankan kemenangan.

Kumpulan berkenaan hanya perlu menang lima kerusi sahaja lagi bagi meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun, dengan makluman paling mengejutkan itu, kemenangan semua calon-calon yang menang tanpa bertanding itu dibatalkan secara automatik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai kaedah dan pendekatan digunakan untuk mengalahkan kumpulan bukan Aspirasi-Umno di UIAM, namun ia menemui kegagalan. Pihak Hal Ehwal Pelajarnya juga mengalami tekanan daripada Kementerian Pengajian Tinggi agar diusahakan apa jua cara bagi memenangkan kumpulan Aspirasi.

Langkah terbaru ini dilihat sebagai taktik paling kotor dan tidak bermaruah pihak UIAM, di bawah tekanan KPT, untuk bukan sahaja menimbulkan kekecohan, tetapi bagi memberi asakan kepada kumpulan pro-mahasiswa supaya memboikot pilihan raya kampus.

Berdasarkan keputusan PRK tahun lalu, hanya kampus UIAM gagal dikuasai kumpulan Aspirasi-Umno. Bagaimanapun Majlis Perwakilan Pelajar UIAM yang dibentuk itu tidak diiktiraf oleh pihak pentadbiran UIAM selama lebih empat bulan.

Harakah akan memberikan liputan lanjut insiden ini.

Wednesday, September 26, 2007

HEP tidak layak jadi SPR pilihan raya kampus

Nasrudin Hassan Tantawi
Harakahdaily
Wed | Sep 26, 07 | 4:21:08 pm MYT

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan rasa keprihatinan yang mendalam terhadap situasi politik kampus yang dicabuli habis-habisan oleh agen-agen kerajaan Umno-Barisan Nasional khususnya menjelang pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di seluruh negara bermula dengan pembubaran MPM sessi 2006/07 pada 24 September 2007.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Siri-siri ugutan dan ancaman kepada mahasiswa kumpulan 'pro-mahasiswa' berlaku secara terancang dan konsisten seperti terbaru yang berlaku di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya ibarat sebagai permulaan kepada skrip konspirasi untuk melanyak 'standard' pilihan raya kampus sehingga tahap yang paling bawah.

Kami melihat kelangsungan tradisi campurtangan yang langsung dan serius daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berterusan pada tahun ini dengan menghantar staf-staf khusus dengan misi memenangkan kumpulan ASPIRASI dalam pilihan raya kampus yang akan datang.

Ternyata KPT di bawah Dato' Mustapa Mohamed langsung tidak berminat untuk melihat para mahasiswa menunaikan hak mereka untuk memilih dan dipilih dalam pilihan raya kampus yang akan datang secara bebas dan adil .

Kami melihat Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) yang ditugaskan sebagai SPR bagi pilihan raya kampus langsung tidak mempunyai kredebiliti untuk mengendalikan pilihan raya kampus.

Para pegawai tertinggi HEP terbukti telah diprogramkan sebagai salah satu faktor memenangkan kumpulan Aspirasi melalui siri pertemuan dengan Menteri dan Setiausaha Parlimen KPT dan dihadiri wakil tetap daripada Umno.

Bahkan berdasar laporan-laporan pilihan raya kampus yang lepas , para pegawai HEP secara terang-terangan membuli kelompok mahasiswa bukan Aspirasi dengan pelbagai sekatan yang tidak demokratik.

Kami menganggap perubahan tempoh berkempen dari 3 hari kepada 6 hari seperti yang diumumkan hanyalah sandiwara untuk menutup kepincangan dan ketempangan perjalanan pilihan raya kampus kali ini.

Apalah makna sekiranya tempoh kempen dipanjangkan tetapi ruang untuk semua calon yang berkempen secara bebas kepada semua calon yang bertanding disekat secara terpilih.

Adalah sangat malang jika rangking universiti-universiti tempatan menjunam di peringkat antarabangsa, HEP terus merendahkan daya fikir dan gerak tindak mahasiswa dengan menghadkan kebebasan politik mahasiswa secara total.

Justeru itu , kami menuntut agar Jawatan Kuasa bebas pemantauan pilihan raya kampus ditubuhkan terdiri daripada wakil Persatuan Kakitangan Akademik Universiti (PKAU) untuk memantau perjalanan pilihan raya kampus yang akan datang.

DPPP juga menuntut agar pihak Suhakam dibenarkan untuk mengawasi perjalanan pilihan raya kampus pada kali ini bagi memastikan wujudnya sedikit unsur 'semak dan imbang' dalam perlaksanaan pilihan raya kampus di seluruh negara.

Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat.