Tuesday, October 10, 2006

Gerakan sistematik matikan gerakan, idealisme mahasiswa

Malaysia Today, 10 oktober 2006

Oleh Amirudin Shari
Harakahdaily


Akhir September lalu kita dihidangkan melalui laporan-laporan di media tentang pilihan raya kampus yang dijalankan serentak pada 21 September 2006 di seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam negara kecuali di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dijalankan pada keesokannya.

Dato' Mustapa Mohamad, Menteri Pengajian Tinggi yang kali pertama mengendalikan pilihan raya kampus setelah mengantikan Dato' Dr Shafie Salleh mengambarkan pilihan raya kampus kali ini sebagai pilihan raya kampus yang paling bebas dan adil.

Keputusan menunjukkan sebanyak 22 kampus IPTA telah dimenangi oleh kelompok yang mengelar diri mereka pro-aspirasi nama lain bagi kelompok mahasiswa yang pro-kerajaan BN-Umno.

Hanya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sahaja menunjukkan keputusan yang sebaliknya. Di UIA kelompok pelajar yang dipercayai kumpulan persatuan Islam telah memenangi pilihan raya kampus tahun ini, setelah mereka memboikot pilihan raya tersebut tahun sebelumnya kerana bantahan terhadap pilihan raya elektronik yang diperkenalkan pihak universiti.

Keputusan pilihan raya kali ini seolah-olah sekali lagi mengambarkan sokongan padu di kalangan mahasiswa dan mahasiswi negara kepada kerajaan BN-Umno, berbeza semasa zaman krisis hebat politik negara 1999 - 2001.

Sebenarnya kemenangan besar kali ini dan sapu bersih proaspirasi BN-Umno pada tahun lalu adalah lanjutan daripada usaha penuh strategis oleh kerajaan untuk membunuh gerakan dan idealisme mahasiswa lalu dengan mudah menguasai kampus-kampus.

Realitinya kemenangan kelompok yang pro kepada pemerintah sebenarnya tidak utuh. Mahasiswa yang mengundi tiada pilihan di samping sekatan maklumat dan aktiviti kepada kelompok yang membawa aspirasi mahasiswa.

Oleh itu boleh dikatakan mereka sebenarnya tidak begitu berminat untuk menyertai mahupun mengundi pilihan raya kampus, kalau tidak kuatkuasakan kewajipan turun mengundi semenjak tahun 2003 oleh semua universiti.

Kemunduran minat dan sikap mahasiswa adalah digerakkan oleh langkah berterusan pihak kerajaan dengan kerjasama pentadbir universiti untuk mematikan idealisme mahasiswa dan gerakan pelajar yang tumbuh segar semula sekitar 1998-2001.

Nafas baru gerakan pelajar

Penyingkiran Anwar Ibrahim pada September 1998 telah memulakan episod baru dunia gerakan mahasiswa ketika itu yang lesu berserta dengan menuanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) .

Tentangan terhadap akta drakonian ini yang mulanya sengit pada awal-awal pengenalannya telah membibit lemah sehinggalah mati sekitar akhir tahun 1980-an akibat tiada daya di kalangan kelompok progresif mahasiswa untuk mengerakkan kempen anti Auku.

Pada ketika yang sama kealpaan wujud di kalangan mahasiswa juga pensyarah, seiring memecut pantasnya pembangunan ekonomi negara sehingga zaman emas ekonomi negara 1995-1997.

Bermula dengan kebangkitan kelompok mahasiswa Islam pada tahun 96/97 dan dilonjakkan pula dengan krisis 98 sehingga tahun 2001 semua kampus kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dimenangi oleh kelompok pro-mahasiswa dan pro-pembangkang yang bersatu.

Serentak dengan itu juga bangkit pertubuhan-pertubuhan bebas pelajar seperti Universiti Bangsar Utama (UBU), Dema, Gerakan Mahasiswa Lantang (GMLN) bersama kukuhnya kembali beberapa persatuan peringkat kebangsaan seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma).

Persatuan-persatuan terbabit bukan hanya aktif di kampus tetapi mula menyatakan sokongan dan pendirian dalam isu-isu semasa, termasuk bantahan terhadap penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) masalah kemiskinan dan polisi negara yang pincang.

Perkembangan tersebut menimbulkan rasa gelisah pentadbiran BN-Umno di bawah Dr Mahathir. Sehingga lawatan Mahathir dan pimpinan negara ke universiti-universiti sering mendapat sambutan dingin dan kadangkala disambut dengan demonstrasi.

Lebih-lebih lagi dengan sikap penakut dan lembik pentadbiran universiti yang menapis soalan-soalan kepada pemimpin kerajaan yang hadir ke universiti.

Gertakan Auku dan peraturan universiti

Semenjak tahun 1999 hingga 2000 kerajaan telah mula mengertak mahasiswa dengan mengenakan tindakan kepada beberapa pelajar yang terlibat dalam gerakan mahasiswa yang diistilahkan mereka sebagai “persatuan haram”.

Beberapa aktivis mahasiswa ketika itu seperti Yong Kai Peng, pengerusi Democracy Youth for Malaysia (DEMA) telah dikenakan tindakan denda RM 200, oleh mahkamah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atas dakwaan menghantar memorandum bantahan terhadap keganasan polis kepada Ketua Hakim Negara.

Perkara malang turut menimpa Ahmad Zaki Yamani, Setiausaha Agung PKPIM (sekarang Exco Angkatan Muda Keadilan) yang telah dibuang oleh Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) atas kesalahan yang tidak bersebab. Namun dipercayai kesalahan yang dilakukan termasuklah menyertai demonstrasi dan menyebarkan risalah secara haram di kampus.

Namun begitu ketakutan yang cuba diwujudkan telah tenggelam dengan gelombang reformasi. Buktinya pada pilihan raya umum ke-10 pihak mahasiswa telah bergerak secara bebas ke seluruh negara untuk menyatakan manifesto mahasiswa mirip apa yang telah dibuat oleh gerakan mahasiswa tahun 1970-an.

Selepas daripada itu kelompok mahasiswa terus aktif menyertai demonstrasi-demonstrasi aman dalam pelbagai isu selain memperkukuh bantahan mereka kepada Auku.

Polis dan ISA

Pada tahun 2001, berlaku penangkapan terhadap 10 aktivis reformasi dan pemimpin parti KeADILan. Persatuan-persatuan mahasiswa sekali telah bangkit dan bersatu untuk mencapai deklarasi masjid negara di perhimpunan bantahan mahasiswa pada Julai 2001 dan menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Seramai 7 orang telah ditahan dalam perhimpunan itu. Mereka terus digantung oleh universiti masing-masing sehingga sekarang walaupun telah dibebaskan mahkamah pada tahun 2005.

Tidak lama selepas itu berlaku pula kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya (UM) yang menjadikan alasan kepada kerajaan untuk menahan Khairul Anuar Ahmad Zainudin (Jonah) dan Ahmad Fuad Ikhwan di bawah ISA.

Dalam tempoh penahan Jonah dan Fuad, lebih kurang dua minggu bertali arus disiarkan oleh media rus perdana yang mengkritik dan menuduh beberapa persatuan sebagai persatuan subversif dan haram.

Penahanan tersebut di samping mainan media arus perdana yang mengaitkan mereka sebagai pertubuhan haram telah memberikan impak yang kuat untuk menakutkan mahasiswa yang terlibat dalam persatuan mahasiswa sekali gus ibu-bapa mereka di kampung.

Pengenalan Akujanji dan pengawalan pilihan raya kampus

Bermula dari tahun 2002 juga Dr Mahathir meminta mahasiswa dan kakitangan unversiti menandatangai akujanji agar tidak menentang dan vokal terhadap kerajaan. Ada ugutan verbal yang dilepaskan di kampus-kampus yang menyebutkan mereka yang enggan menandatangi akujanji ini akan tidak layak untuk bergraduat.

Dengan akujanji ini kerajaan sebenarnya menujukan kepada pihak mahasiswa yang simpati kepada gerakan mahasiswa dan ibu-bapa yang bimbangkan pengajian anak mereka tersekat.

Apatah lagi sebaik menerima surat tawaran universiti dan pinjaman terdapat baris-baris ingatan kepada pelajar dan ibu-bapa yang mengugut pemberhentian pelajar - pelajar yang didapati terlibat dalam aktiviti 'menentang kerajaan.'

Pada tahun itu juga pihak universiti secara terang-terangan mulai menyempitkan proses pilihan raya di kampus melalui undang-undang 'sekolah tadika'.

Contohnya di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada ketika itu mereka mensyaratkan pelajar lelaki Islam hanya diboleh bergambar dengan songkok hitam dan tidak boleh berkopiah putih yang sering menjadi imej gerakan Islam di kampus.

Pada tahun yang sama ada universiti yang mensyaratkan itu poster calon dicetak dan sediakan oleh pihak universiti. Pernah pada tahun 2003 seorang mahasiswa di UPM yang telah menang nyaris digugurkan kemenangan kerana menggunakan gambar yang diambilnya sendiri di kedai dan tidak menggunakan gambar yang diambil oleh jurugambar universiti.

Dan pada tahun 2004 kesalahan yang sama telah menyebabkan seorang wakil pelajar yang menang pilihanraya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digugurkan kemenanganya.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia pula , ceramah dan pidato umum pelajar hanya boleh disampaikan melalui rakaman video, di samping kekangan masa berkempen yang disingkatkan kepada 3 hari berbanding 7 hari sebelum itu untuk semua universiti.

Manakala secara perlahan-lahan tahun demi tahun mula ditambah peraturan seperti kekangan CGPA, temuramah kepada calon, ujian ucapan awam dan bahasa Inggeris kepada calon yang ingin menyertai pilihan raya kampus.

Selain itu ugutan kepada penyokong dan mereka yang aktif seperti disingkirkan untuk dapat tinggal di kolej kediaman dan kesukaran berurusan dengan pentadbiran juga mula dijalankan oleh pihak universiti.

Undi dan kerja mereka yang dilihat tidak selari dengan aspirasi BN-Umno “dihadiahkan” risiko yang memeritkan kehidupan mereka sebagai mahasiswa.

Aturan dan kekangan peraturan pelik ini telah merudumkan aktiviti dan minat mahasiswa untuk terlibat dalam persatuan mahasiswa. Dan hasilnya pada pemilihan 2003/2004 pihak kerajaan telah mula menguasai hampir kesemua universiti kecuali UM dan UIA.

TNC menjadi ketua memenangkan budak-budak Umno

Pada sesi 2004/2005 bersama juga perpindahan tampuk kekuasaan negara kepada Abdullah Ahmad Badawi bermulalah serangan secara brutal kepada kelompok pro mahasiswa dan pembangkang di kampus.

Banyak kejadian seperti pencerobohan, kekangan fizikal, kekacauan dan pengharaman persatuan dilakukan universiti-universiti awam, mengikut dari laporan yang dibuat oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) seramai lebih daripada 50 orang telah dikenakan tuduhan menyalahi Auku selepas dari pilihan raya kampus sesi 2004/2005.

Antara kesalahan yang dikenakan termasuklah membuat sidang akhbar, menulis di akhbar arus perdana dan menyertai perhimpunan menemui menteri di Parlimen untuk menuntut pilihan raya kampus yang bebas dan adil, menganjurkan pertemuan dengan pelajar tahun 1 dan membuat kajian tanpa kebenaran. Sebahagian kes-kes terbabit masih dalam perbicaraan.

Akhbar Siasah dan Suara Keadilan juga mendedahkan bagaimana penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi, anggota exco pendidikan Pemuda dan Puteri Umno telah mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersama Timbalan-Timbalan Naib Canselor (TNC) untuk memenangkan kelompok-kelompok penyokong Umno.

Pendedahan juga menyebutkan wang rakyat melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipercayai digunakan untuk misi tersebut.

Terdapat juga kes mahasiswa pukul sebagaimana yang terkena kepada Zainulfakar di UM dan beberapa pencerobohan kepada bilik pelajar di UPM.

Ternyata dengan penglibatan secara terus TNC arahan kepada pegawai-pegawai Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa dan pengetua-pengetua kolej khasnya tidak dapat dibantah lagi.

Bermakna seluruh pentadbiran kolej, dan Hal Ehwal Mahasiswa (HEM) digunakan untuk memenangkan kelompok aspirasi Umno.

Menurut rungutan dari pihak dalam kampus menyebutkan antara tindakan dan arahan lain yang diberikan termasuklah mengarahkan fellow-fellow kolej kediaman agar mengetuk dan membuat semakan sikap pelajar di kolej kediaman terhadap pilihan mereka.

Lanjutan itu pihak pengetua akan membuat pertemuan khusus dengan alasan program ramah mesra untuk mempengaruhi pelajar agar mengundi calon pilihan pentadbir yang juga membawakan aspirasi kerajaan BN-Umno.

Pembunuhan idealisme dan semangat universiti

Tindakan secara berperingkat ini sebenarnya telah membunuh secara perlahan-lahan sikap sensitif mahasiswa kepada masyarakat malahan dalam isu mereka sendiri.

Langkah pertama kerajaan yang menanggalkan isu luar dari perbualan dan perbincangan mahasiswa, telah menyebabkan mereka tidak peka dan tertinggal dengan perkembangan isu semasa.

Kemudianya, perlahan-lahan kekangan mula diwujudkan dalam isu mereka seperti Auku dan peraturan pilahanraya telah melengkapkan usaha merosakkan perkembangan sihat mahasiswa.

Langkah tersebut bukan sahaja menyenangkan kerajaan untuk bertindak sesuka hati seperti menaikan harga minyak dan gas, penswastaan ambulan dan polisi lain. Malahan ia menyebabkan kampus telah mati dan hilangnya budaya debat dan memberi pendapat di ladang ilmu yang subur seperti universiti.

Budaya mengampu dan samseng seperti kes pembulian di UPM baru-baru ini, pelajar dipukul oleh pentadbir pada tahun 2005 dan ugutan penutupan persatuan pelajar yang berdaftar menunjukkan universiti sudah semakin hampir menjadi sekolah tadika.

Sunday, October 08, 2006

Situasi paling memalukan bagi UM

Malaysia Today, 8 oktober 2006

Malaysia Today

Universiti Malaya, universiti tertua dan berprestij di negara ini suatu masa dulu. Tetapi kini, ia sedang menghadapi situasi yang memalukan.

Pertama, usaha universiti tersebut bagi berada dalam 200 buah universiti yang terulung di dunia mengikut The Times Higher Education Supplement (THES) World University Rankings 2006, tidak kesampaian. Sebaliknya, ia jatuh lagi 23 tangga ke bawah ke tempat ke-192 daripada kedudukan ke-169 dan daripada tangga ke-89 dalam tahun 2004.

Penyenaraian THES ialah satu-satunya senarai di mana Universiti Malaya berada. Tiada satu universiti dari Malaysia berada dalam senarai Newsweek’s 100 Best Universities, Shanghai Jian Tong Universities’ 500
Top Universities atau Webometrics Rank (WR) of 3,000 Premier Universities.

Jika Universiti Malaya tidak mampu berpaut di kedudukan yang sedia ada dalam senarai THES di masa akan datang, ia tidak lagi akan menjadi antara universiti yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Keduanya, Universiti Malaya telah kalah dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang mencapai kejayaan yang memberansangkan termasuk dalam liga THES 200 universiti terbaik dunia, di kedudukan ke-185, melompat 104 tempat ke atas daripada kedudukan yang ke-289 tahun lalu.

Syabas kepada UKM tetapi memalukan bagi UM, kerana ia menandakan gugurnya kedudukannya sebagai universiti terulung negara selepas sambutan ulangtahunnya ke-30, tahun lepas.

Baru tahun lepas, ketika sambutan ulangtahun UM, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencabar UM bagi meningkatkan kedudukannya daripada 89 kepada 50 universiti teratas dalam senarai THES pada tahun 2020.

Setelah tiga tahun lamanya, Perdana Menteri menyeru kepada revolusi pelajaran bagi membolehkan pelajaran di Malaysia mencapai taraf dunia dan menjadikan negara pusat kecemerlangan serantau dalam pelajaran, pentadbiran masih tidak menampakkan keazaman politik (political will) bagi melaksanakannya. Tiada usaha membebaskan universiti-universiti daripada budaya ‘mediocre’ dan bebaskan pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar mengejar kecemerlangan akademik dan idealisme siswa.

Universiti-universiti Malaysia patut meletakkan kecemerlangan akademik paling utama dan tidak berkompromi dengan perkara yang bukan akademik.

Thursday, October 05, 2006

SMM tuntut KPT siasat salah laku pihak berkuasa universiti

Malaysia Today, 5 oktober 2006

Oleh Nyza Ayob
Harakahdaily


Gerakan pelajar, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menggariskan beberapa tuntutan ke arah menjernihkan demokrasi di universiti termasuk mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengadakan siasatan ke atas kes salah laku yang melibatkan pihak berkuasa universiti sepanjang pilihan raya kampus lalu.

SMM dalam kenyataan medianya menyatakan, tuntutan tersebut dibuat berdasarkan pemerhatian serta 'post mortem'nya yang mana pihaknya dapat mengesan beberapa salah laku dan penyelewengan dalam pilihan raya kampus yang berlangsung serentak di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 21 September lalu.

Untuk itu, SMM sedang berusaha mengumpulkan bukti serta saksi-saksi yang terlibat dengan ugutan dan halangan-halangan sewaktu melalui proses pilihan raya, katanya.

SMM turut mempertikaikan fungsi KPT yang sepatutnya bertindak menjernihkan amalan korup bagi memastikan prinsip demokrasi tertegak khususnya terhadap pentadbiran universiti.

Justeru SMM mendesak KPT mengadakan siasatan ke atas kes salah laku yang melibatkan pihak berkuasa universiti sepanjang pilihan raya kampus sebelum Disember ini serta mengemukakannya kepada Perdana Menteri serta pelajar di semua IPTA.

Di samping itu, SMM mengharapkan pihak KPT memberikan ruang kepada para pemimpin mahasiswa di dalam Majlis Perwakilan Pelajar untuk bersuara dan mengemukan pandagan sama ada melalui media atau cara lain.

Gerakan pelajar yang ditubuhkan pada 2002 itu juga menuntut pihak pentadbiran universiti serta KPT supaya mengkaji semula sistem pengurusan dan pelaksanaan pilihan raya kampus agar sejajar dengan prinsip demokrasi dan piawaian antarabangsa.

Selain itu, SMM juga melahirkan kekesalan dengan tindakan pentadbiran universiti di kebanyakan kampus yang berat sebelah dan mengamalkan sikap 'double-standard' dalam pengurusan pilihan raya yang mana amalan ini menimbulkan budaya politik takut (political culture of fear) di kalangan mahasiswa.

Dalam pada itu, media massa juga diharapkan agar menghentikan segera tindakan melabelkan mahasiswa sama ada sebagai Pro-Aspirasi Kerajaan atapun Pro-Pembangkang, selain melaporkan berita dengan seimbang dan berasaskan fakta yang kukuh dan tepat terhadap isu mahasiswa samada berkenaan pilihan raya mahupun Majlis Perwakilan Pelajar.

SMM juga akan mengemukakan laporan daripada pilihan raya tersebut kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya mengadakan siasatan menyeluruh di semua IPTA terhadap laporan-laporan salah laku pegawai pentadbiran semasa pilihan raya kampus, katanya.

Selain itu, badan hak asasi manusia ini juga diharapkan dapat mengadakan proses inkuiri awam terhadap pegawai-pegawai universiti yang didapati bersalah dalam penyelewengan pilihan raya kampus di samping mengemukakan laporan rasmi berkenaan pilihan raya itu sebelum Disember ini.

Monday, October 02, 2006

Dakwaan 'undi hantu' di UM

oleh: SALHAN K. AHMAD (mStar)
sumber: Malaysia Today Monday, October 02, 2006

Pilihanraya kampus sudah selesai dua minggu lepas. Malah pembuangan undi bagi dua kerusi di Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya sudahpun selesai Rabu lalu, namun sekumpulan pelajar masih menuntut pihak berkuasa universiti memberi penjelasan mengenai kehadiran pengundi hantu.

Pemimpin pelajar dari kumpulan pro-pembangkang UM mahu pihak berkuasa universiti menjalankan siasatan rapi terhadap dakwaan kehadiran pengundi hantu semasa pemilihan wakil pelajar bulan lepas yang memaksa pembuangan semula undi dibuat.

Mereka mahu supaya beberapa ketidaklaziman yang berlaku semasa pemilihan wakil pelajar berlangsung di universiti berkenaan bermula 21 September lalu itu diperjelaskan.

Sumber dari bahagian hal ehwal pelajar universiti berkenaan bagaimanapun menjelaskan masalah itu tidak berkaitan isu pengundi hantu, tetapi mungkin disebabkan oleh rekod pelajar yang tidak seragam di antara pihak Fakulti Undang-undang dan Bahagian Kemasukan dan Rekod Pelajar.

"Mungkin ada loophole di mana-mana, sama ada di Fakulti atau Rekod Pelajar. Pihak universiti sedang mengenalpasti punca sebenar masalah itu sekarang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang menafikan kewujudan pengundi hantu turut menolak dakwaan bahawa masalah tersebut berpunca daripada penempatan peti undi di kolej-kolej kediaman sehingga membolehkan mereka yang tidak sepatutnya membuang undi.

"Cuma pelajar yang berdaftar di kolej sahaja yang layak mengundi dan mereka boleh menyemak status mereka melalui senarai yang dipamerkan di tempat membuang undi," jelasnya.

Kesan daripada pembuangan undi semua itu, salah satu kerusi fakulti yang sebelumnya dimenangi golongan penyokong kerajaan, akhirnya jatuh ke tangan seorang calon bebas.

Pemimpin pelajar dari kalangan penentang kumpulan pro-aspirasi bagiamanapun terus mempertikaikan ketelusan proses pengundian di pusat-pusat pengundian di kolej kediaman.

"Pada awal lagi kami memang tidak bersetuju pemilihan dilakukan di kolej kediaman kerana bimbang ada undi hantu. Tapi bila berlaku macam ini, kami tidak pula diberitahu apa sebenarnya yang berlaku," kata seorang pemimpin pelajar universiti berkenaan ketika dihubungi hari ini.

Beliau bertegas bahawa wujud pengundi hantu yang membuang undi untuk calon pro-aspirasi kerana pihak penganjur pilihanraya mengumumkan 72 kertas undi dikira daripada 71 orang pengundi sedangkan bilangan pelajar fakulti yang layak mengundi hanya 68 orang.

Pengundi hantu, menurutnya lebih mudah dikenalpasti jika pusat pembuangan undi diadakan di fakulti kerana setiap pelajar hanya akan membuang undi di fakulti masing-masing.

Presiden gabungan pertubuhan pelajar itu juga yakin ramai pengundi hantu boleh dikenalpasti di Kolej Ke-12 yang menempatkan paling ramai pelajar di kampus berkenaan.

Selain itu, beliau juga mahu supaya Kolej Pertama, Kedua dan Kelima yang menempatkan ramai pelajar Fakulti Undang-undang juga diberi perhatian.

Kolej-kolej tersebut dihuni lebih 3,000 pelajar pelbagai jurusan berbanding sekitar 1,000 pelajar di 11 kolej lain.

mStar Online difahamkan pihak universiti tidak setakat ini belum berhasrat tunduk kepada desakan pelajar berkenaan.

Menurut sumber, pihak pengurusan universiti berpendapat penjelasan bahawa masalah itu berpunca daripada ketidakseragaman rekod pelajar yang berdaftar sudah memadai.